Categories
PBT SELANGOR

PBT Selangor tingkat edaran bantuan makanan kepada masyarakat

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor mengambil inisiatif meningkatkan pengedaran bakul makanan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan bantuan Bakul Prihatin dengan menyediakan 2,700 pek makanan untuk diagihkan kepada bekas kakitangannya, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), operator taska dan wartawan serta jurugambar sambilan.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata penambahan bantuan itu bagi memastikan tiada masyarakat terputus makanan dan diagihkan secara berperingkat bermula esok.

“Kita percaya ramai terkesan terutama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sumbangan makanan perlu diperluaskan supaya semua menerima manfaat.

“Bagi individu yang ingin turut sama membantu, mereka boleh membeli baucar bakul makanan bernilai RM10, RM30,RM50 di Pasaraya 99 Speedmart,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

 

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membantu golongan terkesan melalui ahli majlis dan pengurusannya agar tiada pihak tercicir menerima bantuan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata pengurusan MDKS mengagihkan bantuan makanan kepada komuniti strata manakala ahli majlis menyumbang kepada penduduk.

“Sejak sumbangan ini diperkenalkan pada 14 Jun sebanyak 200 bakul makanan diagihkan. Bantuan diteruskan esok dengan 300 lagi diberikan kepada keluarga terjejas.

“Ia digerakkan melalui dua pasukan diketuai saya sendiri dan satu lagi Setiausaha MDKS, Yusli Askandar,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyediakan bekalan bank makanan di dua lokasi iaitu Petron Taman Ehsan dan Jalan 13, Desa Jaya.

“Bank makanan itu disediakan Ahli majlis Zon 24, Fok Wai Mun bagi meringankan beban masyarakat sepanjang tempoh PKPD.

“Sekecil-kecil sumbangan ternyata besar nilainya kepada yang memerlukan. Sekiranya terdapat pihak yang ingin turut serta amat dialu-alukan,” katanya menerusi Facebook.

PKPD dikuat kuasa membabitkan 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula Sabtu lalu hingga 16 Julai.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

200 pek makanan untuk komuniti strata hadapi waktu sukar

SHAH ALAM, 15 JUN: Sebanyak 200 bakul makanan diagihkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kepada komuniti strata yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Yang dipertuanya berkata bantuan seperti beras, minyak masak, biskut, mi segera dan gula sebagai inisiatif meringankan beban keluarga kurang berkemampuan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Mereka terdiri daripada 14 lokaliti perumahan strata di sekitar Kuala Selangor, Puncak Alam dan Saujana Utama.

“MDKS berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka semasa menghadapi waktu sukar ini,” kata Rahilah Rahmat menerusi kenyataan.

Semalam, beliau turun padang menyampaikan sendiri bantuan terbabit kepada penerima.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Baru sehari PKP, 11 premis di Kuala Selangor dikesan langgar SOP

SHAH ALAM, 2 JUN: Hanya sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuat kuasa, sebanyak 11 premis perniagaan sekitar Kuala Selangor dan Tanjong Karang diarah tutup.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Kuala Selangor berkata premis terbabit yang menjual alat perkakas rumah bukan dalam sektor ekonomi perlu yang dibenarkan kerajaan.

“Antara alasan diberi pemilik premis adalah mereka tidak jelas dengan SOP ditetapkan kerajaan dan menyangka semua kedai boleh (dibuka) semasa PKP.

“Susulan itu, kita memberi penjelasan hanya premis menjual makanan dan minuman serta keperluan asas dibenarkan beroperasi,” kata Lutfi Mislah ketika dihubungi.

Beliau menambah meskipun tiada kompaun dikeluarkan, namun pemantauan ke atas semua premis di daerah terbabit dipergiat bagi mengelak pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP).

“Kita juga akan memberi arahan kepada pasar raya supaya menutup bahagian barangan bukan keperluan,” kata Lutfi lagi.

Hanya 17 sektor dibenarkan beroperasi sepanjang PKP mulai semalam sehingga 14 Jun meliputi makanan dan minuman termasuk untuk haiwan, penjagaan kesihatan dan perubatan, perniagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar.

Selain itu, perkhidmatan air, tenaga, keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan batuan kemanusiaan, urusan sisa pepejal, pengangkutan darat dan air.

Turut dibenarkan perkhidmatan dan perusahaan pelabuhan, lapangan terbang, komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos serta kurier penyiaran bagi penyampaian maklumat berita.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lukisan wanita tular baru 20 peratus, MDKS arah siapkan segera

SHAH ALAM, 20 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengarahkan pelukis menyiapkan segera lakaran berunsur sensitif di dinding Balai Seni Sasaran Kuala Selangor.

Yang dipertuanya berkata pihaknya memandang serius dakwaan pelayar media sosial mengenai gambar wanita yang tular di media sosial, semalam.

“Maklumat awal kita terima pada 7 malam, lukisan yang masih dalam 20 peratus proses lakaran itu mulai tular.

“Justeru, MDKS telah mengarahkan pelukis untuk menyiapkan bahagian sensitif dalam tempoh tiga jam. Kemudian kira-kira 10 malam lakaran tersebut telah 40 peratus siap,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata lukisan itu juga dijangka siap sepenuhnya sebelum atau pada 26 April ini.

“Saya mengingatkan kepada mana-mana penggiat seni untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga sensitiviti budaya tempatan dalam penghasilan karya dan merujuk kepada MDKS terlebih dahulu,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Platform Seldec sasar 10,000 jenis makanan, barangan sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 18 MAC: Penduduk di Subang Jaya dan dan Kuala Selangor boleh melayari platform Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) yang memaparkan hampir 10,000 menu dan barangan sepanjang Ramadan.

Pengurus besar pembangunan perniagaan Seldec berkata program e-bazar Ramadan itu melibatkan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

“Aplikasi Dapur Seldec dan Dapur Seldec Rider diwujudkan khusus untuk e-bazar Ramadan disertai 1,500 peniaga di bazar dan rumah yang dibahagikan kepada 40 zon.

“Penghantaran untuk setiap zon dibuat dalam lingkungan lima hingga tujuh kilometer, kita tetapkan pesanan dihantar dalam tempoh 30 minit hingga sejam,” kata Mohd Fauzan Elham kepada SelangorKini, semalam.

Beliau berkata aplikasi Dapur Seldec dan Dapur Seldec Rider akan kembangkan
untuk peniaga pasar malam, pasar pagi dan pasar awam.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Seldec digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS anjur festival e-sukan tawar hadiah RM8,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan menganjurkan kejohanan dalam talian Kuala Selangor E-Games Festival 2021 dengan hadiah keseluruhan RM8,000.

Dalam kenyataannya, MDKS memaklumkan pertandingan bermula 20 Mac hingga 4 April menguji peserta dalam tiga acara iaitu Mobile Legends, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PuBG) dan FIFA21.

“Festival itu bertujuan memeriahkan lagi industri e-sukan di daerah ini dengan penglibatan anak muda bagi bersaing secara sihat dalam kejohanan bertaraf kebangsaan.

“Ia terbuka kepada umum dan terhad hanya kepada 128 orang sahaja untuk setiap acara,” katanya menerusi Facebook.

Pada masa sama MDKS berkata program seperti itu juga dapat mempromosikan lokasi dan produk pelancongan di daerah tersebut.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut boleh menghubungi 011-1192 6202 (Hical) atau klik di pautan berikut:

PUBG Mobile: https://www.mesf.gg/…/kuala-selangor-e-games-festival

Mobile Legends: https://www.mesf.gg/…/kuala-selangor-e-games-festival

FIFA21: https://www.mesf.gg/…/kuala-selangor-e-games-festival

Categories
AGENSI SELANGOR

SPRM lawat MDKS, tinjau tapak cawangan baharu

SHAH ALAM, 5 MAC: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menerima kunjungan hormat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu lalu.

Kunjungan diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi bertujuan meninjau premis sewaan cawangan suruhanjaya itu dengan diiringi Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat.

“Delegasi SPRM turut dibawa melawat ibu pejabat majlis untuk sesi perkongsian mengenai latar belakang pihak berkuasa tempatan ini.

“Warga MDKS merakamkan ucapan terima kasih kepada suruhanjaya itu kerana memilih daerah Kuala Selangor sebagai lokasi baharu pejabat untuk mencegah rasuah,” katanya menerusi Facebook semalam.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS kompaun dua pemilik ternakan sebabkan kacau ganggu

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengeluarkan dua kompaun terhadap pemilik haiwan ternakan di Jalan Raja Abdullah pada 9 Februari lalu.

MDKS berkata mereka melakukan kesalahan membiarkan haiwan itu berkeliaran tanpa kawalan sehingga menimbul kacau ganggu di laluan awam dan perumahan.

“Hasil operasi pemantauan di sekitar kawasan Bestari Jaya, Ijok dan Jeram itu kita berjaya menangkap lapan ekor kambing dan dua ekor lembu.

“Tangkapan ini dilakukan mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 dan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan,” katanya di Facebook.

MDKS berkata operasi itu bertujuan mencegah haiwan seperti lembu, kambing dan kerbau berkeliaran di kawasan awam yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Pihak berkuasa tempatan itu juga memberi peringatan pihaknya boleh menyita haiwan yang ditangkap serta disimpan di kurungan khas atas risiko pemunya dan dibayar mengikut harga ditetapkan.

“Selepas itu baharu mereka boleh menuntut kembali lembu, kambing dan kerbau mengikut Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

“Manakala, Seksyen 13 Enakmen yang sama memberi kuasa kepada PBT untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah terhadap pemilik kerana melanggar mana-mana peruntukan dalam enakmen tersebut,” jelasnya.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS tawar ganjaran tangkap tikus, RM3 setiap ekor

SHAH ALAM, 5 FEB: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menawarkan ganjaran RM3 setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap di kawasan pentadbirannya.

Jurucakapnya berkata ganjaran tunai akan dibayar segera kepada individu yang berjaya menangkap tikus hidup atau mati yang mana waktu serahannya setiap Isnin hingga Jumaat.

“Langkah ini diambil bersempena kempen kawalan tikus yang akan dijalankan sehingga hujung tahun ini untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama penularan penyakit Leptospirosis dan penyakit bawaan daripada tikus,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata orang awam khususnya pelanggan premis makanan perlu melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan itu jika melihat sikap kurang peka pemilik premis terhadap isu kebersihan.

“Untuk sebarang pertanyaan berkenaan kempen ini, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS di talian 03-3289 2235,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS lantik 18 ahli majlis, komited jaya program rakyat

SHAH ALAM, 9 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berharap 18 ahli majlis yang dilantik dapat menjadi penghubung dan pemudah cara antara pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan masyarakat.

Yang dipertuanya berkata pelantikan itu juga diharap dapat mengangkat martabat MDKS bertunjangkan komitmen yang berintegriti, dinamik dan prihatin.

“Untuk sesi baharu ini, kita telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada semua ahli majlis bagi memastikan tugas dan peranan mereka dilaksana dengan baik dan sempurna.

“Antara yang dinilai adalah kehadiran ke mesyuarat dan program jabatan, penganjuran program kemasyarakatan serta pengurusan aduan awam,” kata Rahilah Rahmat menerusi kenyataan di Facebook.

Semalam, MDKS mengadakan Majlis Angkat Sumpah Menerima Jawatan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor Sesi 2021-2022 di Bilik Mesyuarat Malawati, ibu pejabatnya.

Berikut senarai Ahli Majlis MDKS 2021-2022:

Dato’ Mohamad Yaacob Dato’ Ismail
Lim Piang Nam
Anwar Karison
T Rajasegaran
V Lanuga
Zailani Kadir
Atiqah Syairah Shaharuddin
Lim Yau Mien
Yeow Yeong Feng
Hoi Yun Hong
V Alagenthran
Nagmuddin Hussai
Khider Ab Rahim
Mohd Hatta Sanuri
Mohd Aziz Mat Rashid
NV Pushpa
Nurul Azuwan Ab Malek
Raja Shahmirulzaman Raja Badakozaman

Categories
PBT SELANGOR

MDKS tawar diskaun kompaun pelbagai kesalahan serendah RM20

SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menawarkan promosi bayaran kompaun serendah RM20 bagi pelbagai kesalahan mulai 1 Januari hingga 28 Februari.

MDKS berkata antara kesalahan yang diberi tawaran adalah kesalahan meletak kereta selain di petak orang kelainan upaya (OKU) dan petak khas.

“Manakala, mereka yang parkir di petak OKU pula dikena caj RM50. Bagi kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja pula tawaran sebanyak RM30.

“MDKS turut menawarkan pengurangan bagi kesalahan berkaitan Kawalan Halangan S46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 sebanyak RM50 dan (UUK) berkaitan perlesenan perniagaan (RM100),” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, tawaran RM250 bagi kesalahan Kawalan Bangunan S70(11) dan S70(13) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Kaedah bayaran boleh dibuat di i-services, kaunter bayaran MDKS, aplikasi Citizen e-Peyment (CEPat), wang pos atau bank draf.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDKS berpotensi jadi perbandaran tahun ini, fokus tambah baik – EXCO

SHAH ALAM, 2 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berpotensi untuk bertukar status kepada majlis perbandaran pada tahun ini, kata EXCO kerajaan tempatan.

Bagaimanapun, Ng Sze Han berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu fokus untuk meningkatkan perkhidmatannya kepada penduduk.

“Dari tahun lalu MDKS menanti untuk bertukar status kepada perbandaran. Oleh itu saya yakin tahun ini kemungkinan MDKS boleh bertukar status daripada majlis daerah kepada majlis perbandaran.

“Tetapi perlu diingatkan, bukan hanya status yang dikejar. Sebaliknya mutu perkhidmatan mereka perlu ditingkatkan sekali gus diyakini boleh dicapai,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian susulan yang dipertua MDKS memaklumkan PBT itu dijangka berstatus majlis perbandaran pada tahun ini.

Katanya, perkara itu dalam fasa akhir proses pewartaan dan sedang diteliti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan MDKS masih menunggu lampu hijau daripada KPKT berhubung perubahan status majlis daerah kepada perbandaran selain melihat kepada beberapa penelitian termasuk aspek penduduk, pendapatan dan hasil.

Bukit Melawati di Kuala Selangor berpotensi maju dalam sektor pelancongan

Setakat ini Selangor mempunyai tiga majlis bandaraya termasuk Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Ia disusuli enam majlis perbandaran iaitu Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Kuala Langat dan Sepang.

Sementara itu majlis daerah iaitu Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.