Categories
PBT SELANGOR

Baucar RM10 buat pelanggan bawa bekas sendiri ke bazar Ramadan

PUCHONG, 9 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan baucar bernilai RM10 kepada 1,000 pelanggan yang membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan tahun ini.

Tawaran pada setiap Rabu bagi mengurangkan penggunaan plastik dengan ganjaran boleh ditebus di bazar sekitar Subang Jaya, kata Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar.

“Baucar boleh ditebus di mana-mana gerai di 16 lokasi bazar Ramadan sekitar Subang Jaya dengan syarat menunjukkan bekas makanan yang dibawa.

“Setiap pelanggan boleh menikmati peluang sekali sahaja untuk membeli makanan atau minuman di bazar sepanjang Ramadan,” katanya menambah baucar boleh digunakan sehari selepas menerimanya.

Sementara itu, Johary berkata penggunaan bekas makanan jenis polistirena dan penyedut minuman plastik kekal dilarang bagi mengurangkan pencemaran sekali gus menyokong inisiatif hijau.

Beliau menjelaskan MBSJ turut menyediakan tong kitar semula minyak masak bagi menggalakkan peniaga bazar mengitar semula minyak yang sudah digunakan.

Seramai 764 peniaga mendaftar di bazar Ramadan bawah pentadbiran MSBJ membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bazar Ramadan: Peniaga MBSJ wajib sedia e-dompet, cegah penularan wabak

PUCHONG, 8 MAC : Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mewajibkan peniaga bazar Ramadan di bawah pentadbirannya menggunakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya.

Datuk Bandar Dato’ Johary Anuar berkata penggunaan e-dompet itu bertujuan mengurangkan sentuhan dan mengekang penularan wabak Covid-19.

“Pihak MBSJ akan membuat semakan dan pemantauan bagi memastikan semua peniaga menyediakan kemudahan e-dompet di gerai masing-masing.

“Usaha ini juga diharap agar lebih ramai pengunjung bazar dapat mempraktikkan amalan tanpa tunai di samping menjadikan kaedah tersebut sebagai pembayaran utama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Menurutnya, semua peniaga juga diwajib mempamerkan jenis saluran e-dompet yang boleh diguna oleh pelanggan di gerai masing-masing.

Beliau berkata MBSJ turut bekerjasama dengan rakan sinergi bagi menjayakan kaedah tanpa tunai itu antaranya Maybank Berhad, AmBank Islamic Berhad, Touch n Go dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Tahun ini, seramai 764 peniaga di 16 lokasi bazar Ramadan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

Pada 26 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet pada tahun ini bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ sedia 16 lokasi, lulus permohonan 764 peniaga bazar Ramadan

PUCHONG, 8 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meluluskan permohonan 764 peniaga bazar Ramadan tahun ini.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata sebanyak 16 lokasi bazar Ramadan disediakan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

“Berlaku peningkatan ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu dengan hanya sembilan lokasi bazar membabitkan 421 peniaga.

“Alhamdulillah tahun ini kita menerima permintaan yang tinggi dan semua bazar ini juga diuruskan sepenuhnya MBSJ tanpa melantik mana-mana badan penganjur atau pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Johary berkata karnival itu dianjurkan sehingga Khamis ini bertujuan memberi taklimat kepada peniaga bazar berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) termasuk pendedahan urus niaga tanpa tunai.

“Pelbagai pengisian diadakan sepanjang tiga hari antaranya cara kendalian makanan terbaik dan efektif, amalan kitar semula serta cara mengurus sisa pepejal,” katanya.

Menurutnya, pengurusan bazar Ramadan MBSJ tahun ini turut mendapat kerjasama lebih 10 rakan penaja antaranya syarikat Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Yayasan Hijrah Selangor, Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Maybank Berhad.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bilik gerakan bencana MBSJ, MBPJ kini dibuka

SHAH ALAM, 7 MAC: Bilik Gerakan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mula dibuka dan beroperasi 24 jam.

Perkara itu dikongsi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter, sebentar tadi.

“Sebarang aduan dan kecemasan di kawasan MBSJ boleh menghubungi talian tersebut,” katanya.

Warga Subang Jaya mempunyai aduan dan hal kecemasan boleh menghubungi talian 03-8024 7700.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi Facebook turut memaklumkan telah membuka pusat penempatan banjir di Dewan PJS 1/35 dan Dewan PJS 2C/6.

Agensi itu berkata penduduk yang terkesan boleh menghubungi talian hotline yang beroperasi 24 jam iaitu 03-7954 2020.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka Dewan Serbaguna PJS 2C/6 sebagai pusat penempatan banjir susulan hujan lebat pada 7 Mac 2022. Foto Facebook MBPJ
Categories
PBT SELANGOR

MBSJ pasang 336 cerucuk besi stabilkan pergerakan tanah

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memasang sebanyak 336 cerucuk besi sepanjang 135 meter di lokasi tebing runtuh di Lestari Perdana, Seri Kembangan sehingga semalam.

Timbalan Datuk Bandar berkata cerucuk itu dipasang pada kedalaman 12 meter untuk sementara bagi menstabilkan pergerakan tanah, lapor Sinar Harian.

Mohd Zulkurnain Che Ali turut memaklumkan peniaga yang terjejas di kawasan berkenaan dibenarkan menjalankan perniagaan semula apabila keadaan benar-benar selamat.

Menurutnya, MBSJ akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis sebelum sebarang kelulusan dapat diberikan kepada peniaga.

Pada 25 Januari lalu, sebanyak lima kenderaan terjunam ke longkang besar susulan tebing runtuh di hadapan bengkel kereta di Lestari Perdana.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.

Insiden sama pernah berlaku pada 2017, iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Tebing runtuh, kerja pengukuhan dibuat serta-merta malam tadi (VIDEO)

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerja pengukuhan tebing yang runtuh di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang dilaksana serta-merta oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) malam tadi.

Timbalan pengarah Jabatan Korporatnya Azfarizal Abdul Rashid berkata punca runtuhan sedang dikenal pasti selain merangka pembaikan segera bagi mengelak insiden sama berulang.

“Tebing runtuh sepanjang 90 meter dengan ketinggian sembilan meter melibatkan parkir kereta dan sebahagian jalan. Lima kenderaan terkesan tetapi tiada kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 17 premis komersial turut diarah menghentikan operasi sementara waktu selain tidak berada di lokasi runtuhan sehingga disahkan selamat.

“Kenderaan di kawasan itu juga diminta untuk dialihkan segera ke tempat lebih selamat,” kata Azfarizal.

Petang semalam, sebanyak lima kenderaan terjunam lima hingga enam meter dalam longkang besar di Lestari Perdana susulan runtuhan tebing akibat hujan lebat.

Insiden di hadapan bengkel kereta yang jaraknya tujuh meter dari lokasi kejadian pernah berlaku pada 2017.

Categories
PBT SELANGOR

Bazar Ramadan: MBSJ buka permohonan permit, ada 1,251 petak niaga

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membuka permohonan permit bazar Ramadan bermula hari ini sehingga 31 Januari 2022.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang www.mbsj.gov.my atau mengimbas kod bar poster yang dimuat naik di Facebook, Instagram dan Twitter MBSJ.

“Peniaga berminat perlu mendaftar sebagai pengguna my@mbsj sebelum meneruskan permohonan di mana semua urusan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian iaitu mendaftar, muat naik dokumen sokongan dan proses pembayaran,” kata Azfarizal Abdul Rashid.

Beliau berkata sebanyak 1,251 petak niaga disediakan tahun ini di 18 lokasi bazar Ramadan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara dan Serdang atau Seri Kembangan.

“MBSJ ingin mengingatkan kepada semua peniaga untuk membuat permohonan lebih awal sebelum tarikh tutup bagi mengelak kesulitan dan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kelewatan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman sesawang dan platform sosial MBSH atau hubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-80264324.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB ziarah, beri sumbangan balu staf MBSJ meninggal dunia bantu mangsa banjir

PETALING JAYA, 11 JAN: Dato’ Menteri Besar menziarahi waris kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Mohd Ikram Bakri yang meninggal dunia ketika membantu membersihkan rumah terjejas banjir pada 5 Januari lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari tiba di rumah pembantu kesihatan awam Jabatan Kesihatan MBSJ itu di Taman Indah Jaya di sini, hari ini pada jam 1 tengah hari.

Beliau menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada isteri Allahyarham Noradilah Abd Kadir, 36, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan, iaitu anak pertama hasil perkahwinan mereka sejak 2011.

Amirudin ketika ditemui mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berterima kasih di atas pengorbanannya membantu mangsa banjir.

“Saya turut menyampaikan sumbangan Pejabat Menteri Besar, saya percaya pihak majlis (MBSJ) mempunyai skim dan kemudahan tertentu yang akan disampaikan kepada keluarga di atas sumbangannya beberapa tahun bertugas,” katanya.

Mohd Ikram, 39 meninggal dunia akibat serangan jantung ketika membersihkan kediaman terjejas banjir di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya pada 5 Januari lalu.

Categories
SELANGOR

MB ucap takziah, staf MBSJ meninggal dunia ketika bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 7 JAN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Mohd Ikram Bakri atas pemergiannya kelmarin.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembantu kesihatan awam di Jabatan Kesihatan MBSJ itu meninggal dunia ketika sedang membersihkan rumah di lokasi terjejas banjir.

“Allahyarham berusia 39 tahun meninggal dunia akibat disyaki serangan jantung. Bagi pihak Pejabat Menteri Besar kita akan menyumbangkan RM10,000 kepada waris keluarga.

“Bantuan ini sebagai menghargai sumbangan dan bakti beliau ketika bertugas dalam peristiwa banjir,” katanya pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Categories
PBT SELANGOR

Pupuk minat membaca, MBSJ wujud perpustakaan mini di pangsapuri angkat

SUBANG, 29 DIS: Lebih banyak perpustakaan mini dan sudut bacaan akan diwujudkan di pangsapuri angkat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata pihaknya bersedia membantu ahli majlis dan jawatankuasa penduduk untuk menjayakan inisiatif berkenaan yang setakat ini dibangunkan di beberapa penempatan antaranya Pangsapuri Sri Mutiara, Sri Tanjung dan Angsana.

Menurutnya, Perpustakaan Hipermedia MBSJ boleh membantu menyediakan bahan bacaan selain memohon sumbangan daripada syarikat swasta.

“Setakat ini semua kemudahan disediakan penduduk sama ada menggunakan kayu pallet untuk buat meja dan kerusi serta sumbangan pihak luar, malah ada sedia komputer.

“Kita hendak melihat inisiatif dan inovasi dari penduduk kerana sekiranya datang daripada mereka ada perasaan sayang kemudahan berbanding jika majlis sedia semua,” katanya pada mesyuarat penuh MBSJ di sini hari ini.

Berhubung perkara berasingan, Noraini berkata kedudukan kewangan MBSJ masih berada pada tahap kukuh walaupun sasaran kutipan hasil pada tahun ini yang berjumlah RM260 juta seolah-olah sukar untuk dicapai atas beberapa faktor.

Jelasnya, kekurangan itu dapat ditampung kerana MBSJ mempunyai rizab kewangan baik.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ lulus RM500,000 urus bantuan banjir, baiki infrastruktur

SUBANG, 29 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meluluskan peruntukan segera RM500,000 untuk menguruskan bencana banjir dan membaiki infrastruktur terjejas.

Datuk Bandarnya berkata perbelanjaan itu antaranya meliputi penyediaan barang keperluan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) dan makanan kepada sukarelawan.

Menurut Noraini Roslan, sebanyak RM8,000 turut diagihkan kepada sekolah dijadikan PPS, RM10,000 kepada masjid dan RM5,000 untuk surau melaksanakan pembaikan segera.

“Kita mempunyai peruntukan RM1.59 juta untuk pengurusan bencana dan perbelanjaan luar jangka selain
Tabung Amanah MBSJ dengan RM69,000 dibelanjakan bagi membantu kakitangan terjejas banjir,” katanya.

Bercakap pada mesyuarat penuh MBSJ secara hibrid hari ini, katanya, keperluan asas turut diagihkan ke pusat operasi Kampung Tengah, Kampung Kenangan, Kampung Seri Aman dan Bukit Lanchong.

Jelasnya, perbelanjaan juga meliputi sewaan jentera untuk menguruskan sisa sampah banjir dan pembaikan segera infrastruktur seperti jalan raya bernilai RM150,000 dan RM120,000 untuk saliran.

Dalam pada itu, Noraini berkata MBSJ akan mendapatkan bantuan pakar untuk mengenal pasti penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dengan kos berpatutan.

“Kerajaan Negeri minta untuk membaiki kunci air bernilai RM30 juta dan RM15 juta bagi saliran, ini perlu dikaji kerana perkembangan semasa dan selepas banjir berbeza.

“Mungkin boleh melambatkan aliran air di peringkat hulu ke bawah dengan kos lebih rendah,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ bersihkan 3,986 tan sampah banjir setakat Isnin

SUBANG, 29 DIS: Sebanyak 3,986 tan sisa sampah dibawa keluar daripada penempatan terjejas banjir di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) setakat Isnin.

Datuk Bandarnya Noraini Roslan berkata pembersihan bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) mulai 21 Disember di 12 kawasan melibatkan 1,221 perjalanan.

“MBSJ telah menyelesaikan kutipan sampah pascabanjir di Taman Kinrara, kontraktor KDEBWM akan meneruskan kutipan seperti biasa jika ada penduduk mengeluarkan sampah banjir di lokasi tersebut.

“Bagi lokasi lain, majlis mula membuat pusingan kedua dan akan diteruskan sehingga selesai,” katanya dalam perutusan sempena mesyuarat penuh MBSJ secara hibrid hari ini.

Kawasan terlibat ialah Taman Kinrara, Kampung Tengah A, Kampung Tengah B, Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Kenangan dan Kampung Batu 13.

Selain itu, Kampung Bersatu, Kampung Seri Andalas, Kampung Seri Aman, Kampung Seri Puchong, Kampung Sri Langkas dan Kampung Bukit Lanchong.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.