Categories
AGENDA NASIONAL

Pameran Matta diadakan semula selepas dua tahun tidak dianjurkan

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair), yang merupakan pameran pelancongan terbesar di Malaysia, kembali menemui orang ramai pada 20 dan 21 Nov ini selepas dua tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik Covid-19.

Edisi terakhir MATTA Fair diadakan pada September 2019.

Setiausaha Agung Kehormat MATTA Nigel Wong berkata pihaknya teruja dengan pembukaan sektor pelancongan domestik bagi membantu melonjakkan ekonomi dan pameran itu antara usaha membantu merancakkan semula industri berkenaan.

“Pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu, akan disertai oleh pelbagai organisasi pelancongan antarabangsa antaranya dari Korea, Taiwan, Filipina, Jepun, Turki dan Uganda bagi mempromosikan pasaran mereka kepada pelancongan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Neng dalam satu kenyataan berkata MATTA Fair edisi ke- 49 akan diadakan pada skala lebih kecil di Dewan 3 dan 4 WTC.

“Dewan 4 dikenali sebagai Dewan Malaysia, yang menempatkan hampir semua organisasi pelancongan negeri serta produk pengembaraan dan pelancongan domestik manakala kebanyakan pemain pelancongan antarabangsa di Dewan 3,” katanya.

Phua berkata pameran tersebut mendapat sokongan padu daripada organisasi pelancongan negeri seperti Sabah, Terengganu, Sarawak, Pahang, Selangor, Johor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

Menurutnya selepas 21 bulan sekatan pergerakan dan tiada aktiviti perniagaan dalam industri pengembaraan dan pelancongan, MATTA Fair menjadi penunjuk penting kepada orang awam bahawa industri pelancongan sudah kembali dan secara perlahan-lahan akan dirancakkan dengan aktiviti pelancong domestik, selain antarabangsa tidak lama lagi susulan pembukaan semula sempadan, dengan protokol perjalanan yang selamat.

Katanya bagi pameran kali ini, MATTA telah bekerjasama dengan Legoland sebagai Rakan Taman Tema dan syarikat aplikasi pengangkutan e-hailing, GOJO.

Beliau menggeja pengunjung agar tidak membawa kanak-kanak sepertimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pameran selama dua hari itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 8 malam dan masuk adalah percuma,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy berkata Legoland akan menawarkan pengunjung MATTA Fair diskaun eksklusif dan beberapa pakej percutian mesra keluarga terbaik.

“Tahun ini, pengunjung yang membeli lebih daripada tiga Pas Triple Park di pameran tersebut layak menerima Set Kereta Api Legoland eksklusif secara percuma, manakala pelanggan yang membeli lebih daripada lima Pas Triple Park akan menerima tambahan Set Istana Legoland eksklusif,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh melancong ke luar negara tanpa MyTravelPass mulai esok

SHAH ALAM, 10 OKT: Individu yang lengkap vaksin dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia mulai esok, kata perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran termasuk bagi aktiviti pelancongan dengan individu berkenaan perlu menjalani kuarantin 14 hari sebaik tiba di negara ini.

“Keputusan ini bertujuan menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Putrajaya hari ini, beliau berkata kerajaan masih menutup sempadan negara kepada pelancong luar kecuali bagi kes kecemasan dan urusan rasmi sahaja.

“Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menilai negara yang tidak berisiko. Sekarang banyak negara sudah beri vaksin kepada rakyat jadi akan pertimbang untuk buka,” kata Ismail Sabri.

MyTravelPass diperkenalkan pada 7 Oktober tahun lalu, iaitu permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warganegara dan warga asing.

Khamis lalu, perdana menteri mengumumkan enam perkara sebelum membenarkan warga asing masuk iaitu jumlah kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari di negara itu dan kadar insiden per satu juta penduduk.

Selain itu, kadar kematian per satu juta penduduk, kadar kematian kumulatif, indeks pemulihan dan kes kumulatif Covid-19 di negara berkenaan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Enam individu dikompaun rentas negeri melancong ke Pulau Redang

KUALA TERENGGANU, 26 SEPT: Seramai enam individu termasuk seorang wanita dikenakan kompaun RM5,000 seorang kerana merentas negeri untuk tujuan melancong ke Pulau Redang di Kuala Nerus.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata kompaun terhadap individu berumur 32 hingga 47 tahun itu dikeluarkan melalui pemantauan Operasi Bersepadu Pematuhan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Bagi Fasa Tiga Dalam Sektor Pelancongan, selama dua hari bermula Jumaat lepas.

Rohaimi berkata daripada enam individu itu, dua didapati merentas negeri dari Kuala Lumpur, dua dari Selangor dan masing-masing seorang dari Pulau Pinang dan Melaka.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran SOP (tatacara operasi piawai) berlaku bagi mengelakkan sebarang peningkatan kes jangkitan dan penularan Covid-19 di Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rohaimi berkata tindakan keras juga akan diambil terhadap mana-mana pengusaha resort yang mengabaikan SOP, termasuk membenarkan pelancong dari luar Terengganu menginap dengan tujuan melancong atau lalai dalam memastikan penginap premis mereka lengkap menerima vaksin Covid-19.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Suami isteri terima vaksin negeri mahu tunai hajat melancong ke Sabah

SHAH ALAM, 19 SEPT: Sepasang suami isteri memasang impian untuk melancong ke Kundasang, Sabah sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti rentas sempadan negeri terhadap individu lengkap dos vaksin.

Keinginan bercuti di pekan kecil terletak di daerah Ranau itu sudah lama dirancang Mohd Yusairi Khairuddin, 35, dan isteri Marifa Eruwan, 30, namun terbantut gara-gara pandemik yang melanda negara sejak tahun lalu.

Mohd Yusairi Khairuddin

Mohd Yusairi berkata sudah tiba masanya kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat di negara ini untuk melakukan aktiviti tersebut dalam norma baharu memandangkan negara sudah mencapai liputan imunisasi tinggi.

“Semua orang ada kemahuan untuk pergi bercuti kerana sudah lama kita ikut SOP (tatacara operasi piawai) ditetapkan, tambah pula masing-masing sudah bosan terperuk di rumah dan hanya melakukan rutin sama.

“Mudah-mudahan kerajaan sedia mempertimbangkan perkara ini. Kami sekeluarga sentiasa menantikan pengumuman tersebut agar mampu ke Kundasang seperti dirancang sebelum ini,” kata peniaga dan penghantar makanan Grab itu.

Pasangan itu antara 300 peserta menerima pelalian dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Blok 1, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 di sini hari ini.

Marifa Eruwan

Sementara itu, Marifa yang berkhidmat sebagai guru tadika di Seksyen 8 berkata mereka sudah menempah tiket penerbangan bagi perjalanan ke Kundasang akhir tahun ini.

“Insya-Allah, kalau SOP tidak lagi diperketatkan kami ingin bawa sekali anak perempuan saya Margeena Mohd Yusairi yang kini berusia tiga tahun bercuti ke sana. Apatah lagi kami sudah beli tiket pergi dan balik berharga lebih RM1,000 bagi tujuan itu.

“Sebenarnya kita mahukan kebebasan setelah sekian lama dikongkong, sebab itu kami memilih untuk bercuti bila tiba masanya nanti kerana kebebasan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya.

Marifa turut berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memberi suntikan vaksin secara mudah memandangkan mereka berdua masih belum menerima slot janji temu di MySejahtera sejak mendaftar bulan lalu.

“Mujur adik ipar beritahu ada program Selvax tanpa janji temu di sini yang diadakan secara bergerak, jadi saya dan suami terus datang. Sekarang rasa lebih selamat kalau nak pergi ke mana-mana tetapi perlu tunggu dos kedua dulu,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat negeri PKPB, PKPP diseru melancong kawasan setempat

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Orang ramai diseru memulakan aktiviti pelancongan di lokasi setempat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), susulan kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan beroperasi di kedua-dua kawasan itu.

Sambil menasihati orang ramai melancong dengan selamat, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu akan dapat menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara.

Beliau menyifatkan pengumuman kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan PKPB dan PKPP adalah khabar gembira buat penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tempatan.

“Jadilah pelancong yang bertanggungjawab dengan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa dan mempraktikkan amalan norma baharu.

“Insya-Allah, Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) akan terus bersama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tanah air untuk bangkit semula terutama dalam situasi yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Khamis lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis, namun bagi kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD), aktiviti pelancongan keluar masuk di kawasan terbabit adalah tidak dibenarkan.

Kebenaran turut diberikan dengan syarat sama di premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.

– BERNAMA