Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Langgar SOP di lokasi tumpuan awam, pengunjung degil dikompuan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bekerjasama dengan polis melakukan pemantauan secara kerap di lokasi tumpuan awam, kata yang dipertuanya.

Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata pihaknya memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), namun kompauan akan dikeluarkan jika pengunjung terus mengingkari arahan.

“Setakat ini kita cuba menasihati dan menegur pengunjung dengan kaedah menggunakan pembesar suara termasuk hebahan SOP agar mereka lebih berwaspada.

“Tiada kompaun dikeluarkan lagi tetapi jika ada yang berdegil kita tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepada individu tersebut,” katanya.

Beberapa kawasan rekreasi dan pelancongan sekitar Kuala Langat menjadi tumpuan orang ramai susulan peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Pada 10 September Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
PBT SELANGOR

Tiga individu didenda langgar undang-undang PBT Kuala Langat

SHAH ALAM, 17 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengenakan tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang melakukan kesalahan di daerah itu semalam.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata individu pertama, juruteknik swasta didakwa kerana membuang bungkusan sampah daun di SP 1, Bandar Saujana Putra.

“Tertuduh dikenakan kompaun RM700 mengikut kesalahan Undang-Undang Kecil 3(a) Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MDKL) 2007 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, individu kedua yang mengusahakan sarang burung walit tanpa lesen didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 3(1)(a), Undang-Undang Penternakan Burung Walit (MDKL) 2013 dan didenda RM1,200.

Amirul menambah individu ketiga pula didenda RM500 di bawah Seksyen 74, Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membiarkan kediaman dalam keadaan kotor dan bersemak di Taman Sri Putra.

Categories
PBT SELANGOR

Cukai taksiran MDKL kekal sejak 33 tahun

BANTING, 25 FEB: Kadar cukai taksiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kekal sejak 33 tahun lalu dan tidak pernah dinilai bermula 1987, kata yang dipertuanya.

Mohamad Zain A Hamid berkata setiap pihak berkuasa tempatan perlu membuat penilaian semula cukai taksiran dalam tempoh lima tahun.

“MDKL masih dalam peringkat perbincangan menaikkan cukai ataupun tidak, ia akan dibuat berdasarkan laporan Unit Perancang Ekonomi Negeri yang dikeluarkan pada Jun,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat penuh MDKL, di ibu pejabatya, di sini, hari ini.

Mohamad Zain menggesa masyarakat mengubah minda seiring dengan status MDKL menuju ke arah majlis perbandaran bermula Mac depan.

Categories
PBT SELANGOR

Kilang kertas beri impak ekonomi Kuala Langat

BANTING, 25 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menjangka pembinaan kilang kertas oleh pelabur antarabangsa akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat kepada penduduk setempat, kata yang dipertuanya.

Mohamad Zain A Hamid berkata selain peluang pekerjaan, perancangan itu juga akan membuka ruang perniagaan kepada peniaga tempatan seperti premis makanan dan pemilik kediaman bagi tujuan sewaan kepada pekerja luar.

“MDKL mahu pekerja tempatan diberi keutamaan apabila kilang itu mula beroperasi dan pada masa sama, kita juga sedang mengkaji impak positif dan negatif pembinaannya daripada Jabatan Alam Sekitar,” katanya selepas mesyuarat penuh MDKL di sini hari ini.

Pada Januari tahun lalu dilaporkan, pengeluar kertas terkemuka China, Zhejiang Jingxing Paper Joint Stock Co Ltd bercadang melabur AS$299.4 juta (RM1.2 bilion) bagi membina kilang pengeluaran kertas papan pulpa dan pembungkusan di Selangor.

Cadangan pembangunannya adalah bagi pengeluaran kertas papan pulpa dengan kapasiti tahunan 800,000 tan dan 600,000 tan bagi kertas pembungkusan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDKL berstatus perbandaran 1 Mac

SHAH ALAM, 24 FEB: Status Kuala Langat daripada majlis daerah kepada perbandaran akan berubah pada 1 Mac ini selepas Kerajaan Negeri menyerahkan surat warta, kata yang dipertuanya.

“Pemasyhuran secara rasmi akan dilakukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, namun tarikhnya masih belum mendapat perkenan Tuanku,” kata Mohamad Zain A Hamid ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Selaras penarafan status baharu, beliau berkata kerja menceriakan landskap di sekitar Kuala Langat yang menjadi laluan utama ke Port Dickson turut dilakukan.

“Pada masa sama, kerja pembaikan jalan raya dan penstrukturan semula kakitangan akan dilakukan bagi membolehkan gerak kerja perbandaran menjadi lebih baik,” katanya.

Pada November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya menukar status kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober 2019.

Selain MDKL, Subang Jaya turut dinaik taraf menjadi Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandaraya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya serta enam majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang dan Sepang).

Majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL usaha kekang penularan Covid-19

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berusaha mengekang penularan koronavirus 2019 (Covid-19) dalam kalangan kakitangan dengan membekalkan topeng muka serta pembersih tangan.

Majlis itu menerusi kenyataan berkata, keutamaan diberi kepada petugas barisan hadapan termasuk penjaga kaunter dengan menggalakkan pemakaian topeng ketika berurusan dengan orang awam.

Katanya kakitangan tidak digalakkan keluar atau mengunjungi tempat tumpuan ramai.

“Kerja mencuci lantai, kaunter dan meja bilik mesyuarat dengan pembasmi kuman akan dilakukan lebih kerap.

“Kakitangan serta ahli keluarga dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan di Hospital Banting atau klinik kesihatan berhampiran jika terdapat tanda seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Bina kilang simen haram, pemilik didenda RM7,000

BANTING, 10 JAN: Seorang pemilik kilang simen didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendirikan bangunan tanpa kebenaran di Jenjarom di sini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat berkata Majistret Saifuddin Rafiee menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 70(13)(c) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Tertuduh didenda RM7,000 atau enam bulan penjara. Semua pemilik kilang perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu sebelum mendirikan sebarang struktur bangunan,” kata Mohamad Zain A Hamid dalam kenyataan.

Katanya tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu atau syarikat yang didapati melanggar undang-undang berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

11,573 sertai Kempen Jom Bayar & Menang Cukai Tanah

SHAH ALAM, 9 JAN: Kempen Jom Bayar & Menang Cukai Tanah anjuran Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan  11,573 pemilik hartanah sepanjang tahun lalu.

Pegawai Daerahnya, Mohd Jusni Hashim berkata siri pertama kempen membabitkan tempoh pembayaran cukai bermula dari 1 Januari hingga 15 April (fasa pertama) dan 16 April hingga 29 Mei (fasa kedua).

“Kempen ini bagi menggalakkan lebih ramai pemilik hartanah membayar cukai seawal mungkin bagi meningkatkan prestasi kutipan cukai.

“Ia sebagai tanda penghargaan kepada pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka dalam tempoh ditetapkan dan memberi peluang mereka menerima hadiah utama,” katanya.

Beliau berucap pada pelancaran Kempen ‘Jom Bayar & Menang’ Cukai Tanah dan Apresiasi Atlet PDT Kuala Langat sempena Kejohanan Sukan Pejabat Tanah dan Daerah (Petanda), semalam.

Siri kedua kempen tahun ini mengekalkan format sama meliputi dua fasa pembayaran dengan menawarkan 50 hadiah cabutan bertuah menarik termasuk motosikal, televisyen, mesin basuh, serta pelbagai peralatan kelengkapan rumah.

Mohd Jusni berkata pendekatan itu bukan sahaja membantu meningkatkan lebih ramai penyertaan dalam kalangan pemilik hartanah, malahan berupaya meminimumkan tunggakan cukai sebelum ini.

“Peserta boleh membuat pembayaran melalui dua kaedah iaitu di Kaunter Unit Hasil PDT Kuala Langat. Borang penyertaan akan diberikan kepada pembayar cukai yang memenuhi syarat penyertaan,” katanya.

Pembayaran secara dalam talian atau di lain-lain ejen kutipan hasil cukai tanah dengan memuat turun borang di Portal PDT Kuala Langat (www.selangor.gov.my/kualalangat).

Borang permohonan perlu dihantar ke alamat emel [email protected] sebelum tarikh tutup penyertaan.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Lipas di dapur, restoran kotor diarah tutup dua minggu

BANTING, 7 JAN: Sebuah restoran di Telok Panglima Garang di sini diarah tutup selama dua minggu oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) selepas mengabaikan kebersihan premis.

Yang Dipertuanya berkata arahan penutupan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 62(b) Establisymen Makanan (2007) MDKL.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis ini bukan sahaja beroperasi dalam persekitaran kotor, malah lebih menjijikkan kami menjumpai lipas di dapur.

“Justeru, premis ini terpaksa ditutup serta merta bagi mengelakkan keracunan makanan,” kata Mohamad Zain A Hamid dalam kenyataan semalam.

Katanya pemilik restoran turut diarah melakukan pembersihan segera dalam tempoh 14 hari.

“Kami akan sentiasa memeriksa dan memantau premis makanan di daerah ini bagi memastikan masyarakat berasa selamat untuk makan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kuala Langat kini berstatus perbandaran

SHAH ALAM, 13 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan Majlis Daerah Kuala Langat berjaya menukar statusnya kepada majlis perbandaran.

Beliau berkata perkara itu disahkan melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober lalu.

“Oleh demikian, saya berharap Kabinet juga akan memberi kelulusan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya untuk membolehkan mereka menerima status bandar raya.

“Sementara Majlis Daerah Kuala Selangor pula perlu mengemukakan semula cadangan dan beberapa kertas kerja untuk dinaik taraf daripada daerah kepada perbandaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandaraya termasuk Shah Alam dan Petaling Jaya serta enam majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang dan Sepang).

Sementara itu majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor tidak kompromi isu alam sekitar

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerajaan Negeri akan memastikan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau keadaan serta aktiviti kilang bateri di Jenjarom yang diberikan lesen beroperasi sementara secara ketat.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu pencemaran alam sekitar atau pihak tidak mematuhi piawaian dan peraturan sedia ada.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghormati hak perhimpunan dan bersuara oleh rakyat serta bersedia mendengar juga berbincang dengan semua pihak dalam hal pembangunan.

“Bagaimanapun, dalam isu kilang bateri ini, penduduk juga diminta bersabar sementara menunggu hasil kajian dan keputusan pihak berkuasa negeri,” katanya dalam kenyataan.

Loy Sian menegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut kehendak undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa prihatin terhadap masalah pencemaran alam sekitar yang memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan, namun prinsip keadilan kepada pihak terbabit juga perlu dipertahankan.

“Kerajaan Negeri juga akan bertindak adil kepada semua pihak berkepentingan termasuk pelabur jika mereka mematuhi dan melakukan permohonan di bawah segala syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri sudah membuat beberapa siasatan dan kajian ke atas kemungkinan pencemaran terhadap air, udara serta tanah ekoran aktiviti kilang itu yang membawa kesan negatif ke atas alam sekitar juga kesihatan penduduk.

Katanya, MDKL juga diarahkan untuk menyelaras dan mengetuai tindakan mengumpul semua hasil kajian selewat-lewatnya pertengahan Ogos ini.

“Hasil kajian dan laporan menyeluruh daripada agensi yang terbabit perlu diserahkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor untuk membuat keputusan pada akhir Ogos ini,” katanya.

Terdahulu, MDKL mengeluarkan lesen sementara selama dua bulan kepada sebuah kilang bateri, di Jenjarom selepas menerima sokongan JAS Putrajaya.

Ekoran itu, hampir 100 penduduk mengadakan demonstrasi aman dan mendesak MDKL serta JAS tidak menyambung lesen operasi sementara kilang terbabit, semalam.

Mereka mendakwa kilang bateri itu membuang sisa plumbum ke dalam saliran yang bersambung dengan sungai serta menyebabkan pencemaran udara di Jalan Sukepi, di sini.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL benar kilang bateri beroperasi dengan syarat ketat

BANTING, 10 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengeluarkan lesen sementara selama dua bulan kepada sebuah kilang bateri, di Jenjarom selepas menerima sokongan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, JAS juga memberi ulasan bahawa tiada halangan untuk kilang itu meneruskan operasi premis selepas Perintah Larangan di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 ditarik balik.

Bagaimanapun, katanya, kilang berkenaan perlu mematuhi beberapa syarat yang dikeluarkan antaranya tidak menjalankan aktiviti dan operasi melebur plumbum sehingga kelulusan laporan kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dikeluarkan oleh JAS.

“Lanjutan daripada penarikan balik Perintah Larangan itu, MDKL bersetuju untuk menimbangkan permohonan lesen perniagaan sementara selama dua bulan mulai 19 Jun hingga 19 Ogos 2019 dengan syarat, pihak kilang mestilah mematuhi syarat ditetapkan JAS yang dikeluarkan pada 12 Jun lalu.

“Kilang juga perlu mematuhi syarat yang dikeluarkan Jabatan Kawalan Bangunan MDKL yang ditetapkan pada 6 Mei,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, lesen sementara itu akan ditarik balik jika pengusaha kilang melanggar mana-mana peraturan ditetapkan.

“MDKL menegaskan sekali lagi bahawa semua kelulusan lesen sementara dan kekal akan mengikut prosedur ditetapkan tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Terdahulu, kilang bateri itu diarah tutup serta-merta oleh Kerajaan Negeri sehingga siasatan terhadap pencemaran asid dan plumbum yang didakwa berpunca daripada kilang terbabit selesai.

Semalam, hampir 100 penduduk mengadakan demonstrasi aman dan mendesak MDKL serta JAS tidak menyambung lesen operasi sementara kilang itu yang tamat pada 19 Ogos ini.

Penduduk mendakwa kilang bateri itu membuang sisa plumbum ke dalam saliran yang bersambung dengan sungai serta menyebabkan pencemaran udara di Jalan Sukepi, di sini.