Categories
SELANGOR

Dewan MATC PKR Kota Raja disabotaj telur busuk

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 20 SEP: Dewan Serbaguna Taman Klang Jaya tempat berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja dicemari bau telur busuk.

Telur busuk itu dilempar di beberapa tempat di dalam dewan seperti di dinding, bawah kerusi dan meja dalam dewan itu.

Ketua PKR Cabang Kota Raja, Dr Xavier Jeyakumar, berkata perkara itu disedari beberapa anggota unit keselamatan AMK yang ditugaskan menjaga dewan terbabit.

MATC“Mesyuarat AMK malam tadi habis hampir jam 12.00 malam dan selepas itu kami berkemas hingga jam 2.00 lebih.

“Lebih kurang jam 3.00 pagi ada orang ceroboh dewan ini dan membaling telur-telur busuk di dewan ini,” kata Xavier ketika memulakan ucapan perasmian MATC Kota Raja di Dewan Serbaguna Taman Klang Jaya di sini, hari ini.

Bagaimanapun tegas Xavier yang juga Naib Presiden PKR, kejadian itu tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan reformasi.

“Perbuatan khianat ini tidak beri apa-apa kesan pun sebaliknya MATC tetap dapat dijalankan seperti dirancang,” kata Xavier lagi.

Sepanjang Selangor Kini membuat liputan semasa MATC Kota Raja berlangsung, sesekali bau busuk masih lagi terdapat walaupun kekotoran telur busuk sudah dibersihkan.

Selain itu beberapa petugas juga didapati menyembur penyegar udara bagi mengatasi bau busuk telur terbabit.

EZY