Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Mangsa kedua warga emas disahkan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Polis mengesahkan mangsa kedua wanita warga emas yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, di sini, meninggal dunia malam ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata warga tempatan berusia 80-an itu berjaya dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat pada 9.15 malam tadi.

Beliau berkata mayat wanita itu ditemukan di dalam rumahnya dan telah dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat.

Mohamad Farouk berkata wanita itu dipercayai isteri kepada mangsa pertama berusia 84 tahun yang terselamat dan cedera ringan dalam kejadian tersebut.

“Ketika ini, tiga lagi mangsa lelaki dikhuatiri tertimbus dengan seorang daripada mereka merupakan pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

“Selain itu, kesemua penduduk di taman berkenaan kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Taman Mega Jaya, di sini sebagai langkah keselamatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Mohamad Farouk berkata penduduk boleh memilih sama ada menginap di PPS, hotel atau rumah ahli keluarga yang lain.

Katanya, setakat ini terdapat 15 rumah yang terjejas dan hanya dua rumah yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.

“Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada kawasan ini benar-benar selamat atau sebaliknya. Kerja-kerja penilaian (tanah) sedang dijalankan pihak Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa akan diteruskan malam ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis pula berkata setakat ini pihaknya sedang meneliti pergerakan tanah.

“Bomba bersama pejabat daerah akan memantau pergerakan tanah jika terdapat runtuhan lagi namun ia bergantung kepada faktor cuaca,” katanya.

Sementara itu, mangsa ketiga insiden tanah runtuh itu berjaya dibawa keluar pada kira-kira pukul 11 malam dan disahkan telah meninggal dunia.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Punca kematian dua beradik makan sisa sampah diketahui selepas proses analisis

ALOR SETAR, 15 FEB: Punca kematian dua beradik warga Myanmar yang maut selepas dipercayai memakan sisa makanan daripada tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi, Ahad lepas akan diketahui selepas proses analisis lanjut selesai.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata proses bedah siasat telah dijalankan ke atas mayat Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bermula pukul 10 pagi hingga 3.15 petang hari ini.

“Punca kematian sebenar masih belum dapat dipastikan lagi dan sedang menunggu analisis lanjut. Polis akan merujuk kepada Jabatan Kimia Malaysia di Pulau Pinang untuk sebarang hasil analisis berkaitan kematian dua beradik ini.

“Siasatan masih berjalan dan polis terpaksa menggunakan jurubahasa terhadap bapa kedua-dua mangsa yang tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Ahad, dua beradik itu ditemukan dalam keadaan terhuyung-hayang oleh bapa mereka yang berumur 36 tahun pada pukul 5.30 petang di kawasan tong sampah sebelum maut beberapa minit kemudian.

Bapa kepada dua kanak-kanak itu telah ditahan pada pukul 12.05 tengah malam, semalam dan kini sedang direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

44.4 peratus individu terima dos penggalak, 16 kematian Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Seramai 160,310 individu dewasa di Malaysia menerima dos penggalak vaksin Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif dos penggalak diberikan kepada populasi berkenaan sebanyak 10,399,699 atau 44.4 peratus.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, seramai 22,914,736 individu atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa lengkap menerima vaksinasi manakala 23,192,052 individu atau 99.1 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,779,564 individu atau 88.3 peratus melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,863,594 individu atau 91 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Statistik harian menunjukkan sejumlah 163,942 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 1,368 dos pertama dan 2,264 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,946,138 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 16 kematian Covid-19 dilaporkan semalam dengan Selangor merekodkan empat kes, diikuti Sabah dengan tiga kes, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala di Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur serta Perak masing-masing satu kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan MBSJ bantu mangsa banjir sakit jantung sebelum meninggal dunia

PETALING JAYA, 11 JAN: Kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang meninggal dunia ketika membantu mangsa banjir pada 5 Januari lalu sentiasa mengutamakan insan kurang bernasib baik.

Isterinya, Noradilah Abd Kadir, 36, berkata sebelum kejadian Mohd Ikram Bakri ada mengadu penat namun tetap mahu membantu membersihkan rumah mangsa terjejas banjir di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya.

Noradilah Abd Kadir, sebak selepas menerima sumbangan daripada Dato’ Menteri besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Taman Indah Jaya Petaling Jaya pada 11 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dia tetap mahu ke sana kerana sudah berjanji, jam 12 tengah hari saya dapat panggilan suami pengsan dan dibawa ke sebuah hospital swasta di Puchong.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, suami sempat memegang perut saya (mengandung tujuh bulan anak pertama) dan berpesan supaya jaga anak kami dengan baik,” katanya sebak mengenangkan saat-saat akhir bersama Allahyarham.

Noradilah menjelaskan arwah suaminya juga suka bersedekah dan membantu golongan susah sepanjang hayatnya.

Mohd Ikram, 39, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika membersihkan kediaman terjejas banjir di Kampung Bukit Lanchong.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada Noradilah di Taman Indah Jaya di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni Noradilah Abd Kadir di Taman Indah Jaya Petaling Jaya pada 11 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Tambah Noradilah, Allahyarham cukup teruja apabila mengetahui mereka bakal menimang anak pertama selepas mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun malah sudah memilih nama anak.

“Kami dijangka dapat anak lelaki dan suami mahu memberi nama Muhammad Zayne Rafael, sayangnya dia tidak dapat menatap wajah anak kami.

“Saya akan memegang amanah suami supaya menjaga anak kami ini dengan sebaiknya,” katanya yang berterima kasih dengan sumbangan diberikan Kerajaan Negeri kepada keluarganya.

Categories
AGENDA NASIONAL

11 kematian akibat Covid-19, terendah sejak April 2021

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Sebanyak 11 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam, angka terendah sejak 25 April tahun lepas yang mencatatkan 10 kematian.

Menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu enam kes, manakala Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu masing-masing merekodkan satu kematian.

Berdasarkan data KKM melalui laman COVIDNOW, sejumlah 31,655 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negara ini sehingga semalam.

Dalam pada itu, 22,879,927 individu atau 97.7 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, sementara 98.9 peratus atau 23,165,398 individu daripada golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, setakat 11.59 malam tadi.

Sebanyak 2,765,273 individu atau 87.9 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula melengkapkan vaksinasi, manakala 2,855,876 individu atau 90.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan 124,994 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 1,241 dos pertama, 1,086 dos lengkap dan 122,667 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 59,161,467 dos dengan 7,696,037 daripadanya adalah dos penggalak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: 48 korban banjir di tiga negeri, 25 kematian di Selangor

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Seramai 48 orang menjadi mangsa korban banjir di seluruh negara setakat ini, manakala lima masih hilang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala di Pahang seramai 20 dan Kelantan tiga mangsa.

“Mangsa di Selangor melibatkan 17 lelaki dan lapan wanita manakala di Pahang melibatkan 14 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu mangsa di Kelantan melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua lagi korban banjir ditemui di Sri Muda babit dua beranak

SHAH ALAM, 22 DIS: Dua lagi kematian direkodkan di kawasan banjir Taman Sri Muda menjadikan jumlah keseluruhan 14 korban mangsa banjir ditemukan dengan lapan daripadanya adalah lelaki dan baki enam wanita, setakat 6 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata dua mangsa terbaharu itu merupakan dua beranak warga tempatan iaitu seorang bapa berusia 78 tahun dan anak perempuannya berusia 48 tahun yang ditemukan di sebuah rumah teres satu tingkat pada 1.40 tengah hari tadi.

“Kita mendapat makluman tentang dua beranak ini daripada keluarga terdekat susulan mereka ini tidak dapat dihubungi sejak banjir melanda. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian 1 (PKTK 1) Taman Sri Muda, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata seramai 4,276 mangsa banjir berjaya diselamatkan dengan 4,080 mangsa dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS) manakala selebihnya memilih untuk berpindah ke rumah saudara dan sebagainya.

Mengulas mengenai perkembangan insiden pecah masuk kedai serbaneka baru-baru ini, beliau berkata sebanyak 10 laporan diterima membabitkan ke pecah masuk kedai serbaneka, kedai perkakasan serta sebuah restoran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

12 ditemukan mati di Sri Muda, empat belum dikenal pasti

SHAH ALAM, 21 DIS: Empat lagi kematian dicatatkan di kawasan banjir Taman Sri Muda hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang ditemukan setakat ini adalah 12 terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita setakat 7 malam ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan hari ini berkata identiti empat mangsa itu, masing-masing dua lelaki dan dua wanita belum dikenal pasti.

“Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata seramai 31 orang ditahan susulan insiden pecah dan ceroboh kedai serbaneka di kawasan Taman Sri Muda, semalam.

Beliau berkata mereka terdiri daripada 10 rakyat Indonesia, tujuh Bangladesh, sembilan Nepal dan lima Myanmar dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“IPD Shah Alam juga meletakkan elemen pencegahan jenayah di semua kawasan yang terjejas banjir dan polis menyeru serta menasihati orang ramai di kawasan yang terjejas banjir agar tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, dua Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) disediakan iaitu PKTK 1 di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan PKTK 2, Taman Kemuning Utama, Seksyen 33 di sini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri rakam ucapan takziah kematian lapan mangsa banjir

SHAH ALAM, 20 DIS:  Kerajaan Selangor merakam ucapan takziah kepada semua ahli keluarga dan waris yang lemas dalam kejadian banjir luar biasa di negeri ini.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata banjir mengorbankan lapan nyawa iaitu empat orang di Shah Alam, Kajang (tiga) dan Sungai Buloh (satu), lapor Bernama.

Beliau berkata banjir itu turut menjejaskan empat balai polis bawah kontinjen Selangor serta kediaman melibatkan 3,330 anggota dan pegawai pasukan itu.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis pula menjelaskan satu mayat lelaki ditemukan pada Sabtu manakala dua lagi mayat lelaki ditemukan di Taman Sri Muda semalam.

“Ketiga-tiga mangsa ditemukan di dalam air banjir manakala mayat seorang wanita dipercayai warga Indonesia, ditemukan di sebuah rumah di bahagian tingkat atas awal pagi semalam di taman tersebut,” katanya.

Beliau berkata dua lagi mayat lelaki ditemukan di Dengkil hari ini dan seorang mayat pemandu lori lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kes jangkitan JE babit kematian di daerah Kota Setar

ALOR SETAR, 29 NOV: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan terdapat dua kes jangkitan “Japanese Encephalitis” (JE) dikesan di Daerah Kota Setar dengan kedua-dua kes itu melibatkan kematian.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata kes pertama dilaporkan pada 18 Nov lepas kemudian diikuti dengan kes kedua pada Khamis lepas (25 Nov) sekali gus jabatan itu mengisytiharkan wabak berkenaan di daerah terbabit pada hari sama.

Sehubungan itu, beliau berkata jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di negeri ini setakat Khamis lepas ialah 10 kes melibatkan tiga kematian daripada lapan kes pada tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus.

“Aktiviti kawalan wabak telah dilaksanakan serta-merta. Antara tindakan kawalan yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan Jabatan Kesihatan Negeri ialah kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvaciding (menghapuskan larva nyamuk) di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko di lokaliti wabak.

“Selain itu, kajian entomologi oleh Pegawai Sains Kaji Serangga di lokaliti wabak dan pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Othman berkata masyarakat dinasihatkan untuk membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing serta mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan muntah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kematian akibat Covid-19 meningkat di Terengganu dalam dua minggu

KUALA TERENGGANU, 24 NOV: Sebanyak 74 kes kematian direkodkan akibat Covid-19 sejak dua minggu lepas di Terengganu, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong.

Beliau berkata trend peningkatan itu agak membimbangkan dengan lapan kematian direkodkan pada 18 Nov, sembilan kematian pada 15 Nov dan 17 Nov manakala kematian tertinggi dilaporkan pada 20 Nov iaitu sebanyak 12 kes.

“Peningkatan kes kematian ini berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor seperti kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (melebihi dua), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit berumur lebih 50 tahun

“Contoh komorbid adalah seperti diabetes, penyakit jantung, obesiti dan tekanan darah tinggi yang meningkatkan risiko seseorang itu mudah dijangkiti dan mendapat gejala serius,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Terengganu hingga semalam ialah 558 kes manakala jumlah kumulatif kes Covid-19 pula sebanyak 75,051.

Kematian tertinggi direkodkan di daerah Kuala Terengganu dengan 118 kes diikuti Besut (105), Kemaman (92), Dungun (91), Marang (54), Kuala Nerus (52), Setiu (27) dan Hulu Terengganu (19) sejak bermula pandemik Covid-19.

Setakat ini, terdapat 4,297 kes aktif di seluruh Terengganu dan sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kematian dapat dikait secara langsung dengan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Tiada kes kematian dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19 yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Feb sehingga 20 Nov lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata ia hasil penilaian kasualti melalui post mortem walaupun terdapat 535 laporan melibatkan kes kematian dalam kalangan penerima vaksin dalam tempoh itu.

“Semua kes yang dikategorikan sebagai serius termasuk kes kematian akan disiasat dengan menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan yang berkenaan.

“Laporan penyiasatan ini kemudiannya diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK) untuk penilaian kasualti atau hubung kait antara kesan sampingan dan vaksin,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) mengenai hasil pemantauan Kementerian Kesihatan terhadap penerima vaksin Covid-19 termasuk kes kematian dan kesan negatif yang dikaitkan secara langsung kepada pemberian vaksin.

Aaron berkata sepanjang tempoh itu, sistem pelaporan Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima 23,163 laporan kes advers susulan imunisasi vaksin iaitu 0.45 laporan bagi 1,000 dos yang diberikan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 93.3 peratus daripada laporan kes melibatkan kesan sampingan ringan dan sederhana seperti sakit di tempat suntikan, demam, pening dan keletihan.

“Daripada jumlah ini, hanya 1,549 laporan dikategorikan sebagai serius iaitu bersamaan 0.03 laporan bagi setiap 1,000 dos yang diberikan, dan mereka ini dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan rawatan lanjut bagi beberapa hari,” katanya.

Timbalan menteri itu turut memaklumkan sepanjang tempoh sama, sejumlah 51,842,386 dos vaksin Covid-19 melibatkan vaksin Pfizer, AstraZeneca, Sinovac, CanSino dan Sinopharm telah diberikan.

-BERNAMA