Categories
AGENDA NASIONAL

Pengarah filem Mamat Khalid meninggal dunia

IPOH, 24 OKT: Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River, Perak.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah.

“Arwah pengsan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia,” katanya ringkas melalui pesanan aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Punca kematian tidak dapat diketahui namun difahamkan akibat serangan jantung.

Selain menumpukan masanya dalam bidang perfileman, arwah juga merupakan pemilik kafe Sarang Art Hub yang dibuka di Tanjung Malim sejak 2016.

Allahyarham atau nama sebenarnya, Mohamad bin Mohamad Khalid, 58, merupakan seorang penulis skrip dan pengarah filem.

Beliau merupakan adik kepada kartunis terkenal negara Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat.

Allahyarham yang dilahirkan di Ipoh, meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

Antara filem air tangan arwah yang terkenal adalah ‘Zombi Kampung Pisang’, ‘Hantu Kak Limah’, ‘Rock’ dan ‘18 Puasa di Kampong Pisang’ yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat filem genre lucu dan hiburan keluarga.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa MB Selangor meninggal dunia, dikebumi pagi esok

SHAH ALAM, 21 SEPT: Ayahanda kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kembali ke rahmatullah disebabkan komplikasi pernafasan, petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli menerusi kenyataan, sebentar tadi.

“Dukacitanya dimaklumkan bahawa Shari bin Mokhsin ayahanda kepada Dato’ Seri Amirudin Shari Dato’ Menteri Besar Selangor telah kembali ke rahmatullah petang tadi disebabkan komplikasi pernafasan.

“Marilah bersama-sama kita doakan agar urusan terakhir Allahyarham dipermudahkan, moga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan diterima segala amal kebaikannya,” katanya.

Juwairiya berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Parit Asam Kumbang, Benut, Pontian, Johor pada esok pagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga Zaman Khan

SHAH ALAM, 11 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook menyifatkan Allahyarham sebagai anggota keselamatan yang disegani dan dihormati.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Almarhum Tan Sri Mohd Zaman Khan, mantan Pengarah JSJ Bukit Aman.

“Seorang tokoh anggota keselamatan yang disegani dan dihormati. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya.

Zaman Khan pernah terbabit kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu dikenali sebagai Bentong Kali.

Allahyarham juga antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari tahun 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada tahun 1997.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas YDP Sabah Tun Sakaran meninggal dunia

KOTA KINABALU, 30 OGOS: Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai meninggal dunia di Hospital Gleaneagles di sini, awal pagi ini.

Perkara itu disahkan cucunya Ahmad Marzuki Nasir dan memaklumkan Sakaran, 91, meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi tadi.

“Sama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.

Pada 18 Ogos lepas, Sakaran dimasukkan ke hospital itu kerana disyaki dijangkiti Covid-19, sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 25 Ogos.

Sakaran berasal dari Semporna berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah kelapan pada 1994.

Allahyarham memainkan peranan penting untuk Sabah dan negara khususnya, dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan masyarakat serta menyebarluaskan kesusasteraan Islam.

Jasa Allahyarham amat dihargai sehingga menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas KSN Tun Ahmad Sarji meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid meninggal dunia di sebuah hospital pada 1.40 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga Ahmad Sarji dalam satu kenyataan hari ini.

“Jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

Allahyarham merupakan pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan bekas KSN dari 1990 hingga 1996.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imam Masjid Negara meninggal dunia akibat komplikasi jantung

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Imam Masjid Negara Khisamudin Ismail meninggal dunia akibat komplikasi jantung, pada jam 4 pagi ini di kediamannya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor.

Berita pemergian Allahyarham itu dikongsi Masjid Negara menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

“Kami kehilangan seorang rakan, imam dan guru yang penuh dedikasi dalam tugasnya. Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan solihin.

“Didoakan agar isteri, anak-anak dan ahli keluarga bersabar menghadapi ujian ini,” demikian menurut hantaran itu.

Menurut Penolong Pegawai Penerangan Masjid Negara Ahmad Faizal Azman, yang dihubungi Bernama, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada kira-kira jam 10.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Batu Arang.

Khisamudin yang genap berusia 53 tahun hari ini, meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Allahyarham mula berkhidmat sebagai imam di Masjid Negara pada April 2014, kemudian menjadi tenaga pengajar di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara pada April 2018, sebelum kembali bertugas sebagai imam di Masjid Negara pada Jun tahun sama.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya ada memaklumkan kepada beliau untuk menziarahinya bila ada masa yang sesuai. Namun, perancangan Allah SWT sudah pasti ada hikmahnya. Takziah diucapkan kepada keluarga Ustaz Khisamudin Ismail, Imam Masjid Negara,” tulisnya di Facebook.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengarah CAC Hulu Langat meninggal dunia akibat Covid-19

SHAH ALAM, 9 OGOS: Pengarah Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Hulu Langat, Afizan Mohamad meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 semalam.

Persatuan Kesihatan Persekitaran Malaysia (MAEH) memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Serdang pada jam 12 tengah malam semalam.

“Pihak MAEH dan seluruh pengamal kesihatan persekitaran di Malaysia menerima perkhabaran duka dan sedih atas pemergian Allahyarham Afizan.

“Allahyarham antara petugas barisan hadapan yang menangani wabak Covid-19. Sama-sama kita mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan soleh,” katanya menerusi Facebook semalam.

Allahyarham Afizan bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat sebagai ketua pegawai Kesihatan Persekitaran.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumi semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap takziah, ketua Pemuda Amanah meninggal dunia akibat Covid-19

SHAH ALAM, 6 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah atas pemergian ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat Allahyarham.

“Innalillahiwainnailahirrajiun. Menerima perkhabaran dukacita, sahabat saya saudara @shazni_munir telah menghembuskan nafas terakhir.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Takziah diucapkan kepada keluarga dan sahabat Almarhum,” katanya.

Shazni Munir meninggal dunia sebentar tadi. Perkara itu diumumkan oleh Amanah dalam media sosial rasminya.

“Mohon doa dan sokongan daripada semua agar keluarga beliau kuat lalui ujian ini,” kata Setiausaha Pemuda Amanah ‘Asim ‘Abdullah.

Pada 24 Julai lalu Shazni, 34, kritikal setelah dijangkiti Covid-19 pada pertengahan bulan itu.

Allahyarham yang juga ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) meninggalkan tiga orang anak dan seorang balu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota skuad Piala Thomas 1970, Abdul Rahman meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Bekas pemain badminton kebangsaan Abdul Rahman Mohamad, anggota skuad negara yang muncul naib juara Piala Thomas pada 1970, meninggal dunia semalam.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Allahyarham yang berusia 75 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 5.53 petang di Hospital Shah Alam.

“Lahir pada tanggal 9 Mei 1946, Abdul Rahman yang juga merupakan anggota skuad Piala Thomas 1970, turun selaku perseorangan kedua selepas mendiang Datuk Punch Gunalan pada perlawanan akhir edisi kelapan kejohanan berprestij itu menentang Indonesia.

“Jasa serta sumbangan Allahyarham dalam arena badminton kebangsaan pasti akan terus dikenang. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” menurut kenyataan BAM di laman Facebooknya.

Pada aksi final itu, Malaysia tewas 2-7 kepada Indonesia di Stadium Negara.

Arwah sebelum ini dilaporkan terlantar di rumahnya setelah diserang strok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isteri Misbun Sidek meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Datin Latifah Sidek, isteri kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek meninggal dunia semalam.

Perkara itu disahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di laman Facebooknya pada malam tadi.

“Dukacitanya dimaklumkan Datin Latifah telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Sama-sama kita panjatkan doa buat Arwah semoga ditempatkan bersama mereka yang disayangiNya jua. Takziah buat Datuk Misbun & keluarga,” menurut entri berkenaan.

Arwah sebelum ini dilaporkan berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 Julai.

Misbun, bekas pemain kebangsaan dan jurulatih kebangsaan, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengarah teknikal Skuad Remaja Negara, berkahwin dengan Latifah pada 1987.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah menerusi media sosialnya.

“Marilah kita doakan semoga roh Allahyarhamah sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah serta ditempatkan bersama mereka yang soleh dan beriman,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelakon Benjy meninggal dunia akibat asma

SHAH ALAM,11 JULAI: Pelakon Benjy Ibrahim atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Medan, Indonesia hari ini.

Perkara itu disahkan ayah Benjy, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi menerusi mesej aplikasi Whatsapp.

“Ben (panggilan buat Benjy) meninggal di hospital Medan Indonesia akibat Asma hari ini,” lapor Astro Awani.

Menurut Khairil Anwar urusan pengebumian anak sulungnya itu akan dilakukan di Medan.

Pada 2017, Benjy yang juga anak kepada aktres Allahyarham Azean Irdawaty dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu.

Sementara itu, Seniman Malaysia (Seniman) memaklumkan pihaknya sedang mendapatkan bantuan dari pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia untuk pengurusan jenazah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hilang ibu, adik selang sehari angkara Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Hati siapa yang tidak luluh jika dua insan tersayang pergi buat selama-lamanya hanya dalam masa selang sehari akibat jangkitan virus Covid-19.

Itu saat getir yang terpaksa dilalui Abdul Rahim Daim, 48, apabila adiknya Abdul Malik Daim, 43, meninggal dunia pada 22 Mei lalu di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS, Serdang disusuli ibu tercinta, Patimah Babu, 75, keesokan hari di Hospital Sungai Buloh.

Lebih memeritkan ketika itu, tujuh daripada sembilan ahli keluarga lain termasuk isteri dan tiga anaknya turut disahkan positif apabila melakukan ujian saringan Covid-19, selepas anak, adik dan ibunya mengadu deman dan batuk pada hari raya ketiga.

Ketika dihubungi Bernama, Abdul Rahim berkata beliau tidak menyangka kegembiraan mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri baru-baru ini menjadi kenangan terakhir sebelum wabak itu meragut nyawa dua insan yang tersayang.

“Bimbang melihat keadaan kesihatan anak, adik dan mak, saya tanpa berfikir panjang membawa mereka dan ahli keluarga lain melakukan ujian saringan Covid-19 dan perkara yang takuti akhirnya terjadi apabila ibu dan beberapa ahli keluarga yang lain disahkan positif Covid-19 apabila keputusan ujian saringan diperoleh pada malam itu.

“Hanya saya dan anak perempuan negatif ketika itu, jadi saya kemudian meminta yang positif buat persiapan untuk pergi ‘assessment’ di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam keesokkan paginya tanpa menunggu van ambulans datang ke rumah,” katanya kedengaran tenang ketika menceritakan kembali kejadian itu.

Katanya, selepas menjalani penilaian CAC di Stadium Melawati, ibunya dibawa ke Hospital Sungai Buloh selepas pernafasannya kurang baik di samping mengalami komplikasi buah pinggang dan kencing manis, manakala adiknya yang obes pula dihantar ke PKRC MAEPS.

“Ahli keluarga yang lain pula diarah melakukan kuarantin di rumah,” katanya yang menetap di Puchong.

“Pada pagi Sabtu, 22 Mei saya ada telefon adik kerana dia ada minta hantarkan pakaian dan sejadah, namun panggilan saya tidak dijawab sehinggalah saya dapat panggilan supaya datang ke hospital Serdang, dan dimaklumkan adik saya telah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

“Mereka cuba diselamatkan tapi gagal, kemungkinan dia dah tiada semasa di MAEPS pada pukul 9.00 pagi lagi,” kongsinya sambil mengesahkan video pasukan perubatan memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang pesakit di MAEPS yang tular adalah adiknya.

Dugaan yang diterima tidak terhenti di situ sahaja apabila belum pun sempat menyelesaikan urusan dokumentasi kematian adiknya, Abdul Rahim tidak lama selepas itu menerima panggilan daripada doktor dari Hospital Sungai Buloh yang memaklumkan ibunya pula dalam kedaan tenat.

“Kami sekeluarga sempat buat panggilan video dengan mak memohon maaf atas salah silap selama membesarkan kami adik-beradik, dan itulah perbualan terakhir kami sebelum beliau disahkan meninggal dunia sekitar pukul 2.00 pagi,” katanya.

Abdul Rahim yang merupakan kakitangan Media Prima Berhad berkata jenazah ibu dan adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya pada petang Ahad.

Ditanya mengenai punca jangkitan Covid-19 boleh berlaku dalam kalangan keluarganya, Abdul Rahim berkata beliau sendiri kurang pasti, namun tidak menafikan memang menjadi kebiasaan baginya untuk menghantar belanja, belikan lauk dan makanan ke rumah ibunya sebelum beliau ke tempat kerja.

“Perkara yang berlaku menjadi satu pengajaran yang cukup bermakna buat ahli keluarga saya.

“Sehubungan itu saya ingin berpesan kepada rakyat Malaysia, jangan kita leka dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan, kita tidak ketahui dari mana Covid-19 itu berada dan kita tidak tahu siapa yang pembawanya,” katanya.

-BERNAMA