Categories
NASIONAL

Politik Gengster: Umno Harus Dipertangungjawabkan

SHAH ALAM 29 FEB : Umno disifatkan sebagai semakin terdesak apabila terpaksa membawa budaya politik tidak matang dengan menggunakan keganasan dan gangsterism bagi menggangu program Pakatan Rakyat bersama masyarakat.

Senario yang mengecewakan ini digambarkan oleh Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Redwan berhubung siri serangan ganas dibeberapa lokasi program Pakatan Rakyat bersama masyarakat yang turut mengancam keselamatan pemimpin tertinggi gagasan itu.

“Umno yang semakin lemah sedar mereka telah gagal untuk menggunakan otak bagi berhujah, lebih memalukan apabila (Perdana Menteri) Najib yang tidak berani berdebat, maka Umno menggunakan keganasan dan gangsterism mengganggu program pendidikan politik rakyat.

“Ditegaskan Umno lah yang bertanggungjawab atas keganasan yang berlaku. Ia merupakan keganasan terancang dan sememangnya menjadi strategi Umno mutaakhir ini,”jelas Edy Noor dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

Pada 20 Februari lalu, Ketua Umum PKR, DatukĀ  Seri Anwar Ibrahim menerima serangan fizikal ketika siri ceramahnya di Sembrong.

Dalam kejadian itu, kenderaan milik Anwar mengalami kerosakan akibat diserang

Terbaru, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menerima nasib yang sama apabila dirinya diserang oleh seorang lelaki ketika sedang menyampaikan ceramah di Gambang, Pahang.

Kisah yang sama turut dihadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang turut diserang ala-samseng yang melibatkan pimpinan Umno dan Perkasa sehingga mencederakan wartawan di Padang Kota Lama.

Begitu juga dengan serangan bersifat perkauman dibeberapa tempat sejak kebelakangan ini seperti di Jalan Kebun, Klang dan Rantau, Negeri Sembilan.

Penglibatan pemimpin Umno dalam siri serangan ini dikuatkan lagi dengan pendedahan gambar.

Antaranya, Senator Md Nor Ezam dilihat bersama dengan ketua penyerang di Jalan kebun yang konon sedang diburu polis.

Begitu juga gambar Datuk Helmi Yahya bersama dengan antara kumpulan penyerang yang menyerang Lim Guan Eng baru minggu lepas juga disertai pimpinan utama Umno Pulau Pinang.

Mengulas lanjut siri serangan ganas yang disifatkan sebagai suatu yang dirancang, SAMM menzahirkan rasa kesal dengan sikap polis yang dilihat seperti diperkuda oleh pemerintah.

“Yakinlah polis punya rakaman, bukti yang cukup bagi mendakwa gangster ini tetapi mereka tidak mampu kerana umno melindungi gangster ini.

“Walaubagaimanapun rakyat perlu tenang kerana perkembangan ini merupakan perkembangan biasa bagi regim hujung usia seperti mana di mesir ketika di hujung usia pemerintahan, regim Husni Mubarak menggunakan pendekatan keganasan dan kekasaran untuk menghalang kebangkitan rakyat Mesir,”

Tambahnya lagi, rakyat Malaysia seharusnya bangkit menolak regim Umno seterusnya mengekang politik ganas, samseng dan ugut-mengugut yang menjadi amalan Umno selama ini.