Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Inisiatif MBI dipuji, lulus permohonan bina kemudahan sekolah dalam tempoh singkat

GOMBAK, 25 FEB: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Samudra di sini memuji tindakan segera diambil Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam membantu sekolah berkenaan.

Yang dipertuanya Farizah Mohd Ramli berkata MBI hanya mengambil tempoh singkat untuk meluluskan permohonan pihaknya untuk menambah baik kemudahan di sekolah tersebut demi keselesaan murid.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Samudra, Farizah Mohd Ramli. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya ingat lagi untuk projek susur gajah fasa dua, saya hantar permohonan bulan November dan kurang dua minggu MBI telefon pihak sekolah serta segera salurkan bantuan tunai ke akaun.

“Malah permohonan terbaharu kita pada Januari lalu juga kurang dua minggu sahaja terus bantuan disalurkan. Saya berterima kasih kerana kerja pantas yang diberikan MBI,” katanya, hari ini.

Sementara itu ketua guru Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas, Saodah Tuwa berkata beliau bersama enam guru menghargai bantuan yang diberikan MBI kepada sekolah berkenaan.

“Sebelum ini kami tiada tandas guru dan perlu berkongsi dengan murid-murid, kami bersyukur atas bantuan ini selain pagar dan bumbung juga turut dibaiki.

“Mereka tidak menunggu lama untuk membantu. Segala keperluan ini disiapkan dalam tempoh sebulan sahaja selepas kami memohon,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui selepas Ketua tanggungjawab sosial korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor mengadakan lawatan di kedua-dua sekolah berkenaan, hari ini.

Sebanyak RM35,000 telah disumbang MBI bagi program infrastruktur di dua sekolah itu pada hujung tahun lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI peruntuk RM1 juta baik pulih kemudahan sekolah, aktiviti pelajar 

GOMBAK, 24 FEB: Sejumlah RM1 juta diperuntuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi menjayakan program melibatkan sekolah dan pelajar pada tahun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan itu merangkumi RM500,000 untuk pembangunan infrastruktur sekolah dan RM500,000 untuk program Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Peruntukan khusus ini pertama kali dilaksanakan selepas menerima banyak permintaan dalam kalangan pihak sekolah dan PIBG.

“Sebelum ini kita ada pelbagai kategori cuma tahun ini kita lebih spesifik, maknanya sebelum ini sudah ada peruntukan untuk sekolah. Apabila kita lihat ada permintaan, jadi lebih baik buat secara khusus untuk sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas dan Sekolah Kebangsaan SK Taman Samudra di sini, hari ini.

Ahmad Azri berkata pihaknya turut menerima permohonan bantuan baik pulih melibatkan sekolah yang terjejas banjir.

“Jika ada pembaikan bumbung, pagar atau sebagainya boleh mohon untuk pembangunan infrastruktur manakala untuk program PIBG pula melibatkan pelajar seperti sukan juga boleh mohon.

Tahun lalu, MBI memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan pelbagai program antaranya Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin, Program Kembali ke Sekolah serta bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBI sumbang RM35,000 bina kemudahan dua sekolah di Gombak

GOMBAK, 24 FEB: Sebanyak RM35,000 disumbangkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hujung tahun lalu bagi program infrastruktur di dua sekolah di daerah ini.

Jumlah itu merangkumi RM20,000 di Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas dan RM15,000 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Samudra, kata ketua tanggungjawab sosial korporatnya.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, bantuan itu bagi membina tandas guru dan membaiki pagar serta bumbung di sekolah agama berkenaan manakala pembinaan susur gajah di sekolah kebangsaan.

“Kita adakan lawatan di sekolah berkenaan untuk melihat perkembangan hasil sumbangan yang diberikan pada tahun lepas iaitu pembinaan tandas, pembaikan pagar dan bumbung. Alhamdulilah semua selesai.

“Kita harap sumbangan itu dapat beri kemudahan kepada guru kerana sebelum ini tiada tandas guru dan juga dari sudut keselamatan sebab keadaan pagar sebelum ini tidak baik,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Ahmad Azri berkata pihaknya turut meluluskan peruntukan RM10,000 kepada SK Taman Samudra bagi pembangunan pusat sumber.

MBI memperuntuk RM1.68 juta tahun ini melalui Program Kembali ke Sekolah (Back To School) yang akan memanfaatkan seramai 16,800 murid sekolah rendah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

GPMS jadi rakan strategik MBI, agih kad SIM percuma kepada pelajar

SHAH ALAM, 15 FEB: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor dilantik sebagai rakan strategik untuk mengagihkan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) kepada mahasiswa negeri ini.

Persatuan itu akan mengedarkan 3,000 kad SIM dilengkapi data internet percuma kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, kata Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Pelajar luar Selangor juga boleh mendapat langganan internet percuma selama setahun jika layak,” kata Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor.

Januari lalu, beliau berkata sebanyak 3,000 kad SIM akan diagih kepada mahasiswa dengan keutamaan kepada pelajar Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Selain pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, inisiatif itu turut memanfaatkan peminjam Yayasan Selangor, pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor, peniaga, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor perkenal e-dompet, permudah bantuan kepada rakyat

SHAH ALAM, 14 FEB: Penerima bantuan Kerajaan Selangor selepas ini menerima sumbangan menerusi e-dompet sekali gus mempercepat agihan kepada golongan sasar.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif itu bertujuan memudahkan urusan serta menjimatkan masa penerima yang amat memerlukan bantuan.

“Jika perancangan berjalan baik ia akan dilancar dengan pengumuman nama e-dompet itu dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Inisiatif ini juga meningkatkan kecekapan perkhidmatan antara kerajaan, rakyat serta industri kecil dan sederhana yang lengkap dalam satu dompet digital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memeterai perjanjian pelaburan bagi pembangunan e-dompet bersama pengasas Kumpulan Syarikat Wavpay,Tan Chun Aik di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini.

Beliau berkata e-dompet itu akan menghimpunkan semua perkhidmatan perniagaan kerajaan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun dan anak syarikat negeri.

“Aktiviti seperti pembayaran cukai kepada pihak berkuasa tempatan dan pembayaran parkir tanpa tunai juga boleh dilaksanakan melalui platform ini,” katanya.

Pada Belanjawan 2022 yang dibentang November lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBI meterai perjanjian pembangunan e-dompet, bakal dilancar tiga bulan lagi

SHAH ALAM, 14 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini memeterai perjanjian pelaburan bagi pembangunan e-dompet.

Perjanjian tersebut dijalin bersama Syarikat Wavpay dengan majlis menandatanganinya melibatkan Pengasas Kumpulannya Tan Chun Aik serta EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim.

Chang Kim yang juga pengerusi Selangor E-Wallet Sdn Bhd berkata usaha sama ini bertujuan memperkenal aplikasi yang menghubungkan semua inisiatif kewangan dari segi perkhidmatan dan sosial.

Katanya, jika perancangan berjalan baik ia akan dilancar dengan pengumuman nama e-dompet itu dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Ia selaras dengan hasrat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam mewujudkan komuniti tanpa tunai di Selangor.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim bercakap kepada media selepas majlis menandatangani Perjanjian Pelaburan Bagi Pembangunan Agenda Cashless dan E-Servis Selangor di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Shah Alam pada 14 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Program dilaksana ini akan dibentuk antara Kerajaan Negeri dengan syarikat e-dompet sedia ada yang lengkap dengan lesen pinjaman wang dikeluarkan Bank Negara serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pementeraian perjanjian berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.

Pada Belanjawan 2022 yang dibentang November tahun lalu, Amirudin berkata Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Menurutnya, Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI sedia peruntukan, penganjur sukan dipelawa mohon dana

BANGI, 14 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyediakan sejumlah peruntukan setiap tahun bagi membantu semua pihak menjayakan program sukan.

Sehubungan itu Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor mempelawa mana-mana penganjur yang memerlukan dana untuk membuat permohonan.

“Sama ada di peringkat daerah atau negeri, kita akan terima. MBI akan cuba membantu demi naikkan semangat kesukanan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Ahmad Azri Zainal bercakap kepada media ketika Kejohanan Memanah Sirkit Kebangsaan di Stadium MPKJ, Bandar Baru Bangi pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Peruntukan dengan sejumlah nilai itu termasuk kepada pasukan bola sepak Selangor. Tahun lalu juga kita belanjakan kira RM20,00 untuk persediaan pasukan ragbi Selangor ke Sukan Malaysia serta kejohanan memanah peringkat negeri,” katanya.

Beliau ditemui di Kejohanan Memanah Kebangsaan Sirkit 1/2022 yang berjalan sejak Selasa hingga semalam di Stadium Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sini.

MBI menaja RM15,000 pada kejohanan selama enam hari itu termasuk kepada atlet pasukan memanah Selangor.

“Sumbangan ini rentetan dari penajaan kita pada kejohanan memanah peringkat negeri Disember tahun lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kita harap inisiatif ini dapat memudahkan urusan penganjur dalam melahirkan lebih ramai atlet yang mampu mengharumkan nama negara,” katanya.

Pertandingan melibatkan 442 peserta itu turut mendapat tajaan Elda Archery dan Al Fadzil Agency.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI sumbang RM75,000, tampung kos bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 10 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalur bantuan berjumlah RM75,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) untuk menampung kos pembinaan kompleks anak yatim di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Ketua Kluster Penciptaan Nilai Daud Abd Rahman berkata dana hasil sumbangan anak syarikat meliputi Kumpulan Hartanah Sdn Bhd (KHSB), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) termasuk MBI.

“Kita harap sumbangan ini dapat membantu mencukupkan jumlah diperlukan Yide untuk pembinaan kompleks anak yatim iaitu berjumlah RM12 juta sekali gus memanfaatkan golongan berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan cek cura kepada Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah dengan disaksikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor di ibu pejabat yayasan terbabit di Seksyen 7 dekat sini hari ini.

Sementara itu Ahmad Azri berkata pihaknya bersedia untuk menambah peruntukan sekiranya diperlukan untuk pembinaan kompleks yang dijangka bermula Julai tahun ini.

“Kita sudah maklumkan kepada semua anak syarikat, insya-Allah kita akan bantu jika ada keperluan tidak mencukupi.

“Malah, saya difahamkan akan berlangsung majlis pecah tanah bag pembangunan projek berkenaan oleh Yide tidak lama lagi yang akan dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide: Kompleks anak yatim di Pulau Indah siap 2025

SHAH ALAM, 10 FEB: Pembangunan kompleks anak yatim di Pulau Indah, Pelabuhan Klang di atas tapak seluas 3.47 ekar, akan bermula pada Julai ini dengan kos sekitar RM12 juta.

Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata projek pembinaan di atas tanah milik Central Spectrum (M) Sdn Bhd itu, mampu menempatkan 200 anak yatim dari seluruh Selangor apabila siap sepenuhnya pada Julai 2025.

Pengurus besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah menjelaskan ketika ini pihaknya sedang menunggu kelulusan pembangunan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

“Kompleks ini bakal memiliki pelbagai kemudahan seperti asrama, fasiliti tambahan, pusat sukan dan riadah, kawasan lapang, dewan serbaguna, surau serta pusat komersial.

“Kami berharap pembangunan projek ini berjalan mengikut jadual. Pada masa sama, kita akan kenal pasti anak yatim yang layak dan berpotensi untuk diserap ke kompleks ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan pembangunan kompleks itu daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)  atau MBI di ibu pejabat Yide di Seksyen 7, hari ini.

Turut hadir, ketua kluster penciptaan nilai MBI ,Daud Abd Rahman dan ketua tanggungjawab sosial korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.

Sementara itu, Nur Mohd Razali berkata setakat ini, pihaknya berjaya mengumpul dana RM7.5 juta hasil sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan orang ramai bagi membangunkan kompleks terbabit.

“Kita mengajak semua pihak untuk sama-sama menyumbang demi masa depan anak yatim dan setiap sumbangan akan mendapat pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Program khatan percuma seluruh negeri bermula 26 Februari

SHAH ALAM, 6 FEB: Program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 akan diadakan di seluruh negeri secara percuma bermula 26 Februari hingga 13 Mac depan.

Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan negeri memaklumkan program dianjur dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk kanak-kanak dari kampung tradisi itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan di semua daerah.

“Objektif utama program adalah untuk membantu mengurangkan beban kos berkhatan sekali gus merapatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat Kampung Tradisi.

“Tarikh tutup pendaftaran adalah 14 hari sebelum tarikh program,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka berminat boleh memuat turun borang penyertaan di pautan https://bit.ly/sunathon-perdana-selangor-2022 atau dapatkan di balai penghulu.

Berikut tarikh dan lokasi program:

1. Hulu Selangor – 26 Februari (Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu)
2. Hulu Langat – 27 Februari (Dewan Pejabat Daerah Hulu Langat)
3. Kuala Selangor – 28 Februari (Stadium Tertutup Kuala Selangor)
4. Sabak Bernam – 1 Mac (Dewan Tun Razak)
5. Klang – 5 Mac (Dewan Pejabat Daerah Klang)
6. Gombak – 6 Mac (lokasi akan dimaklum kelak)
7. Petaling – 7 Mac (Dewan Pejabat Daerah Petaling)
8. Sepang – 12 Mac (Dewan Bandar Baru Salak Tinggi)
9. Kuala Langat – 13 Mac (Dewan Sri Jurga, Banting)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Inisiatif kad SIM percuma diteruskan tahun ini, sasar 25,000 penerima

KAJANG, 30 JAN : Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyasarkan seramai 25,000 penerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) menerusi inisiatif Data Internet Selangor pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata daripada jumlah itu ia meliputi golongan berpendapatan rendah (B40), peniaga dalam talian dan pelajar di seluruh negeri.

“Inisiatif ini masih diteruskan selepas menerima sambutan menggalakkan sejak tahun lalu. MBI terus fokus membantu golongan memerlukan kerana internet merupakan antara keperluan penting dalam urusan harian,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Beranang oleh MBI di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Minangkabau, di sini hari ini.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Pada 4 Ogos, Amirudin mengumumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dan data internet percuma selama 12 bulan dengan peruntukan RM17.5 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar  pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH PILIHAN MINGGUAN

MBI peruntuk RM27,300 bantu mangsa banjir, beri manfaat 91 keluarga

KAJANG, 30 JAN : Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM27,300 bagi membantu 91 keluarga terkesan banjir di mukim Beranang, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata setiap rumah menerima wang tunai RM300 dan diharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban mereka.

“Sebanyak tujuh kampung di mukim ini terlibat dengan banjir pada 22 November tahun lalu. Bencana ini juga menyebabkan banyak kerosakan dan kerugian dialami penduduk.

“Justeru, MBI terpanggil untuk menyampaikan sedikit sumbangan tunai ini kepada mereka. Semoga bantuan dapat meringankan beban mangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Beranang oleh MBI di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Minangkabau.

Selain bantuan kewangan kepada mangsa banjir, Norita berkata MBI turut mengagihkan bakul makanan serta menyediakan sukarelawan bagi membantu kerja pembersihan pascabanjir.

“Banyak bantuan sudah diagihkan, insya-Allah ia akan diteruskan dari semasa ke semasa. Semua bantuan ini juga adalah peruntukan daripada RM1.5 juta seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.

Pada 22 November tahun lalu, tujuh kampung sekitar Beranang terjejas banjir iaitu Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sesapan Batu Rembau, Kampung Sungai Jai, Kampung Jalan Enam Kaki Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Kelubi dan Kampung Bukit Kepong.