Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pandemik Covid-19 dorong peningkatan ekonomi digital – MDEC

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Unjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memperoleh pertumbuhan 20 peratus sumbangan e-dagang kepada ekonomi digital dapat dicapai kerana pandemik Covid-19 membantu mendorong peningkatan penggunaan digital dalam kalangan usahawan.

Naib Presiden perniagaan digital (industri-bekalan), Gopi Ganesalingam berkata pada 2019, ekonomi digital menyumbang sehingga 19.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sektor seperti MedTech, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Teknologi Agri akan menjadi pelopor pada tahun 2021, menyumbang kepada kenaikan pendapatan digital,” katanya kepada Bernama.

Gopi berkata Asean adalah antara ekonomi yang paling berkembang pesat di dunia dan menghubungkan serta mempromosikan perniagaan teknologi Malaysia ke rantau ini, sebagai permulaan, akan menjadi satu dorongan yang hebat.

Beliau berkata Malaysia sudahpun menerajui kedudukan kepimpinan dalam banyak sektor teknologi.

“Program eksport seperti GAIN MDEC mesti dipertingkatkan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat Asean digital,” katanya.

Meningkatkan kemahiran dan melahirkan bakat digital yang baik amat penting untuk ekonomi digital terus maju, jelasnya.

Ekonomi gig pula sedang meningkat dan ia perlu dimanfaatkan dan diperkembangkan untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

“Program seperti GLOW membantu mereka yang memerlukan platform “crowdsourcing” untuk menjana pendapatan digital. Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas, GLOW menjana pendapatan berjumlah lebih dari RM190 juta,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia catat prestasi baik dalam sektor e-dagang

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Sektor e-dagang antara yang perlu dipimpin apabila Malaysia kini menunjukkan prestasi baik sekali gus memastikan rakyat sentiasa peka dalam merebut peluang digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Surina Shukri berkata Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengembangkan sektor ini malah telah menunjukkan beberapa kejayaan awal dan terus merancang beberapa strategi baharu.

Katanya berdasarkan kajian yang dijalankan oleh MasterCard, Malaysia menduduki tangga teratas dalam penggunaan e-dompet berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.

“Syarikat teknologi dalam industri pembayaran global, Mastercard itu melaporkan Filipina berada di kedudukan kedua dengan 36 peratus, manakala kedudukan ketiga dan keempat, masing-masing adalah Thailand (27 peratus) dan Singapura (26 peratus).

“Ini memberi gambaran bahawa rakyat negara ini sememangnya sudah mengamalkan transaksi tanpa tunai, antara elemen e-dagang,” katanya dalam blog MDEC Soundbytes di pautan https://mdec.my/blog/.

Surina berkata usaha ini sentiasa berterusan malah kerajaan turut menunjukkan komitmen jelas bagi mengembangkan lagi sektor e-dagang tempatan menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2021.

“Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan RM300 juta akan diperuntukkan kerajaan untuk melonjakkan lagi sektor ini iaitu RM150 juta bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen e-Dagang PKS dan usahawan mikro.

“Sebanyak RM150 juta bagi inisiatif Shop Malaysia Online melalui kerjasama dengan platform e-dagang utama untuk menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian yang akan memberi manfaat kepada 500,000 usahawan tempatan,” katanya.

Katanya MDEC turut mempunyai pengalaman dalam mengembangkan e-dagang melalui kerjasama dengan Kementerian Kewangan dan jalinan ini dilaksanakan ketika negara masih diancam pandemik Covid-19.

“Apa yang membanggakan, program dijalankan iaitu Kempen E-Dagang untuk Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Shop Malaysia Online yang digerakkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjaya meraih jualan dalam talian sebanyak RM1.2 bilion dalam tempoh yang singkat.

“Pada masa sama, inisiatif itu menarik penyertaan sebanyak 115,000 usahawan mikro serta PKS baharu dan sedia ada menyertai sektor e-dagang dan memberi manfaat kepada lebih 7.8 juta pengguna di seluruh negara,” katanya.

Surina berkata angka membuktikan negara berada di landasan yang tepat malah tidak mustahil prestasi baik e-dagang akan berterusan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat pelbagai golongan dan memahirkan rakyat secara digital seperti teras MDEC.

“Justeru, MDEC akan sentiasa bersama-sama rakyat Malaysia menempuh perjalanan digital yang telah kita mulakan untuk mencapai impian menjadi Nadi Digital Asean,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Celcom Axiata bantu transformasi digital PKS

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Celcom Axiata Bhd telah melancarkan kempen ‘Celcom Business: Reimagine SME for Tomorrow’ dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaksanakan usaha digitalisasi serta pulih daripada impak pandemik Covid-19.

Susulan itu, Celcom Axiata hari ini melancarkan kerjasama dengan 13 rakan lain merangkumi agensi-agensi kerajaan, institusi kewangan, organisasi keusahawanan dan rakan teknologi bagi menyalurkan sumber serta pengetahuan berkaitan.

Rakan terbabit adalah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Majlis Amanah Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan Bank Simpanan Nasional yang akan menggalakkan inisiatif-inisiatif kepada PKS terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Idham Nawawi berkata PKS menyumbang 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk memastikan pertumbuhan dan kelangsungan PKS diberi keutamaan serta mampu untuk pulih dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pada masa sama, adalah penting bagi PKS untuk memanfaatkan penggunaan digital yang berkembang pesat di Malaysia atau terus ketinggalan.

Sementara itu, Alliance Bank Bhd dan SME Corporation akan membantu PKS dari segi pembiayaan untuk memperoleh sokongan digital Celcom.

Pihak lain yang turut terbabit sebagai rakan usaha itu termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia, Persatuan PKS Malaysia, Persatuan Ejen-Ejen Penghantaran & Logistik Selangor, Microsoft, Slurp! dan Avana Asia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM bantu industri media terkesan Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa komited dalam menangani kesukaran dihadapi industri media ketika ini berikutan pandemik Covid-19 apabila terdapat syarikat media terpaksa mengecilkan operasi mereka.

Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata situasi itu menyebabkan petugas media terpaksa menerima hakikat apabila perkhidmatan mereka ditamatkan oleh majikan yang terjejas akibat kesukaran itu.

Sebagai kementerian yang menaungi industri media, Saifuddin berkongsi beberapa inisiatif dilaksanakan KKMM melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam membantu rakyat menambah kemahiran baharu sekali gus membolehkan mereka mencari pekerjaan serta menjana pendapatan secara dalam talian.

Inisiatif dilaksanakan MDEC itu termasuk Program Tenaga Kerja Dalam Talian Global (Glow) – Penjana yang merupakan program khas disediakan untuk membantu golongan pekerja dan individu yang terjejas berikutan penularan wabak itu.

“Program Glow – Penjana memberi fokus dan spesifik bagi memastikan kadar kejayaan pelaksanaan program yang lebih tinggi. Program ini juga memberi tumpuan untuk mengeksport kepakaran pekerja bebas (freelancer) tempatan dan menyasarkan tugasan-tugasan atau kerja sepenuhnya di pasaran global,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata antara sektor yang akan diberikan tumpuan ialah sektor perkhidmatan seperti tugasan sebagai pembantu maya, pegawai penyelidik dalam talian, penterjemah serta bidang kreatif termasuk pereka grafik, alih suara dan bidang teknologi maklumat (ICT) seperti pengaturcaraan.

Menurut beliau, berdasarkan statistik MDEC, sehingga tahun lepas, seramai 29,225 peserta dilatih dan menjana pendapatan keseluruhan lebih RM168 juta dan beliau mengalu-alukan pekerja industri media yang terjejas supaya mendaftar dengan program berkenaan.

Beliau berkata MDEC turut bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengenal pasti kursus teknologi digital bersesuaian yang akan menjadi sebahagian daripada insentif pengambilan dan latihan Penjana 2020.

“Menerusi inisiatif ini, mereka yang layak mendapat perlindungan sosial PenjanaGig akan disyaratkan untuk bekerja dengan syarikat berkaitan ekonomi gig yang berdaftar dengan MDEC. Pencari kerja yang berminat boleh melayari portal http://www.myfuturejobs.gov.my,” tambahnya.

Selain itu, katanya, MDEC bersama platform pembelajaran dalam talian global, Coursera melancarkan program Jom Belajar Digital di bawah inisiatif #MyDigitalWorkforce yang menawarkan 3,800 kursus termasuk Sijil Latihan Profesional dengan permohonan dibuka sehingga 31 Dis depan.

“Antara kursus yang ditawarkan termasuk Automasi IT Google dengan Python, pengaturcaraan dan pengenalan Intel ke pembelajaran dalaman serta laluan kerjaya yang boleh disertai oleh peserta seperti analisis data dan pembangunan perisian,” katanya dan menambah pendaftaran boleh dilakukan di www.mdec.my/letslearndigital.

Saifuddin turut berkongsi mengenai Program 42 KL, iaitu sekolah pengaturcaraan komputer percuma yang menawarkan konsep pembelajaran dengan rakan sebaya berasaskan projek sebenar tanpa melibatkan guru atau menghadiri kuliah.

Pusat pertama di Malaysia akan dibuka di Sunway City dan sehingga kini sebanyak 20 negara melaksanakan program berkenaan.

Selain itu, beliau berkata minggu #MyDigitalWorkforce pula akan berlangsung selama seminggu bermula 24 hingga 28 Ogos ini melibatkan tiga komponen iaitu sesi webinar, ekspo kerjaya secara digital dan latihan dalam talian oleh rakan kongsi yang boleh dimanfaatkan pencari kerja.

Bagi membantu rakyat memilih program latihan bersesuaian dengan keperluan dan minat masing-masing, MDEC juga akan melancarkan Direktori Latihan Kemahiran Digital pada Ogos ini bagi membantu pencari kerja mempelajari kemahiran teknologi digital yang berkaitan dengan industri, katanya.

Saifuddin berkata MDEC turut memberi tumpuan kepada pengembangan bakat teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) dengan bekerjasama rapat bersama rakan industri.

“Berdasarkan inisiatif-inisiatif ini, saya berharap agar mereka yang terkesan dengan situasi semasa boleh memanfaatkan maklumat yang dinyatakan dan seterusnya membantu meringankan beban pengecilan operasi media akibat wabak Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

MDEC: Sumbangan e-dagang diramal melonjak tahun ini

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) dijangka melonjak pada tahun ini selepas keyakinan pengguna terhadap transaksi digital mula meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Pegawai Operasi MDEC, Ng Wan Peng, di bawah pelan hala tuju strategik e-dagang kebangsaan, bidang ini dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan 20 peratus kepada RM170 bilion pada tahun ini.

“Berdasarkan kepada perubahan tingkah laku pengguna, kami percaya pertumbuhan ini, mungkin lebih tinggi. Walaupun selepas PKP, sikap pengguna untuk membeli belah dalam talian dijangka akan berkekalan, jadi kami bersedia untuk mencapai sasaran,” katanya kepada pemberita pada sidang maya Ekspo e-Dagang (eDX) di sini hari ini.

Pada 2018, e-dagang membentuk hanya kira-kira lapan peratus daripada KDNK iaitu sebanyak RM150 bilion dan ia telah berkembang sejak PKP.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata angka e-dagang 2019 masih lagi menunggu pengesahan, bagaimanapun, jumlahnya kelihatan amat menggalakkan dengan arah aliran tingkah laku pengguna menyaksikan peningkatan keyakinan daripada sudut pembeli serta perniagaan.

“Keadaan sekarang amat menggalakkan, ramai orang sedang cuba memasuki pendigitalan, tambahan lagi, ia agak mudah.

“Kami sekarang sangat tertumpu kepada inisiatif skala (pendigitalan) dalam tujuan meningkatkan keupayaan dan semua pihak dalam bidang ini,” katanya.

-BERNAMA