Categories
AGENDA SELANGOR SUKANKINI

Pemain dikeluar masuk semula, MBSJ FC hilang kelayakan liga wanita

SHAH ALAM, 16 JAN: Pasukan bola sepak Majlis Bandaraya Subang Jaya FC (MBSJ FC) berputih mata untuk mara ke separuh akhir Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ini susulan pasukan itu didapati bersalah memasukkan semula pemain yang dikeluarkan ketika menentang First 11 FC pada peringkat suku akhir Selasa lalu.

FAS menerusi Facebook memaklumkan MBSJ didapati bersalah selepas melanggar peraturan pertandingan iaitu Klausa 20: Peraturan Pertukaran Pemain Biasa di peringkat kalah mati.

Menurut persatuan itu, hukuman kekalahan “walkover” 0-3 telah dijatuhkan dan kelayakan ke pusingan separuh akhir dibatalkan.

Kemenangan diberikan kepada First 11 FC.

Selasa lalu, MBSJ FC berjaya ke separuh akhir Liga Super Wanita FAS selepas memenangi aksi suku akhir menewaskan First 11 FC 4-0 di Radia Arena Bukit Jelutong.

Kemenangan itu hasil jaringan Steffi Sargie pada minit ke-21 dan 49, manakala dua gol lagi melalui Farahiyah serta Fatin Shahida masing-masing minit ke-44 dan 72.

Categories
AGENDA SELANGOR SUKANKINI

MBSJ FC bergaya ke separuh akhir Liga Super Wanita FAS

SHAH ALAM, 11 JAN: Pasukan bola sepak Majlis Bandaraya Subang Jaya FC (MBSJ FC) berjaya menempah slot ke separuh akhir Liga Super Wanita FAS selepas memenangi aksi suku akhir malam tadi.

Pasukan itu membenam First 11 FC 4-0 hasil jaringan Steffi Sargie pada minit ke-21 dan 49, manakala dua gol lagi melalui Farahiyah serta Fatin Shahida masing-masing minit ke-44 dan 72.

Saingan di Radia Arena Bukit Jelutong turut menyaksikan Negeri Sembilan Women’s FC (NSWFC) melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan UiTM FC 4-0.

Pemain UiTM FC (jersi gelap) mengawal bola daripada dirampas pemain Negeri Sembilan Women’s FC ketika perlawanan peringkat suku akhir Liga Super Wanita FAS di Radia Arena Bukit Jelutong pada 10 Januari 2022. Foto FAS

FC Swat pula meraikan kemaraan sama selepas menumbangkan SA United FC 1-0 menerusi sepakan penalti pada minit ke-65.

The Footsouls juga mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila menewaskan Leopard FC 2-0.

Dalam pada itu Nurul Nadia Roslan dari The Footsouls mengungguli sebagai penjaring terbanyak 10 gol sepanjang kempen ini diikuti Malini Nordin (NSWFC) meledak tujuh jaringan

Henrietta Justine (NSWFC) dan Steffi Sarge Kaur (MBSJ) pula masing-masing menjaring enam gol.

Liga Super Wanita Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuka tirai pada 29 November tahun lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke separuh akhir manakala babak akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.

Categories
AGENDA SUKANKINI

MBSJ FC menang besar, kekal rekod tanpa kalah

SHAH ALAM, 14 DIS: MBSJ FC mengekalkan rekod kemenangan serta tanpa bolos apabila mudah menewaskan Rhym Rovers 15-0 dalam perlawanan kumpulan B.

Jaringan dilakukan seawal minit kedua menerusi Naziratul Amira diikuti Lee Xin Yi Andrea minit kelima. Farahiyah meneruskan rentak cemerlang MBSJ FC apabila menjaringkan hatrik pada minit kelapan, sembilan dan 10.

Gol MBSJ FC turut disumbang jaringan sendiri pihak lawan pada minit ke 25, Steffi Sarge (minit ke 28,52), Nur Afrina (minit ke 41), Farah Aina (minit ke 42), Nor Hanisa (minit ke 54), Nir Aina Suliana (minit ke 56) dan Abiinayaa (minit ke 60).

Dalam satu lagi aksi kumpulan sama Negeri Sembilan Women’s meraih kemenangan kedua menewaskan Leapord FC 3-0. Gol dijaringkan Malini pada minit kelima dan 68 serta minit ke 12 oleh Nabila.

Aksi kumpulan A pula menyaksikan FC Swat kekal kedudukan pendahulu menewaskan Radia Ladies 7-0.