Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ buka dua kaunter baharui lesen pasar awam, medan selera

SHAH ALAM, 5 DIS: Peniaga warga Subang Jaya boleh memperbaharui lesen perniagaan bagi pasar awam, pagi dan malam serta medan selera secara terus di kaunter bergerak sehingga 24 Disember ini.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata pembukaan dua kaunter terbabit yang bermula 29 November lalu bagi pembayaran lesen 2022 mengikut zon masing-masing.

“Kaunter bayaran dibuka bermula 29 November sehingga 13 Disember bertempat di Dewan Serbaguna MBSJ USJ 7, Subang Jaya.

“Manakala pembukaan kaunter di Stadium MBSJ Serdang Jaya, Seri Kembangan akan bermula pada 16 sehingga 24 Disember ini,” menurutnya di Facebook.

Categories
ADN SELANGOR

Lulus peruntukan RM5,000 bantu baik pulih medan selera

SHAH ALAM, 5 NOV: Wakil rakyat Sungai Ramal meluluskan peruntukan RM5,000 bagi kerja membaik pulih Medan Selera Kampung Teras Jernang di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat.

Mazwan Johar berkata premis beroperasi sejak tiga tahun lalu itu mengalami kerosakan dan penyelenggaraannya tidak dapat dilakukan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Situasi itu menyebabkan perancangan melengkapkan kemudahan asas dari semasa ke semasa tidak dapat dilaksanakan akibat tiada penyewa mampu membayar sewa dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Susulan itu kami luluskan peruntukan RM5,000 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Teras Jernang untuk melaksana kerja baik pulih dan melengkapkan kemudahan,” katanya di Facebook semalam.

Mazwan berharap sumbangan itu dapat menambah baik kemudahan di medan selera berkenaan untuk keselesaan peniaga dan pengunjungnya.

“Saya juga berharap pendapatan peniaga di medan selera itu dapat digandakan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PLUS buka semula medan selera R&R, ikut SOP ketat

KUALA LUMPUR, 11 FEB: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula medan selera di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) termasuk dua restoran jejantas dan hentian sebelah di lebuh raya kendaliannya serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), bermula semalam.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembukaan semula ruang makan itu selari dengan pengumuman kerajaan berhubung kebenaran makan di restoran dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat berkuat kuasa semalam.

“PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menikmati makanan dan minuman di kawasan berkenaan agar mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu hanya dua orang dibenarkan untuk satu meja makan dengan memastikan penjarakan fizikal satu meter.

“Semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini manakala restoran, gerai serta trak makanan dan minuman bergerak termasuk kedai serbaneka beroperasi mulai 6 pagi hingga 10 malam,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, prapesanan menerusi aplikasi PLUS juga digunakan dalam usaha membantu rakan niaga menerima tempahan daripada pelanggan dan ia boleh dimuat turun secara percuma melalui google Play Store atau App Store.

-BERNAMA

 

Categories
PBT SELANGOR

Medan Selera Seksyen 15 mula beroperasi, sedia banyak kemudahan

SHAH ALAM, 14 DIS: Medan Selera @15B di Jalan Soket, Seksyen 15 yang kini berwajah baharu dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bermula 7 Disember.

Datuk Bandar Shah Alam berkata gerai makanan yang menempatkan hampir 40 peniaga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, tandas dan tempat letak kereta.

Dato’ Haris Kasim menjangka lokasi itu bakal menjadi tumpuan ramai kerana berada pada kedudukan strategik berdekatan kilang dan kawasan industri.

“Usaha sebegini membuktikan komitmen Majlis Bandaraya Shah Alam membantu penjaja tepi jalan khususnya mendapatkan tempat perniagaan lebih baik,” katanya selepas berkunjung ke lokasi itu hari ini.

Medan selera itu turut menempatkan kedai jahitan, kedai kek, kedai menjual barangan kering atau sejuk beku dan kedai produk biodegradasi.

Sementara itu, Haris memaklumkan sebanyak tiga medan selera sedang dibina di U10, U6 dan Seksyen 25 bagi menempatkan lebih ramai penjaja dan peniaga kecil.

Bagaimanapun, beliau berharap kemudahan tersebut dijaga dengan baik terutama dari aspek kebersihan.