Categories
BERITA UTAMA BUDAYA RENCANA

Aneka motif alam Melayu hiasi estetika masjid

Elemen flora banyak terpancar dalam reka bentuk dan seni ukiran pelbagai premis termasuk masjid di negeri ini.

Sekalipun ada pengaruh luar tetapi motif alam Melayu kekal menghiasi rekaan rumah ibadat itu yang banyak didirikan sejak Islam tersebar ke Selangor pada abad ke-15.

Aneka motif kerawang, gaya bumbung bertingkat limas dan sisip angin antara ciri-ciri yang menambahkan lagi keindahan masjid.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pada 19 Oktober, jurufoto Ahmad Zakki Jilan, Remy Arifin dan Fikri Yusof merakam keunikan seni ukir lapan masjid. Wartawan Nadiah Zamlus menjelaskan estetika ukiran itu berdasarkan buku Warisan Masjid-Masjid Lama di Selangor tulisan Mohd Zainudin Abdullah dan Noorhayati Md Yatim

Motif gabungan kerawang bunga kerak nasi dan bunga pepulut menghiasi siling Masjid Diraja Sultan Ala’eddin di Kampung Bandar, Kuala Langat. Kerawang itu juga dihias mengelilingi kaligrafi dua kalimah syahadah yang terserlah dengan warna keemasan.

Pandangan dalam ruang mihrab Masjid Lama Panchang Bedena, Sabak Bernam dilengkapi sisip angin dengan hiasan pola bujang dan kerawang geometri bagi menyejukkan bahagian dalam rumah ibadat itu. Dibina pada 1905, masjid tertua

Pola hias berupa ukiran corak geometri asas dalam seni Islam menghiasi dinding Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Corak ini menjadi pilihan hiasan kebanyakan masjid baharu

Mimbar Masjid Inayaturrahman Kampung Batu Laut diukir dengan teknik tebuk tembus dan dihiasi motif tradisi berupa awan larat. Mimbar itu diperbuat dari kayu jati yang ditempah dari Jepara, Jawa pada 2000

Dibina pada 1917, Masjid Inayaturrahman Kampung Batu Laut, Kuala Langat ada dua reka bentuk kubah iaitu kubah potong bawang di atas bumbung ruang utama manakala kubah payung untuk menara azan

Motif pola bujang pada cucur atap Masjid Syiekh Ismail di Hulu Bernam, Hulu Selangor menampilkan ukiran teknik tebuk tembus. Susunan palang-palang kayu pula sebagai sisip angin yang direka bentuk seakan-akan rumah tradisi

Jata Kerajaan Selangor di puncak Masjid An-Nur Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam yang dibina pada 1949. Penyangganya diukir motif kerawang awan larat manakala bumbung limas pula dihiasi ukiran cucur atap pola bujang dengan teknik tebuk tembus

Bumbung Masjid Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam dibina bertingkat limas hasil pengaruh dari Jawa, Indonesia. Ukiran tebuk tembus motif pola bujang menghiasi bahagian cucur atap

Berciri seni bina Moor hasil cetusan arkitek British Leofric Kesteven, Masjid Diraja Sultan Suleiman disenarai sebagai Warisan Negara. Ia dibina pada 11 September 1932 sempena pengisytiharan Klang sebagai bandar diraja Selangor

Ukiran tebuk tembus berbentuk geometri dengan corak bunga berulang menghiasi keliling bangunan Masjid Kampung Tebuk Mufrad. Asalnya surau yang dibina menggunakan batang pokok nibung pada 1935, ia dibesarkan hingga mampu memuatkan 1,000 jemaah

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan seru segar kembali penghayatan perjalanan hidup Rasulullah

SHAH ALAM, 18 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru semua umat Islam agar menyegarkan kembali penghayatan terhadap sejarah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar umat Islam meneladani nilai murni peribadi Rasulullah dan mengikuti segala sunnah dan ajaran Baginda.

“Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1443 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Negeri Selangor.

“Sempena hari bersejarah ini, Baginda menyeru semua umat Islam agar menyegarkan kembali penghayatan terhadap sejarah perjalanan hidup Rasulullah, meneladani nilai-nilai murni peribadi Baginda dan mengikuti segala sunnah dan ajaran Baginda,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Tuanku Sultan turut menyeru seluruh umat Islam memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad dan agar semua beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak.

Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan: Hayati al-Quran dan Sunnah, contohi akhlak Rasulullah

SHAH ALAM, 29 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam supaya terus menghayati dan menghidupkan dua peninggalan Rasulullah S.A.W. iaitu al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan harian.

Baginda bertitah Rasullah S.A.W. adalah seorang insan mulia dan agung, anugerah Allah kepada umat manusia yang mengajar tentang persaudaraan, akhlak mulia serta erti kehidupan sebenar.

“Baginda Sultan bertitah agar sekalian rakyat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sepertimana yang diajar dan dibimbing oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor di perkarangan
Raudhah dan makam Rasulullah S.A.W. di Masjid Nabawi, Madinah ketika Baginda berdua menunaikan umrah pada bulan Oktober 2018. Foto: Facebook Royal Selangor Office

“Di hari yang mulia ini, Sultan Selangor mengambil kesempatan menyeru agar akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W. di dalam menyatupadukan umat dijadikan contoh oleh ahli-ahli politik supaya bersatu padu dan menyokong penuh usaha kerajaan sedia ada di dalam usaha mengatasi masalah penularan wabak Covid-19,” titah baginda dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1422H hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan baginda mahu ahli politik bersatu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan rakyat terus hidup aman damai, makmur dan harmoni di saat menghadapi kemelut Covid-19.

Titah baginda lagi, perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan adalah amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan serta mendaulatkan negara.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Hayati sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar sambutan

SHAH ALAM, 29 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam untuk memaknai sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dengan penuh tawadhuk dan keimanan yang mendalam supaya Maulidur Rasul tidak menjadi sekadar sambutan semata-mata.

Presiden KEADILAN berkata akhlak mulia dan falsafah besar yang dibawa Baginda wajar dijadikan panutan dan teladan buat umat manusia.

“Peringatan Maulud seharusnya menggugah nurani kita untuk sentiasa waspada akan tahap iman dan akidah yang mesti mantap dan teguh.

“Bertitik tolak dari ini, umat Islam mesti mempunyai kefahaman yang benar dan penghayatan yang mendalam bahawa sosok Rasulullah SAW adalah sosok perubahan dan misi Baginda itu ialah misi transformatif yang sentiasa mengembleng umat untuk menuntut keadilan dan perubahan,” kata ketua pembangkang yang turut memetik ayat ke-21 dalam surah Al-Ahzab dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan risalah pembaharuan juga bermaksud sentiasa teguh menentang segala bentuk kebobrokan, tegas melawan kezaliman dan memperkukuh benteng akidah.

Anwar berkata semua pihak perlu kekal bersemangat dan tidak berputus asa di saat menghadapi wabak Covid-19 ketika ini.

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Agong zahir ucapan Maulidur Rasul, perbanyakkan selawat

KUALA LUMPUR 29 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Islam.

Ucapan itu dimuat naik menerusi hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

“Rasulullah merupakan pemimpin terbaik sepanjang zaman yang patut dicontohi setiap umat Islam. Marilah kita bersama mencontohi sikap dan sunnah Rasulullah dalam kehidupan harian kita.

“Marilah kita juga bersama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW. Semoga kita beroleh syafaat dari Baginda di padang Mahsyar kelak,” menurut tulisan tersebut.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

MB: Mensyukuri nikmat dalam musibah

Perutusan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Maulidur Rasul

Tatanan dunia tergoncang

Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amat menakjubkan urusan seorang mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith: 2999)

Sabda Rasulullah SAW yang memberi pedoman kepada manusia, khususnya umat Islam, dalam kita dilanda musibah dan bagaimana manifestasi keimanan dalam menghadapi dugaan daripada Allah SWT.

Umat Islam seharusnya menghayati hakikat keimanan dan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat, kebaikan dan kesenangan yang diperoleh dan sabar dalam menghadapi kesukaran, kepayahan dan kesusahan. Justeru, kesabaran umat dalam menghadapi ujian demikian akan menjadi kebaikan dan kemuliaan serta akan diangkat darjatnya di sisi Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW adalah rasul akhir zaman yang meninggalkan kita dengan segala pedoman hidup dalam segala situasi. Sesungguhnya santun akhlaknya daripada warisan al-Quran dan hadis menjadi cahaya kehidupan kita hingga ke akhir zaman.

Hari ini, seluruh umat Islam wajar memunajat kesyukuran ke hadrat Allah SWT lantaran rahmat terbesar kepada umat dengan anugerah kelahiran seorang Rasul yang membuka gapura kebenaran lalu menutup pintu kesesatan dalam perjalanan hidup di atas muka bumi ini.
Peristiwa keputeraan baginda adalah sejarah maha agung merentasi zaman dan perlu dihayati dengan kegembiraan di seluruh pelusuk benua.

Pada 12 Rabiul Awal, tarikh keramat kelahiran baginda ditunggu-tunggu umat yang beriman dengan kerasulan baginda. Kesantunan dan nilai murni yang tiada tara menzahirkan kekaguman umat kepada baginda.

Kemuliaan akhlak baginda tidak terperi indahnya, bukan sekadar meneladani para sahabat, malah meluluhkan hati musuh. Agung nama baginda menjadi selawat dan salam yang menghiasai segala yang ada di bumi dan langit tanpa pernah ada noktah.

Suri teladan umat

Muhammad bin Abdullah, junjungan besar dan susuk tersohor dalam lipatan sejarah serta menjadi suri teladan umat Islam khususnya hingga hari ini tanpa ada galang gantinya. Rasul ulul azmi ini dibidankan dalam suasana yang penuh getir menggerunkan, dengan ancaman perang dari pasukan bergajah Abrahah al-Asyram serta membesar dalam kepayahan yang luar biasa sepenuhnya tanpa asuhan seorang ayah dan sebahagian besarnya tanpa kasih sayang seorang ibu. Lebih memeritkan tatkala kelahiran baginda, Kota Makkah dilanda musibah taun dan tidak sepi dari bencana alam dari masa ke masa.

Didikan datuk dan asuhan bapa saudaranya menjadi panduan anak muda ini mengelola diri dalam lautan kemusyrikan yang membadai ketika itu. Sebagai seorang yang hanif, baginda lebih selesa menghabiskan masa dengan gembalaannya yang menjadi pengajaran besar dan bermakna untuk mengurus serta memperkembang usaha niaga pintar bersama Siti Khadijah yang kemudiannya baginda juarai.

Dalam seribu satu kehebatannya sebagai seorang rasul pilihan Allah SWT, kehidupan baginda yang berwarna-warni cukup menunjukkan ketinggian nilai kemanusiaan, keperibadian yang tinggi dan dijiwai sejak kecil.

Cekal dibadai musibah

Seluruh peristiwa-peristiwa besar seperti padamnya api di tanah Parsi serta kemunculan cahaya di langit Makkah yang berlaku sebagai tanda kelahiran insan sempurna ini menunjukkan betapa umat manusia seolah-olah ternanti-nanti akan sang penyelamat yang membawa harapan untuk mereka keluar daripada kezaliman kepada keadilan; mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.

Seperti yang dikutip pada awal artikel, baginda mengingatkan betapa cekalnya orang beriman kerana tetap sabar dan bersyukur ketika mendapat nikmat mahupun ketika dilanda musibah.
Optimisme ini terserlah ke dalam peribadi sahabat-sahabat baginda, yang termasyhur sekali melalui ungkapan Saidina Umar RA untuk “tetap menyemai benih kurma walaupun esok mungkin kiamat”, mafhumnya. Pesan-pesan Junjungan Mulia yang positif dan optimis sangat wajar diimani dan dihayati, lebih-lebih lagi pada saat penularan pandemik yang menggoncang tatanan dunia saat ini.

Mari kita menyemarakkan selawat dan salam kepada junjungan besar sebagai penghayatan keimanan kepada rasul dan mengindahkan nilai diri dengan meneladani sunnah baginda.
Semoga kita semua umat Islam menginsafi amanat Nabi Muhammad SAW dan terus berusaha dengan sabar dan syukur dalam melalui hari-hari yang mendatang.

Salam Maulidur Rasul Muhammad SAW.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Peristiwa keputeraan Rasulullah sejarah agung sepanjang zaman

SHAH ALAM, 28 OKT: Dato’ Menteri Besar menggambarkan peristiwa keputeraan Nabi Muhammad SAW sebagai sejarah maha agung yang merentasi sepanjang zaman.

“Hari ini, seluruh umat Islam memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

“Lantaran rahmat terbesar kelahiran seorang Rasul yang membuka gapura (pintu) kebenaran dalam perjalanan hidup di atas muka bumi ini,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Lazimnya, hari bersejarah keputeraan baginda setiap 12 Rabiulawal diraikan rakyat beragama Islam di Malaysia dengan pelbagai acara sempena memperingati Nabi Muhammad SAW termasuk mengenali lebih dekat kisah kehidupan serta keperibadian tinggi baginda.

Pada tahun ini, Maulidur Rasul jatuh pada Khamis, 29 Oktober dengan mengangkat tema “Ummah Rabbani Negara Harmoni”.

Bagaimanapun, majlis sambutan yang juga dikenali sebagai Maulid Nabi peringkat kebangsaan tahun ini dijangka diadakan dalam suasana berbeza berikutan negara dilanda pandemik Covid-19 yang memerlukan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor sempurnakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 NOV: Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1440H/2018M berlangsung penuh bermakna apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyempurnakan sambutan terbabit.

Keberangkatan baginda diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Sambutan yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam itu, diisi dengan bacaan ayat suci Al-Quran, selawat nabi, persembahan multimedia, persembahan nasyid dan tazkirah khas Maulidur Rasul.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Surau Terbaik Negeri Selangor, Khatib Terbaik Negeri Selangor, Sepanduk Perarakan Terbaik dan Kontinjen Perarakan Terbaik.

Bagi kategori Surau Terbaik Negeri Selangor dimenangi oleh Surau Al-Ikhwan, Taman Samudra Batu Caves yang menerima sumbangan berjumlah RM10,000, sijil penghargaan dan piala.

Manakala tempat kedua disandang oleh Surau Al-Hijrah, Kota Warisan Sepang dengan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan ketiga Surau Al-Kauthar Seksyen 4, Bandar Baru Bangi membawa pulang hadiah RM5,000.

Pertandingan Khatib Terbaik pula dimenangi Mohd Faisal Mohd Noor dari Masjid Bandar Tun Hussein Onn dengan membawa hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 dan sijil penghargaan.

Mohd Faizan Taajud dari Masjid Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula memenangi tempat kedua dan Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi dari Masjid Al-Falah di tempat ketiga dengan masing-masing membawa hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 dan RM1,000.

Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

MB ketuai 84 kontinjen perarakan Maulidur Rasul

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 NOV: Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini mengetuai kira-kira 4,200 peserta daripada 84 kontinjen yang berarak sempena Sambutan Mulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1440H/2018.

Perarakan yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu bermula di pintu gerbang Stadium Shah Alam dan berakhir di Stadium Malawati sebelum memulakan acara seterusnya.

Pada sambutan kali ini Kontinjen Jabatan Penjara Malaysia Negeri Selangor diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Kontinjen Perarakan Tebaik diikuti tempat kedua, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat di tempat ketiga.

Bagi kategori Badan Berkanun dan swasta pula tempat pertama dimenangi oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), kedua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan ketiga Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Manakala kategori organisasi bukan kerajaan, institusi pengajian tempatan dan masjid pula dimenangi Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), kedua Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ketiga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Bagi kategori sekolah menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, kedua Asrama Yayasan Selangor dan ketiga Darul Tahfiz Ummu Qura Jalan Kebun.

Sementara itu, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Majlis Perbandaran Sepang, UiTM Shah Alam dan Sekolah Agama Menengah Tinggi pula memenangi hadiah Sepanduk Terbaik dalam kategori masing-masing.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Categories
AGAMA NASIONAL

Islam cara hidup lengkap

KUALA LUMPUR 20 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukan sahaja satu agama tetapi juga merupakan cara hidup yang lengkap untuk umatnya.

Beliau berkata sememangnya umat Islam harus bersyukur kerana berpeluang menghayati kesyumulan atau sifat menyeluruh agama itu.

“Kerana itu, kita memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai penyataan kasih dan sanjungan tinggi kita terhadap Baginda atas perjuangannya dalam menyebarkan syiar Islam,” kata Dr Mahathir dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1440H.

Klip video perutusan perdana menteri itu dipaparkan di laman YouTube, Chedet Official.

Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam kenyataan sebelum ini berkata Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dijangka berangkat menyempurnakan majlis itu yang dijadual turut dihadiri Dr Mahathir serta isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Tema sambutan tahun ini ialah ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’,

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Khusrin tak sangka terima Anugerah Umar Abdul Aziz

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 DIS: Bekas Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi tidak menyangka diberikan Anugerah Umar Abdul Aziz sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1438H/2016M, semalam.

Mohamed Khusrin berkata, beliau hanya menjalankan tanggungjawab diamanahkan kepadannya sebaik mungkin seperti dituntut dalam Islam.

“Syukur atas penghargaan ini dan saya tidak menjangkakan akan diberi penghargaan atas sumbangan ‘taklah seberapa’,” katanya selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Stadium Malawati, di sini.

Mohamed Khusrin semasa berkhidmat dikenali sebagai seorang yang berdidikasi dengan matlamat mahu penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, intergriti, menepati masa juga memberikan perkhidmatan mesra rakyat.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ketua Setiausaha di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Ketua Penolong Setiausaha Dewan/Protokol di pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Sementara itu, bekas Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah yang menerima Anugerah Khalid Al-Walid pula menyifatkan anugerah berkenaan membakar semangatnya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat walaupun sudah bersara sejak tiga tahun lalu.

img_20161212_130722_442Katanya, anugerah diterima itu sesuatu yang bermakna buat dirinya ekoran Khalid Al-Walid adalah panglima angkatan perang Islam yang tidak pernah tewas dalam peperangan.

“Dia seorang strategis dalam peperangan hinggak kebijaksanaannya menyebabkan dia tidak pernah kalah dalam peperangan walaupun ada masanya memiliki bilangan tentera yang sangat kecil berbanding tentera lawan,” katanya.

Penerima Anugerah Saidatina Khadijah, Profesor Madya Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali berkata, anugerah diterimanya itu menuntut tanggungjawab juga amanah besar.

“Anugerah ini kurniaan Allah yang berkaitan dengan soal tanggunjawab dan amanah yang saya jalankan sebagai seorang muslim kerana seorang muslim itu adalah hamba dan khalifah Allah,” katanya.

Dr Khadijah yang bertugas sebagai Profesor Madya dalam bidang akidah dan pemikiran Islam di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) juga terlibat dengan Panel Pakar Bidang Perbandingan dan Dialog Antara Agama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain itu, Anugerah Imam Al-Ghazali dikurniakan kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Dato’ Aidit Ghazali, sementara Bilal Kamarudin menerima Anugerah Saidina Ali.

-AA-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Maulidur Rasul 1436 Hijrah DSAI

Oleh: DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Tanggal 12 Rabiul Awal saban tahun pastinya membangkitkan rasa kerinduan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sambutan Maulidur Rasul tahun ini yang disambut dalam tahun baharu 2015 wajar dimaknai dalam konteks mencontohi kepemimpinan Rasulullah S.A.W sebagai asas pewujudan sebuah masyarakat dan negara yang madani melalui kepimpinan strategik.

Sirah Rasulullah S.A.W memperihalkan betapa kebijaksanaan Baginda selaku pemimpin masyarakat menyelesaikan perseteruan kalangan kabilah Arab Quraisy melalui peletakan Hajarul Aswad serta menggagas penggubalan Sahifah Madinah sebagai pemupukan ukhuwah Islamiyyah antara Ansar dan Muhajirin.

Keperibadian Baginda yang sederhana namun bersifat strategis dan ikonik jelas merupakan teladan terbaik bagi sekalian umat Islam. Inilah yang seharusnya dicontohi dan dimaknai oleh sekalian pemimpin Islam khususnya dalam meraikan jamak budaya tanpa mengkesampingkan nilai-nilai Islami yang bersifat sarwajagat.

Menguruskan kepelbagaian tidak harus bersandar kepada slogan dan cogankata semata-mata, tidak juga bersifat obses melulu pada agenda sempit dengan mengatasnamakan agama. Sebaliknya ia memerlukan kesungguhan dan pemaknaan yang betul ke atas prinsip-prinsip Islam yang akhirnya diterjemahkan dengan istiqamah, adil dan saksama.

Inilah cabaran terbesar kita: menyantuni kepelbagaian dan memimpin ummah dengan iktibar kepemimpinan Rasulullah S.A.W sebagai pedoman. Ini menepati penegasan Al-Quran menerusi Surah Al-A’raf ayat 157:

Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Salam Maulidur Rasul 1436 Hijrah buat sekalian umat Islam Malaysia. Semoga Sambutan Maulidur Rasul tahun ini mengukuhkan kecintaan kita kepada Baginda seterusnya mengembalikan kita kepada fitrah Islami yang menganjurkan keadilan, kedamaian, dan kesederhanaan.