Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

Sultan perkenan Hulu Selangor dimasyhur majlis perbandaran

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dimasyhur sebagai Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bermula hari ini.

Pengisytiharan dibuat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenan perakuan status baharu itu.

Amirudin berkata naik taraf status tersebut membolehkan Hulu Selangor menerima pelaburan lebih banyak selain melonjakkan sektor pelancongan dan perkilangan setempat.

Beliau memaklumkan perubahan itu juga bakal memberi impak positif kepada penduduk setempat ke arah kawasan perbandaran mampan dan berdaya tahan.

“Hulu Selangor akan diuruskan sebagai sebuah perbandaran dengan sistem penyampaian yang setara selain standard dan kecekapannya perlu sesuai dengan taraf tersebut.

“Status baharu ini juga meningkatkan harapan dan jangkaan pelbagai pihak. Semua warga kerja harus menangani cabaran mendatang serta menggembleng usaha bagi memantapkan kualiti perkhidmatan buat rakyat,” katanya berucap sempena pengisytiharan itu secara langsung menerusi Facebook MDHS.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd berkata kejayaan hasil kerja keras bertahun-tahun harus menjadi kebanggaan seluruh rakyat kerana menjadi penanda aras terhadap pembangunan daerah terbabit.

“Seluruh penduduk pasti berkongsi detik keramat ini dengan penuh bangga dan terpahat dalam lipatan sejarah.

“Bagaimanapun, pasti ada cabaran bakal dihadapi. Justeru, marilah kita bersama memperbaharui komitmen untuk melaksanakan pembangunan berterusan,” katanya.

Dalam majlis sama, MPHS turut melancarkan logo baharu dan lagu bertajuk Hulu Selangor Terus Maju.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Peluang menang RM5,000 sempena pengisytiharan Majlis Perbandaran Hulu Selangor

SHAH ALAM, 21 OKT: Orang ramai berpeluang memenangi RM5,000 sempena pengisytiharan Majlis Perbandaran Hulu Selangor, hari ini.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memaklumkan pertandingan berbentuk kuiz itu akan diadakan ketika siaran langsung pengisytiharan menerusi Facebook Korporatmdhsofficial.

Katanya, syarat penyertaan orang ramai perlu mengikuti, menanda tanda suka dan komen #HuluSelangorTerusMaju pada siaran langsung berkenaan.

“Jawab lima soalan yang akan diberikan di penghujung siaran langsung dengan peserta yang berjaya menjawab kelima-lima soalan dengan cepat dan betul akan diumumkan sebagai pemenang,” katanya menerusi Facebook.

Katanya, penyertaan dibuka kepada semua kecuali kakitangan agensi itu dengan jawapan yang disunting pada ruangan komen tidak akan dikira.

Sementara itu, menerusi poster yang dikongsi di Facebook, 10 pemenang akan dipilih menerusi kuiz berkenaan untuk memenangi hadiah RM5,000.

Pada 8 September, Mohd Hasry Nor Mohd mengangkat sumpah sebagai yang dipertua MDHS.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kerana bakal dinaik taraf ke majlis perbandaran pada 21 Oktober depan.

“Saya akan memastikan usaha-usaha mantan yang dipertua sebelum ini dapat diteruskan selari dengan corak pentadbiran semasa dalam memastikan pengiktirafan menjadi perbandaran ini dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS, Pasaraya Segi Fresh sumbang bantuan makanan kepada 113 keluarga

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bekerjasama dengan Pasaraya Segi Fresh Kuala Kubu Bharu menyumbang beg makanan kepada 113 keluarga kurang berkemampuan terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Unit korporat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkata sumbangan melalui program bank makanan ‘jom kongsi rezeki’ merangkumi barangan basah, bawang, ubi kentang, sayuran, mi kuning, kuetiau, kacang tanah, gula merah, epal dan oren.

“Program ini merupakan jalinan kerjasama dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan meringankan beban dan membantu masyarakat terjejas berikutan Covid-19.

“Fokus program ini juga bagi mencapai matlamat pembangunan mampan satu dan dua MDHS iaitu tiada kemiskinan serta sifar kelaparan,” menurut PBT itu dalam kenyataan di Facebook.

Bantuan diserahkan Yang Dipertua MDHS Mohd Hasry Nor Mohd dan Pengurus Besar Syarikat Segi Value Holdings Sdn Bhd Fong Leong sambil disaksikan Orang Besar Daerah Hulu Selangor Yang Dimuliakan Raja Dato’ Muzaffar Raja Redza.

Unit itu turut memaklumkan syarikat terbabit bersetuju memberi sebanyak 489 beg makanan kepada keluarga terjejas sekitar Pasaraya Segi Fresh di Batang Kali dan Bukit Sentosa.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS akan tutup kawasan rekreasi jika tidak patuh SOP

SHAH ALAM, 18 SEPT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memberi amaran tidak teragak-agak akan menutup semua kawasan rekreasi sekiranya pengunjung tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Yang Dipertuanya berkata sejak Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Jumaat lepas kawasan rekreasi di luar bandar sesak dengan kehadiran luar biasa orang ramai.

Mohd Hasry Nor Mohd berkata tinjauan dilakukan di beberapa kawasan mendapati orang ramai mula alpa dengan pematuhan SOP apabila penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka mula diabaikan.

“Kami memahami perasaan dan keinginan orang awam untuk keluar bebas setelah lama dikurung bersama keluarga menjalankan aktiviti harian seperti sebelum ini tetapi diharap semua bekerjasama dengan mematuhi garis panduan serta SOP demi keselamatan dan kesihatan kita.

“Aspek penguatkuasaan akan diperketatkan terutamanya di kawasan pelancongan dan rekreasi pada hujung minggu. Pihak berkuasa juga akan membuat pemantauan dan mengambil tindakan sekiranya pengunjung gagal mematuhi peraturan termasuk menutup kawasan berkenaan,” katanya menerusi Facebook.

Mohd Hasry berkata lebih mengecewakan kawasan rekreasi turut menjadi kotor apabila pengunjung tidak menjaga kebersihan dengan meletakkan sampah sarap di celah pokok, batu serta membuang sisa makanan ke dalam sungai.

“Sikap bertanggungjawab dalam mematuhi SOP dan menjaga kebersihan perlu ditanam dalam diri sendiri dan tidak perlu diingatkan lagi kerana rakyat sudah sedia maklum dengan langkah penjagaan diri dalam hidup dengan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, MDHS berkongsi 13 kawasan rekreasi di bawah seliaannya iaitu Air Terjun Serendah; Sungai Inki, Kalumpang; Hutan Pelajaran Sungai Kedondong; Kolam Air Panas Kerling; Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu dan Kolam Air Panas Hulu Tamu, Batang Kali.

Selain Air Terjun Sungai Chiling; Air Terjun Semangkok; Air Terjun Sungai Tinggi; Air Terjun Pertak; Alor Lempah; Sungai Selangor dan Air Terjun Sungai Chiling.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS bantu ringankan beban lapan beradik yatim piatu

SHAH ALAM, 25 JULAI : Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyalurkan bantuan keperluan asas kepada lapan beradik yang baru kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Yang Dipertua Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata berkata sumbangan berupa makanan asas seperti beras, mi segera, gula, susu pekat, biskut, minyak masak, telur, milo dan wang tunai RM3,000.

“Prihatin dengan nasib ditimpa yatim piatu ini, kita mengambil inisiatif membantu mereka dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan beban anak-anak ini,” katanya menerusi kenyataan.

Sumbangan itu disampaikan Dr Mohd Azhar kepada kakak sulung Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, dan turut disertai Orang Besar Daerah Hulu Selangor Raja Dato’ Muzaffar Raja Redzwa.

MDHS turut mengambil inisiatif melakukan kerja pembersihan dan sanitasi di dalam dan sekitar kediaman keluarga tersebut bagi mencegah penularan Covid-19.
Nazurah Nabilah serta tujuh adiknya menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Noraini Ibrahim, 43, dan Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 dan 18 Julai akibat Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

RM3,000 menanti pemenang utama pertandingan cipta logo MPHS

SHAH ALAM, 3 MEI: Sebanyak RM3,000 menanti pemenang hadiah utama pertandingan mencipta logo Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memaklumkan pertandingan itu terbuka kepada warganegara bermula hari ini sehingga 31 Mei depan.

“Penyertaan adalah percuma dan setiap peserta boleh menghantar lebih dari satu logo ciptaan bersama borang penyertaan.

“Mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan sebelum atau selewat-lewatnya pada 31 Mei 2021 sebelum jam 4 petang,” katanya menerusi Facebook.

Selain wang tunai RM3,000, lima pemenang juga berpeluang memenangi RM500 sebagai hadiah saguhati berserta sijil penyertaan.

Untuk keterangan lanjut serta borang penyertaan sila layari laman sesawang https://www.mdhs.gov.my/…/pertandingan-mencipta-logo… atau layari pautan https://forms.gle/DFvkYkW98aaH8FMt9

Menurutnya, Orang ramai juga boleh hubungi bahagian korporat MDHS di talian 03-60641655.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS antara empat PBT terawal guna kemudahan digital

SHAH ALAM, 17 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) merupakan antara empat pihak berkuasa tempatan (PBT) terawal menggunakan kemudahan digital dalam pentadbirannya.

PBT itu berkata pihaknya mula mengguna rangkaian internet Selangor Gigabit Network (SeGNet) bermula penghujung 2020 sejajar agenda Smart Selangor di bawah domain Infrastruktur Digital Pintar.

“Rangkaian SeGNet banyak membantu kami dalam mesyuarat secara virtual atau maya di mana ia lebih mudah, tidak secara bersemuka, menjimatkan kos dan mengupayakan talian dengan lebih efektif dan efisyen oleh kakitangan,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, MDHS menerima penghargaan sebagai pengguna terawal kemudahan itu pada Majlis Pelancaran Inisiatif Infrastruktur Digital Smart Selangor yang dianjurkan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU)  di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan semalam.

Majlis yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar bertujuan menghargai usaha PBT dalam menggerakkan tranformasi digital untuk sektor awam di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor bersedia menjadi komponen penting bagi menjayakan sasaran 80 peratus penggunaan storan awan dalam sektor awam menjelang tahun depan, selari dengan pelan MyDigital Kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, beberapa inovasi sistem berkenaan sudah dibangunkan dan dilaksana menerusi inisiatif Infrastruktur Digital Smart Selangor (SDI) yang dikendalikan SSDU.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS santuni golongan kurang mampu sempena Ramadan

SHAH ALAM, 12 APRIL: Seramai 422 individu dari golongan kurang berkemampuan dan orang kelainan upaya (OKU) di Hulu Selangor menerima sumbangan barangan keperluan sempena kedatangan Ramadan esok.

Yang dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berkata pada Program Ziarah Ramadan pada Sabtu lalu, pihaknya mengagih barangan dapur seperti beras, gula, minyak masak, susu tin, sardin, milo, bihun, telur, kicap dan kurma.

“Dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang ini, ramai di luar sana terjejas pendapatan mereka malah ada yang hilang mata pencarian.

“Sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kegembiraan kepada golongan ini untuk turut sama menyambut kedatangan Ramadan selain mengurangkan sedikit beban menguruskan perbelanjaan mereka,” kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan di Facebook.

Selain Mohd Azhar, turut terlibat adalah 20 kakitangan dan 25 ahli majlis dalam menjayakan program yang masuk tahun ke-11 penganjurannya sejak 2010.

Categories
PBT SELANGOR

35 warga kerja MDHS terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 35 pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang mempamerkan mutu kerja dan sumbangan terbaik sepanjang tahun lalu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Yang Dipertuanya Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata pihaknya sentiasa komited menghargai pengorbanan dan usaha warga kerja dalam meningkatkan produktiviti serta penyampaian perkhidmatan.

“Penerima APC diharap tidak leka dan meninggi diri dengan pengiktirafan diperoleh sebaliknya terus berusaha untuk menjadi suri tauladan di jabatan masing-masing,” katanya  pada majlis penganugerahan itu di Setia Eco Templer’s, Rawang pada 9 April.

Dalam acara tersebut, enam warga kerja turut menerima Anugerah Perkhidmatan Setia 25 Tahun sebagai mengiktiraf kesetiaan terhadap pihak berkuasa tempatan itu selain lapan kakitangan akan bersara wajib atau pilihan menerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Pihak berkuasa tempatan itu juga menobatkan seorang penerima Anugerah Khas Yang Dipertua termasuk memberi penghargaan Belasungkawa kepada dua waris kakitangan yang meninggal dunia sepanjang tempoh perkhidmatan.

Majlis yang diadakan dengan tatacara operasi piawai (SOP) itu disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS, Touch n’ Go jalin kerjasama galak peniaga guna e-dompet

SHAH ALAM, 9 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjalin kerjasama dengan Touch n’ Go Sdn Bhd dalam usaha menyokong urus niaga tanpa tunai.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) berkata pada majlis yang berlangsung pada Rabu, wakil Touch n’ Go dijemput memberikan taklimat secara dalam talian kepada peniaga.

“MDHS sebelum ini sebagai perintis masyarakat tanpa tunai sangat menggalakkan semua peniaga menggunakan e-dompet sebagai salah satu kaedah urus niaga,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, PBT itu melancarkan undian tapak bazar Ramadan secara atas talian menerusi Facebook rasminya.

Katanya, sesi cabutan undi dilakukan Ahli Majlis kawasan bagi mewakili peniaga dan senarai lengkap mereka yang berjaya dipaparkan di laman sesawang http://www.mdhs.gov.my.

Malah, Yang Dipertua Dr Mohd Azhar Mohamed Ali menyarankan peniaga lebih proaktif dan kreatif memasarkan perniagaan menerusi media sosial ataupun menggunakan khidmat penghantar makanan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS perkenal sistem e-bil, mudahkan urusan bayar cukai

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) perkenal sistem bayaran, semakan cukai taksiran dan penerimaan bil dalam talian mulai 2 Mac.

Yang dipertua berkata sistem yang dikenali OneBill itu menggantikan kaedah penghantaran bil secara fizikal kepada elektronik menerusi portal MDHS.

“Inisiatif ini memudahkan semua pihak untuk terima bil sekiranya mereka berpindah rumah dan tidak kemas kini alamat,” kata Dr Mohd Azhar Mohd Ali dalam kenyataan.

Menurut Dr Mohd  Azhar, untuk mengakses ke sistem itu pelanggan perlu melayari portal rasmi MDHS di https://www.mdhs.gov.my dan lihat pada aplikasi dalam talian dan klik e-billing (cukai, sewaan, cagaran, pelbagai).

Jelasnya, kemudian mereka disambung ke laman sesawang e-billing dan terus masukkan nombor akaun semakan bil, maklumat terkini akan dipaparkan.

“Pelanggan boleh memuat turun bil dalam bentuk PDF dan boleh masukkan alamat emel untuk terima salinan bil tersebut,” katanya lagi.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Jabatan Perbendaharaan MDHS di talian 03-6064 1331 (sambungan 135/151) atau emel [email protected].

Categories
PBT SELANGOR

MDHS sambut Hari Wanita, hargai peranan kakitangan

SHAH ALAM, 8 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menganjurkan sambutan Hari Wanita bagi menghargai peranan kakitangan wanita yang menjadi tulang belakang pentadbiran.

Yang dipertua berkata sambutan diselaras Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“Sambutan ini diharap dapat memberi inspirasi kepada golongan wanita yang menjadi penyumbang kepada kecemerlangan MDHS sehingga dikenali bukan sahaja peringkat negeri mahupun negara tetapi antarabangsa.

“Sambutan ini juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keupayaan wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan dan pembangunan masyarakat,” kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan.

Beliau berharap kakitangan wanita MDHS dapat memainkan peranan sama penting dengan lelaki supaya dapat memberi perkhidmatan perbandaran terbaik kepada rakyat.

“Saya menyeru kakitangan wanita sentiasa memperbaiki diri dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran diri,” katanya sambil menambah ANULAE menyediakan cenderamata kepada kakitangan wanita.