Categories
PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran, kompaun MBSA di Aeon Shah Alam pada Sabtu

SHAH ALAM, 9 MAC: Orang ramai boleh menyemak dan membayar cukai taksiran serta kompaun di pejabat bergerak Shah Alam On Wheels di parkir terbuka Aeon Shah Alam pada 12 Mac ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan kemudahan lain termasuk kaunter aduan, semakan status lesen komposit dan penjaja serta jualan buku pelan setara mulai 11 pagi hingga 5 petang.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad, platform itu memudahkan orang ramai berurusan pada hujung minggu tanpa perlu ke kaunter.

“Melalui perkhidmatan ini, pihak Majlis berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi talian 013-3380551.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Lapan pasukan berentap rebut kejuaraan Liga Bola Tampar 2022

SHAH ALAM, 24 FEB: Lapan pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Malaysia Liga Bola Tampar 2022 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Bola Tampar, Seksyen 4 di sini mulai 8 hingga 13 Mac ini.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata kejohanan dengan kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) melibatkan penyertaan dari Selangor, Johor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Angkatan Tentera Malaysia dan bomba.

Menurut Shahrin Ahmad inisiatif melahirkan belia aktif dan memperkenal Shah Alam sebagai bandar raya sukan turut disertai pemain dari luar negara bagi setiap pasukan.

“MBSA menyasarkan kejohanan ini untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan bola tampar selain diketengahkan ke pertandingan peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya melalui kenyataan semalam.

Beliau berkata kejohanan tersebut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM42,000 dengan juara bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan medal.

Katanya naib johan pula akan menerima wang tunai RM10,000 dan medal manakala ketiga serta keempat masing-masing RM8,000 dan RM4,000 berserta medal.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zamani Ahmad Mansor (tengah) bersama rakan penaja Kejohanan Malaysia Liga Bola Tampar di Galeri Mokara Wisma MBSA pada 23 Februari 2022. Foto MBSA
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

4,000 lagi mangsa bah di Shah Alam, Klang dapat bantuan negeri

SHAH ALAM, 22 FEB: Seramai 4,000 keluarga terjejas banjir sekitar Shah Alam dan Klang menerima
Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan MBSA Kemuning Utama di sini hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor menjangka sumbangan yang diagih secara berperingkat sejak Disember tahun lalu selesai hujung bulan ini.

“Majlis Bandaraya Shah Alam menyediakan tempat bagi membantu Pejabat Daerah dan Tanah Klang menyalurkan sumbangan ini yang akan selesai sebelum 28 Februari,” katanya ketika ditemui.

Sukarelawan menyemak butiran mangsa banjir sebelum menerima Bantuan Selangor Bangkit di Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam pada 22 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mengulas tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang agihan berlangsung, Zamani berkata penguat kuasa dan polis mengawal dalam dan luar dewan bagi memastikan keadaan terkawal.

Pada Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bah termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

Beliau sebelum ini turut memohon maaf atas kelewatan agihan bantuan tersebut berikutan banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA sedia bas percuma bantu mangsa banjir terima bantuan negeri

SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk membawa mangsa banjir ke program Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Perkhidmatan itu melintasi dua laluan dari Dewan Kampung Sungai Kandis dan Padang Rakyat Kampung Jalan Kebun menuju Dewan Kemuning, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya.

“Ini bagi membantu mereka menerima bantuan seperti penduduk Taman Sri Muda dan Sungai Kandis.
“Perkhidmatan bas setiap satu jam bermula 8.30 pagi tadi,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Beliau berkata perkhidmatan itu tidak terhad untuk hari ini sahaja sebaliknya diteruskan sehingga bantuan negeri kepada penduduk terjejas selesai.

Jelasnya, pergerakan bas untuk program BSB berikutanya akan dimaklumkan di media sosial MBSA antaranya Facebook dan Twitter dari semasa ke semasa.

“Kita minta mangsa yang menghadapi masalah pengangkutan untuk menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Hujan lebat luar biasa pada Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

Categories
PBT SELANGOR

301 kakitangan MBSA mangsa bah terima bantuan wang tunai, peralatan elektrik

SHAH ALAM, 14 FEB: Seramai 301 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang terjejas dalam insiden banjir Disember lalu, menerima sumbangan wang tunai dan peralatan elektrik daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Jurucakap Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata turut menerima sumbangan adalah Ahli Majlis yang terkesan dengan bencana berkenaan.

“MBSA telah memberikan sumbangan bantuan bencana kepada kakitangan terlibat iaitu RM1,000 kepada kakitangan yang berkahwin manakala RM500 kepada kakitangan yang bujang.

“Pihak MBSA juga turut memberikan sumbangan barangan peralatan elektrik seperti periuk nasi, dapur masak dan kipas elektrik kepada semua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap sumbangan Bantuan Bencana Banjir MBSA itu dapat meringankan beban warga kerjanya yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda tahun lalu.

Kesemua sumbangan itu disampaikan oleh Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor pada Majlis Perhimpunan Bulanan MBSA Kali Pertama bagi tahun 2022 pada 9 Februari lalu.

Ia diserahkan kepada Naib Pengerusi Majlis Bersama Jabatan, Mustakim Mairin @ Kunting yang mewakili kakitangan MBSA.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan, Ahli-Ahli Majlis dan pengarah-pengarah jabatan MBSA.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA perkenal program kucing angkat, tingkat kesedaran pelihara haiwan terbiar

SHAH ALAM, 14 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Program Kucing Angkat membabitkan 15 ekor haiwan itu bersempena dengan Hari Tanpa Kenderaan edisi bulan ini, bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak empat ekor kucing menerima pemilik baharu pada Ahad lalu.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk setempat dan menggalakkan kerjasama secara berterusan daripada semua pihak untuk bersikap lebih bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi untuk persekitaran yang bersih dan selamat.

“Selain itu, ia juga merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua kucing terbabit ditangkap oleh pihak MBSA di beberapa kawasan seperti pasar dan gerai.

“Sebelum diserahkan kepada pemilik baharu, semua kucing itu sudah divaksin dan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Katanya, MBSA turut mendapat kerjasama daripada iVET Medical Centre Shah Alam (iVET Petcare) dan tajaan makanan dari Nazwan Resources Sdn. Bhd bagi menjayakan program itu.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Tarian naga meriahkan ulang tahun Shah Alam tanpa kenderaan

SHAH ALAM, 11 FEB: Orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik sempena sambutan ulang tahun keenam Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini pada Ahad ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Facebook memaklumkan program dengan tema Tahun Baharu Cina bermula dari jam 7.20 hingga 10.30 pagi.

“Pendaftaran secara dalam talian perlu dibuat melalui pautan https://www.shahalamharitanpakenderaan.com/ tetapi dihadkan kepada 1,000 orang sahaja,” katanya.

Berikut aktiviti disediakan sempena program tersebut:

1. Fun Run/Walk – 7.20 hingga 7.30 pagi
2. Berbasikal – 7.20 hingga 7.30 pagi
3. Senaman Stik To Stik – 8.10 hingga 8.30 pagi
4. Persembahan tarian – 8.30 hingga 9 pagi
5. Persembahan kombo MBSA – 8.30 hingga 9 pagi
6. Persembahan tarian naga – 9 hingga 10.15 pagi
7. Kuiz keluarga ceria – 9 hingga 10.15 pagi
8. Buskers – 10.15 hingga 10.30 pagi
9. Klinik memanah – 8 hingga 10.30 pagi
10. Klinik Frisbee – 8 hingga 10.30 pagi
11. Belon udara panas – 8 hingga 10.30 pagi
12. Parrot brothers, jualan arnab, pameran kereta kawalan, saringan kesihatan, permainan tradisional – 7.30 hingga 10.30 pagi
13. Jualan buah dan sayur Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) – 7.30 hingga 10.30 pagi
14. Cat Adoption – 7.30 hingga 10.30 pagi

Categories
PBT SELANGOR

Pasukan pemantau MBSA perkasa urusan aduan penduduk setempat

SHAH ALAM, 10 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menubuhkan pasukan pemantau bagi memperkasa pengurusan aduan awam di semua kawasan di bawah pentadbirannya.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya, Shahrin Ahmad berkata pasukan yang dianggotai 112 kakitangan pelbagai jabatan, bahagian dan pejabat cawangan akan memantau seluruh 56 seksyen bawah pentadbiran MBSA.

Menurutnya, sebanyak 28 pasukan terdiri empat ahli bagi setiap kumpulan terlibat dalam pasukan berkenaan dan mereka akan mengenal pasti lebih awal isu dan masalah berpotensi yang disalurkan komuniti.

“Pasukan ini dibahagikan mengikut zon iaitu 12 pasukan di zon Tengah (Seksyen 1 hingga Seksyen 24), 10 pasukan di zon Utara (seksyen U1 hingga Seksyen U20), enam pasukan zon Selatan (Seksyen 25 hingga Seksyen 36) dengan setiap pasukan memantau dua Seksyen.

“Pada peringkat permulaan, pasukan pemantau aduan akan memberi tumpuan kepada lima kategori aduan yang mencatatkan aduan tertinggi iaitu sampah, lampu, pokok, jalan dan papan tanda jalan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shahrin berkata pengurusan aduan awam perlu diperkasa bagi memperkasa kesejahteraan, keselesaan dan keharmonian masyarakat setempat.

“Penubuhan pasukan pemantau adalah komitmen berterusan MBSA untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan serta memperbaiki sistem pengurusan aduan awam demi kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin menyalurkan aduan boleh menghubungi pusat panggilan aduan MBSA di talian bebas tol 1-800-88-4477 atau laman sesawang www.aduan.mbsa.gov.my atau aplikasi I-adu.

Categories
PBT SELANGOR

694 mohon lot bazar Ramadan MBSA setakat Januari

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima sebanyak 694 permohonan lot bazar Ramadan dalam talian di 33 lokasi setakat 31 Januari lalu.

Permohonan melalui laman web https://bazar.mbsa.gov.my dibuka mulai 17 Januari hingga 16 Februari, kata ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya.

“Orang ramai perlu mengisi borang permohonan secara dalam talian dan memuat naik salinan dokumen yang diperlukan dengan lengkap sebelum mendaftar,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Antara lokasi tapak bazar Ramadan ialah Seksyen 6, 7, 8, 16, 17, 18, 19, 20, U2, U3, U5, U8 dan U10.

Sebarang pertanyaan berkenaan permit bazar boleh hubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-55105133 samb. 1700/1762/1486/1699/1317/1366.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pejabat bergerak MBSA di Plaza Masalam esok

SHAH ALAM, 4 FEB: Pejabat bergerak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan beroperasi di pekarangan tempat letak kereta Plaza Masalam Seksyen 9 di sini esok.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata perkhidmatan ‘Shah Alam On Wheels’ dari 11 pagi hingga 5 petang merupakan platform untuk memudahkan orang ramai berurusan pada cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Pejabat bergerak ini menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan, semakan status lesen
komposit dan penjaja, jualan buku pelan setara dan sebagainya.

“Melaluinya, MBSA berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan untuk manfaat masyarakat,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

MBSA menggunakan kaedah itu di beberapa lokasi sebelum ini sebagai pendekatan memudahkan urusan orang ramai termasuk pembayaran kompaun tertunggak.

Categories
PBT SELANGOR

Pancuran berirama Laman Budaya ditutup sementara, operasi semula 11 Februari

SHAH ALAM, 1 FEB: Pancuran berirama Laman Budaya di Seksyen 14 di sini ditutup sementara waktu bermula hari ini.

Menurut Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) persembahan pancuran air berirama diadakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad itu akan beroperasi semula pada 11 Februari.

“Pengoperasian Laman Budaya Musical Fountain akan ditutup buat sementara waktu dan akan dibuka semula pada 11 Februari 2022,” katanya di Facebook.

Pancuran berirama Laman Budaya  sebelum ini dibuka semula kepada orang ramai untuk aktiviti riadah pada 17 September 2021.

Ia ditutup sebelum ini selepas kerajaan menetapkan semua taman awam ditutup untuk sebarang aktiviti ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun 2021.

Categories
AGENDA NASIONAL

MBSA giat bersihkan pokok tumbang akibat hujan lebat, ribut

SHAH ALAM, 28 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) giat membersihkan pokok tumbang susulan hujan lebat dan ribut di beberapa kawasan semalam.

Kerja pembersihan dilakukan anggota penguat kuasa di sekitar Jalan Subang, Seksyen U1, Bulatan Melawati susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan dan Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22.

Menerusi perkongsian di Facebook, memaklumkan kerja pembersihan dilakukan petugas MBSA pagi tadi.

Sekitar kerja-kerja pembersihan pokok tumbang oleh anggota penguat kuasa MBSA di Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22. Foto Facebook MBSA

 

Anggota penguat kuasa MBSA memotong pokok di Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22. Foto Facebook MBSA
Sekitar kerja-kerja pembersihan pokok tumbang oleh anggota penguat kuasa MBSA di Jalan Subang, Seksyen U1. Foto Facebook MBSA