Categories
AGENDA NASIONAL

Mekanik maut dihempap kereta dibaikinya

GEORGE TOWN, 21 NOV: Seorang mekanik maut selepas dihempap sebuah kereta ketika sedang membaikinya di sebuah rumah yang dijadikan bengkel membaiki kenderaan di Kampung Bayan Lepas, dekat sini malam tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru Helmirizal Che Morad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.54 malam tadi sebelum sepasukan bomba terus ke lokasi kejadian.

“Sebaik pihak bomba tiba di lokasi kami mendapati seorang lelaki berada di bawah sebuah kereta yang menghempapnya dan mangsa yang berusia 31 tahun ketika itu sudah tidak bergerak.

“Berdasarkan maklumat, sebelum kejadian mangsa sedang membaiki sebuah kereta jenis Proton Saga dan tiba-tiba kereta terbabit menghempap separuh daripada badan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya pihak bomba menggunakan peralatan Rescue Tools sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada1.02 pagi dan pemeriksaan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian mendapati lelaki itu telah meninggal dunia.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Terima telefon hasil rompakan, mekanik dipenjara 18 bulan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Gara-gara menerima sebuah telefon bimbit hasil rompakan berkumpulan, seorang mekanik dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Ibnu Sina Idris, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan bapa anak tiga itu diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 26 Mac lepas.

Tertuduh didakwa dengan curang menerima secara tidak jujur sebuah telefon bimbit milik pengurus bangunan Abu Bakar Che Mat, 63, yang tertuduh mengetahui atau ada sebab munasabah untuk mempercayai bahawa telefon bimbit itu adalah hasil rompakan berkumpulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tengah 3 Kampung Tengah 6 1/4 Jalan Gombak di sini kira-kira 5 petang, 26 Mac mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira keseriusan kes serta kerugian dialami mangsa manakala Ibnu Sina yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menanggung tiga anak selain menyesal atas kesalahan itu.

Berdasarkan fakta kes, pada 6 Januari lepas semasa mangsa (Abu Bakar) berada di atas motosikal di tepi jalan dan sedang bercakap di telefon bimbitnya, tiba-tiba datang dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal lalu mengambil telefon bimbit milik mangsa.

Pihak polis kemudian telah pergi membuat tangkapan di kawasan kejadian dan tertuduh ditahan selepas mendapati dia menyimpan harta rompakan iaitu sebuah telefon bimbit milik mangsa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mekanik mengaku salah halang penjawat awam laksana Ops Covid-19

SUNGAI SIPUT, 23 MAC: Seorang mekanik menjadi individu pertama didakwa kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas pemantauan Ops Covid-19, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan selama 14 hari mulai 18 Mac lepas.

S. Punniamurthy, 33, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob di sini, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Punniamurthy didakwa dengan sengaja menghalang seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan menjalankan tugas pemantauan, dengan enggan menunjukkan pengenalan diri di hadapan rumahnya di Persiaran Orkid 8, Taman Orkid, Sungai Siput (U) pada Jumaat lepas, selain menolak pegawai berkenaan ke tepi jalan.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Jean Siow Chung Hwei memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum, untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Peguam Kebangsaan Nurul Hanis Mohd Zaini yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan, perlu menjaga ibunya dan tidak pernah disabitkan kesalahan jenayah.

Majistret Norhabsarina kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya.

– BERNAMA