Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Jadikan Pesta Buku Selangor bertaraf antarabangsa

SHAH ALAM, 1 MAC: Penganjuran Pesta Buku Selangor 2020 (PBS2020) diharap melonjakkan prestasinya sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata penganjuran pesta buku itu menjadi salah satu faktor yang mampu menjana ekonomi dan pemangkin kepada budaya ilmu.

Katanya faktor itu menjadi antara sebab utama penganjuran pesta buku setiap tahun bermula pada 2006 di Kompleks PKNS Shah Alam sebelum berpindah ke Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2011.

“Pertukaran lokasi pesta buku ini titik penting kerana Pesta Buku Selangor terpaksa berdiri di atas kekuatan identitinya sendiri tanpa bergantung kepada keramaian pengunjung ke pusat membeli-belah,” kata Amirudin ketika majlis perasmian PBS2020 di SACC, hari ini.

Beliau berkata kajian dilakukan untuk Pesta Buku Toronto 2012 anggaran pengunjung 75,000 hingga 125,000 menunjukkan pesta buku menyumbang sehingga $39 juta (Canadian Dollar) dalam kesan ekonomi, menambah 600 pekerjaan kepada ekonomi tempatan dan menarik kira-kira 20,000 pelancong.

“PBS diharap sentiasa progresif dengan keperluan semasa masyarakat, menjadi pemangkin, berdaya imaginatif dan menguntungkan pembaca, penerbit serta pengarang dalam mencari semula minat terhadap buku agar ia konsisten sebagai budaya ilmu,” katanya.

Pesta buku kali ke-15 ini anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kerajaan Negeri membawa tema ‘Jom Baca’ bersempena sambutan KL Ibu Kota Buku Dunia 2020.

Dengan penyertaan 100 pempamer, penganjur menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung sepanjang 11 hari pesta sehingga 8 Mac hadapan.

Categories
SELANGOR

Demi rakyat, isteri fahami pengorbanan Amirudin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Masdiana Muhamad memahami pengorbanan suaminya yang banyak menghabiskan waktu bersama rakyat seusai pelantikan Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu.

Masdiana berkata, sejak awal perkahwinan Amirudin sudah memaklumkan kepadanya untuk sentiasa bersedia serta memahami tugas suaminya selaku wakil rakyat.

“Seawal perkahwinan lagi, Amirudin sudah mengingatkan saya bahawa 20 peratus dirinya buat saya dan 80 peratus untuk rakyat cuma kadang-kadang sahaja akan seimbang 50 peratus.

“Saya memahami perkara itu dan bersedia untuk menerimanya dengan hati yang terbuka lagipun ini semua demi kebaikan rakyat dan negeri ini juga,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, selepas mengetahui suaminya dilantik memegang jawatan Dato’ Menteri Besar, ia umpama mimpi kerana tidak sangka hingga mencapai tahap sedemikian.

“Tidak dinafikan calon lain yang tercalon juga bagus namun atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melantik suami saya merupakan rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Sebagai isteri, saya sentiasa menyokong beliau (Amirudin) dan akan sentiasa berada dibelakangnya kerana saya yakin Amirudin mampu untuk menjalankan tuags dengan baik serta dapat meneruskan kepimpinanan cemerlang di Selangor,” katanya.

Mengulas mengenai tugas yang bakal dipikul beliau pada masa akan datang, Masdiana berkata, beliau sedia menggalas apa sahaja tanggungjawab yang datang meskipun pelantikan dirinya dalam Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Bagaimanapun, Masdiana yang juga seorang suri rumah sebelum ini berkata, beliau tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawab terhadap enam orang anaknya.

“Walaupun mempunyai tanggungjawab yang besar selepas ini, saya tidak akan mengabaikan anak-anak,” katanya yang mempunyai anak seawal usia tiga tahun sehingga 12 tahun.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Isu restu: Amirudin serah pada pimpinan tertinggi PAKATAN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Desas-desus mengatakan pelantikan Amirudin Shari selaku Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu tidak mendapat restu hangat diperkatakan umum.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, beliau menyerahkan isu itu kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk menjawab segala persoalan mengenai pelantikannya yang dikatakan tidak mendapat restu parti berkenaan.

“Saya rasa baik serahkan sahaja isu ini kepada pucuk pimpinan tertinggi PAKATAN terutamanya dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk merungkai persoalan serta menjelaskan hal berkenaan,” katanya pada sidang media majlis jamuan makan tengah hari di kediaman Exco Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, selain Amirudin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad juga dikatakan turut tercalon untuk memegang jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor.

Ia berikutan selepas penyandang asalnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali diserap masuk ke kabinet sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Namun, atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Amirudin terpilih menjawat jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, mengulas mengenai sama ada akan berlakunya krisis dalam KEADILAN, Amirudin berkata, kini bukan masanya untuk bermain politik sebaliknya masing-masing perlu bekerja keras dan menumpukan pada tugas sendiri.

“Saya percaya kita mampu bekerja dengan lebih baik demi memenuhi mandat, keperluan dan harapan rakyat,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Amirudin optimis tambah baik perancangan di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar baharu, Amirudin Shari optimis mahu menambahbaik segala perancangan yang sudah dilaksanakan di Selangor.

Beliau berkata, buat masa sekarang segala perancangan yang sudah dilaksanakan akan diteruskan seperti biasa.

“Jika saya mahu ubah nanti khuatir ia mendatangkan keadaan yang tidak baik oleh itu kita akan terus sahaja melaksanakannya dengan beberapa langkah penambahbaikkan sahaja,” katanya apabila diminta mengulas pembaharuan yang akan beliau bawa kepada Selangor setakat ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari di kediaman Exco Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Selain itu, Amirudin turut optimis akan sentiasa turun padang selain memastikan semua projek dan perancangan yang sudah disusun berjalan dengan baik.

“Saya tidak menjadi masalah untuk turun padang memandangkan sebelum ini pun selalu turun padang bola sepak,” katanya sambil berseloroh.

Amirudin berkata, beliau yakin dan percaya dengan pasukan yang sedia ada terutamanya daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli Dewan Negeri (ADN) mampu untuknya melaksanakan segala perancangan sebaiknya.

“Saya ada masa dua, tiga, empat tahun untuk buktikan kepada rakyat dan orang sekeliling, saya yakin dengan pasukan yang ada kita mampu melaksanakan perancangan sebaik mungkin,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Terima kasih Sultan Selangor, bersama majukan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar baharu, Amirudin Shari, menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang berkenan melantiknya ke jawatan berkenaan.

Beliau berkata akan menggalas tanggungjawab penuh amanah bersesuaian dengan ikrar dan lafaz sumpah dizahirkan.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dilantik untuk memegang amanah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang ke-16.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang memberikan teladan terbaik sepanjang perkhidmatannya selama tiga tahun empat bulan.

“Sesungguhnya asas tata kelola dan pentadbiran kreatif beliau akan membantu melonjakkan Selangor ke aras lebih tinggi,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua itu juga berterima kasih kepada Presiden KEADILAN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ADN Selangor atas dokongan juga kepercayaan untuknua mengemudi pentadbiran Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memastikan kesinambungan pentadbiran peduli rakyat, telus dan berintegriti.

“Saya berazam meneruskan kecemerlangan Selangor sebagai Negeri Pintar Serantau atau Regional Smart State dengan kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Dengan penuh rendah diri dan tangan terbuka, Dato’ Menteri Besar berkata, pihaknya ingin mengajak anggota perkhidmatan awam Selangor, pihak korporat dan swasta, parti politik juga terutama sekali rakyat untuk menggembleng tenaga memajukan Selangor.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin sebak, tugas selaku Dato’ MB Selangor tamat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JUN: Tugas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selaku Dato’ Menteri Besar Selangor secara rasminya tamat apabila beliau selesai sahaja melakukan ‘punch card’ tepat jam 4.31 petang di sini, hari ini.

Beliau melakukan ‘punch card’ itu di Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, Tingkat 21,Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Ia turut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman.

Selesai sahaja beliau melakukan ‘punch card’, Mohamed Azmin kemudian turun ke Foyer SUK dan menyampaikan sedikit ucapan perpisahan.

Dalam ucapannya, Mohamed Azmin berkata, selesai sudah tugasnya selaku Dato’ Menteri Besar Selangor yang ke-15 dan beliau berterima kasih kepada seluruh rakyat terutamanya yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin tidak mampu menahan sebak di saat memberikan ucapan terakhir selaku Menteri Besar Selangor itu.

Beliau berkata, perpisahan itu merupakan detik yang amat sukar buat dirinya sepanjang memimpin pentadbiran negeri itu.

“Sekali lagi ini pertemuan yang amat sukar bagi saya, namun di kesempatan yang ringkas ini saya ingin memaklumkan sebentar tadi saya telah mengetip kad perakam untuk kali terakhir di bangunan ini.

“Dan dengan itu sudah sampai masanya saya tinggalkan semua di sini,” katanya dalam nada sebak.

Justeru, Mohamed Azmin yang kini sudah memegang jawatan selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau tidak akan sesekali melupakan Selangor malah akan terus bekerjasama dengan penggantinya dalam aspek hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Manakala, Mohamed Azmin berkata, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sudah berkenan untuk menjalankan istiadat angkat sumpah jawatan dan lantikan Dato’ Menteri Besar Selangor baharu itu pada jam 9.30 pagi esok di Istana Alam Shah, Klang.

Terdahulu, Mohamed Azmin sudah mengangkat sumpah sekali lagi sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor namun terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Smart Desa Selangor berdaya masyarakat luar bandar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 NOV: Smart Desa Selangor diyakini mampu memberdaya masyarakat luar bandar terus berada dalam arus perdana pembangunan serta menikmati kemudahan dan mutu kehidupan setara kehidupan moden masyarakat bandar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PLANMalaysia@Selangor berjaya menghasilkan Pelan Halatuju Strategik Desa Selangor 2035, iaitu dokumen perancangan spatial berhubung perancangan dan cadangan pembangunan desa.

Katanya, ia merangkumi aspek fizikal, ekonomi, sosial dan persekitaran yang menjadi asas perancangan dan kluster pembangunan strategik demi mempertingkatkan potensi kemajuan desa.

“Kita perlu memastikan ‘connectivity’ antara bandar dan desa.

“Kita juga mahu watak dan jati diri kedesaan yang bermasyarakat, bergotong-royong, muhibbah dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi terus dikekalkan dan dipertahankan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, terdapat dua hasil utama kajian iaitu Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 dan Sistem Maklumat Smart Desa Negeri Selangor.

“Ia meliputi 519 kampung melibatkan kampung tradisi, kampung tersusun, kampung baru, kampung bagan dan kampung orang asli,” katanya.

Beliau berkata, pembentukan kerangka Smart Desa merupakan penterjemahan Dasar Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

Katanya, ia adalah penegasan terhadap usaha menjana sumber pendapatan secara strategik, melaksanakan pembangunan berkualiti serta menyantuni rakyat melalui Inisiatif Peduli Rakyat.

“Smart Desa Selangor diberi takrifan sebagai pembangunan desa secara bijak dengan mengambil berat terhadap pengurusan sumberjaya terkawal dan pembangunan ekonomi dan spatial terancang untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat desa.

“Penterjemahan ini mensasarkan pengiktirafan sebagai Global Village melalui pelaksanaan pusat Smart Desa dengan model kampung yang dilihat berpotensi bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Smart Desa Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Azmin optimis, laksana 5 tuntutan bekas tentera

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 SEPT : Lima tuntutan (T5P) oleh Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (PAHLAWAN) mampu direalisasikan sekiranya Pakatan diberi mandat mentadbir Putrajaya pada Pilihan Raya Umum 14, depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bidang kuasa Kerajaan Selangor adalah terhad untuk melaksanakan keperluan itu.

“Saya tidak boleh mewakili Kerajaan Persekutuan untuk beri jaminan itu, mungkin November saya boleh, jika kita tawan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Presiden PAHLAWAN, Asri Buang pada forum Malaysia Baru bersama Dato’ Menteri Besar, di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, petang semalam.

IMG_20170916_165501Sebelum ini, PAHLAWAN menuntut Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan dan mengiktiraf jasa veteran tentera yang berkorban mempertahankan negara.

Asri Buang berkata, Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan tuntutan berkenaan walaupun pelbagai memorandum sudah dihantar kepada Putrajaya.

“Hinggakan ada antara pesara ini yang menerima bantuan sekadar RM200 sahaja walaupun mengalami kecacatan seperti hilang anggota badan,” katanya.

Hasil semakan SelangorKini, lima tuntutan itu adalah ;

* Menuntut kenaikan pencen pesara veteran tentera selaras kenaikan gaji semasa

* Menuntut kerajaan memberi imbuhan RM6,000‎ setahun kepada veteran yang tidak berpencen.

* Hak mewariskan pencen veteran pesara kepada waris terdekat selepas kematian pesara terutama isteri yang dinikahi selepas tamat perkhidmatan manakala kelayakan pencen terbitan harus untuk sepanjang hayat.

* Menuntut penyeragaman pencen, pencen hilang upaya (PHU) dan ex-gratia untuk semua veteran tentera hilang upaya (VTHU), perang tanpa mengira tahun akhir perkhidmatan.

* Menuntut kerajaan menyediakan sebidang tanah (atau rumah mampu milik / rumah kos rendah) kepada veteran tentera selepas persaraan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Takziah buat semua rakyat Sarawak

SHAH ALAM 11 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan takziah di atas pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang meninggal dunia hari ini.

“Mendoakan semoga Almarhum dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan di syurga yang penuh nikmat, InshaAllah.

“Takziah buat Puan Sri Jamilah Anu dan keluarga di atas pemergian Almarhum. Semoga diberikan ketabahan menghadapi ujian ini,” kata Mohamed Azmin dalam satu kenyataan.

Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut sama merakamkan takziah kepada keluarga dan rakyat Sarawa.

“Allahummaghfirlahu warhamhu wa ’afihi wa’fu’anhu.”. Takziah buat Puan Sri Jamilah Anu, keluarga dan seluruh rakyat Sarawak di atas pemergian Tan Sri Adenan Satem kerahmatullah hari ini. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan,” katanya yang juga Presiden KEADILAN.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata PAS Selangor melahirkan rasa sedih dan merakamkan setinggi takziah buat seluruh rakyat Sarawak khususnya buat keluarga Al Marhum Dato Adenan Bin Satem, Ketua Menteri Sarawak yang telah kembali ke rahmatullah.

“Kita mengenali beliau sebagai pejuang rakyat Sarawak dan beliau sentiasa menghormati kawan dan lawan. Semoga ALlah mencucuri rahmatNya ke atas roh Al Marhum. Al Fatihah,” katanya dalam kenyataan media.

Menerusi laman sosial Twitter dan Facebook, pemimpin DAP seluruh negara turut  menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Ketua Menteri Sarawak itu.

“Al-Fatihah Tan Sri Adenan Satem. Takziah buat keluarga Allahyarham. Malaysia dan Sarawak telah kehilangan pemimpin unggul yang berjiwa besar. (Al-Fatihah TS Adenan Satem. Deepest condolences to bereaved family. Malaysia and Sarawak have lost great visionary leader.)” – Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang

“Adenan Satem akan terus diingati oleh seluruh rakyat Malaysia. Semoga rohnya dicucuri rahmat dengan Penciptanya. (Adenan Satem will always be remembered by all Malaysians. May his soul Rest In Peace with his Maker.)Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok

=EZY=

Melangkaui 3R : Penyelesaian mapan pengurusan sisa Selangor – Ucapan MB (Part1)

Seminar “Beyond 3R : A more sustainable solution for Selangor waste management”. Ucaptama disampaikan oleh MB Selangor, Mohamed Azmin Ali

Categories
SELANGOR

MB: Belanjawan 49% pembangunan rakyat, tertinggi sejarah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 28 OKT: Kerajaan Selangor bakal memperuntukan sebanyak 49 peratus bagi perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2015, iaitu jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, manakala perbelanjaan mengurus pula akan dikurangkan kepada 51 peratus.

MB Azmin Ali“Selangor buat kali pertama kita isytiharkan belanja mengurus diturunkan ke tahap 51 peratus dan belanja pembangunan ditingkatkan 49 peratus, InsyaAllah.

“Langkah pertama, memotong gaji Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker,” kata Mohamed Azmin dihadapan hampir 2,000 hadirin di Perhimpunan Rakyat Hakim Negara malam tadi.

Kata beliau lagi, ini dapat dilakukan berikutan rezab tinggi dimiliki Selangor ketika ini patut dikembalikan kepada rakyat negeri itu.

“Tidak ada maknanya rezab besar di atas kertas tetapi jalan masih berlubang, sampah tak diangkat,” kata Mohamed Azmin lagi.

Jelas Mohamed Azmin, perbelanjaan pembangunan tinggi mampu memberi kesan positif dalam menjana ekonomi rakyat Selangor.

Tambah Azmin di program solidariti untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, ini berbeza dengan Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2015 dibentangkan Perdana Menteri yan hanya memperuntukan 18 peratus untuk pembangunan berbanding 82 peratus belanja mengurus.

“Jumlahnya besar tetapi jangan kita terperangkap daripada RM273 bilion itu hanya 18 peratus untuk pembangunan dan 82 peratus lagi untuk pengurusan.

“Ini bukan perbelanjaan berhemah tetapi perbelanjaan tidak bertanggungjawab,” kata beliau lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Selangor lawan Akta Hasutan hingga dimansuhkan

SHAH ALAM 27 OKT: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memberi jaminan pentadbirannya akan melawan Akta Hasutan 1948 sehingga ia dimansuhkan, bagi menyuburkan demokrasi di Selangor.

Mohamed Azmin berkata, pentadbirannya memberi sokongan kuat kepada usaha kumpulan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak pemansuhan akta penjajah tersebut.

PC MB Azmin di SUK (5)“Kerajaan negeri akan beri sokongan kuat dan padu kepada kumpulan masyarakat sivil dan NGO bagi menyuburkan demokrasi di negara ini.

“Kerajaan negeri mahu menjadi rakan dengan mereka supaya wujud keseimbangan demokrasi di negeri ini,” kata Azmin semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Bantah Akta Hasutan di Dewan Sivik, Petaling Jaya malam ini dipetik The Malaysian Insider.

Azmin berkata, hanya kerajaan yang lemah akan terus menggunakan akta tersebut untuk menindas dan menekan rakyatnya.

EZY