Categories
NASIONAL

Polis kes Memali minta maaf pada Hadi, akui ketua paksa bertindak zalim

BALING, 24 MEI: Pemimpin yang terbabit dengan keputusan menyerang Memali sehingga mengorbankan 14 nyawa perlu bertaubat, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bercakap pada ceramah di Himpunan Keadilan Untukmu Memali, di sini, malam tadi, beliau menjelaskan, tindakan pihak berkuasa ketika itu jelas salah dan berlaku zalim.

Beliau berkata, Allah meletakkan membunuh adalah termasuk dosa besar walaupun membunuh satu nyawa dikira seperti membunuh manusia seluruhnya.

hadi awang“Apa yang dibuat Umno dalam peristiwa Memali ini jenis apa. Tidak syak lagi ia satu peristiwa kezaliman.

“Bagi kita orang Islam, wajib pemimpin terbabit bertaubat. Yang masih duduk dalam Umno tinggallah Umno,” katanya di hadapan hampir 20,000 hadirin.

Katanya, peristiwa berdarah yang berlaku hampir 29 tahun lalu itu adalah berpunca daripada ketegangan yang diwujudkan kerajaan dan Umno sendiri.

Katanya, sehari sebelum kejadian, Ustaz Yusof Rawa yang juga Presiden PAS ketika itu menghubungi beliau memaklumkan pihak polis mungkin akan datang memintanya memujuk Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan menyerah diri.

“PAS ketika itu membuat keputusan bukan Ustaz Ibrahim serah diri, tapi kerajaan mesti mengaku salah dan membatalkan keputusan untuk menahan beliau dan semua rakannya di bawah ISA,” katanya yang dipetik daripada Harakah Daily.

memaliBeliau berkata, Peristiwa Memali itu turut membabitkan nama beliau apabila dikatakan syuhada terbabit terpengaruh dengan apa yang disebut sebagai ‘Amanat Haji Hadi’.

“Saya terpksa menulis sebuah buku menjawab tuduhan ini dan menerangkan apa makna jihad. Sehingga sekarang tidak ada pihak yang menjawab,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, ramai pemimpin Umno termasuk menteri dan pegawai polis sebenarnya tidak bersetuju dengan tindakan itu.

“Ketika saya berceramah di Pulau Pinang selepas beberapa hari peristiwa Memali, tidak malu-malu seorang anggota polis datang ke hadapan memeluk dan memegang tangan saya mengatakan maaf, saya tidak bersalah, ketua memaksa saya,” katanya

Categories
NASIONAL

‘Keadilan Untuk Memali’ demi mencari kebenaran

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 22 APRIL: Majlis ‘Keadilan Untuk Memali’ akan diadakan di Kampung Memali, di madrasah yang diasaskan oleh Allahyarham Ibrahim Libya untuk membuka ruang kepada mangsa kejadian berdarah itu menceritakan sendiri pengalaman mereka.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengakui beliau ada di Kuala Lumpur sebelum dan selepas kejadian seperti yang didedahkan Tun Musa Hitam.

memaliKata Mahfuz, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi perlu tampil ke Dewan Rakyat pada Jun ini bagi membentangkan usul menarik balik Kertas Putih Memali 1986 dan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja.

“Kita akan membuat majlis ini sama ada pada 23 Mei atau 30 Mei bergantung kepada masa Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

“Akan mempertimbangkan untuk membawa keluarga mangsa yang masih hidup untuk bertemu dengan Tun Musa Hitam,” katanya dalam satu sidang media.

Jelasnya, sekiranya tiada sebarang tindakan, beliau akan membawa perkara ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pengetahuan Majlis Raja-Raja Malayu serta Yang Di-Pertuan Agong untuk menuntut hak mangsa peristiwa berdarah itu.

Peristiwa Memali pada 19 November 1985 berlaku apabila polis cuba menahan Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Ibrahim pula tidak mahu menyerah diri kalau mahu ditahan di bawah ISA.

Akibatnya polis merempuh perumahan Ibrahim Libya dan pengikutnya dengan kereta perisai dan mengakibatkan 14 terbunuh.

EZY

Categories
NASIONAL

Tragedi Memali: Pemimpin BN masih takut pengaruh Mahathir

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 APR: Tindakan berdiam diri pemimpin Barisan Nasional (BN) berhubung pembabitan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam peristiwa berdarah Memali menunjukkan mereka masih takut kepada pengaruh beliua walaupun tidak lagi berkuasa.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chu, berkata BN masih belum mempunyai keberanian seperti yang dilakukan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam untuk mengakui perkara berkenaan walaupun peristiwa itu berlaku, hampir 30 tahun lalu.

tian chua pc pkr 01“Bagi saya, ini adalah sejarah gelap yang enggan dihadapi BN. Mereka juga tidak mempunyai keberanian seperti Musa untuk mengaku bahawa satu dosa besar yang bertentangan dengan hak asasi manusia dilakukan rejim BN.

“Mereka mungkin juga masih takut kepada pengaruh Mahathir dalam Umno, maka sebab itu belum bersedia untuk mendedahkan kebenaran,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Musa sebelum ini tampil mendedahkan Mahathir berada di Malaysia ketika berlakunya peristiawa berdarah Memali yang mengakibatkan 14 orang terkorban dan berpuluh yang lain cedera, pada 19 November 1985.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendesak penarikan semula Kertas Putih berkenaan peristiwa Memali yang dibentangkan di Parlimen pada tahun 1986, selain menarik fatwa ‘Bughah’ yang dikenakan terhadap Allahyarham Ibrahim Libya dan pengikutnya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Tragedi Memali: Musa minta Tun M tidak ke China atas 3 sebab

SHAH ALAM 4 APRIL: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam hari ini mengakui beliau memohon Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri ketika berlakunya insiden Memali supaya menangguhkan lawatan ke China.

Musa berkata beliau memohon Dr Mahathir menangguhkan lawatan itu atas tiga sebab iaitu melibatkan orang Melayu beragama Islam, insiden itu berlaku di Kedah iaitu negeri Dr Mahathir dan dengan menangguhkan lawatan ke China Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

memali“Dr Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke negara China. Saya telah memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen.

“Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap.

“Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media,” kata Musa dalam satu kenyataan hari ini.

Musa menjelaskan beliau bersama Ketua Polis Negara (KPN) pada 19 November 1985 memberikan taklimat kepada Dr Mahathir tentang perkara yang berlaku berikutan operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.

musa-hitam1-290713_484_322_100Musa membuat penjelasan itu berikutan polemik yang timbul setelah beliau dalam satu diskusi yang diadakan di Kota Bharu baru-baru ini mendedahkan Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur dan dua tiga hari selepas insiden itu berlaku.

“Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

“Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya,” katanya.

Musa berkata ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

“Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah Ilahi memakbulkan doa saya.

“Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah peristiwa penting yang melibatkan diri saya. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi memberikan peluang tersebut kepada saya,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenyataan media isu Memali – Musa Hitam

Pada jam 9 malam 27 Mac 2014, saya bersama Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa adalah dua ahli panel dalam Majlis Diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan bertemakan “Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang”. Profesor Agus dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan sebagai moderator.

Format diskusi menyamai program “Hard Talk” BBC London yang meletakkan syarat ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa juga soalan yang diajukan oleh moderator.

musa-hitam1-290713_484_322_100Sepanjang dua jam, moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Dalam pada itu saya akui moderator memperlihatkan sifat saksama, berkecuali dan tidak partisan.

Di penghujung diskusi, saya diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat saya rumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan saya pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr Mahathir berada di China dan saya adalah pemangku perdana menteri.

2. Saya bertanggungjawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut. 3. Bagaimanakah perasaan saya dengan peristiwa Memali.

Saya memberi respons kepada soalan yang diajukan berteraskan empat aspek berikut:

1. Saya menegur moderator dengan mengatakan sebagai seorang profesor, sesuatu perkara yang disuarakan hendaklah berasaskan penyelidikan mendalam dan fakta yang tepat.

2. Pada hari peristiwa Memali (19 November 1985) Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur dan saya bukannya pemangku perdana enteri. Moderator menunjukkan reaksi terkejut dan dengan suara yang jelas melafazkan perkataan “My God” yang mengejutkan hadirin.

3. Sebagai menteri dalam negeri saya menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak Polis tentang dua perkara: (i) Proses undang-undang hendaklah dipatuhi; (ii) Elakkan kekerasan (violence) dan pertumpahan darah.

Namun saya mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap kejadian yang berlaku walaupun saya tidak terlibat secara langsung tetapi menyerahkan kepada budi bicara polis untuk melaksanakan operasi daripada segi menentukan waktu terbaik ia dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi.

Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali.

Dalam ruang masa yang diberikan oleh moderator, saya menghuraikan urutan peristiwa yang berlaku.

Pada hari kejadian, saya bersama pemangku ketua polis negara (KPN) menemui perdana menteri di pejabat beliau dan pemangku KPN memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku berikutan operasi polis di Memali yang melibatkan kematian 4 anggota polis dan 14 orang awam.

Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke China atas tiga sebab:

1. Peristiwa ini berlaku di negeri Kedah; negeri Perdana Menteri sendiri.

2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

3. Dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang berlaku di dalam negeri.

Dr Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke China. Saya memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen.

Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap.

Saya membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media.

Kesimpulannya ialah bukan niat saya mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan.

Isu utama dalam perkara ini adalah fakta, sama ada pada hari peristiwa tersebut berlaku, saya menjawat jawatan pemangku perdana menteri kerana Dr Mahathir berada di luar negara.

Berdasarkan penyelidikan daripada bahan-bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyatalah Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali, dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri pada hari tersebut.

Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan saya terhadap seorang penulis di mahkamah beberapa tahun lalu di mana dalam kes ini saya berjaya, (ketika itu Dr Mahathir masih perdana menteri), peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah saya memangku jawatan perdana menteri.

Jawapan konsisten saya berikan bahawa beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri. Tetapi tidak ada media yang sedia melaporkan fakta ini.

Sekian lama saya dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh PAS.

Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya.

Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah Ilahi memakbulkan doa saya.

Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah peristiwa penting yang melibatkan diri saya. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi memberikan peluang tersebut kepada saya.

Saya sedar perkembangan terbaru ini menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan secara negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya.

Saya serahkan segalanya kepada Allah dan kepadaNya saya memohon petunjuk dan keadilan. – 4 April, 2014.

* Tun Musa Hitam ialah bekas Timbalan Perdana Menteri.

Categories
NASIONAL

Peristiwa Memali konspirasi jahat Umno, media arus perdana jadi alat Mahathir

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang mendedahkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Kuala Lumpur, bukannya China mengukuhkan lagi dakwaan peristiwa berdarah Memali berlaku hasil konspirasi jahat kepimpinan Umno.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan, peristiwa Memali sebagai satu perbuatan jijik yang dilakukan Mahathir berdasarkan jawapan ringkas yang diberikan Tun Musa Hitam.

“Pendedahan Musa Hitam memberikan jawapan yang memperkukuhkan dakwaan sebelum ini ketika peristiwa itu berlaku bahawa ia terhasil daripada konspirasi politik jahat kepimpinan Umno sendiri.

“Apabila Musa mengatakan Mahathir berada di Malaysia ketika itu dan beberapa hari selepas kejadian tetapi media arus perdana melaporkan beliau (Mahathir) berada di China.

Mahfuz“Walaupun kenyataan Musa begitu pendek dan ringkas, tetapi sudah cukup menggambarkan bahawa sebenarnya media arus perdana diatur sebegitu rupa supaya melaporkan Mahathir tidak berada dalam negara dan orang tidak mengesyaki sebarang pembabitan beliau dalam peristiwa Memali dan lebih menuding jari kepada Timbalannya (Musa),” katanya kepada Selangor Kini.

Musa yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu mendedahkan perkara berkenaan dalam Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan
Sekarang anjuran Kerajaan Kelantan yang diadakan di Kota Bharu, pada 26 Mac lalu.

Peristiwa Memali berlaku apabila polis cuba menahan Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa
mengamalkan ajaran sesat, namun beliau tidak mahu menyerah diri hingga polis merempuh perumahannya dengan kereta perisai dan mengakibatkan 14 terbunuh, pada 19 November 1985.

Mahfuz berkata, kerajaan didesak mengemukakan usul di Dewan Rakyat supaya membatalkan Kertas Putih berkenaan peristiwa Memali yang
dibentangkan di Parlimen pada tahun 1986, selain menarik fatwa ‘Bughah’ yang dikenakan terhadap Allahyarham Ibrahim Libya dan
pengikutnya.

musa-hitam1-290713_484_322_100Katanya, penarikan balik dua perkara itu bertujuan menjaga nama baik Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang ketika itu menjadi Sultan Kedah.

“Saya minta supaya kerajaan mengemukakan satu usul di Parlimen untuk menarik balik Kertas Putih berkenaan peristiwa
Memali yang dibentangkan pada tahun 1986 kerana tidak wajar dipakai.

“Kenyataan Musa cukup membayangkan bahawa Kertas Putih itu sendiri terhasil daripada satu konspirasi bukan daripada catatan peristiwa yang berlaku, sekali gus ia (Kertas Putih) terbatal.

“Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah perlu menarik balik fatwa ‘Bughah’ (pendehaka) terhadap Allahyarham
Ibrahim Libya dan 14 orang anak murid beliau kerana bagi saya fatwa itu adalah tidak tepat dengan kenyataan yang dibuat Musa kerana terhasil daripada konspirasi politik jahat.

“Jika tidak ditarik balik, ia akan menjatuhkan maruah, kredibiliti dan kepercayaan orang terhadap Majlis Fatwa dan alim
ulama,” katanya.