Categories
GLOBAL NASIONAL

Media sosial padam, sekat video serangan di Christchurch

SAN FRANCISCO, 16 MAC: Media sosial utama dunia termasuk Facebook, Google dan Twitter sedang menggiatkan usaha memadam dan menyekat rakaman video serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, lapor agensi berita Xinhua.

Serangan di dua masjid yang dipenuhi jemaah pada Jumaat itu meragut 49 nyawa dan mencederakan 48 yang lain.

Seorang daripada penyerang dipercayai membuat siaran langsung ​​​​​​​di Facebook, menunjukkan seorang lelaki bersenjata ​​​​​​​melepaskan tembakan bertubi-tubi terhadap para jemaah yang berada di dalam masjid itu.

Wakil pejabat Facebook New Zealand, Mia Garlick ​​​​​​​berkata dalam satu kenyataan kepada media BuzzFeed, pihaknya sedang berusaha menyekat serta memadam semua rakaman ​​​​​​​kejadian.

Akaun milik penyerang di Facebook juga telah dipadamkan.

Twitter turut menarik balik video asal dan menggantung akaun yang ​​​​​​​berkongsi rakaman itu di platformnya, kerana pengguna telah ​​​​​​​melanggar dasar yang melarang kandungan mempunyai unsur kebencian ​​​​​​​atau keganasan.

Jurucakap Twitter dalam satu kenyataan berkata “pihaknya telah ​​​​​​​menugaskan kakitangan untuk menguruskan keadaan yang mendesak dan ​​​​​​​cemas seperti itu.”

YouTube juga mengambil langkah sama.

“Kandungan berunsur ganas tidak mempunyai tempat di platform kami, dan akan dikeluarkan sebaik kami menyedarinya,” kata YouTube dalam ​​​​​​​Twitternya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangan salah guna media sosial

OLEH UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 14 MAC: Orang awam dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial yang merancakkan lagi penyebaran maklumat dalam masa singkat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, masyarakat masih mempunyai kebebasan menyuarakan pandangan dan membincangkan isu berkaitan, namun perlu menjaga etika terutama berhubung isu sensitif.

“Intipati perbincangan itu juga mesti tidak disalahgunakan sehingga melanggar undang-undang atau menjejaskan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan orang awam supaya tidak memuat naik atau berkongsi kenyataan berbentuk provokasi yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum, di negara ini.

Terdahulu, tiga lelaki didakwa atas 11 pertuduhan berhubung kes menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, di media sosial.

Categories
NASIONAL

Sebar mesej palsu, setiausaha akhbar Guan Eng lapor polis

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Satu laporan polis dibuat berhubung penyebaran mesej dan berita palsu di media sosial yang dikaitkan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Setiausaha akhbarnya, Lutfi Hakim berkata, mesej yang disebarkan melalui aplikasi seperti WhatsApp itu adalah palsu dan bertujuan memfitnah menteri itu yang tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan seperti yang disebarkan.

Katanya, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan rupa dan format akhbar tempatan untuk menyebar maklumat palsu dan berunsur fitnah amat dikesali.

“Mesej berkenaan disebarkan dengan niat jahat bertujuan membangkitkan sentimen perkauman, perasaan marah, tidak puas hati dan rasa kebencian terhadap menteri kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada Khamis lalu.
Lutfi berkata, adalah penting untuk menyemak sebarang maklumat diterima melalui media sosial atau saluran lain dengan sumber maklumat dan akhbar rasmi serta profesional.

Katanya, ia termasuk laman sesawang dan saluran Facebook serta Twitter rasmi Kementerian Kewangan.

“Penyebaran maklumat palsu adalah kesalahan di bawah undang-undang seperti Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan teliti wujud RUU kekang salah guna media sosial

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) atau Jawatankuasa Parlimen bertujuan mengekang penyalahgunaan media sosial sehingga mencetus fahaman berbaur kebencian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, RUU itu perlu wujud berikutan penyebaran maklumat palsu kini dilihat terlalu meluas sehingga berisiko mencetus kekacauan.

“Kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan antaranya mahu mewujudkan industri bagi memeriksa dahulu sesuatu laporan sama ada fakta atau tidak sebelum ia dilaporkan.

“Bagaimanapun, untuk RUU ini dilaksanakan mengambil sedikit masa dan apabila selesai kita akan membuat pengumuman pada sidang media akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Menteri bersama Media anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Hotel Sheraton Imperial, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail dan Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

 

Categories
SELANGOR

Netizen perlu waspada sebar berita palsu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 27 JAN: Pengguna media sosial (netizen) perlu lebih berhemah ketika menyebarkan sebarang mesej bagi mengelakkan sebaran berita palsu.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng berkata, hal itu kerana masyarakat kini mempunyai kuasa mencipta berita palsu dengan hanya menggunakan media sosial seperti whatsapp dan facebook.

Katanya, lebih membahayakan apabila segelintir masyarakat beranggapan penyebaran berita seumpama itu tidak akan mendatangkan mudarat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengesahkan berita berkenaan, jika kita dapat berbuat sedemikian mungkin undang-undang berita palsu tidak perlu diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival Fiesta Kumpulan Star Summit USJ, di sini.

Michelle berkata, antara contoh penyebaran berita palsu yang berlaku terhadapnya ialah apabila ribuan warga emas datang ke pusat khidmatnya gara-gara maklumat tidak benar.

Katanya, mereka menerima mesej kononnya perlu ke pusat khidmat untuk mendapatkan kad platinum warga emas, kad kesihatan dan angpau Tahun Baharu Cina.

“Awalnya saya terima mesej berkenaan dari seseorang pada Ahad, namun tidak langsung memikirkan kesan yang akan berlaku, tetapi tidak sangka keesokan harinya pusat khidmat dipenuhi orang ramai.

“Sebenarnya tidak ada langsung skim sedemikian rupa yang ditawarkan kepada rakyat Selangor, disebabkan mesej palsu itu kami terpaksa menjelaskan perkara sebenar kepada orang ramai yang datang.

“Jadi, berfikirlah sebelum menyebarkan sesuatu perkara tidak benar,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Gunakan media sosial berhemah, jauhkan sebar fitnah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 OGOS: Masyarakat negara ini tidak wajar dikelirukan dengan penyebaran pelbagai berita palsu atau fitnah menerusi media sosial bagi tujuan sengaja membentuk persepsi negatif terhadap sesuatu isu.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohd Khairuddin Othman berkata, tindakan ini bukan sahaja tidak bermoral, bahkan mampu menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat.

“Pengguna media sosial mesti mempunyai peranan membentuk masyarakat yang mempunyai persepsi betul terhadap sesuatu perkara.

“Tindakan memutarbelit fakta hanya membentuk kefahaman salah di kalangan masyarakat walaupun kadang kala hanya melibatkan perkara kecil yang sudah dibetulkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras itu sebaliknya berkata, pengguna media sosial perlu berhati-hati dan memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum dikongsikan kepada pengguna media lain.

Kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan kepada masyarakat termasuk generasi muda yang bakal memimpin negara suatu hari nanti.

Katanya, generasi yang membesar dalam persekitaran dikelilingi masyarakat cenderung mempercayai berita palsu atau fitnah bakal memberi kesan kepada gaya pemikiran mereka.

“Generasi muda ini merupakan pemimpin pada masa akan datang dan sudah tentulah ini sesuatu yang tidak sihat untuk mereka membesar dalam persekitaran dipenuhi fitnah sana sini,” katanya.

Muktahir ini, semakin banyak lambakkan berita palsu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Categories
GLOBAL

Iran sekat penggunaan media sosial di sekolah

TEHERAN 16 APR: Kementerian Pendidikan Iran semalam mengharamkan penggunaan rangkaian media sosial asing di sekolah-sekolah, lapor agensi berita IRNA di tengah-tengah tekanan oleh Teheran untuk mengehadkan pengaruh platform dalam talian dari luar.

“Sekolah-sekolah hanya perlu menggunakan rangkaian media sosial domestik untuk berkomunikasi,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

 

Aplikasi Telegram merupakan rangkaian sosial paling popular di Iran. Pada 2017, aplikasi itu mendakwa ia mempunyai 40 juta pengguna bulanan di negara tersebut.

Selain itu, laman sosial bergambar Instagram juga popular dan syarikat-syarikat di Iran sering menggunakan kedua-dua platform berkenaan untuk berkomunikasi dengan para pelanggan.

Facebook dan Twitter disekat di Iran, tetapi ia mudah diakses menggunakan rangkaian peribadi maya.

Menurut IRNA, Menteri Telekomunikasi, Mohammad Javad Azari Jahromi baru-baru ini menjanjikan bahawa rangkaian Iran akan menawarkan jaminan kerahsiaan sama seperti platform asing.

“Tiada mesej dibaca dan tiada maklumat peribadi didedahkan kepada sesiapa,” katanya kepada parlimen.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman webnya, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, kerajaan harus menjamin ‘keselamatan dan privasi’ rakyat di internet.

SUMBER: AFP

Categories
PBT SELANGOR

Jaga etika & integriti, usah leka guna media sosial

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 OGOS: Warga kerja Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) diseru untuk sentiasa menjaga etika dan integriti serta tidak hanyut dengan kecanggihan teknologi semasa.

Yang DiPertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, setiap kakitangan perlu mengutamakan amanah dan tugasan sebagai penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Dalam kita berdepan dengan era digital, kakitangan MDKL tentunya tidak dapat lari menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube, Blog, Whatsapp dan aplikasi lain.

“Diseru warga MDKL berusaha menjadikan kecanggihan era digital ke arah lebih baik dan mendahulukan tugas diamanahkan berbanding perkara tidak berfaedah serta berkepentingan diri sendiri,” katanya dalam kenyataan.

MDKL-660x471Beliau dilapor berkata demikian pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Bertempat di Kompleks Sukan MDKL, majlis berkenaan disaksikan Pengarah SPRM Negeri Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah.

Mohamad Zain berkata, MDKL juga sudah menubuhkan Unit Integriti pada Januari 2015 bagi memastikan urus tadbirnya dilaksana secara efektif dan pelaksanaan nilai integriti selaras dengan Pelan Integriti Nasional.

“Ia juga bagi memastikan prosedur tatatertib dilaksanakan dengan telus dan selaras dengan kaedah Pekerja (kelakuan tatatertib),” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Salah laku netizen dalam media sosial serius

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Selangor mendahului senarai aduan berkenaan salah laku netizen bagi keseluruhan media baru dengan 1,534 aduan, setakat Mei lalu.

Ketua Jabatan Perlindungan dan Biro Aduan Pengguna (CCB), Ratnawaty Talib berkata, ia diikuti Pahang (1,036), Johor (730), Kuala Lumpur (696) dan Wilayah Persekutuan Labuan (46), Putrajaya (46) dan Perlis (36).

Katanya, aduan diterima disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, manakala untuk penipuan (spam), pengelabuan (phishing) dan pengkomplotan(scam), SKMM bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Berdasarkan data dikumpul, kami merancang program jelajah pada masa akan datang ke negeri yang mencatatkan sedikit aduan seperti Perlis, Terengganu, Kedah, Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mereka tampil ke hadapan untuk melaporkan kepada SKMM,” katanya lapor Bernama.

social-media-logos-600x337Ratnawaty berkata, jumlah aduan berkenaan salah laku menggunakan media baru termasuk laman sesawang, media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram serta e-mel dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini.

Katanya, lima kategori aduan teratas yang direkodkan dari Januari hingga Mei tahun ini adalah ancaman (753 aduan), jenayah siber (555), maklumat palsu (482) fitnah (363) dan bahan lucah (346).

“SKMM mendapati 80 peratus daripada aduan diterima adalah berkaitan kandungan di landasan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram,” katanya.

Pada 2015, SKMM mencatatkan 1,908 aduan berkenaan salah laku netizen bagi keseluruhan media baru dan meningkat kepada 3,188, pada akhir 2016.

Untuk membuat aduan, orang ramai boleh hubungi SKMM menerusi portal aduannnya; complaint.cfm.org.my atau hotline nombor 1800188030, WhatsApp ke 0162206262, SMS ke 15888 atau e-mel kepada [email protected].

Categories
SELANGOR

Bijak manfaat peluang, pasar produk jualan guna media sosial

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

HULU SELANGOR, 23 APR : Usahawan disaran supaya lebih kreatif menggunakan media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram untuk meningkatkan pemasaran produk jualan mereka.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata medium itu mampu menjana pulangan besar kepada usahawan dalam menangani ketidaktentuan ekonomi masa kini.

social-media-logos-600x337“Kita perlu lebih kreatif pasarkan produk jualan dengan pada masa sama, kita sepatutnya ada kemampuan untuk mencapai 600 juta komuniti melalui penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Aplikasi ini sebenarnya berupaya memasarkan produk jualan usahawan di peringkat lebih jauh melebihi gapaian kita,” katanya ketika berucap pada Karnival Smart Selangor (KASS) 2016 di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Mohd Zain A. Hamid, Pengarah Urusan Unilever Food Solution, Nusrat Perveen, dan Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Uyuni Ahamd Mohdi.

Beliau berkata usahawan juga perlu bijak mencuri peluang melibatkan diri dalam perniagaan atas talian yang dilihat berpontensi besar untuk dikomersialkan.

Katanya, ketetapan itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menggalakan lebih ramai masyarakat khususnya golongan belia terlibat dalam bidang keusahawanan.

“Konsep perniagaan ini mampu menjana kepada pertumbuhan ekonomi usahawan kerana penggunaan media sosial ini bukan hanya terhad untuk berkongsi makanan, tempat bercuti atau aktiviti seharian sahaja.

“Tetapi gunakanlah peluang ada sebaik mungkin kerana sembilan daripada sepuluh pintu rezeki itu adalah daripada bidang perniagaan,” katanya.

Ketika ini, perniagaan atas talian mula mendapat perhatian masyarakat menerusi produk jualan seperti pakaian, makanan, produk kecantikan, dan aksesori telefon.

EZY