Categories
SELANGOR

RM30,000 Bantu Adik Mawar Jalani Pembedahan

SHAH ALAM 28 MAC : Farid AlSuwad, 34, bapa kepada  adik Mawar Nur Farisya Alsuwad melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC)Selangor yang prihatin dengan nasib yang menimpanya sekeluarga.

Mawar,2, yang menghidap penyakit lumpuh otak, jantung berlubang dan injap jantung sempit memerlukan RM40,000 bagi membiayai kos pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagle Intan, Ampang 4 April depan.

Tiga anak syarikat Kerajaan Selangor menyumbang RM10,000 setiap seorang kepada keluarga Mawar. Mereka adalah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sumbangan itu disampaikan dalam bentuk cek oleh Isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datuk Ahmad Omar dan Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Hadir sama Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.

Menurut Farid, beliau terharu dengan bantuan yang diberi serta kesudian Puan Sri Salbiah hadir ke rumah untuk melihat keadaan anak saya.

“Terima Kasih banyak kerana memberikan saya peluang dan harapan kembali untuk melihat anak saya sihat seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, sebelum ini beliau hampir berputus asa kerana tiada tempat mengadu dan bergerak berseorangan mendapatkan bantuan.

Adik Mawar pada awalnya dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain, malangnya, dua minggu kemudian dia sering menangis tanpa henti.

?Saya tidak tahu apa punca kepada penyakitnya, nak kata keturunan, tiada keturunan kami yang ada menghidap penyakit begitu.

?Lagipun, ketika scan jantina bayi dalam kandungan sebelum dilahirkan, Mawar didapati sihat dan tiada penyakit,? katanya.

Isterinya, Salbiah Ramli, 29, bekerja sebagai kakitangan kerajaan yang menyara keluarga kerana beliau terpaksa berhenti kerja ketika Mawar berumur tiga bulan kerana menjaga anaknya itu.

“Pengasuhnya tidak dapat menjaganya lagi kerana Mawar seringkali pengsan dan sesak nafas.

“Sejak dilahirkan hanya bergantung dengan susu dan nestum kerana mulut Mawar sakit dan akan menangis setiap kali kami menyuapnya nasi,” katanya.

Katanya, hampir setiap hari Mawar akan menangis, kaki tangannya bengkak dan mukanya kebiruan.

“Perkara itu sangat merisaukan kami sekeluarga,” katanya.