Categories
AGENDA NASIONAL

Pemuda jatuh roda Ferris: Operasi lima permainan dihenti

SHAH ALAM, 13 NOV: Operasi lima permainan taman hiburan (Fun Fair) di Cheras dihentikan susulan kejadian maut seorang lelaki dipercayai terjatuh daripada permainan roda Ferris pada Rabu malam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata arahan dikeluarkan mengikut Seksyen 19 (2), Akta Kilang Dan Jentera 1967.

“Satu notis larangan mengikut Seksyen 48 (2) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 turut dikeluarkan.

“Ia berikutan kegagalan operator menjalankan penaksiran risiko semua aktiviti yang boleh mengakibatkan risiko kepada pekerja dan orang awam,” katanya menerusi kenyataan.

JKKP berkata tindakan perundangan bakal dikenakan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya didapati melanggar kedua-dua akta itu.

“Siasatan berhubung masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. JKKP sentiasa memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam,” katanya.

JKKP berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang rakan yang turut cedera parah menaiki permainan itu sebelum terjatuh dari ketinggian lapan meter pada jam 11.15 malam.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdullah mengesahkan kejadian dan sedang menyiasat punca kejadian sama ada terdapat kecuaian pada pihak penganjur atau mangsa.

Categories
SELANGOR

Pemuda maut jatuh permainan roda Ferris di Cheras

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dipercayai terjatuh daripada permainan roda Ferris di Cheras, Selangor tengah malam Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja Pesta Ria di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Cheras mengatakan bahawa terdapat dua lelaki tempatan terjatuh ketika menaiki permainan berkenaan.

“Saksi telah memaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki berumur 39 tahun telah jatuh dari buaian permainan Fun Fair (Pesta Ria) dan disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans daripada Hospital Kajang yang hadir di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa dalam lingkungan usia sama turut mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Sabri berkata pihaknya sedang menyiasat punca kejadian berkenaan sama ada terdapat kecuaian pada pihak pemilik Pesta Ria mahupun mangsa sendiri.

“Setakat ini hasil siasatan awal dapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku di dalam kejadian itu dan polis telah mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
JENAYAH

Wanita warga emas maut dikelar anak lelaki

GURUN, 10 Nov: Seorang wanita warga emas maut dipercayai dikelar anak lelakinya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 7.30 pagi tadi dan pemeriksaan di rumah itu menemukan mayat Sarah Jon, 70, dalam keadaan terlentang di ruang tamu dengan kesan kelar sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter pada leher.

“Terdapat sedikit kecederaan pada tangan kanan dan telinga kiri mangsa (Sarah) dipercayai akibat dipukul dengan senjata tumpul. Kita turut menjumpai beberapa peralatan menghisap dadah dan sejumlah baki dadah di tepi pintu masuk (rumah),” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Adzli berkata wanita berkenaan dan anak lelakinya berusia 31 tahun serta mempunyai rekod masalah mental itu tinggal berdua di rumah tersebut sejak 10 tahun lepas.

Beliau berkata pihaknya percaya kejadian itu berlaku antara pukul 6.30 dan 7 pagi tadi dan anak lelaki mangsa kemudian bertindak keluar ke Jalan Gurun-Jeniang, kira-kira satu kilometer dari rumah tersebut sebelum maut dilanggar lori yang melalui jalan berkenaan.

Menurut Adzli pihaknya belum menemukan senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu namun percaya perbuatan itu menggunakan pisau tumpul.

Beliau berkata pihaknya menggerakkan Unit Anjing Pengesan untuk mencari senjata itu di sekitar kawasan rumah mangsa dan lokasi anaknya dilanggar lori.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, berlaku pertengkaran antara wanita dan anak lelakinya itu malam tadi yang dipercayai berpunca daripada desakan anaknya untuk membeli dadah.

“Adik mangsa yang tinggal berdekatan rumah mangsa memaklumkan dia terdengar pertengkaran selepas Isyak malam tadi,” katanya.

Kata beliau kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh itu dianggap selesai memandangkan anak lelaki mangsa sudah meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Namun katanya polis akan meneruskan siasatan sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan kejadian itu.

Beliau berkata mayat wanita dan anak lelakinya itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS: Ketua jururawat maut akibat Covid-19, bukan disebabkan vaksin

SHAH ALAM, 29 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini mengesahkan kematian seorang ketua jururawat di negeri itu adalah disebabkan Covid-19 dan bukan kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata semakan mendapati ketua jururawat berkenaan adalah seorang pesakit kanser yang dalam tempoh cuti sakit selama dua tahun.

“Beliau telah ditawarkan untuk mengambil vaksin Covid-19 pada 17 Feb lepas namun menolak dengan alasan risau dengan kesan sampingan vaksin tersebut. Bagaimanapun, beliau kemudiannya mendaftar dalam MySejahtera serta memberi kebenaran secara sukarela dalam borang kebenaran mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Dr Sha’ari berkata ketua jururawat itu menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 23 Julai lepas dan mengalami gejala demam 12 hari selepas mengambil vaksin namun tidak mendapatkan rawatan untuk gejala itu.

“Beliau mengalami kesukaran bernafas di rumah kediaman beliau dan dibawa oleh ambulan ke hospital pada 7 Ogos iaitu 16 hari selepas suntikan vaksin.

“Setibanya di hospital, beliau dirawat sebagai pesakit suspek Covid-19 kategori 5 dan keputusan ujian RTK Antigen beliau kemudian didapati positif,” katanya.

Katanya, pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan namun keadaannya semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 14 Ogos lepas.

Beliau berkata saringan kontak rapat mendapati terdapat dua ahli keluarga turut disahkan positif Covid-19.

“Pihak hospital mengesahkan pesakit meninggal dunia disebabkan oleh Covid-19 dan bukannya akibat kesan sampingan vaksinasi Covid-19,” katanya.

Pada 22 Oktober lepas, tular di media sosial satu video berkenaan dakwaan seorang ketua jururawat di Selangor yang meninggal dunia akibat daripada suntikan vaksin Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas maut di pusat jagaan akibat Covid-19, bukan vaksin

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kematian seorang wanita warga emas yang tinggal di sebuah rumah penjagaan di sini disebabkan positif Covid-19, kata Pengarah Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya Datuk Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh.

Beliau berkata wanita berusia 78 tahun itu disahkan positif pada 6 September iaitu hari keenam selepas menerima dos kedua vaksin pada 1 September, manakala dos pertama pada 8 Jun.

Berikutan positif terhadap jangkitan itu, Dr Param Jeeth Singh berkata wanita itu telah dirujuk oleh Pakar Perubatan Geriatrik ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk dirawat pada 7 September sebelum meninggal dunia di hospital tersebut pada 12 September.

Beliau berkata Pakar Perubatan Geriatrik merujuk wanita itu ke HRC kerana wanita tersebut termasuk dalam golongan berisiko tinggi disebabkan umurnya telah melebihi 60 tahun selain mempunyai komorbid dan jangkitan Covid-19 kategori tiga.

“Selain wanita itu, terdapat tujuh lagi penghuni rumah jagaan itu yang dirujuk dan dimasukkan ke HRC untuk rawatan lanjut pada 7 September.

“Wanita itu dirawat di HRC iaitu hospital merawat Covid-19 yang dikhaskan untuk warga emas. Namun demikian, keadaan kesihatannya didapati semakin merosot akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dan telah meninggal dunia pada 12 September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai merujuk video tular menerusi media sosial berhubung kematian wanita berkenaan yang dipercayai dirakam anak wanita itu dengan mendakwa ia akibat kesan sampingan selepas menerima dos kedua vaksinasi Covid-19.

Dr Param Jeeth Singh berkata kes Covid-19 di rumah jagaan itu bermula apabila seorang daripada pekerjanya menunjukkan gejala dan ujian Covid-19 menunjukkannya positif pada 4 September.

Pada 5 September, seorang penghuni di rumah jagaan berkenaan yang berusia 87 tahun dan tiada sejarah vaksinasi Covid-19 pula meninggal dunia.

“Pejabat Kesihatan Cheras dimaklumkan perkara ini pada 6 September dan siasatan lanjut serta pengesanan kes telah mengenal pasti 11 kes dalam kalangan penghuni dengan tiga orang daripadanya tidak pernah menerima vaksin manakala empat kes dalam kalangan pekerja.

“Kluster yang diisytihar pada 10 September ini melaporkan dua kematian dalam kalangan penghuninya iaitu seorang warga emas yang tidak menerima vaksin dan seorang lagi adalah wanita itu,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak enam tahun maut jatuh bangunan hotel

GEORGE TOWN, 19 OKT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut dipercayai terjatuh dari sebuah hotel dekat Tanjung Tokong di sini semalam.

Menerusi satu perkongsian yang tular di media sosial, insiden malang itu difahamkan berlaku pada kira-kira 11.30 pagi selepas mangsa selesai mandi di kolam renang dan berjalan ke bilik penginapannya bersama ahli keluarga sebelum meluru memasuki lif tanpa disertai ahli keluarga lain.

Keluarga mangsa dari Sungai Petani, Kedah dikatakan cuba mencarinya selepas itu sebelum dikejutkan dengan penemuan kanak-kanak tersebut yang tidak sedarkan diri di tingkat satu hotel dan dipercayai meninggal dunia selepas terjatuh.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Suffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan.

“Buat masa sekarang, saya hanya boleh sahkan kejadian memang berlaku. Balai Tanjung Tokong menerima maklumat pada 12.20 tengah hari dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Klang buru lelaki Rohingya terlibat kes pengutip sampah maut

SHAH ALAM, 18 OKT: Polis sedang menjejaki seorang lelaki Myammar berketurunan Rohingya, Mohammad Hashim Dilbashar atau lebih dikenali sebagai Hashim, bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang pengutip sampah di Klang pada 10 Okt lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata pihaknya sedang mengesan lelaki berusia 30-an itu, yang alamat terakhirnya adalah di No 3, Lot 49659-A, Jalan Budaya, Kampung Rantau Panjang, Klang.

“Polis memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan lelaki itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32913344 atau pegawai penyiasat ASP J Jaya Sangar di talian 013-4013403,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung insiden pada 10 Okt itu, Vijaya Rao berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 10.11 pagi daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, mengenai seorang lelaki etnik Rohingya dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa oleh rakannya ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

“Pemeriksaan pegawai perubatan di HTAR mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia dan terdapat sembilan kesan tikaman di bahagian kepala, tubuh dan kaki. Hasil bedah siasat mendapati kematian disebabkan pendarahan yang banyak berpunca daripada tikaman pada bahagian belakang badan mangsa,” katanya.

Menurut Vijaya Rao lagi, hasil siasatan pihaknya mendapati dua lelaki yang juga etnik Rohingya terlibat dalam insiden itu dengan seorang daripadanya telah ditahan pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara di Jalan Pengkalan Kubor, Kelantan, manakala seorang lagi sedang diburu.

“Mereka dipercayai cuba meloloskan diri ke Thailand melalui sempadan Golok dan suspek yang ditahan dibawa balik ke IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut.

Dia kini ditahan reman enam hari bermula 16 Okt hingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak perempuan autisme maut tertinggal dalam van

SEREMBAN, 13 OKT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan beberapa jam di dalam van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan polis mengenai kematian kanak-kanak autisme yang mempunyai masalah pembelajaran itu pada pukul 7.46 malam.

“Hasil siasatan mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke Pusat Jagaan Harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van berumur 34 tahun. Bagaimanapun, lelaki tersebut telah pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van berkenaan.

“Pemandu van itu dipercayai tidak menyedari mangsa berada di dalam van dari pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang di hadapan rumah lelaki berkenaan sebelum mangsa ditemukan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan bedah siasat akan dijalankan ke atas mangsa bagi mengenal pasti punca kematian.

Mohamad Said berkata tangkapan dibuat ke atas pemandu berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki maut akibat sawan ketika mendaki bukit di Setia Alam

SHAH ALAM, 19 SEPT: Seorang lelaki dijumpai mati akibat diserang sawan ketika sedang mendaki kawasan Setia Alam Community Trail hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari itu mangsa, Albert Ma Chuan Chiek, 33, ditemukan kira-kira 800 meter dari tempat permulaan denai itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia. Mayat mangsa kemudiannya dibawa turun dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata pihaknya menggerakkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik ke lokasi kejadian.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua lelaki warga India maut terhidu gas beracun di Cyberjaya

CYBERJAYA, 21 OGOS: Dua lelaki warga India maut dipercayai akibat terhidu gas beracun ketika melakukan kerja-kerja memasang kabel di dalam lubang laluan air ‘manhole’ di Persiaran SP3 di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa Kesavan Matarasan, 30, dan Sailu Makkala, 40, bersama lima lagi rakan melakukan kerja di tempat tersebut sebelum mereka dilaporkan sesak nafas dan tidak sedarkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata mangsa yang berada di dalam lubang sedalam 39 kaki (12 meter) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terhidu gas.

“Mayat kedua-dua lelaki itu berjaya dikeluarkan dari lubang tersebut (masing-masing) pada 4.30 petang dan 5 petang oleh anggota Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata seramai 20 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dan HAZMAT Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 2 petang.

“Anggota HAZMAT mengesahkan bahawa terdapat gas di dalam lubang berkenaan. Pemeriksaan kandungan udara dan gas dilaksanakan sebelum anggota melakukan kerja-kerja mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Dua anggota polis maut kemalangan kejar pelumba haram

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Dua anggota polis maut dalam kemalangan yang berlaku ketika mereka mengejar pelumba haram di kilometer 24.4 Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang ke Putrajaya, awal hari ini.

Sjn Mohd Arifah Md Yasin, 36, dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik dan Konstable Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, dari cawangan Jenayah D4, mati di tempat kejadian.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 1.30 pagi semasa kedua-dua anggota yang menunggang motosikal itu mengejar suspek lumba haram ketika membantu Operasi Samseng Jalanan di laluan yang sering digunakan samseng jalanan untuk berlumba.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata siasatan awal polis mendapati kedua-dua anggota itu berlanggar ketika mengejar suspek lumba haram.

“Mayat kedua-dua anggota itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hilang bapa, kakak dalam seminggu akibat Covid-19

KUALA TERENGGANU, 29 JULAI: Kehilangan dua anggota keluarga dalam tempoh seminggu akibat wabak Covid-19 adalah dugaan hebat buat Azenira Ali sekeluarga.

Azenira, 37, seorang suri rumah dari Felda Neram 2, Cheneh di Kemaman berkata selama ini beliau hanya membaca dan menonton pengalaman sedih orang lain, namun tidak pernah terfikir perkara itu akan terjadi kepada ahli keluarganya sendiri.

“Ayah saya, Ali Mohamad, 70, meninggal dunia pada hari raya pertama Aidiladha (20 Julai) manakala kakak kedua, Alinda Ali, 47, pula meninggal dunia Isnin lepas (26 Julai). Ia berlaku terlalu cepat dan sampai sekarang kami enam beradik masih trauma dengan kehilangan mereka akibat Covid-19,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Harapannya kini agar rakyat Terengganu tidak mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana hanya itu sahaja cara yang ada untuk mencegah penularan Covid-19.

“Bayangkan, rasa sedih dengan pemergian ayah belum reda, kami enam beradik terpaksa menerima hakikat kehilangan Alinda pula tanpa dapat mengucup kedua-dua mereka buat kali terakhir.

“Hanya van jenazah yang lalu di depan rumah, tanpa dapat kami menatap wajah dua insan tersayang. Cukuplah hanya kami yang melalui pengalaman ini kerana ia terlalu perit untuk dikenang,” katanya.

Mengimbas kembali pemergian bapa dan kakaknya itu, Azenira berkata bapanya yang menghidap penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung mengadu tidak sihat beberapa hari sebelum Aidiladha, dan menghembuskan nafas terakhir pada hari raya pertama tanpa sempat dibawa ke hospital.

“Pada hari yang sama juga Alinda mengalami pendarahan teruk di pangkal rahim dan dihantar ke Hospital Kemaman. Kakak disahkan positif Covid-19 ketika itu dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Keputusan ujian calitan ayah diterima dua hari selepas meninggal dunia dan turut disahkan positif. Sejurus mendapat keputusan, pengebumian dibuat mengikut SOP Covid-19,” katanya.

Azenira berkata bapanya tinggal bersama Alinda sekeluarga di Taman Sentosa, Bandar Cheneh Baru dan mula dikuarantin apabila suami Alinda menjadi kontak rapat rakan sekerja yang positif Covid-19.

Hasil dua ujian calitan terawal mendapati suami Alinda iaitu Saadon Abdul Rashid, 50, negatif wabak itu namun ujian calitan ketiga pada 18 Julai mendapati beliau positif Covid-19.

Saadon dan seorang anak perempuannya yang positif wabak itu baru sahaja menamatkan kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) semalam manakala tiga anak lelakinya disahkan negatif.

Azenira berkata ketika mula dimasukkan ke HSNZ, keadaan kakaknya agak teruk dan terpaksa memakai alat bantuan pernafasan selama beberapa hari sebelum dia kembali sihat.

“Kami sempat membuat panggilan video pada hari Sabtu dan ketika itu, kakak tidak lagi memerlukan alat bantuan pernafasan, tetapi ada mengadu rasa semput. Itu kali terakhir kakak menjawab panggilan dan mesej kami enam beradik,” katanya yang kehilangan ibu pada 2018 akibat serangan jantung.

-BERNAMA