Categories
AGENDA JENAYAH

Kanak-kanak maut tersangkut kain buaian, polis panggil 18 saksi

SEREMBAN, 24 FEB: Polis memanggil 18 saksi setakat ini bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, setahun tiga bulan yang meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata antara yang dipanggil ialah ibu bapa kepada Nour Rania Asyifaa, pengasuh dan pengusaha taska.

“Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut. Difahamkan status pusat jagaan berkenaan yang beroperasi sejak 2019, masih belum berdaftar dan ia diarah tutup sementara selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata laporan bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini semalam, mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat tekanan di leher.

Beberapa media sebelum ini melaporkan kepala Nour Rania Asyifaa dipercayai tersangkut pada kain buaian ketika sedang tidur di pusat jagaan berkenaan dan dia disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan oleh pegawai perubatan pada pukul 4.30 petang, selepas pengasuh kanak-kanak itu membawanya ke klinik berkenaan untuk rawatan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelakon, pengarah Jit Murad meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Pelakon teater, pengarah dan penulis terkenal Jit Murad atau nama sebenarnya Aziz Mirzan Murad, 62, meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan oleh rakannya pelawak Harith Iskander semasa dihubungi Bernama, dan beliau turut memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara esok.

Harith dalam catatan Instagram berkata: “Sahabatku Jit Murad … andalah segalanya bagiku sebelum bertemu Jez (Jezamin Lim-isteri Harith).. kehilanganmu amat dirasai, anda seorang yang bijak berbicara dengan keletahmu, Al-Fatihah” katanya.

Sementara itu Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi turut menyampaikan ucapan takziah menerusi akaun Twitter dan berkata: “Keadaan tidak lagi sama seperti dahulu tanpa anda bersama kami Jit (Jit Murad). Kehilanganmu amat dirasai. Bersemadilah dengan aman, daripada dia kita datang, kepada dia kita kembali. Al-Fatihah”.

Selain itu pelakon Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, atau dikenali sebagai Que Haidar dalam catatan instagramnya erkata: “Jit Murad, pelakon cemerlang, antara pelakon yang benar-benar saya hormati lakonannya. Kehilangan yang cukup besar dalam dunia lakonan. Al-Fatihah,”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa Azizulhasni meninggal dunia akibat strok

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menerima perkhabaran duka apabila bapanya, Awang Embong, 72, meninggal dunia akibat strok awal pagi tadi.

Abang ipar Azizulhasni, Mohd Razman Mohamad, 37, memaklumkan Allahyarham Awang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi di kediamannya di Dungun, Terengganu.

Mohd Razman berkata Allahyarham baru-baru ini dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan selama empat hari sebelum dibenarkan pulang petang semalam.

“Doktor benarkan arwah pulang dalam keadaan baik, dan kelihatan ceria sebelum meninggal dunia, kami sekeluarga amat terkejut dengan pemergian Allahyarham, namun harus redha dengan ketentuan ilahi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Datuk Azizulhasni bersama bapanya, Awang Embong pada Mac 2020. Foto Facebook Azizulhasni Awang

Mohd Razman berkata solat jenazah akan diladakan selepas solat Zohor di Surau Ustaz Omar Shukri sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.

Sementara itu Mohd Razman memberitahu Azizulhasni, yang sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia, sempat menghubunginya pukul 5 pagi tadi untuk mendapatkan perkembangan mengenai situasi melanda keluarganya ketika ini.

“Azizulhasni sememangnya sedih dengan pemergian bapanya dan meminta kami sekeluarga untuk menguruskan segala keperluan,” katanya.

Sementara itu Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu hantaran di laman Facebook dan Twitter mendoakan kesejahteraan Allahyarham.

“Ya Allah! Ampunilah Allahyarham, berilah dia rahmat-mu, kesejahteraan, serta maafkanlah kesalahannya..Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.

Sementara itu Azizulhasni dalam cacatan di laman Facebook beliau, mendoakan agar roh arwah bapanya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Semoga ayah diampunkan segala dosanya, diterima segala amal ibadatnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

“Ya Allah! Ampunilah almarhum (Awang Embong), berilah dia rahmatmu, kesejahteraan, serta maafkanlah kesalahannya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelawak Pian Cecupak meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Pelawak Pian Cecupak atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Raman, 52, meninggal dunia pada 11 malam tadi di kediaman ibunya di Flat Sentul Murni, Taman Datuk Senu, Sentul di sini.

Berita pemergian pelawak berkenaan disahkan oleh adiknya Hasnah ketika dihubungi Bernama malam tadi.

“Allahyarham jatuh di dalam bilik air. Jenazah akan dikebumikan sebelum solat zuhur esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu, pemergian arwah turut dikongsi anak saudaranya Syuhada Daud di laman Facebooknya.

“Kehilangan sebuah permata berharga dalam keluarga. Penghibur kami sekeluarga. Tenanglah pakcik, doakan moga arwah ditempatkan dalam golongan beriman dan beramal soleh.

“Tugasmu di dunia sudah selesai, selamat pulang ke negeri abadi. Kami pasti merindui jenakamu, kami pasti menyusul,” katanya.

Pada 2018, Allahyarham dilaporkan dinasihatkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan kerana masalah jantung yang dihadapinya amat serius.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jasad Shebby dibawa ke Nirvana Memorial Centre Skudai untuk penghormatan akhir

JOHOR BAHRU, 13 JAN: Jasad bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh dibawa ke Nirvana Memorial Centre Jalan Skudai, di sini petang ini untuk penghormatan terakhir selepas proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Anak lelaki mendiang Sonuljit Singh, 32, berkata mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang boleh berbuat demikian bermula 4 petang ini sebelum jasadnya dibawa ke Krematorium Loke Yew di Kuala Lumpur, esok.

“Pada hari ini di Skudai, esok pula di Kuala Lumpur…jadi sesiapa yang ingin datang memberi penghormatan di Johor boleh datang. Esok pula kira-kira pukul 3 atau 4 petang di Krematorium Loke Yew, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSA, di sini hari ini.

Sonuljit pada masa sama menjelaskan proses bedah siasat mendiang Serbegeth Singh, 61, atau lebih dikenali sebagai Shebby berjalan lancar.

“Sudah selesai tetapi pada masa ini, saya tidak seIesa untuk mendedahkannya (keputusan bedah siasat), dan saya harap (media) beri kami sedikit ruang,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan ucapan takziah atas pemergian bapanya.

“Terima kasih tidak terhingga atas ucapan kasih sayang dan penghargaan di media sosial, ia sungguh menakjubkan kerana baginya, beliau hanya mahukan yang terbaik untuk sukan bola sepak Malaysia. Macam cikgu, kadang-kadang marah, kadang-kadang puji tetapi pada akhirnya, beliau sayangkan bola sepak dan negara,” katanya.

Selain Sonuljit, turut kelihatan isteri mendiang Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta anak sulung mendiang, Natassha Kaur, menunggu di luar pagar Jabatan Perubatan Forensik HSA.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan Shebby meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri, kira-kira 7.30 malam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Arena bola sepak negara berduka pemergian Shebby Singh

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Penggemar bola sepak tanah air bersedih dengan pemergian bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh, pada usia 61 tahun secara mengejut semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berduka dengan pemergian bintang bola sepak yang pernah mewarnai arena bola sepak negara itu, mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, yang juga dikenali sebagai Shebby Singh, menerusi catatan di Facebook.

“FAM mengucapkan salam takziah kepada keluarga Serbegeth Singh susulan pemergiannya secara mengejut petang tadi. Mendiang Shebby meninggalkan isteri Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh,” menurut catatan itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi Bernama, mengesahkan bahawa Shebby Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri lebih kurang pukul 7.30 malam.

Lahir pada 20 Ogos 1960, bakat Shebby yang berasal daripada Kluang, Johor mula dikesan oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan, individu yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.

Bekas jurulatih pasukan Kuala Lumpur mendiang S. Subramaniam kemudian berjaya memujuk Shebby untuk meninggalkan Johor dan berhijrah menyertai Kuala Lumpur pada 1983.

Menyarung jersi kebangsaan pada kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982, Shebby mengumpul 61 penampilan mewakili negara sehingga persaraannya, selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

Sepanjang beraksi untuk skuad Harimau Malaya bermula 1982-1991, Shebby telah mewakili negara di tiga temasya Sukan Asia, iaitu 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing), selain meraih emas Sukan SEA 1989, serta gangsa pada edisi 1985.

Di arena domestik, Shebby dikenali sebagai pemain pertahanan kental sepanjang kerjayanya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan, sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994.

Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012-2013, Serbegeth pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta Malacca Telekom FC, selain menjadi Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, JDT turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Kelab Bolasepak JDT terkejut dengan berita bahawa bekas Penasihat Teknikal JDT dan pemain Johor FA dan Malaysia, Serbegeth Singh telah meninggal dunia. Keluarga JDT ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Serbegeth. ‘Rest in peace’, Shebby,” menurut catatan di media sosialnya, Johor Southern Tigers.

Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan juga ternyata sedih dengan pemergian Shebby yang merupakan sahabat baiknya, selain menyifatkan berita tersebut sebagai kehilangan besar buat sukan bola sepak negara.

“Kali terakhir kami berhubung sebulan lepas, di mana kami berbincang mengenai kegagalan skuad Harimau Malaya pada aksi Piala AFF 2020 di Singapura tahun lepas.

“Beliau banyak memberi sumbangan khususnya pendapat serta kritikan, yang sebenarnya kadang-kadang tidak masuk akal tapi ia untuk kebaikan bola sepak kita,” katanya yang pernah beraksi bersama Shebby dalam skuad kebangsaan pada tahun 1982.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Serbegeth Singh meninggal dunia

JOHOR BAHRU, 12 JAN: Bekas pemain bola sepak kebangsaan Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh, meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway, Iskandar Puteri di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

“Saya masih tidak dapat laporan penuh. Kejadian berlaku lebih kurang 7.30 malam, beliau dipercayai terbabas ketika berbasikal di lokasi kejadian,” katanya.

Shebby, 61, merupakan bekas pemain negara yang pernah beraksi untuk pasukan Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang sebelum bersara pada 1996.

Lahir pada 20 Ogos 1960, bakat Shebby yang berasal daripada Kluang, Johor dikesan oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan, individu yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.

Mendiang S Subramaniam kemudian berjaya memujuk Shebby untuk meninggalkan Johor dan berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1983, satu tindakan kontroversi menyaksikan Shebby digantung setahun oleh Johor atas alasan berpindah tanpa kebenaran.

Menyarung jersi kebangsaan pada kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982, Shebby mengumpul 61 penampilan mewakili negara sehingga persaraannya selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

Sepanjang beraksi untuk skuad Harimau Malaya bermula 1982-1991, Shebby telah mewakili negara di tiga temasya Sukan Asia, iaitu 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing), selain meraih emas Sukan SEA 1989 dan gangsa pada edisi 1985.

Di arena domestik, Shebby dikenali sebagai seorang pemain pertahanan kental sepanjang kerjaya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994.

Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012-2013, Serbegeth pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta Malacca Telekom FC, selain menjadi Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT).

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Bekas pemain, ketua jurulatih skuad kebangsaan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Bekas pemain dan ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk M Kuppan meninggal dunia pada usia 85 tahun petang semalam.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan mendiang yang merupakan pemain negara dalam era 60-an dan membimbing skuad kebangsaan sekitar 70-an akan disemadikan di Butterworth, Pulau Pinang.

Kuppan yang dilahirkan di Bukit Mertajam pada 14 Oktober 1936 diberi jolokan Harimau Bintang atau “Black Panther from Penang” selain “Jetboots” kerana ketangkasannya sebagai penggempur di bahagian serangan.

Memulakan kerjayanya dalam dunia bola sepak bersama Pulau Pinang selaku penyerang dan sayap kanan pada usia 19 tahun, Kuppan adalah anggota skuad kebangsaan bimbingan Choo Seng Quee yang menjulang gelaran juara Pesta Bola Merdeka pada 1958, 1959 dan 1961.

Seangkatan dengan Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Sexton Lourdes, Edwin Dutton, Ahmad Nazari Min Zohari, Yusof Bakar, M Govindaraju, Majid Ariff dan Rahim Omar, Kuppan turut menganggotai skuad negara yang mengutip emas di Sukan SEAP 1961 tetapi tidak terpilih ke Sukan Asia 1962.

Mendiang memulakan kerjaya sebagai jurulatih yang berjaya selepas menghadiri kursus kejurulatihan pada 1972 apabila membawa Pulau Pinang menjuarai Piala Malaysia 1974 sebelum menjulang kejuaraan Pesta Bola Merdeka 1976 bersama skuad kebangsaan.

Selepas bersara, mendiang menjadi pengasas kepada Kelab Sukan Blue Cross dan penasihat akademi Bintang Biru.

Kuppan ditawarkan menjadi jurulatih kebangsaan pada 1988 tetapi menolaknya dan tugas itu dipikul Richard Bate.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Amirudin ucap takziah pemergian bekas MB Johor

SHAH ALAM, 22 DIS: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian atas pemergiannya.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Semalam, Bernama melaporkan Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas meninggal dunia di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam.

Beliau yang turut menyandang jawatan ketua bahagian Bersatu Ayer Hitam dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor selepas diserang strok ringan pada November lalu dan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia Selangor.

Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018 bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pegawai bomba cedera terkena letupan di Segamat meninggal dunia

JOHOR BAHRU, 13 DIS: Pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, Sabtu lepas, meninggal dunia di Hospital Segamat, awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira pukul 4.10 pagi tadi akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Beliau berkata Mohd Firdaus, 32, yang telah berkhidmat di balai bomba berkenaan sejak 2013, meninggalkan seorang isteri, Nurul Jannah Abd Hamid Khan, 29, dan anak perempuan Aisy Alisha Mohd Firdaus, 3.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan buat seluruh pasukan balai bomba ini dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, amnya.

“Beliau merupakan seorang pegawai yang baik, berdisiplin dan bertanggungjawab. Seluruh keluarga JBPM menyanjung tinggi jasa Allahyarham kerana sentiasa setia dan komited menjalankan tugas,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mazuki berkata jenazah kini berada di Jabatan Forensik di hospital berkenaan untuk proses mandi dan kafan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya.

Jenazah Mohd Firdaus dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.15 pagi Sabtu lepas, Mohd Firdaus dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah pemergian dua bekas atlet wanita negara

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua bekas atlet wanita negara yang meninggal dunia semalam.

Mereka adalah bekas pemain skuad bola sepak wanita Kasmah Darus dan bekas atlet silat Zaleha Suradi.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Kasmah dan Zaleha selain berharap seluruh keluarga kedua-dua Allahyarhamah sabar dan tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarhamah kepada negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.

Kasmah, 63, yang berasal dari Tambun, Perak terkenal sebagai pemain sayap kanan pasukan bola sepak wanita kebangsaan semasa era 70-an dan 80-an, terutama pada pertandingan Piala Tun Sharifah Rodziah yang diibaratkan Piala Malaysia bagi kaum hawa.

Kehebatan Allahyarhamah bersama pasukan Selangor dan Perak pada ketika itu turut membawanya menyarung jersi Malaysia dalam Kejohanan Wanita Asia anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kasmah turut mewakili skuad wanita kebangsaan pada Kejohanan Wanita Asia Ketiga di Calicut, Kerala, India pada 1980 dengan menduduki tempat kelima dalam liga pusingan awal.

Sementara itu, Zaleha yang pernah digelar ‘dwiantarabangsa’ kerana mewakili negara dalam dua sukan iaitu bola sepak dan silat pernah menyarung jersi skuad bola sepak wanita negara pada Kejohanan Wanita Asia 1986 di Hong Kong.

Allahyarhamah juga pernah muncul naib juara kelas E (65 kilogram) Kejuaraan Silat Dunia di Belanda pada 1990 selain pernah membawa pulang dua pingat gangsa daripada Kejuaraan Silat Dunia 1982 di Jakarta, Indonesia dan 1987 di Kuala Lumpur.

Zaleha juga merupakan seorang yang aktif berpersatuan terutamanya bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan sentiasa melibatkan diri dalam program anjuran yayasan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jenazah Mamat Khalid selamat dikebumikan

IPOH, 24 OKT: Jenazah pengarah filem terkenal Allahyarham Mamat Khalid yang meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di sini hari ini.

Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selamat dikebumikan pada 2.25 petang.

Jenazah Allahyarham sebelum itu dibawa ke kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini pada 6 pagi tadi dan kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam sebelum dikebumikan.

Kira-kira 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di tanah perkuburan berkenaan.

Antara yang hadir menziarahi Allahyarham di kediamannya ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta beberapa rakan artis antaranya Datuk Awie, Zul Ariffin, Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Nasrizal Ngasri dan Zahiril Adzim.

Sementara itu, anak ketiga Allahyarham, Mohd Khalid Amen, 25, berkata bapanya bermain keyboard semasa membuat persembahan lagu Apokalips di kafenya, di Sarang Art Hub di Tanjung Malim sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

“Saya dan beberapa ahli keluarga terus menerpa ke arahnya, sebelum itu dia tidak mengadu sakit.

“Kami menghubungi ambulans dan akhirnya papa menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital. Papa memang ada sakit jantung,” katanya.

Menurut Mohd Khalid Amen, Allahyarham sepatutnya akan memulakan penggambaran telefilem bertajuk ‘Kampung Pisang Berbuah Dua Kali’ minggu depan.

“Papa bercadang untuk memulakan penggambaran hujung bulan ini tetapi tidak sempat,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon Nasrizal Ngasri atau lebih dikenali sebagai Bell Ngasri ketika ditemui pemberita berkata sepatutnya beliau bersama Allahyarham akan memulakan penggambaran telefilem sekuel komedi seram, Kampung Pisang pada penghujung bulan ini.

“Saya betul-betul tidak sangka Allahyarham pergi meninggalkan kami tapi Allah lebih sayangkan beliau,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Khir Rahman pula berkata Allahyarham Mamat merupakan individu yang melonjakkan nama beliau di persada seni tanah air menerusi beberapa filem yang dilakonkannya sebelum ini.

“Arwah Abang Mamat memang dikenali sebagai suka menolong rakan-rakan atau saudara-mara, selagi dia boleh tunaikan hajat, dia akan tunaikan,” katanya.

Pekin Ibrahim yang ditemui pemberita dalam nada sebak berkata beliau menganggap Allahyarham Mamat sebagai ayah kandungnya sendiri.

“Saya biasa berkomunikasi dengan arwah melalui aplikasi WhatsApp berbual mengenai projek filem dan kali terakhir berhubung dengannya minggu lepas,” katanya.

Allahyarham Mamat dilahirkan pada 6 April 1963 dan dibesarkan di Sungai Rokam di sini. Beliau meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak.

Beliau memulakan kerjaya awal di pejabat kerajaan, sebelum menceburi bidang perfileman dengan mengarahkan filem komedi pertama berjudul Lang Buana.

Antara filem sentuhannya termasuklah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X dan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang turut meraih kutipan pecah panggung.

Selain aktif dalam bidang perfileman, arwah juga pengasas dan pemilik kafe, Sarang Art Hub yang beroperasi di Tanjung Malim.

– BERNAMA