Categories
AGENDA NASIONAL

Pameran Matta diadakan semula selepas dua tahun tidak dianjurkan

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair), yang merupakan pameran pelancongan terbesar di Malaysia, kembali menemui orang ramai pada 20 dan 21 Nov ini selepas dua tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik Covid-19.

Edisi terakhir MATTA Fair diadakan pada September 2019.

Setiausaha Agung Kehormat MATTA Nigel Wong berkata pihaknya teruja dengan pembukaan sektor pelancongan domestik bagi membantu melonjakkan ekonomi dan pameran itu antara usaha membantu merancakkan semula industri berkenaan.

“Pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu, akan disertai oleh pelbagai organisasi pelancongan antarabangsa antaranya dari Korea, Taiwan, Filipina, Jepun, Turki dan Uganda bagi mempromosikan pasaran mereka kepada pelancongan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Neng dalam satu kenyataan berkata MATTA Fair edisi ke- 49 akan diadakan pada skala lebih kecil di Dewan 3 dan 4 WTC.

“Dewan 4 dikenali sebagai Dewan Malaysia, yang menempatkan hampir semua organisasi pelancongan negeri serta produk pengembaraan dan pelancongan domestik manakala kebanyakan pemain pelancongan antarabangsa di Dewan 3,” katanya.

Phua berkata pameran tersebut mendapat sokongan padu daripada organisasi pelancongan negeri seperti Sabah, Terengganu, Sarawak, Pahang, Selangor, Johor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

Menurutnya selepas 21 bulan sekatan pergerakan dan tiada aktiviti perniagaan dalam industri pengembaraan dan pelancongan, MATTA Fair menjadi penunjuk penting kepada orang awam bahawa industri pelancongan sudah kembali dan secara perlahan-lahan akan dirancakkan dengan aktiviti pelancong domestik, selain antarabangsa tidak lama lagi susulan pembukaan semula sempadan, dengan protokol perjalanan yang selamat.

Katanya bagi pameran kali ini, MATTA telah bekerjasama dengan Legoland sebagai Rakan Taman Tema dan syarikat aplikasi pengangkutan e-hailing, GOJO.

Beliau menggeja pengunjung agar tidak membawa kanak-kanak sepertimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pameran selama dua hari itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 8 malam dan masuk adalah percuma,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy berkata Legoland akan menawarkan pengunjung MATTA Fair diskaun eksklusif dan beberapa pakej percutian mesra keluarga terbaik.

“Tahun ini, pengunjung yang membeli lebih daripada tiga Pas Triple Park di pameran tersebut layak menerima Set Kereta Api Legoland eksklusif secara percuma, manakala pelanggan yang membeli lebih daripada lima Pas Triple Park akan menerima tambahan Set Istana Legoland eksklusif,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelembung pelancongan bersasar mampu bantu industri pulih berperingkat

MELAKA, 10 MAC: Kebenaran aktiviti pelancongan rentas antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini menerusi program Gelembung Pelancongan Bersasar, dijangka mampu memulihkan kembali sektor berkenaan secara berperingkat.

Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Melaka Goh Hock Gin berkata beliau yakin langkah itu mampu mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan pelancong.

Beliau berkata keputusan itu sekurang-kurangnya merupakan permulaan baik yang dilaksanakan kerajaan yang disifatkannya bukan sahaja boleh mengawal pergerakan pelancong, malah mampu membantu mengesan pelancong terlibat sekiranya jangkitan Covid-19 dikesan berlaku dalam kalangan mereka.

“Pemain industri dan pelancong perlu akur dengan syarat-syarat yang ditetapkan kerana keputusan yang dibuat perlu mengambil kira tentang penularan Covid-19 kerana kita tidak mahu ada jangkitan baharu melibatkan kluster pelancongan sekali gus menyebabkan pelaksanaan PKP 3.0,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya penduduk dari negeri PKPP yang ingin melancong ke Melaka boleh mendapatkan khidmat ejen pelancongan di bawah Matta yang kesemuanya berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Goh berkata sehingga hari ini, 80 ejen pelancongan berdaftar di bawah Matta Melaka serta MOTAC, dan pelbagai pakej pelancongan menarik ditawarkan kepada pelancong.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancong Melaka, Madelina W.L Kuah berkata syarat yang dikenakan kepada pelancong dari negeri PKPP yang ingin melancong ke negeri PKPP lain dilihat agak membebankan terutama dari segi kos kerana mereka perlu melancong menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Beliau berkata selain itu, pergerakan pelancong juga agak terhad berbanding sekiranya mereka dibenarkan melancong dengan menaiki kenderaan sendiri.

“Pelancong yang menggunakan khidmat ejen perlu menaiki bas persiaran atau kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC selain mengikut jadual perjalanan serta tempat pelancongan yang telah ditetapkan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah PKPP ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, namun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah MOTAC.

Setakat ini tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini selain Pulau Langkawi diisytihar sebagai zon PKPP mulai hari ini walaupun Kedah masih di bawah PKPB.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Langkah proaktif diperlukan selamatkan industri pelancongan – Matta

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan untuk proaktif dan merangka pelan menyelamat bersasar dan dipertingkat bagi ejen pelancongan dan pengembaraan susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dan unjuran suram industri pelancongan tahun ini.

Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang berkata perniagaan pelancongan ketika ini berada dalam keadaan tertekan akibat persekitaran perniagaan sangat rapuh dan tidak menentu yang dijangkakan berterusan sehingga lewat 2021.

“Ejen pelancongan dan pengembaraan bergelut dengan penurunan pendapatan dan masalah mudah tunai sejak bermulanya pandemik Covid-19 dan usaha kerajaan tidak membawa sebarang impak ketara pada segmen industri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan berkata ejen pelancongan dan pengembaraan penting kepada ekonomi Malaysia memandangkan majoriti daripada perniagaan ini memberi sumbangan besar kepada kemasukan pengembara ke Malaysia untuk melancong atau urusan perniagaan.

Katanya banyak agensi menyediakan perkhidmatan logistik penting serta mengekalkan bas-bas mereka serta kenderaan pelancongan lain yang penting bagi infrastruktur pelancongan negara ini.

“Pelancongan memainkan peranan penting dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan merupakan penyumbang ketiga terbesar pada tahun-tahun sebelumnya,” kata Tan.

Matta turut menggesa perniagaan pelancongan untuk bersatu dan bergabung. Menurut Tan, lebih 5,000 syarikat pelancongan ketika ini berada dalam keadaan yang sangat getir dan kerajaan perlu memulakan program pemulihan kerana keadaan akan bertambah buruk.

Katanya, membenarkan ejen pelancongan menutup premis perniagaan dan beroperasi dari rumah dan pembatalan program mandatori Kursus Peningkatan Pelancongan dan Pengembaraan (TTEC) bagi syarikat pelancongan adalah sokongan yang baik kepada mereka.

Tan berkata ia kini bukan lagi ‘perniagaan berjalan seperti biasa’ akibat pandemik Covid-19 dan Mattta menggesa pelbagai agensi kerajaan membuat perubahan dasar dengan segera bagi mengurangkan beban kewangan industri yang paling terjejas teruk di Malaysia itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Matta: Pakej Rangsangan Ekonomi bantu tingkat pelancongan domestik

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad semalam akan membantu meningkatkan pasaran pelancongan domestik negara.

Timbalan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Mohd Akil Mohd Yusof berkata pakej itu akan membantu hotel di seluruh negara yang berdepan penurunan kadar penginapan berikutan penularan jangkitan Covid-19.

“Kami gembira kerana hampir semua perkara yang kami minta dan kemukakan diluluskan. Kami berharap ahli MATTA akan mengambil sepenuhnya peluang dana dan inisiatif (yang disediakan) untuk manfaat mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Dr Mahathir menggariskan tiga strategi iaitu menangani impak Covid-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Beberapa rancangan juga disediakan bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berada pada landasan betul untuk mengekalkan pertumbuhan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Matta komited bantu kerajaan kekang koronavirus

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) komited menyokong usaha kerajaan mengekang penularan koronavirus 2019 serta mencari langkah pencegahan untuk mengurangkan kerugian yang dialami industri pelancongan, kata presidennya.

Datuk Tan Kok Liang berkata dalam beberapa mesyuarat yang diadakan, Matta mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Kesihatan berhubung cabaran dihadapi industri dan langkah untuk membantu industri pelancongan negara menghadapi cabaran ini.

Katanya, Matta mencadangkan langkah pencegahan masa hadapan termasuk persiapan mempromosikan Malaysia sebaik sahaja pelancong China selamat untuk mengembara dan memanfaatkan kuasa data raya melaksanakan strategi pintar yang boleh digunakan serta-merta bagi memastikan industri terus kukuh.

“Kami memuji tindakan tegas kerajaan China dalam mengekang wabak menerusi larangan perjalanan. Kami juga menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia dalam mengawal ancaman dan langkah yang dilaksanakan.

“Jumlah pelancong China yang mengunjungi negara lain, termasuk Malaysia semakin berkurangan dan mereka yang masuk ke China, namun untuk tempat-tempat lain di seluruh dunia termasuk rantau ini seperti biasa,” katanya dalam kenyataan itu.

Kok Liang berkata industri pelancongan pasti terjejas susulan kurangnya bilangan pelancong dari China, yang merupakan pasaran luar negara terbesar di dunia tetapi Malaysia terbukti mudah pulih seperti ketika berhadapan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS) pada 2012.

Sementara itu, Matta juga menggesa hotel, syarikat penerbangan, pengendali pelancongan dan penyedia perkhidmatan lain supaya lebih fleksibel terhadap polisi pembatalan.

Kenyataan itu juga menyebut, Matta kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan pelancong serta pengendali pelancongan, yang penting kerana nyawa manusia menjadi keutamaan.

Ia juga menyatakan hotel tempatan dan pengendali bas pelancongan perlu meningkatkan tahap kebersihan dan pemandu pelancong pula perlu sentiasa berwaspada jika terdapat simptom penyakit itu.

“Kita juga perlu melayani pelancong China yang kini berada di negara ini dengan baik dan membantu mereka setakat yang mampu.

“Mereka adalah tetamu kita dan layanan yang kita beri akan mengukuhkan imej Malaysia sebagai rakan kongsi pelancongan jangka masa panjang yang boleh dipercayai bukan sahaja kepada warga China tetapi juga kepada negara-negara lain di seluruh dunia,” kata Setiausaha Agung Kehormat Matta Nigel Wong.

Matta bagaimanapun yakin terhadap persediaan dan kesediaan kerajaan Malaysia dalam menangani krisis ini dan mengulangi bahawa Malaysia selamat untuk pelancong.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Matta: China gantung perjalanan gugat pelancongan seluruh dunia

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Halangan perjalanan oleh kerajaan China ke atas Wuhan dan tujuh bandar raya lain di negara itu susulan wabak koronavirus memberi kesan buruk kepada Malaysia, kata Datuk Tan Kok Liang.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) berkata langkah China  akan menjejaskan industri pelancongan di negara ini, lapor New Straits Times.

“Matta berharap situasi itu hanya untuk tempoh yang singkat. Jika tidak, kesannya akan teruk kerana menjejaskan industri pelancongan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global,” katanya.

Setakat ini, China mengesahkan angka korban susulan wabak itu meningkat kepada 80 orang dengan 769 kes baharu dikesan.

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Sasar 7.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 31 JUL: Selangor mensasarkan kira-kira 7.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu, kata EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Katanya, pada suku pertama tahun ini berlaku penambahan jumlah kemasukan pelancong sebanyak 12 peratus dan ia turut berlaku bagi tempoh sama, tahun lalu.

“Kerajaan Negeri akan menambah pelbagai inisiatif dan strategi baru untuk menggalakkan pelancongan domestik termasuk menganjurkan aktiviti menarik bagi membolehkan pelancong tinggal lebih lama, di Selangor.

“Salah satunya ialah mengadakan lebih banyak aktiviti perkongsian budaya dan tradisi antara masyarakat bersama pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Karnival Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Selangor (MATTA Fair Selangor), di Serdang, pada 28 Julai lalu.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengerusi MATTA Selangor, Datuk Syed Abdul Rahman Al Habshi.

Syed Abdul Rahman berkata, MATTA Fair Selangor berperanan sebagai landasan kepada usahawan pelancongan di negeri itu untuk meningkatkan pendapatan selain memperkenalkan produk peniagaan kepada pengunjung yang hadir.

“Karnival ini juga amat penting memandangkan sektor pelancongan adalah penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri ini.

“Malah, MATTA berharap supaya terus dapat mempromosikan Selangor dengan mengadakan karnival sama, pada tahun hadapan,” katanya.

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Karnival MATTA Selangor 2018 sasar 60,000 pengunjung

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JUL: MATTA Fair – Selangor Carnival 2018 (MFSC 2018) yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 Julai ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 60,000 pengunjung.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program yang diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang itu berkonsepkan karnival dengan penyertaan kira-kira 150 gerai.

“Selangor yang menjadi pusat tarikan ekonomi dan perindustrian, kita juga ada aset pelancongan sangat baik seperti Sky Mirror sekelas seperti di Bolivia, kelip-kelip yang hanya boleh didapati di hutan Amazon yang memerlukan pendakian berminggu-minggu di samping banyak lagi tarikan seperti Batu Caves dan juga kawasan lain.

“Diharap penganjuran MATTA Fair Selangor ini meningkatkan lagi pelancongan di Selangor sebagai pintu masuk utama ke Malaysia di mana ini merupakan satu kelebihan yang turut memberi pulangan baik kepada masyarakat dan operator,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diberikan taklimat berhubung penganjuran itu oleh pihak MATTA Selangor dan Tourism Selangor.

Amirudin berkata, turut diadakan pada karnival itu nanti, penampilan Miss Universe Japan, persembahan Ella dan Aiman Tino.

Ketika menyentuh isu kekurangan hotel di Utara Selangor, Amirudin memberitahu perbincangan sedang dijalankan dengan pihak PKNS untuk menambah bilik hotel milik PKNS di kawasan terbabit.

“Saya sedang bincang dengan pihak PKNS sebab kita ada hotel di Kuala Selangor yang dibina oleh PKNS tetapi masih banyak ruang, mungkin kita boleh fikirkan untuk menambah bilik bagi menampung kehendak pemasaran,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

Karnival MATTA di Selangor Julai depan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JUN: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Selangor akan memperkenalkan Karnival MATTA (MATTA Fair) di Selangor bermula Julai depan.

Pengerusi MATTA Selangor, Datuk Syed Abdul Rahman Al Habshi berkata, ia adalah pertama kali karnival seumpama itu diadakan di Selangor selepas menyaksikan kejayaannya di Kuala Lumpur.

Katanya, terdapat 40 agensi pelancongan serta organisasi pelancongan negeri akan menyertai acara yang diadakan selama tiga hari berturut-turut di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang ini.

“MATTA Selangor akan mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan di Selangor termasuk negeri-negeri lain dalam Malaysia,” katanya dalam sidang media di MAEPS, Serdang.

Beliau berkata, beberapa syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines (MAS), Firefly, Air France, Turkish Airlines dan Thai Airways akan menawarkan pakej menarik ke pelbagai destinasi.

Katanya, MAEPS dilihat sebagai lokasi strategik memandangkan kedudukannya mudah diakses oleh pengunjung dari Lembah Klang, sekitar Selangor dan Negeri Sembilan melalui perkhidmatan stesen Komuter Serdang KTM dan ERL Stesen Putrajaya.

“Matta Fair Selangor adalah medium utama bagi mempromosikan pelancongan negeri, selaras dengan matlamatnya untuk meningkatkan ketibaan pelancong domestik dan dari luar negara.

“Selangor mempunyai banyak anugerah alam yang tidak ‘disedari’ oleh rakyatnya, sedangkan ia menjadi daya penarik pelancong asing dari negara luar terutamanya Eropah dan Jepun untuk berkunjung ke tempat menarik di Selangor,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman facebook MATTA Selangor atau instagram @matta_selangor.