Categories
SELANGOR

Suspek kes rogol maut jatuh tingkat 12 PPR

SHAH ALAM, 19 MEI: Seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan rogol di sebuah premis di Bandar Kinrara Puchong pada 11 Mei lalu maut selepas terjatuh dari tingkat 12 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di ibu negara, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, suspek berusia 22 tahun itu cuba melarikan diri selepas polis melakukan serbuan di rumahnya, kira-kira jam 10.10 malam.

“Anggota polis bertindak memecahkan pintu selepas suspek enggan membukanya. Suspek kemudian cuba melarikan diri ke unit bawah dengan bergayut di ‘grill’ dapur.

POLIS BIRU 2 4x4“Selepas dipujuk, suspek masih enggan menyerah diri sebelum terjatuh ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BERNAMA.

Mohd Aminuddin berkata, lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pada 16 Mei lalu, seorang wanita warga Indonesia serta lelaki warga Bangladesh berusia 33 dan 34 tahun iaitu mangsa kes berkenaan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Seorang lagi suspek yang berusia 26 tahun ditahan di Kuala Selangor, pada 14 Mei lalu.

Pada 13 Mei lalu, satu video berhubung kejadian samun dan rogol oleh dua lelaki di sebuah premis Puchong, tular di media sosial.

Categories
SELANGOR

Denggi: 34 kematian berlaku di Selangor hingga 12 Julai

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JULAI: Sebanyak 34 kematian akibat denggi di Selangor dicatatkan mulai Januari hingga 12 Julai lalu, menurut laman sesawang Jabatan Kesihatan Negeri Selangor www.jknselangor.moh.gov.my

Daripada jumlah itu, daerah Petaling mencatatkan angka tertinggi dengan 12 kematian diikuti Hulu Langat (9), Gombak (6), Klang (5) serta Hulu Selangor dan Kuala Selangor masing-masing satu.

mpsj 2Setakat ini, jumlah kes berlaku direkodkan di seluruh Selangor adalah 27,627 kes dalam tempoh sama tahun ini.

Petaling mendahului daerah lain dengan 12,074 kes diikuti Hulu Langat (5,837), Klang (4,332), Gombak (4,088), Hulu Selangor (387), Kuala Langat (380), Kuala Selangor (247), Sepang (181) dan Sabak Bernam (101).

Sebanyak 1,187 kes berlaku pula direkodkan dalam minggu epid terakhir tempoh itu iaitu 6 hingga 12 Julai lalu.

mpsj 1Orang ramai diminta mengambil langkah perlu dan menjaga kebersihan dalam menghindari wabak demam denggi itu.

Jabatan Kesihatan Selangor turut menasihatkan masyarakat memberikan kerjasama dengan menghubungi jabatan atau bilik gerakan Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh Selangor untuk membuat laporan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pelajar Perubatan Malaysia maut selepas kemalangan 3 Jun

SHAH ALAM, 17 JUN: Pelajar Tahun Dua Fakulti Perubatan (Pergigian) Malaysia di Mesir, Ummi Nadiah Filzah Daud, yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 3 Jun lalu, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Miri Iskandariah, kelmarin. 

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata berdasarkan laporan awal, Allahyarham Ummi Nadiah Filzah, 21, meninggal pada jam 8 malam (waktu tempatan) akibat kecederaan teruk pada paru-paru.

Memetik Bernama, Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Ku Jaafar Ku Shaari bersama pegawai Kedutaan kini berada di Iskandariah bagi membantu urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia atas permintaan ibu bapa Allahyarham.

al-FatihahKenyataan itu menjelaskan ibu bapa itu mahukan Allahyarham dikebumikan di Bandar Tasik Putri, Rawang, Selangor.

“Kementerian menyampaikan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga Ummi Nadiah Filzah,” kata Wisma Putra.

Kemalangan itu dilaporkan berlaku bila van yang membawa Ummi Nadiah Filzah dan bersama lima lagi rakannya yang juga penuntut Universiti Iskandariah melanggar bahagian belakang sebuah lori lalu terbabas.

Mereka tercampak keluar van dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Borg El Arab untuk pulang bercuti semester di Malaysia, namun lima pelajar lain cedera dan pemandu terselamat.

Categories
NASIONAL

Penganjur konsert tidak sensitif saat negara hadapi musibah

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 MAC: Pihak bertanggungjawab meluluskan konsert Future Music Festival Asia 2014 dikesali kerana dianggap tidak peka kepada situasi sukar dan sedih yang sedang dihadapi negara sejak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata situasi sukar dan sedih itu bertambah buruk lagi apabila berlaku kejadian lima individu meninggal dunia dan empat lagi kritikal kerana didakwa mengambil dadah berlebihan ketika menghadiri konsert itu, di Bukit Jalil, pada 14 Mac lalu.

“Ketika diberikan gambaran bahawa kita semua prihatin dengan pelbagai masalah khususnya kehilangan pesawat MH370 dan kemarau sehingga terpaksa diadakan catuan air, selain berlakunya kebakaran hutan yang menyebabkan timbulnya jerebu. Sebagai umat Islam, kita mengambil kira kejadian ini adalah peringatan.

khalid samad parlimen tie 01“Pada masa sama, kita adakan program yang jelas hanya hiburan semata-mata dengan unsur maksiat, minuman arak dan dadah, yang mana ini jelas menunjukkan sikap tidak prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat.

“Persoalan yang lebih besar bagaimana dadah boleh dibawa masuk dan program yang seperti tidak mempunyai kawalan. Mereka datang untuk berseronok tanpa batas dan ini semua amalan yang menghalang bantuan Allah. Ini amat malang,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Khalid berkata, kejadian kematian dalam konsert akibat dadah itu juga menunjukkan kegagalan kerajaan mencari penyelesaian berkesan untuk membenteras dadah di negara ini.

Konsert Future Music Festival Asia 2014“Sedikit sebanyak, ini boleh dikatakan kegagalan kerajaan untuk mewujudkan suasana yang baik dan selamat bagi rakyatnya. Kerajaan harus mencari jalan bagaimana boleh memperkuatkan lagi penguatkuasaan dan sempadan kita supaya dadah sukar dibawa masuk,” katanya.

Terdahulu, enam individu meninggal dunia, manakala empat lagi dalam keadaan kritikal kerana didakwa mengambil dadah berlebihan iaitu methamphetamine ketika menghadiri konsert berkenaan.

-NFN-