Categories
AGENDA NASIONAL

Maybank, Petronas ungguli tangga teratas majikan siswazah terbaik 2020

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Maybank dan Petronas menduduki tangga teratas sebagai Majikan Siswazah Terbaik 2020 menerusi Anugerah 100 Majikan Siswazah Terbaik Malaysia.

Menerusi majlis yang dianjurkan secara maya semalam, 10 tempat teratas diungguli oleh Maybank di tempat pertama, Petronas di tempat kedua, diikuti oleh PwC, KPMG, EY, Bank Negara Malaysia, Air Asia, Intel Malaysia, Deloitte dan RHB Banking Group.

GTI Media selaku penganjur anugerah memaklumkan senarai itu adalah berdasarkan 26,654 jawapan kaji selidik mengenai majikan pilihan di Malaysia yang dikumpul daripada graduan.

“Berpusat di United Kingdom, senarai 100 Majikan Siswazah Terbaik Malaysia ini merupakan kaji selidik terbesar dan antara terawal dalam mengkaji kebolehpasaran siswazah di Malaysia,” menurut GTI Media dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, tiga faktor utama responden memilih majikan terbaik adalah peluang bekerja di bawah pemimpin yang bagus, peluang untuk membangun dan mempertingkatkan kemahiran peribadi serta peluang meningkatkan kemahiran profesional.

Anugerah tahunan tersebut turut menyenaraikan pemenang majikan pilihan siswazah mengikut sektor melibatkan 20 sektor utama dan dua kategori istimewa, antaranya BMW Group bagi sektor automatif, Shopee (e-dagang), Sunway Education Group (pendidikan) dan Astro (Media dan Hiburan).

Senarai penuh boleh didapati menerusi https://bit.ly/M100AwardsPresentation2020 dan www.malaysias100.com.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Maybank sasar agih RM4-5 bilion pinjaman biayai digital PKS

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Malayan Banking Bhd (Maybank) menyasarkan untuk mengagihkan pinjaman kira-kira RM4-5 bilion menerusi penyelesaian pembiayaan digital segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Maybank SME Digital Financing yang baharu dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti bank itu, Datuk John Chong berkata dengan tempoh berbaki tahun ini yang tinggal tiga setengah bulan lagi, Maybank menyasarkan untuk mengagihkan kira-kira RM500 juta menerusi produk itu.

“Secara keseluruhannya bagi PKS, kami menjangkakan dapat mengagihkan kira-kira RM35 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan 17 peratus daripadanya disasarkan disumbangkan oleh platform digital itu,” katanya pada sidang media secara maya selepas majlis pelancaran tersebut.

Chong turut yakin terhadap platform digital itu dan menegaskan kualiti aset PKS dapat diuruskan dengan baik walaupun membabitkan campur tangan manusia yang terhad.

“Kami juga dapat mengurus kualiti aset itu dengan baik menerusi data pelanggan mengenai pengetahuan dan teknologi kredit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia Datuk Hamirullah Boorhan berkata setakat ini, pertumbuhan pinjaman segmen PKS telah mencecah 15 peratus berbanding 12 peratus pada tahun lepas.

“Maybank menyasarkan pertumbuhan segmen itu bagi tahun ini sebanyak 18 peratus dengan sasaran agihan RM35 bilion untuk tiga tahun akan datang,” katanya.

Maybank SME Digital Financing itu adalah yang pertama di pasaran menawarkan pengalaman digital secara menyeluruh dengan proses lengkap daripada peringkat permohonan dan pengagihan.

Ia yang berasaskan teknologi pembelajaran mesin, akan membolehkan keseluruhan proses terbabit siap dalam tempoh 10 minit, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dari segi masa pembiayaan PKS di negara ini, kata Maybank.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias dalam pembentangannya di majlis itu berkata produk baharu tersebut menandakan kemajuan seterusnya bank tersebut dalam skop pinjaman digital selain meraih satu lagi pencapaian dalam perjalanan perbankan digital Maybank.

Menurutnya, ia juga menandakan usaha bank berkenaan untuk meningkatkan aspek keterangkuman bagi pembiayaan PKS.

Beliau berkata, usaha bank-bank untuk merekabentuk pendekatan bagi pembiayaan PKS dengan risiko boleh diterima juga merupakan satu cabaran.

“Berpandukan data dan pengetahuan kredit kami sambil memanfaatkan keupayaan pembelajaran mesin, kami dapat mengukur risiko pelanggan dengan lebih baik dan menyediakan pembiayaan termasuk kepada syarikat pemula niaga yang baru beroperasi selama setahun,” katanya.

Beliau berkata kesemua pembiayaan yang ditawarkan menerusi platform itu adalah tanpa cagaran bagi membolehkan penyediaan pembiayaan cepat dan meringankan keperluan aliran tunai segera yang diperlukan oleh perniagaan kecil.

Maybank berkata ia turut bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) untuk memberi perlindungan jaminan bagi pembiayaan PGX/PGX-i Online – salah satu produk yang ditawarkan di saluran digital dengan jaminan sehingga 70 peratus.

Kalangan perniagaan PKS yang berdaftar dengan perolehan di bawah RM25 juta, termasuk bukan pelanggan Maybank, adalah layak memohon pembiayaan menerusi platform itu.

Selain itu, pemohon yang diluluskan juga boleh mendapatkan pembiayaan minimum RM10,000 sehingga maksimum RM250,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun, kata Maybank.

-BERNAMA

 

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

60 tahun bertapak, Maybank kongsi pencapaian dan perancangan masa depan

Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Sewaktu Maybank memulakan operasinya 60 tahun lepas pada 12 September 1960 menerusi cawangan pertama ikoniknya di Jalan H S Lee di sini, negara ini sebaliknya sedang berada di persimpangan.

Pada masa itu, Malaysia atau dikenali sebagai Malaya sebelum ini, baru sahaja mengecapi kemerdekaan dan kalangan barisan pengasas bank itu yang diterajui oleh mendiang Tan Sri Khoo Teck Puat, menggalas misi atau matlamat utama – membantu membiayai pertumbuhan ekonomi negara selain memastikan bank itu dapat diakses oleh segenap lapisan rakyat.

Tiada siapa pun tahu ‘nasib’ sebenar bank itu – sama ada mampu meneruskan kelangsungan dalam persekitaran yang sekian lamanya dikuasai oleh bank-bank asing atau sebaliknya ‘hanyut’ dalam persaingan dengan institusi kewangan yang bergelar gergasi ketika itu.

Sejajar dengan kehadiran detik istimewa bersempena ulang tahun ke-60 Maybank pada Sabtu ini, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias sempat mengimbau liku-liku perjalanan bank itu dengan menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang telah berperanan penting dalam mencorakkan serta membantu menjadikan institusi kewangan tersebut antara kisah kejayaan Malaysia.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias. Foto BERNAMA

“Ramai yang kami perlu hargai dan ucapkan terima kasih – barisan pemimpin dan pekerja yang membangunkan bank ini, para pelanggan setia, pihak pengawal selia, rakan niaga, pelabur serta masyarakat secara amnya,” katanya.

Bercakap kepada Bernama, beliau menyifatkan sokongan padu mereka secara kolektif itulah yang membolehkan Maybank muncul sebagai entiti tersenarai terbesar negara dan bank keempat terbesar di Asia Tenggara dengan lebih 2,600 cawangan runcit di peringkat global.

Selain berpangkalan di Malaysia, Maybank turut beroperasi di Singapura dan Indonesia.

Kumpulan perbankan itu juga bertapak kukuh di Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Hong Kong, China, Thailand, India, Uzbekistan, Emiriah Arab Bersatu, Laos, Myanmar, Pakistan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Nilai

“Saya percaya, nilai-nilai teras kami yang bertunjangkan matlamat penubuhan bank ini sendiri – menginsankan perkhidmatan kewangan sehinggalah membina kepercayaan dan ini jugalah yang akan terus memacu kejayaan Maybank di masa-masa depan selagi terus berpegang teguh kepadanya.

“Sedari awal lagi, barisan pengasas kami komited untuk membawa perkhidmatan perbankan itu kepada orang ramai. Mereka menyedari bahawa kalangan masyarakat dan orang biasa sewajarnya mendapat akses kepada pembiayaan serta mampu berkembang maju secara ekonomi dan sosial,” tegas beliau.

Ini berkait rapat dengan aspirasi bank itu untuk menyokong pembangunan negara dan komuniti sebagaimana Malaya yang baru bangkit dan perlu meneruskan kelangsungan sebagai sebuah negara bebas dan mewujudkan kehidupan lebih baik untuk rakyatnya.

“Kami tidak pernah tersasar daripada prinsip-prinsip ini – sama ada di Malaysia mahu pun di negara-negara asing yang menjadi tempat beroperasi pada hari ini. Matlamat kami tetap sama dan banyak kerajaan turut memperakuinya.

“Malah, hakikatnya, ia telah berkembang secara menyeluruh dan berubah kepada matlamat teras iaitu ‘menginsankan perkhidmatan kewangan.

“Matlamat ini menjadi pegangan kami dalam segenap perkara yang diusahakan – bertindak secara integriti, membuat keputusan perniagaan, bagaimana kami melayan para pelanggan dan pekerja, berkaitan dengan rakan niaga, pengawal selia dan pelabur serta semua yang lain,” katanya.

Mewujudkan ikatan kepercayaan yang kukuh dengan pemegang kepentingan merupakan satu lagi bahagian yang diambil berat oleh Maybank.

“Ini telah menjadi satu lagi tonggak utama yang dibina oleh Maybank. Kepercayaan adalah asas kepada hubungan perbankan dan kami berbangga mendapat kepercayaan daripada berjuta-juta pelanggan, kakitangan kami dan semua pemegang kepentingan, yang memberikan kelebihan kompetitif kepada kami.

“Kepercayaan, seperti reputasi, sukar untuk dibina dan mudah putus.

“Sebagai sebuah institusi kewangan, kami menyedari hal ini dan bekerja keras untuk terus mengukuhkan ikatan ini dengan pemegang kepentingan kami,” katanya.

Menurut Farid kepercayaan yang diberikan kepada Maybank jelas dipamerkan semasa berlakunya krisis kewangan.

“Kita tahu semasa keadaan tersebut ketika kualiti menjadi satu perkara yang diberi perhatian, Maybank merupakan antara yang paling utama menjadi pilihan orang ramai – mencerminkan kepercayaan mereka terhadap keupayaan kami yang mampu bertahan malahan dalam keadaan paling sukar,” dedahnya.

Seiring dengan kepercayaan, berhemat merupakan satu lagi nilai tradisional yang didukung oleh Maybank.

Farid berkata sebagai pihak yang menjaga wang orang ramai dan komponen utama kestabilan sistem kewangan – bukan hanya di Malaysia tetapi di banyak pasaran di rantau ini – Maybank menyedari bahawa ia perlu kekal menjadi tunjang kepada sistem.

“Mengambil pendekatan berhemat bukan bermakna tidak aktif atau mundur – prinsip panduan yang memacu semua kakitangan Maybank adalah kami perlu berkembang dengan secara bertanggungjawab dan memastikan kami terus menjana nilai bagi semua pemegang kepentingan kami – bukan memusnahkannya.

“Pendekatan konservatif ini telah membantu kami selama bertahun-tahun ini dan memastikan kami mampu bertahan dengan segala cabaran,” ujarnya.

Petunjuk jelas daripada ini dapat dilihat bagaimana Maybank telah berkembang kukuh sejak penubuhannya.

Dalam laporan tahunan pertamanya pada Jun 1961, selepas sembilan bulan beroperasi, Maybank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak $53,509 dan memiliki aset bernilai $102 juta.

Hasil daripada pendekatan berhematnya selama ini, Kumpulan itu telah berjaya membangunkan asas yang kukuh, merekodkan keuntungan bersih RM8.2 bilion pada 2019, dengan aset melebihi RM834 bilion.

Menerusi komitmen mengambil pendekatan berhemat inilah juga yang menjadikan Maybank mampu bertahan daripada sebarang impak peristiwa tidak dijangka yang membawa kesan melampau.

“Sama ada ia pengurusan risiko, membangunkan perancangan tenaga kerja kami atau paras modal kami ke tahap antara yang terbaik di rantau ini pada hari ini, ia sentiasa dilakukan dengan kepercayaan bahawa kami perlu meletakkan asas yang cukup kuat untuk bertahan dengan sebarang kejutan yang tidak dijangka.”

Mencari Keseimbangan yang Betul

Farid berkata Maybank akan terus berusaha keras mencari keseimbangan yang betul untuk membantu para pelanggannya dan ekonomi yang berkaitan dalam perjalanan mereka ke arah operasi mampan memandangkan keseimbangan antara pembangunan mampan dan ekonomi terangkum agak tipis.

“Kami mahu melakukan perkara yang betul, dipandu oleh matlamat kami dan seterusnya memastikan kami membina masa depan yang mampan untuk semua.”

Beliau mengakui sementara Maybank pada umumnya telah menikmati kejayaan yang utuh sejak bertahun-tahun lamanya, ia tidak akan dapat dicapai tanpa mengharungi cabaran.

Antaranya, masalah besar perbankan dalam tahun 1966, krisis global dan kewangan Asian, dan sekarang, pandemik Covid-19 yang merupakan tempoh sukar bagi Kumpulan. “Ya, ini merupakan tempoh yang sangat mencabar, tetapi apa yang paling penting, soalan yang harus ditanya ialah sama ada kita telah belajar apa-apa dari situ – dan saya percaya, kita telahpun berbuat demikian,” kata beliau.

Inovasi Kunci Untuk Berjaya

Maybank tidak pernah lari daripada sebarang inovasi.

“Sejarah kami dipenuhi dengan pelbagai pencapaian dan kejayaan pertama yang tidak terhitung banyaknya – sama ada ianya perbankan menerusi telefon dan internet, penembusan ke pasaran seberang laut, perbankan menerusi bas mudah alih dalam tahun 1970an dan sekarang dengan telefon mudah alih,” kata beliau.

“Pada masa sama, kami telahpun memperkenalkan amalan sumber manusia dan beberapa program pemerkasaan komuniti berteraskan industri seperti program “Women Eco-Weavers” dan program latihan “Reach Independence Sustainable Entrepreneurship” untuk orang kelainan upaya dan terpinggir yang sudahpun diperakui di peringkat serantau.

Farid percaya inovasi akan menjadi kunci kejayaan Maybank di masa hadapan dengan pengaruh kuat digital, sambil menambah syarikat akan terus melabur secara strategik bagi memastikan ia telah membuat persediaan rapi.

“Kami tidak berbelanja sembarangan tetapi menerapkan amalan yang ketat untuk merealisasikan nilai daripada setiap satu pelaburan kami.”

“Kami memberi tumpuan terutamanya kepada penggunaan data dan teknologi bagi membantubukan sahaja dalam membuat keputusan tetapi juga dalam memberi maklum balas kepada keperluan pelanggan dalam dunia yang pesat berubah ini.

“Pasukan pengembangan aplikasi kami di Malaysia dan Bangalore telahpun menghasilkan beberapa penyelesaian proprietari yang kami gunakan dalam operasi termasuk platform sesawang dan perbankan mudah alih. Kami juga akan melancarkan lebih banyak lagi dalam beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 tahun kami.”

Masa depan

Malah, apabila mengimbau kembali masa lalu dengan penuh rasa berterima kasih, Farid berkata Maybank secara aktifnya merancang masa depan yang berbeza berbanding sebelum ini.

“Kehidupan ini kini dalam dunia yang amat berbeza khususnya susulan pandemik ini. Ironinya, semasa kejayaan diraih dalam sejarah kami, kami dicabar semula seperti ketika baru bermula – bolehkah kami kekal berdaya tahan dalam persekitaran dunia yang kesemuanya berubah?”

“Seringkali kedengaran kata-kata ‘biarlah masa yang menentukan’, namun, pada masa sama kita perlu berfikir secara berbeza.

“Ada pepatah mengatakan – esok adalah hari ini, dan pada hari inilah kita perlu bangkit mencipta dunia untuk masa depan. Oleh itu, kami tidak akan menunggunya untuk berlaku, sebaliknya akan bekerja keras untuk mencipta masa depan bagi generasi akan datang,” katanya.

Atas dasar itu, Farid menzahirkan keyakinan, walau apa pun terjadi, Maybank akan kekal berdaya tahan dan terus berkembang pada masa akan datang.

“Kami telah mempelbagaikan operasi di rantau ini, 43,000 pekerja, asas kewangan yang kukuh dan keyakinan pihak berkepentingan yang perlu sentiasa kami pertahankan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih suku kedua Maybank susut kepada RM941.73 juta

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020, susut kepada RM941.73 juta akibat impak Covid-19 berbanding RM1.94 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan hasilnya turut berkurangan kepada RM11.79 bilion daripada RM13.05 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan hari ini, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu menyifatkan prestasi kewangan itu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengurangan kadar faedah yang membabitkan sebahagian besar pasaran serantau akibat Covid-19.

Menurut bank itu, pendapatan berasaskan dana bersih bagi suku berkenaan juga merosot pada RM326.5 juta daripada tempoh sama tahun lepas, terutamanya akibat kerugian modifikasi Satu Hari susulan pelaksanaan moratorium menyeluruh bagi pembiayaan berkadar tetap dan potongan 50 mata asas (bps) Kadar Dasar Semalam (OPR).

Ini bagaimanapun diimbangi oleh pengurangan pinjaman lebih ketara, khususnya bagi segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan gadai janji, pertumbuhan kukuh membabitkan deposit akaun semasa dan simpanan (CASA) yang sebaliknya meningkatkan nisbah CASA kepada 40.2 peratus selain membiayai pelan bantuan khas untuk segmen PKS.

Setakat 14 Ogos, 2020, kumpulan itu telah menyalurkan sejumlah RM1.4 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas Bank Negara Malaysia kepada PKS.

Sejajar dengan persekitaran operasi yang lebih suram bagi suku terbabit, aspek kawalan kos kekal menjadi tumpuan utama kumpulan perbankan itu yang menyaksikan kos overhed berkurangan sebanyak 4.1 peratus kepada RM2.71 bilion dalam suku kedua 2020 daripada RM2.82 bilion pada suku sama tahun lepas.

Kerugian bersih rosot nilai bagi suku kedua 2020 bagaimanapun bertambah kepada RM1.74 bilion berbanding RM452.3 juta setahun lepas berikutan langkah kumpulan itu mengekalkan pendirian berhemat dan mengutamakan kemajuan masa depan berdasarkan kemungkinan penularan pandemik yang dijangka terus menjejaskan perniagaan dan individu global.

Mengulas prestasi bagi suku itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Abdul Farid Alias berkata keputusan itu hanya memaparkan apa yang dilalui oleh bank itu seperti PKP diperlukan bagi membendung penularan Covid-19, dasar susulan mengenai kadar faedah serta pendekatan proaktif membabitkan moratorium.

“Tempoh itu memberi kami peluang untuk melakukan penyelarasan sewajarnya agar dapat produktif semula dalam keadaan kini yang dikenali sebagai kebiasaan baharu.

“Selepas selesai, kami dapat menumpukan usaha untuk membantu pelanggan yang terjejas akibat pandemik itu bagi meneruskan operasi perniagaan serta kehidupan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata strategi Maybank dalam mengekalkan paras mudah tunai dan modal yang tinggi terbukti banyak membantu bank itu, malah akan terus mempertahankan lembaran imbangan lebih kukuh bagi memastikannya berupaya merebut peluang perniagaan apabila keadaan pulih semula.

Pada masa sama, katanya, bank itu akan terus mencari peluang pertumbuhan sama ada dalam segmen pengguna dan perbankan global, insurans dan perbankan Islam selain meningkatkan tawaran digital bagi menguasai bahagian pasaran lebih besar.

“Selain itu, kami akan memperhebatkan tumpuan terhadap pengurusan kos dan risiko untuk kekal berdaya tahan dalam jangka panjang,” katanya.

Berikutan persekitaran semasa yang tidak menentu akibat Covid-19, Maybank akan terus mengutamakan aspek pemeliharaan modal dan mudah tunai dan atas alasan itu ia tidak akan mencadangkan dividen interim bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PNB lancar aplikasi mudah alih pelaburan mikro pertama Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan Raiz, aplikasi mudah alih pelaburan mikro pertama Malaysia, yang membolehkan rakyat negara ini melabur dengan nilai bermula serendah RM5.

Semasa pelancaran Raiz secara maya hari ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata pihaknya menyasarkan lebih 60,000 pendaftaran bagi aplikasi itu menjelang akhir 2020 dan ia kini mempunyai 15,000 pengguna.

Aplikasi inovatif itu dibangunkan oleh Raiz Malaysia Sdn Bhd, syarikat usaha sama 30:70 di antara anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn Bhd dengan Raiz Invest Australia Ltd (Raiz Invest) iaitu unit Raiz Invest Ltd yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX).

Beliau berkata warga Malaysia boleh memuat turun, mendaftar dan menggunakan aplikasi itu untuk mula melabur dengan nilai serendah RM5 dalam akaun masing-masing.

“Ini merupakan perkembangan semula jadi bagi usaha capaian PNB untuk memastikan produk unit amanah kami boleh diakses secara mudah oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata aplikasi itu merupakan satu lagi inisiatif yang memanfaatkan pengalaman digital untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan dan melabur.

“Susulan pelancaran aplikasi Raiz, dan dengan lebih 90 peratus rakyat Malaysia kini menggunakan telefon pintar, ini bermakna hampir semua orang boleh mula melabur secara mudah menerusi kaedah ini.

“Seperti kata peribahasa, berdikit-dikit lama-lama menjadi bukit. Dalam era teknologi masa kini, kita tidak perlu lagi menyimpan duit dalam tabung syiling, sebaliknya, kita dapat melakukannya dengan Raiz,” katanya dalam ucapan.

Beliau berkata untuk memudahkan usaha itu, Raiz Malaysia telah memeterai perkongsian eksklusif dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) untuk membolehkan pengguna aplikasi Raiz menghubungkan aplikasi itu dengan kad debit Maybank masing-masing.

“Pada peringkat awal, kami bermula dengan Maybank memandangkan capaiannya kepada pelanggan adalah luas.

“Tahun depan, Raiz akan tersedia untuk kerjasama dengan bank lain dan kami mengalu-alukan lebih banyak kerjasama daripada institusi perbankan dan penyedia e-dompet lain untuk menjadi sebahagian usaha ini, kerana agenda kita ialah menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan dan melabur walaupun dalam nilai wang yang kecil,” katanya.

PNB menerusi kenyataan berasingan berkata Raiz merupakan aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana harga berubah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) secara proaktif berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing.

“Ia adalah cara unik untuk pengguna memanfaatkan sepenuhnya setiap sen yang dibelanjakan dengan bakinya boleh disimpan dan dilabur,” katanya.

Selain daripada pelaburan yang dibundarkan, pengguna boleh memilih untuk melabur secara pelaburan sekali gus dan pelaburan berulang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Top Glove antara saham paling untung di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Top Glove Corporation Bhd muncul sebagai syarikat ketiga terbesar di Bursa Malaysia, mengatasi Tenaga Nasional Bhd (TNB), apabila permodalan pasaran syarikat pembuat sarung tangan itu meningkat kepada RM64.73 bilion ketika ditutup semalam.

Pada 5 petang, saham Top Glove ditutup 9.5 peratus atau RM2.08 lebih tinggi pada RM24 dengan 32.6 juta saham diniagakan.

Kaunter itu mencapai paras tertinggi pada RM24.50 hari ini, dan kini ia berada di belakang dua saham teratas daripada segi permodalan pasaran – Maybank (RM88.7 bilion) dan Public Bank (RM71.9 bilion).

Sementara itu, nilai pasaran TNB adalah RM64.58 bilion pada penutup dagangan semalam.

Pengerusi Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai berkata pembuat sarung tangan terbesar di dunia itu mensasarkan untuk membina dua kilang setiap tahun untuk memenuhi permintaan global bagi sarung tangan getah dalam industri perubatan dan tahap kesedaran mengenai kebersihan yang meningkat di kalangan orang ramai berikutan penularan Covid-19 .

Beliau berkata syarikat itu kini mempunyai 45 kilang dan daripada jumlah itu sebanyak 34 adalah kilang sarung tangan dengan 700 barisan pengeluaran yang mempunyai kapasiti untuk membuat sebanyak 78.7 bilion sarung tangan setahun.

Top Glove juga kekal terbuka untuk penggabungan dan pengambilalihan, usaha sama serta peluang kepelbagaian.

Dalam nota semalam, Kenanga Research berkata ia menaikkan harga sasaran Top Glove kepada RM32, dengan mengambil kira sasaran pengurusan bahawa purata harga jualan sarung tangan pada bulan Ogos ditetapkan menjadi 30 peratus lebih tinggi bulan ke bulan berbanding sasaran sebelumnya sebanyak +10 peratus

MIDF Research berkata ia menjangkakan pengeluaran Top Glove akan meningkat sebanyak 36 peratus daripada 73.8 bilion keping pada suku ketiga 2020 kepada 100.4 bilion keping pada suku keempat 2021.

Justeru, ia meningkatkan saranan ‘beli’ saham Top Glove daripada ‘Neutral’ dengan harga sasaran yang disemak semula sebanyak RM26.12 sesaham daripada RM17.30 sebelumnya.

Sementara itu, AmBank Research percaya bahawa momentum kenaikan saham Top Glove akan terus meningkat pada harga sasaran seterusnya pada RM24.82 dan RM26.62 kerana saham telah melonjak mengatasi tahap rintangan pada RM20.16 dengan jumlah dagangan yang tinggi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kakitangan Maybank sah Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Maybank mengesahkan dua kakitangannya, masing-masing dari cawangan Auto Finance Sibu Central (AFSC) di Sarawak dan Dataran Maybank, Bangsar sedang mendapat rawatan berkaitan virus Covid-19.

Pekerja dari cawangan AFSC itu telah dikuarantin di rumah sejak 14 Mac lepas, apabila ada anggota keluarganya disahkan positif. Ujian selanjutnya, mendapati kakitangan terbabit positif Covid-19, kata bank itu dalam satu kenyataan.

Kakitangan dari Dataran Maybank itu pula mengadu tidak sihat pada 18 Mac berikutan terdedah kepada anggota keluarga yang positif Covid-19. Beliau diuji positif pada 20 Mac dan turut dikuarantin di rumah.

“Sebagai mematuhi prosedur standard Maybank, pengesanan segera telah dibuat bagi memaklumkan mereka yang pernah berhubung dengan kedua-dua pekerja, mereka ini turut menjalani pemeriksaan dan dikuarantin di rumah,” katanya

Maybank Sibu Central (yang terletak di atas AFSC) dan AFSC ditutup sehingga 31 Mac 2020 untuk tujuan pembersihan. Pelanggan boleh melakukan transaksi mereka di cawangan Sibu yang terletak kira-kira 800 meter jauhnya atau lain-lain cawangan, atau menggunakan platform perbankan dalam talian/elekronik.

Bank tersebut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa ia mematuhi garis panduan kesihatan yang diperlukan dan telah memulakan pelan kesinambungan perniagaannya untuk memastikan perkhidmatan penting perbankan tidak terganggu.

Menurut bank itu, sejak Januari 2020, ia mengambil tindakan pencegahan dan kebersihan ke atas operasi perbankan fizikalnya bagi mengurangkan sebarang risiko kesihatan yang timbul daripada penyebaran Covid-19, kakitangan turut disediakan peralatan perlindungan diri.

Pembersih tangan disediakan bagi kegunaan kakitangan dan pemeriksaan suhu harian juga dibuat dalam usaha untuk memastikan kesejahteraan kesihatan kakitangan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS-Maybank sedia pinjaman rumah 100 peratus

SHAH ALAM, 27 JUL: Orang ramai kini berpeluang membeli rumah dengan lebih mudah apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Maybank menawarkan pinjaman 100 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, perjanjian kolaborasi itu adalah untuk pelaksanaan ‘Skim Smart Selangor First Home Buyer’.

 

“Skim yang diilhamkan Kerajaan Selangor ini adalah skim bantuan pinjaman bagi memudahkan rakyat Selangor yang menyaksikan Maybank akan menyediakan pembiayaan sebanyak 90 peratus.

“Manakala, Kerajaan Negeri akan memberi bantuan pembiayaan sebanyak 10 peratus dan PKNS dilantik menjadi agensi pelaksana skim berkenaan.

“Skim ini adalah insentif pembiayaan pinjaman 100 peratus pada kadar faedah yang rendah untuk lapan tahun pertama. Ini akan memudahkan pembeli untuk mendapatkan pinjaman, seterusnya memiliki rumah idaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Hartanah PKNS 2019 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Azizi turut menyerahkan replika ‘Skim Smart Selangor First Home Buyer’ kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman sebagai simbolik kerjasama.

Hadir sama, pegawai kanan PKNS termasuk Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah, Azmi Adnan, Ketua Pegawai Kewangan, Nor Azlina Amran dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir.

Pada pameran sama, Maybank juga membuka kaunter khas untuk urusan perkhidmatan semakan kelayakan pinjaman perumahan buat para pengunjung yang hadir.

Mengulas lanjut Azizi berkata, skim berkenaan terbuka kepada pembeli Rumah Selangorku yang dibangunkan PKNS dan anak syarikat PKNS sahaja.

Projek itu termasuk di Selangor Cyber Valley, Antara Gapi, Kota Puteri, Klang dan Kampung Sri Temenggung Gombak.

Categories
NASIONAL

Pengimbas muka, suara untuk aplikasi Maybank2u

SHAH ALAM, 22 NOV: Malayan Banking Berhad (Maybank) kini melancarkan sistem keselamatan baharu iaitu pengimbas muka dan suara dikenali sebagai ID Muka dan ID Suara membolehkan pelanggan mengakses akaun menerusi Aplikasi Maybank2u.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, pelanggan yang ingin mengakses perlu mempunyai peranti dilengkapi kamera hadapan dengan resolusi grafik minimum 2.0 megapixel dan mempunyai mikrofon.

“Menggunakan pendekatan keselamatan bertingkat dengan kriteria akses berbeza serta menggabungkan pengetahuan pelanggan apa yang mereka miliki dan lokasi.

“Ini membantu mengurangkan penipuan dan penyalahgunaan,” katanya lapor Sinar Harian.

Hamirullah berkata, sistem itu memberi manfaat besar kepada pelanggan apabila peranti tidak mempunyai alat pengimbas cap jari atau cap jari tidak boleh dibaca.

Disamping itu, kewujudan sistem itu memberi pengalaman baharu kepada pelanggan yang ingin mengakses akaun dengan lebih cepat dan dalam jumlah yang besar dengan lebih terjamin.

Menjelang akhir 2017, lebih satu bilion urus niaga mudah alih akan melalui sistem digital Maybank2u bernilai lebih RM22 bilion.

Setakat Oktober 2017, pertumbuhan tahun ke tahun dalam urus niaga kewangan mudah alih mencapai 95 peratus.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Datuk Mohaiyani pengerusi baru Maybank

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 MAC: Datuk Mohaiyani Shamsudin secara rasminya dilantik sebagai Pengerusi Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang mengakhiri perkhidmatannnya, hujung bulan ini.

Memetik Malaysiakini, presiden yang juga dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pelantikan Mohaiyani sebagai pengerusi petanda baik bagi Maybank.

Katanya, Mohaiyani berkhidmat sebagai pengarah Maybank selama lebih lima tahun dan semestinya mampu memastikan kesinambungan di pihak lembaga.

datuk mohaiyani maybank“Mohaiyani mempunyai kerjaya menarik dan pengalaman luas bukan sahaja dalam industri perkhidmatan kewangan tetapi juga dalam perkhidmatan awam.

“Sebagai ahli lembaga pengarah semasa, beliau sudah meninjau semua aspek kumpulan ini dan kami yakin beliau akan menerajui Maybank dengan berkesan melalui jawatan baru itu,” katanya.

Memetik The Edge, Mohaiyani kini adalah pengerusi Maybank Investment Bank Bhd, sejak Mac 2016.

Pada 22 Ogos 2011, Mohaiyani mula dilantik sebagai pengarah Maybank selain turut berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa lembaga dalam Jawatankuasa Kajian Kredit dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

Beliau pernah berkhidmat dengan Amanah Chase Merchant Bank Bhd dan Seagrott & Campbell Sdn Bhd sebelum memulakan firma broker saham, Mohaiyani Securities Sdn Bhd pada tahun 1985 selaku pengarah urusan.

Sepanjang penglibatan aktif dalam industri broker saham, beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Bursa Saham Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia Bhd) dan Pengerusi Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor-Maybank wujud skim khas Rumah Selangorku

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 OGOS: Golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang gagal mendapatkan pinjaman rumah dibantu melalui Skim Khas Pembiayaan Pembelian Rumah Selangorku.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata skim itu membantu golongan tanpa pendapatan tetap, tiada bukti pendapatan dan umur lanjut untuk memohon pinjaman.

Katanya, kerjasama antara Kerajaan Selangor dan Maybank itu melibatkan 674 orang daripada lima projek Rumah Selangorku pada fasa pertama.

Menandatangai Skim Khas Pembiayaan Perumahan bersama Maybank MB (7)“Antara projek terlibat adalah Taman Selayang Mutiara, Bukit Botak (164 bakal pembeli), Rumah Kos Rendah (RKR) Rimba Jaya seramai 104 orang, RKR Ukay Indah Sungai Sering (116), RKR Lembah Subang 2 (262) dan RKR Berembang Indah (28),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Skim Khas Pembiayaan Pembelian Rumah Selangorku, di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Skim itu membiayai sehingga 97.5 peratus daripada nilai harga hartanah dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 atau 60 tahun.

Senarai pemohon ditapis Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan pihak berkuasa negeri sebelum nama mereka diserahkan kepada Maybank Islamic untuk kelulusan pembiayaan.

Pada masa sama, Mohamed Azmin, berkata Kerajaan Negeri optimis sasaran pembinaan 15,000 unit Rumah Selangorku dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, ia dapat direalisasikan melalui kerjasama LPHS bersama pemaju swasta untuk mengadakan program pelancaran dan pendaftaran Rumah Selangorku.

“Setakat ini, 11 projek Rumah Selangorku sudah dilancarkan melibatkan 12,409 unit.

“Saya yakin dalam tempoh dua tahun lagi, sasaran Kerajaan Selangor tercapai,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Dakwa Ditindas Majikan : 20,000 Ahli NUBE Tawan Jalan Tun Perak

NUBE 01

KUALA LUMPUR, 6 APRIL : Rimas ditindas sejak sekian lama, akhirnya lebih 20,000 ahli Persatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) turun ke jalanan menzahirkan bantahan terhadap pengurusan bank yang melanggar kontrak konservatif di antara majikan dan pekerja.

Kontrak konservatif yang dipersetujui melibatkan kenaikan gaji, bonus dan kelebihan yang diberikan sebagai kakitangan.

Berkumpul di hadapan Dataran Maybank sejak jam 1 petang, Picket Daulat 6413 mula berarak pada jam 2.30 petang dan berkumpul di hadapan Bangunan UAB yang menempatkan premis bank CIMB.

Laungan ‘CIMB Down Down’ dan ‘Lawan Tetap Lawan’ bergema sepanjang Picket Daulat 6413 selain beberapa sepanduk yang mencuri tumpuan orang ramai sehingga mereka turut sama membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Antara kain rentang dan sepanduk yang dipamerkan adalah ‘Adik PM Malaysia Mungkiri Janji’, ‘Maybank Tipu Maybankers’, ‘Ahli tipu dipecat, pengurus tipu naik pangkat’, ‘Pengurus Amiruddin menindas ahli hamil’, ‘Abang sulung janji ditepati, adik bongsu janji dimungkiri’ dan ‘Darah pekerja diperah, belanja golf RM18.7 juta’.

Himpunan ini turut dimeriahkan dengan paluan gendang dan tiupan wisel, Picket Daulat 6413 mengemukakan 10 tuntutan segera yang perlu ditunaikan tiga bank utama iaitu Maybank, CIMB Bank dan Bank Muamalat.

10 tuntutan tersebut adalah:

– Hentikan pencabulan Rukun Negara.

– Hentikan jualan produk secara salah.

– Hentikan penyahkawalseliaan khidmat perbankan.

– Hentikan caj yang melampau terhadap pelanggan.

– Hentikan diskriminasi pelanggan mengikut kaum.

– Hentikan penamatan perkhidmatan pekerja senior.

– Hentikan esploitasi terhadap pekerja.

– Hentikan penganiyaan terhadap pekerja hamil.

– Hentikan mewujudkan pengangguran.

– Hentikan galakan ketaksamaan pendapatan.

Risalah Picket Daulat 6413 memaparkan pendapatan tiga CEO bank utama iaitu CIMB Bank, Maybank dan Bank Muamalat.

CEO Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid mempunyai pendapatan tahunan bernilai RM3.3 juta dan CEO Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dengan perolehi pendapatan tahunan berjumlah RM6.26 juta.

Manakala adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan CEO CIMB Datul Seri Nazir Razak mendapat RM10 juta setahun.

Timbalan Presiden NUBE, Abdul Jamil Jalaludden, dalam ucapannya melahirkan kekesalan terhadap Kementerian Sumber Manusia, yang gagal membantu mereka meskipun pelbagai aduan telah dibuat sebelum ini.

Beliau yang juga Ketua Cawangan Umno Bukit Bendera turut menuntut perkara ini diselesaikan segera dalam memastikan hak ahli NUBE tidak terjejas.

“Kita minta bantuan daripada Kemterian Sumber Manusia mereka tidak mampu (bantu). Banyak aduan dibuat namun tidak diendahkan. Kami rakyat Malaysia.

Kami minta bantuan (Datuk Seri) Najib (Razak) tapi sampai sekarang tidak membantu kami.

“Inilah peruntukan undang-undang yang ada (berdasarkan Perlembagaan) untuk kami bantah.

“Kita mahu duduk bincang tapi sehingga kini mereka tidak mahu berbincang.

“Jangan tindas kami, kami mahu hak kami sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Himpunan yang berlangsung secara aman selain mendapat kerjasama daripada pihak polis ini menyaksikan kehadiran ahli dari pelbagai cawangan bank malah ada diantara mereka datang dari luar Lembah Klang.