Categories
AGENDA NASIONAL

Dua maut, kereta terperosok bawah lori sedang buat pusingan U

SHAH ALAM, 2 MAC: Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki melanggar sebuah lori yang dipercayai sedang membuat pusingan U di hadapan Balai Polis Bukit Raja, dekat sini awal pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata dalam kejadian pada 2.29 pagi itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam Perodua Bezza yang dinaiki mereka.

“Kenderaan yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Jalan Haji Sirat menghala ke Kapar telah terperosok masuk dan melekat di bawah lori yang dipercayai sedang membuat pusingan U di tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta berjaya dikeluarkan pada kira-kira 3.50 pagi. Mereka yang mengalami kecederaan parah kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu lori berkenaan tidak dapat dikesan dipercayai telah meninggalkan lokasi kejadian, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja penyelenggara maut terjatuh di ruang lif pusat beli-belah

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Seorang lelaki ditemukan maut akibat terjatuh di ruangan lif di sebuah pusat membeli belah di Jalan Loke Yew, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata lelaki berumur 33 tahun yang merupakan pekerja penyelenggara bangunan berkenaan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian selepas mendapat panggilan pada kira-kira pukul 11 pagi, mendapati seorang lelaki dewasa berada di tingkat bawah (B2) dalam ruangan lif pusat membeli belah itu, dan berdasarkan maklumat, lelaki itu dipercayai terjatuh dari tingkat empat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya pasukan penyelamat menggunakan basket stretcher dan tali untuk menarik dan mengeluarkan mayat daripada lubang ruang lif berkenaan yang dianggarkan sedalam enam kaki dari pintu lif.

Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki ditemukan maut selepas ambil suntikan besarkan otot punggung

IPOH, 26 JAN: Seorang lelaki yang baru mendapatkan suntikan membesarkan otot punggung daripada peniaga kosmetik ditemukan meninggal dunia dalam bilik hotel di Teluk Intan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki berperwatakan lembut berusia 31 tahun itu datang ke hotel berkenaan bersama rakannya pada 9 pagi bagi mendapatkan suntikan daripada seorang wanita dari Melaka dengan kos sebanyak RM500.

“Si mati meminta izin untuk berehat di dalam bilik kerana merasa penat selepas selesai suntikan pada kira-kira pukul 12 tengah hari sambil ditemani rakannya manakala wanita itu keluar dari hotel untuk pulang ke Melaka,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata si mati kemudian disedari tidak bernafas ketika terbaring pada kira-kira 3 petang sebelum rakannya menghubungi wanita itu yang datang semula ke hotel dan mendapati lelaki itu sudah tidak bergerak.

Menurutnya, pihak polis segera ke hotel terbabit sebaik dimaklumkan kejadian itu dan menemukan si mati terbaring di atas katil dengan memakai baju dan tuala serta bertutup dengan selimut.

Ahmad Adnan berkata lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang hadir bersama ambulans dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah disebabkan paru-paru bengkak dan berair namun setakat ini doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian akibat suntikan yang diambil si mati.

Beliau berkata tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: 54 maut di lima negeri, dua masih hilang

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Sejumlah 54 kematian akibat banjir direkodkan di seluruh negara dan dua lagi masih hilang setakat hari ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata negeri yang mencatatkan kematian tertinggi dalam bencana banjir adalah Selangor iaitu 25 orang, diikuti Pahang (21), Kelantan (empat), Sabah (tiga) dan seorang di Negeri Sembilan.

Hazani berkata situasi semasa laporan banjir daripada kesemua Pusat Kawalan Kontinjen mendapati seramai 13,322 mangsa di seluruh negara telah direkodkan setakat 12 tengah hari tadi.

“Sebanyak tujuh negeri terlibat banjir dan sejumlah 172 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai situasi banjir di Segamat, Johor, Hazani berkata empat kampung di daerah berkenaan telah terputus jalan utama akibat dinaiki air setakat hari ini namun keadaan masih terkawal.

“Empat perkampungan yang terputus laluan utama ialah Kampung Lubuk Lanjut, Kampung Batu 10, Kampung Budu dan Kampung Spang Loi.

“Keadaan di Segamat masih dalam kawalan. Misi memberi bantuan masih kami teruskan dengan menggunakan sebuah helikopter yang telah diatur gerak bagi membantu mangsa banjir di perkampungan yang terjejas”, katanya.

Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah mengarahkan JKDNKA untuk menyelaraskan bantuan meliputi jalan udara serta air bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas banjir kekal terpelihara.

Bantuan itu antaranya sebuah helikopter milik Pasukan Gerakan Udara polis diguna untuk menghantar bekalan keperluan bagi penduduk di Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Lelaki maut dihempap tiang besi di tapak pembinaan

KUALA LUMPUR, 29 DIS:  Seorang lelaki warga asing maut akibat dihempap sebatang tiang besi sebuah kren di tapak pembinaan berhampiran Jalan Kuchai Maju, Kuchai Entrepreneurs Park di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata ketika pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 pagi, mangsa berusia 42 tahun itu sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati tiang besi berkenaan telah diturunkan ke tanah namun tidak stabil lalu menghempap mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan, katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Selangor ragut 24 nyawa, MB ucap takziah kepada keluarga mangsa

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 24 orang dikenal pasti terkorban dalam tragedi banjir di Selangor setakat semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari merakam ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terbabit dan berharap mereka diberi kekuatan menghadapi musibah.

“Dukacita dimaklumkan bahawa setakat semalam, tragedi banjir ini telah mencatatkan kematian 24 orang korban. Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada semua keluarga terlibat.

“Berharap semoga mereka diberi kesabaran, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan banjir di Selangor hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata dua lagi kematian direkodkan di kawasan banjir Taman Sri Muda.

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut di Taman Sri Muda ialah 14 orang setakat 6 petang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Zakat Selangor biaya kos urus jenazah sembilan mangsa kemalangan

SHAH ALAM, 18 DIS : Lembaga Zakat Selangor (LZS) membiayai kos pengurusan jenazah sembilan individu yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan malam tadi.

LZS menerusi Facebook memaklumkan mangsa kemalangan itu merupakan salah seorang penerima bantuan agensi tersebut.

“Hilang sembilan ahli keluarga sekelip mata merupakan dugaan terbesar buat ketua keluarga ini yang sedang dirawat di hospital.

“Pengurusan jenazah sedang diuruskan oleh unit agama Hospital Shah Alam dan segala kos yang berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh LZS,” maklum agensi itu.

LZS turut mengucapkan takziah kepada waris keluarga dan semoga roh mereka semua dirahmati.

Dalam kejadian malam tadi, sepuluh individu maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta dan sebuah treler di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam.

Mangsa yang meninggal dunia ialah lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan serta seorang lelaki dan seorang wanita.

Kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua beradik maut, tiga cedera nahas di Lebuhraya KL-Karak

KUANTAN, 17 DIS: Dua beradik maut, manakala tiga yang lain termasuk ibu bapa mereka cedera apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 44.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di Bentong awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan dipercayai berlaku pada 3.20 pagi itu melibatkan sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan.

Mangsa yang maut ialah Wafa Safia Mohd Hairy, 17, dan adiknya Adam Haiqal, 12, dengan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu bapa mereka Mohd Hairy Ahmad dan Zuraini Zolkifli kedua-duanya berusia 44 tahun, cedera manakala anak bongsu pasangan itu Fahmi Eyman, 10, dilaporkan parah di kepala.

Mohd Hairy, pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dilaporkan cedera tulang belakang manakala Zuraini yang merupakan guru sekolah rendah retak tangan kanan.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menghadiri majlis pertunangan ahli keluarga apabila kenderaan itu terbabas semasa pemandu cuba untuk memotong kenderaan di hadapan berhampiran selekoh.

“Keadaan jalan yang licin juga dipercayai menyebabkan pemandu berhadapan kesukaran mengawal kenderaan sebelum kereta itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata mangsa yang cedera dan mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Bentong bagi rawatan dan bedah siasat yang akan dijalankan selepas keputusan saringan Covid-19 diperoleh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Letusan Gunung Semeru Jawa Timur ragut 13 nyawa, hampir 100 cedera

JAKARTA, 5 DIS: Sekurang-kurangnya 13 maut akibat melecur manakala 98 lagi cedera susulan letusan Gunung Semeru di daerah Lumajang, Jawa Timur pada Sabtu.

Jurucakap Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Abdul Muhari berkata mereka yang cedera termasuk dua wanita hamil dan kini menerima rawatan di hospital.

Operasi mencari dan menyelamat masih berterusan untuk memindahkan penduduk yang terperangkap, katanya dalam satu kenyataan.

BNPB juga berkoordinasi dengan tentera untuk memindahkan penduduk melalui jalan darat dan helikopter turut digunakan bagi mempercepat lagi operasi itu.

Gunung Semeru yang memiliki ketinggian 3,676 meter itu memuntahkan abu sehingga mencecah setinggi 12,000 meter pada 3.20 petang semalam.

Lahar daripada letusan gunung berapi itu turut memusnahkan kediaman berhampiran, menyebabkan 902 penduduk di daerah itu terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di kampung Supiturang dan Curah Kobokan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Budak lima tahun maut didera ibu kandung, kekasih

JOHOR BAHRU, 4 DIS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai menjadi mangsa dera di sebuah rumah di Nusa Bestari dekat Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata polis menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengenai kejadian itu pada pukul 12.20 tengah hari.

Beliau berkata petugas HSA memaklumkan bahawa mangsa telah dihantar ke hospital oleh ibu kandungnya.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas badan mangsa mendapati terdapat kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama ibu kandung dan bapa angkatnya yang merupakan kekasih ibunya serta seorang adik dan kakak mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal oleh pihak hospital terhadap mangsa mendapati mangsa telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Katanya proses bedah siasat akan dijalankan pagi ini di HSA selepas keputusan ujian calitan Covid-19 mangsa diperolehi.

Dzulkhairi berkata bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor telah menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan ‘poly pipe’ di atas sofa dan kesan darah di rumah berkenaan.

Susulan itu, pihak polis telah menahan ibu mangsa yang berusia 35 tahun di HSA dan kekasihnya berusia 32 tahun di Nusa Bestari bagi membantu siasatan, manakala adik dan kakak mangsa sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di HSA.

Katanya pemeriksaan rekod lampau terhadap kedua-dua individu itu didapati, mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kesalahan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mendera kakak mangsa sebelum ini.

“Selain itu, mereka mempunyai empat rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah, reman akan dimohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mekanik maut dihempap kereta dibaikinya

GEORGE TOWN, 21 NOV: Seorang mekanik maut selepas dihempap sebuah kereta ketika sedang membaikinya di sebuah rumah yang dijadikan bengkel membaiki kenderaan di Kampung Bayan Lepas, dekat sini malam tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru Helmirizal Che Morad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.54 malam tadi sebelum sepasukan bomba terus ke lokasi kejadian.

“Sebaik pihak bomba tiba di lokasi kami mendapati seorang lelaki berada di bawah sebuah kereta yang menghempapnya dan mangsa yang berusia 31 tahun ketika itu sudah tidak bergerak.

“Berdasarkan maklumat, sebelum kejadian mangsa sedang membaiki sebuah kereta jenis Proton Saga dan tiba-tiba kereta terbabit menghempap separuh daripada badan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya pihak bomba menggunakan peralatan Rescue Tools sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada1.02 pagi dan pemeriksaan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian mendapati lelaki itu telah meninggal dunia.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Budak lima tahun maut jatuh dari tingkat 16 kondominium

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak, di sini, pagi ini.

Ibu saudara kanak-kanak itu Fauziah Hanum Cik Ros, 36, berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10.30 pagi tadi apabila tiba-tiba beliau sedar kehilangan anak saudaranya itu selepas didapati tiada di biliknya.

“Semasa kejadian, saya sedang mandi dan dia (anak saudara) baru sahaja bangun tidur kerana tidur lewat semalam, namun sebaik sahaja saya siap mandi, saya tidak nampak kelibat dia (anak saudara) di rumah.

“Saya terus telefon Bella (ibu kanak-kanak itu) yang berada di luar semasa kejadian,” katanya kepada pemberita di ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, beliau mendapat tahu bahawa anak saudaranya itu berada di tingkat dua kondominium itu selepas dihubungi oleh Bella, yang dinaklumkan orang ramai bahawa ada kanak-kanak dikesan di tempat berkenaan.

Fauziah berkata anak saudaranya itu merupakan seorang yang aktif dan mempunyai seorang adik lelaki berusia empat tahun yang ketika kejadian turut berada di rumah.

Sementara itu, teman lelaki Bella yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Am’ berusia 20-an berkata dia sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan Bella Jumaat ini.

Am berkata beliau sedang tidur di rumahnya di Ampang semasa mendapat panggilan telefon daripada bakal isterinya itu yang memberitahu bahawa anaknya hilang.

-BERNAMA