Categories
AGENDA NASIONAL

MEF: Hentikan skim keluar simpanan KWSP, cegah miskin hari tua

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata tidak perlu ada lagi skim pengeluaran daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ahlinya mencapai umur persaraan 60 tahun untuk memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi.

Dalam kenyataan semalam, MEF berkata pihaknya amat bimbang bahawa pengeluaran daripada simpanan ahli KWSP baru-baru ini melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion mendedahkan ahli kepada risiko tergolong dalam kemiskinan hari tua.

Pada masa ini, sebanyak 48 peratus daripada ahli KWSP di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan yang amat rendah.

“Kerajaan tidak seharusnya membenarkan lagi pengeluaran. Bagi menambah simpanan KWSP, ahli yang membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP mereka perlu bekerja selama empat hingga enam tahun hanya untuk menampung jumlah yang mereka keluarkan sepanjang tempoh Covid-19,” kata Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Beliau berkata berdasarkan umur persaraan yang dijangka tidak dinaikkan, pekerja tersebut tidak akan mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi untuk persaraan mereka.

“Dengan Malaysia mencapai jumlah penduduk yang semakin berusia menjelang 2030 dan dalam semangat sebenar Keluarga Malaysia, kerajaan turut bertanggungjawab untuk memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang normal.

“Kerajaan perlu memikirkan skim lain untuk membantu mereka daripada mengeluarkan simpanan KWSP yang bertujuan untuk keperluan hari tua.

“Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada pekerja individu. Sebagai warganegara, sepanjang hayat dan kerjaya mereka, mereka telah banyak menyumbang kepada negara. Ia adalah peranan negara untuk menjaga mereka apabila mereka bersara,” katanya.

MEF turut mencadangkan dasar semasa yang membenarkan satu pertiga pengeluaran selepas 50 tahun dan pengeluaran semua simpanan KWSP pada umur 55 tahun dikaji semula.

“Berdasarkan umur persaraan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, tidak lagi relevan untuk KWSP membenarkan ahli mengeluarkan simpanan KWSP apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan situasi semasa amat membimbangkan apabila mendapati bahawa hanya tiga peratus daripada rakyat Malaysia mampu bersara dengan selesa.

“Ini jelas bahawa terdapat keperluan segera untuk penyelesaian yang meluas meliputi program jaringan keselamatan sosial yang berkesan, dasar pasaran buruh yang kukuh, pertumbuhan ekonomi yang mampan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja serta dasar untuk menggalakkan automasi dan pendigitalan untuk membantu meningkatkan produktiviti dan menjadikan penguasaan ekonomi lebih besar supaya pekerja mempunyai peluang yang lebih baik untuk memperoleh lebih pendapatan, seterusnya meningkatkan caruman mereka kepada KWSP,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Persekutuan majikan: Pelabur keluar jika laksana PKP panjang

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kerajaan harus mencari langkah yang lebih relevan dan tepat untuk menilai keadaan Covid-19 tempatan dan bukan hanya bergantung pada jumlah jangkitan harian yang dicatatkan untuk menentukan kawalan pergerakan, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata rakyat Malaysia tidak boleh terus hidup dalam ketakutan terhadap Covid-19 dan kekal dalam keadaan kawalan pergerakan yang berpanjangan kerana perniagaan dan rakyat tidak lagi mampu bertahan.

“Langkah kawalan pergerakan ini turut memberi kesan mengerikan terhadap kesihatan mental sebahagian besar rakyat Malaysia dengan kes bunuh diri, jenayah, keganasan rumah tangga, kemurungan dan kehilangan tempat tinggal meningkat dengan ketara.

“Selain itu, gangguan terhadap rantaian bekalan perniagaan kerana kawalan pergerakan yang berlanjutan boleh menyebabkan para pelabur yang sudah lama bertapak di sini untuk keluar dari Malaysia, sementara bakal pelabur pula akan lebih berwaspada untuk melabur.

“Situasi yang menekankan ini perlu berubah dan diperbetulkan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hussain menegaskan kedua-dua majikan dan rakyat memainkan peranan penting dalam mempercepat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke arah keadaan ‘normal baru’ dengan menerapkan dan mematuhi langkah-langkah keselamatan di tempat kerja.

Beliau menambah sudah tiba masanya majikan menunjukkan tanggungjawab yang serius dan meyakinkan rakyat dan kerajaan dengan menyediakan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan bersih.

“Banyak negara yang terkena varian Delta yang diserap melalui udara telah menerima Covid-19 sebagai endemik dan jika semua pihak berkepentingan menyedari ini dan bekerjasama, itu akan memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Persekutuan majikan: Kekalkan SOP meski lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Cadangan garis panduan kepada individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 yang akan dibentangkan kerajaan haruslah jelas, konsisten dan merangkumi tatacara operasi piawai (SOP) yang sesuai bagi melindungi keselamatan serta kesihatan pekerja dan rakyat.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata SOP perlu terus diamalkan oleh mereka yang telah melengkapkan vaksinasi kerana tiada jaminan bahawa vaksin itu akan memberi perlindungan sepenuhnya terhadap virus Covid-19.

“Berdasarkan pengalaman di negara lain setakat ini, individu yang sudah menerima vaksin sepenuhnya dibenarkan bergerak bebas dan mereka yang dijangkiti tidak mengalami gejala yang teruk, tidak memerlukan rawatan rapi, sekali gus tidak akan membebankan sistem kesihatan awam.

“Bagaimanapun, difahamkan tiada bukti klinikal pada masa ini yang menunjukkan mereka yang menerima dua dos vaksin akan bebas daripada dijangkiti Covid-19, ini kerana mutasi dan kemunculan varian baharu dan lebih memudaratkan tidak mempunyai bukti klinikal untuk menunjukkan bahawa vaksin akan menjadi perlindungan yang berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan berita baru-baru ini bahawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba akan membentangkan garis panduan itu kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat, bagi memberi lebih kelonggaran kepada mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi.

Syed Hussain berkata MEF prihatin dengan keselamatan dan kesihatan semua pekerja termasuk mereka yang sudah menerima vaksin dan mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu platform mengenai kesan sampingan, sekiranya ada, dapat direkod, dipantau dan dilaporkan.

Selain itu, beliau berkata pihak berkuasa perlu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan garis panduan berkaitan termasuk program kesedaran mengenai manfaat dan risiko vaksinasi, selaras dengan hak individu, etika perubatan profesional dan prinsip undang-undang dalam informed consent (keizinan bertulis).

“Kehidupan rakyat harus dipelihara serta dilindungi dan dengan meletakkan intervensi seperti itu juga membantu mengesahkan keselamatan dan keberkesanan vaksin serta mengetepikan khabar angin dan berita palsu.

“Kami berpandangan bahawa cadangan garis panduan untuk mereka yang telah menerima dua dos vaksin perlu tertakluk kepada SOP dan tidak mendiskriminasi individu yang belum menerima dua dos vaksin bagi mengelakkan pelanggaran hak asasi manusia, komplikasi undang-undang dan dasar kawalan sosial yang negatif,” katanya.

MEF turut menggesa pihak berkuasa untuk melibatkan pihak berkepentingan industri, pengamal perubatan profesional dan pakar dalam bidang lain dalam merangka SOP bagi memastikan keberkesanannya untuk manfaat semua pihak.

“Perlu ada tanggungjawab kolektif antara pihak berkepentingan untuk menangani Covid-19 dengan berkesan. Kami berharap garis panduan ini akan dapat diseragamkan, jelas dan tanpa kepelbagaian bagi mengelak kekeliruan kepada majikan dan pekerja.

“Perlu ada satu sahaja dasar untuk cadangan garis panduan itu di bawah satu agensi yang mengendalikan semua pertanyaan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MEF: Impak pandemik, graduan baharu terima gaji permulaan lebih rendah

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia dan juga kekangan aliran kewangan dihadapi kebanyakan majikan, menyebabkan graduan baharu akan menerima gaji permulaan yang lebih rendah pada 2020, berbanding tahun lepas.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain J P berkata, kebanyakan majikan kini mengalami kekangan aliran wang tunai, selain terdapat lebih 32,000 syarikat ditutup tahun lepas akibat pandemik itu.

Beliau berkata, pada masa ini sesetengah majikan masih lagi mengecilkan operasi dan melaksanakan tugasan pelbagai skill dan pelbagai tugasan di tempat kerja, untuk terus beroperasi.

“Ramai pekerja yang alami pemotongan gaji dan pengurangan faedah, manakala banyak majikan bergantung kepada subsidi diberikan kerajaan menerusi inisiatif Prihatin, Penjana dan Pemerkasa bagi mengelakkan terus membuang pekerja akibat Covid-19.

“Majikan juga melihat kepada pengambilan pekerja tempoh singkat, gaji mengikut jam dan meletakkan mereka kepada aktiviti lain, dalam usaha memastikan mereka kekal beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh sebab itu beliau berkata, mempunyai pekerjaan walaupun dengan gaji permulaan yang lebih rendah adalah satu yang baik pada masa kini, dan ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan untuk graduan menerima gaji permulaan lebih rendah, kerana ia ditentukan oleh pasaran.

Syed Hussain mengulas berkaitan laporan Jabatan Statistik baru-baru ini yang menyatakan graduan baharu mencatatkan pengurangan gaji bulanan, di mana majoriti menerima pendapatan antara RM1,001 dan RM1,500 pada 2020 berbanding RM2,001-RM2,500 pada 2019.

Bagaimanapun beliau berkata, situasi ini adalah sementara dan oleh kerana situasi ekonomi semasa dan pandemik dan juga Program Imunisasi Kebangsaan, jangkaaan untuk 2021 dan seterusnya akan menjadi lebih baik, dengan syarikat dibenarkan untuk beroperasi pada kapasiti penuh selain pembukaan sempadan.

“Kami percaya, keadaan akan kembali normal tidak lama lagi. Para graduan tidak perlu risau mengenai gaji permulaan yang rendah pada masa ini, kerana sektor swasta amat menghargai prestasi dan sebaik pekerja mula memberikan sumbangan dan menunjukkan prestasi, mereka akan diberikan ganjaran setimpal.

“Pengalaman kerja juga akan membuatkan graduan lebih mudah dipasarkan dan lebih mudah mendapatkan pekerjaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan dinasihat pastikan pekerja terima suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menasihatkan majikan supaya memastikan pekerja yang diberikan kemudahan penginapan di asrama menerima suntikan vaksin bagi mencegah Covid-19.

Dalam kenyataan media, presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata majikan perlu mempunyai perancangan yang betul supaya suntikan vaksin dan operasi syarikat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mengenai tanggungjawab majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

“Majikan yang menggajikan pekerja tempatan dan asing termasuk pekerja asing tidak didokumentasikan perlu memastikan semua pekerja menerima suntikan vaksin atau risiko didenda di bawah Akta 446,” kata Syed Hussain.

Beliau berkata MEF menyokong cadangan agar semua pihak sama-sama bertanggungjawab memerangi penularan Covid-19.

“Semua ahli MEF sedar mengenai tanggungjawab mereka dan kami yakin mereka akan melaksanakan langkah pemvaksinan kepada pekerja seperti ditetapkan kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MEF: Program imunisasi negara kembalikan keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dapat mengembalikan keyakinan pelabur untuk mengekalkan pelaburan berimpak tinggi mereka di Malaysia, menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata susulan itu kadar pelaburan asing dan domestik dalam negara turut dapat ditingkatkan, seterusnya menjana hasil positif untuk ekonomi negara.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diharapkan dapat mengembalikan keyakinan para pengguna dan mula berbelanja untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pasaran dalam negara,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata majikan dan orang awam perlu memainkan peranan penting dalam memastikan program imunisasi yang akan dilaksanakan kelak berjalan lancar.

“MEF berharap penduduk di Malaysia termasuk warganegara, warga asing yang berdaftar dan tidak berdaftar serta penduduk suaka politik dapat menerima manfaat melalui program imunisasi ini,” katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula pada 26 Feb 2021 sejurus selepas penghantaran pertama vaksin yang dijadualkan tiba pada 21 Feb.

Program imunisasi ini akan dijalankan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama bermula pada 26 Feb hingga April 2021; fasa kedua mulai April hingga Ogos 2021 manakala fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022.

Selain itu, Shamsuddin berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac tahun lepas, keadaan perniagaan amat terjejas dan dengan lebih 32,000 perniagaan ditutup serta lebih 100,000 pekerja hilang punca pendapatan.

Justeru, beliau berharap Majlis Pekerjaan Negara akan dapat menetapkan dasar proaktif yang boleh membantu majikan sektor swasta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MEF sambut baik cadangan buka sektor niaga dengan SOP ketat

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Cadangan pembukaan semula semua sektor perniagaan dengan tatacara operasi piawai (SOP) lebih ketat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 18 Februari depan, adalah langkah positif untuk masa depan.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah itu akan melindungi orang ramai daripada penularan Covid-19, melindungi punca pendapatan rakyat dan meningkatkan kelestarian perniagaan, terutamanya perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Keputusan seumpama itu membuka laluan ke arah pemulihan ekonomi lebih cepat. Ia juga memberikan lebih kelegaan kepada PKS dan perusahaan mikro yang tidak boleh beroperasi sepenuhnya sejak Mac tahun lepas seperti peruncit dan pendandan rambut.

“Mereka akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memulakan semula operasi dan meneruskannya tanpa gangguan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata majikan perlu mengambil langkah lebih serius dalam mematuhi SOP untuk membantu menghentikan penularan Covid-19 terutamanya di tempat kerja dan menggunakan kelengkapan perlindungan diri sekiranya perlu.

“Hanya dengan bekerjasama – kerajaan, majikan dan pekerja akan berupaya menangani pandemik ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lanjutkan moratorium jamin kelangsungan peniaga kecil, mikro

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan dapat melanjutkan moratorium pinjaman untuk memastikan kelangsungan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro.

Presiden, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata walaupun inisiatif kerajaan untuk mempercepat pemulihan ekonomi telah disambut baik, namun banyak lagi yang diperlukan bagi memastikan syarikat terus bertahan dan pada masa sama mengekalkan pekerjaan pekerja yang ada.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pelbagai inisiatif menerusi Belanjawan 2021 namun campur tangan yang lebih bermakna amat diperlukan untuk memastikan kelangsungan perniagaan terutama PKS dan mikro,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas daripada ahli MEF, program subsidi upah membantu dengan mengurangkan aliran tunai tetapi ia tidak cukup baik kerana subsidi upah hanya akan berfungsi sekiranya perniagaan itu terus wujud.

“Penamatan moratorium telah menyukarkan kesinambungan perniagaan.

“Kalangan majikan amat berharap agar moratorium dilanjutkan memandangkan langkah itu penting dalam membantu mengekalkan operasi perniagaan semasa tempoh mencabar dan sukar ini,” katanya.

Syed Hussain berkata kira-kira 60 peratus ahli MEF adalah PKS dan penting bagi mencapai kesejahteraan ekonomi agar PKS dapat meneruskan operasi mereka.

Persekutuan itu berharap kerajaan mempertimbangkan semula untuk melanjutkan moratorium dan mungkin memberikan sedikit pelepasan cukai bagi tahun taksiran 2020 untuk perniagaan, katanya.

Beliau berkata ini supaya lebihan tunai itu dapat digunakan untuk membiayai lebih banyak peningkatan teknologi dan pada masa sama mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MEF gesa Program Subsidi Upah dilanjut hingga akhir tahun

SHAH ALAM, 18 SEPT: Program Subsidi Upah yang dijadualkan tamat akhir bulan ini, perlu dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ramai majikan swasta mengalami kesukaran mendapatkan aliran wang tunai dan ia mungkin akan melibatkan pemberhentian pekerja.

Katanya, program itu dilihat mampu membantu majikan terus bernafas semasa negara sedang menghadapi masalah ekonomi.

“Syarikat dibantu oleh kerajaan dengan mereka boleh kekalkan pekerja. Kalau mereka diberhentikan kerja pada masa sekarang, sukar juga untuk mendapat kerja baharu dan secara tidak langsung ia membantu untuk mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.

Beliau berkata jumlah bayaran subsidi upah hanyalah 12 peratus dari keseluruhan gaji di sektor swasta dan mencadangkan kalau boleh kerajaan meningkatkan kadar tersebut.

“Kalau dibandingkan di United Kingdom, program seumpama ini adalah sebanyak 80 peratus dari keseluruhan gaji di sektor swasta dibayar kepada pekerja, manakala di Singapura, 75 peratus dari jumlah keseluruhan gaji di sektor yang sama.

Pada 23 Jun, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul berkata Program Subsidi Upah yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani impak Covid-19 ke atas ekonomi negara menyelamatkan 2.4 juta pekerjaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MEF persoal peraturan ambil semula pekerja asing

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Peraturan yang mewajibkan pekerja asing memiliki permit kerja sah terlebih dahulu sebelum diambil kembali untuk bekerja dalam negara, dilihat bertentangan dengan tujuan asal membenarkan pengambilan kembali pekerja asing untuk bekerja, menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutifnya Datuk Shamsuddin Bardan berkata tidak ramai pekerja asing akan dapat diambil kembali bekerja jika melihat kepada peraturan ini, kerana ketika ini majikan sememangnya memberhentikan khidmat pekerja asing selepas permit kerja mereka tamat tempoh.

“MEF menyokong keputusan kerajaan membenarkan pengambilan semula pekerja asing yang masih berada dalam negara, yang khidmat mereka tidak lagi diperlukan oleh majikan semasa.

“Bagaimanapun berdasarkan kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, syarat bagi pengambilan semula adalah pekerja asing itu perlu memiliki permit kerja yang sah dan pengambilan semula itu dihadkan kepada sektor yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya tindakan mengehadkan pengambilan semula pekerja asing kepada hanya dalam sektor yang sama, ia tidak akan dapat menggunakan sepenuhnya tenaga pekerja asing yang masih berada dalam negara memandangkan permintaan dalam kalangan sektor adalah berbeza antara satu sama lain.

“Contohnya ada permintaan tinggi dalam sektor pertanian dan perladangan, di mana majikan biasanya mengekalkan semua pekerja asing mereka. Oleh kerana sekarang ini terdapat pembekuan pengambilan pekerja asing baru, sektor ini akhirnya hanya akan dapat pekerja dari sektor lain,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga harus membenarkan pekerja asing untuk diambil kembali bekerja di semua sektor industri, dan ia harus turut merangkumi mereka yang tempoh permit kerja telahpun tamat, dengan tempohnya boleh di perbaharui bagi menggalakkan penggunaan tenaga kerja asing secara optimum.

Sebelum ini pihak kementerian dilaporkan memberi kelonggaran kepada majikan mengambil pekerja asing yang diberhentikan oleh majikan sebelumnya, sekiranya mereka tidak menerima sebarang maklum balas atau sambutan daripada kalangan pekerja tempatan, namun kementerian itu tetap menggesa majikan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan.

-BERNAMA