Categories
AGENDA NASIONAL

Basikal lajak: Ibu bapa boleh didenda sehingga RM5,000, penjara

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak jagaan mereka berusia 18 tahun ke bawah terlibat dalam aktiviti basikal lajak sehingga mengundang bahaya, boleh didenda antara RM1,000 sehingga RM5,000 atau dipenjara tidak lebih setahun.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu merupakan antara yang terkandung di bawah pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam.

“Tujuan kita tidak mahu menghukum. Kalau kita benarkan kenderaan ini (basikal lajak) yang tiada brek, bayangkan kemalangan akan berlaku bila-bila masa.

“Jadi itu yang kita nak buat pindaan, dahulu RM300 orang tidak takut. Sekarang kita ketatkan dan hukuman lebih berat. Jika di bawah 18 tahun, maka ibu bapa dan penjaga boleh dihukum,” katanya pada sidang media selepas taklimat rang undang-undang itu kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini.

Dalam pada itu, Wee berkata individu yang tertidur ketika memandu sehingga berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian juga akan berdepan hukuman yang lebih berat.

Beliau berkata pemandu terbabit tertakluk kepada pindaan Seksyen 41 akta berkenaan iaitu penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 sehingga RM50,000 bagi kesalahan kali pertama.

Katanya, pemandu yang tertidur boleh dikategorikan dalam pemanduan secara melulu atau merbahaya.

“Ada ayat ‘memandu secara melulu’ bermaksud memandu dengan cuai… anda juga bertanggungjawab, anda boleh didakwa… jika ia (memandu) menyebabkan kematian, terdapat hukuman menanti anda, jadi kami memang serius. Anda tidak boleh mengawal kenderaan bermaksud anda memandu dengan cuai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aksi ‘Superman’: Dua remaja dihukum khidmat masyarakat 120 jam

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Dua remaja lelaki masing-masing diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya dengan melakukan aksi ala ‘Superman’, Mei lepas.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Amirul Ikmal Abdul Sham, 20, dan Muhammad Zahiruddin Anuar, 19, selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), di sini antara 12.20 pagi dan 2.23 pagi, 20 Mei lepas.

Kedua-dua tertuduh itu yang merupakan pekerja restoran makanan segera, juga diperintah membayar cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin, selain hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Bagi Muhammad Zahiruddin, lesen percubaannya turut dibatalkan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu, selama dua tahun.

Terdahulu, mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum, manakala Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada mereka.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua remaja itu ditahan selepas pihak polis yang melakukan ‘Op Samseng Jalanan’ di Lebuhraya DUKE, telah membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit telah ternampak sekumpulan penunggang motosikal membuat aksi superman, dengan merapatkan dada di tempat duduk motosikal sambil meluruskan kaki ke belakang.

-BERNAMA