Categories
AGENDA JENAYAH

Mayat bayi ditemui beralas papan kayu di Setapak

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Mayat bayi perempuan cukup sifat ditemukan beralaskan papan kayu di kawasan rumput di Flat Danau Kota, Setapak hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu daripada orang awam pada pukul 8.21 pagi tadi.

“Hasil penemuan di tempat itu mendapati mayat yang dijumpai dipercayai berumur sehari, jantina perempuan dan bangsa tidak pasti,” katanya dalam kenyataan.

Ashari berkata tiada kecederaan ditemukan pada mayat bayi berkenaan yang kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit.

Ashari memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau balai polis berhampiran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Mayat bayi perempuan ditemukan dalam tong sampah

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan di dalam tong sampah berdekatan tempat letak kenderaan bertingkat sebuah pangsapuri di Bandar Tun Razak, Cheras di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata mayat bayi berkenaan ditemukan seorang lelaki warga asing yang merupakan pekerja pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira 5.50 petang.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa menjumpai mayat bayi tersebut ketika mengambil tong sampah dan memaklumkan perkara itu kepada penyelianya.

“Mayat bayi malang tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras untuk proses bedah siasat hari ini.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan dijumpai pada bayi itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkan maklumat di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis berdekatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat bayi dihurung semut ditemui tepi jejantas

SHAH ALAM, 5 MEI: Mayat seorang bayi lelaki dipercayai ditinggalkan sejak dua hari lalu, ditemui di tepi Jejantas Jalan Jepun Kampung Delek, Taman Muhamad Yamin, Klang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata pihaknya menerima laporan dari pengawal keselamatan wanita pada jam 6.12 petang, yang menemui bayi itu dalam keadaan dihurung semut.

“Menurut wanita itu, dia menjumpai mayat berkenaan dalam perjalanan balik ke rumah di Kampung Sungai Sireh dari tempat kerja di Sungai Jati.

“Pada awalnya, wanita terbabit nampak sepasang suami isteri berada di lokasi dan memberitahu ada mayat bayi tetapi tidak menghubungi polis, lalu wanita itu menghubungi MERS 999,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam kenyataan.

Beliau berkata tiada kesan kecederaan pada tubuh bayi berkenaan dan mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat jam 2 petang ini.

“Pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati bayi lelaki cukup sifat, panjang anggaran kurang dari dua kaki bertali pusat.

“Siasatan juga dijalankan bagi mengetahui sama ada bayi itu masih hidup atau sudah meninggal dunia ketika ditinggalkan,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Categories
AGENDA JENAYAH

Mayat bayi perempuan ditemui di tepi loji air

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Mayat bayi perempuan berusia lapan bulan dengan kesan lebam di kepala dan kaki ditemukan di tepi Loji Rawatan Kumbahan Taman Kinrara, Puchong dekat sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rusdi Daud berkata, polis dimaklumkan mengenai penemuan bayi itu pada pukul 1.18 petang oleh seorang pemandu lori.

“Terdapat kesan suntikan imunisasi di lengan kiri mayat bayi berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menyalurkannya ke mana-mana balai polis terdekat,” katanya.

-BERNAMA