Categories
AGENSI SELANGOR

Mayat wanita ditemukan di tepi Sungai Rambai

SHAH ALAM, 4 MEI: Polis menemukan mayat seorang wanita dipercayai rakyat tempatan di tepi Sungai Rambai, Bestari Jaya, Kuala Selangor, dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat dari orang awam kira-kira 7.30 petang dan mendapati mangsa yang belum diketahui identitinya telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan lanjut telah dijalankan di mana butir-butir peribadi mangsa tidak dapat dikenal pasti. Mangsa telah dijumpai terapung di tepi tebing Sungai Rambai, dalam kebun kelapa sawit lebih kurang satu kilometer dari Jalan Rawang, Bestari Jaya dalam keadaan terlentang.

“Hasil semakan awal mendapati, mangsa yang berpakaian baju kemeja maroon dan berseluar jean tetapi bajunya dalam keadaan hampir tercabut serta berada dalam keadaan separuh bogel. Tiada sebarang identiti ditemukan pada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan hasilnya mendapati, terdapat kesan kecederaan pada fizikal tubuh serta dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam.

“Mana-mana pihak atau keluarga yang kehilangan ahli keluarga, boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor ASP Mohd Sufian Amin di talian 012-6149580 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.

– BERNAMA