Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: 47 kes ajaran sesat dikesan sejak Januari tahun lalu

SHAH ALAM, 28 OKT: Sebanyak 47 kes pemujaan bertentangan Islam dilaporkan di seluruh negara antara Januari 2020 hingga September lalu, kata menteri hal ehwal agama.

Daripada jumlah itu, sebanyak 33 kes dikesan tahun lalu manakala baki antara Januari hingga September tahun ini, jelas Idris Ahmad seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata langkah bagi mengatasinya termasuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam menyelidik ajaran dan doktrin meragukan.

“Kita juga mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup dengan kumpulan terbabit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Kita turut melaksanakan kajian menyeluruh sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.”

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Pari) berhubung jumlah ajaran sesat yang dilaporkan sepanjang 2020 dan sehingga suku ketiga tahun ini selain usaha mengatasinya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

263 rakyat Malaysia di Arab Saudi tunai haji tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seramai 263 rakyat Malaysia di Arab Saudi layak menunaikan haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Tahun lepas hanya lapan orang rakyat Malaysia di negara itu yang dapat menunaikan haji.

Beliau berkata Tabung Haji (TH) akan memberikan kursus secara dalam talian berkaitan ibadah haji kepada semua jemaah itu.

“Malam esok, insya-Allah saya akan adakan temu bual dengan bakal haji rakyat Malaysia yang sedang berada di kota suci Makkah Al-Mukarramah,” katanya dalam program Salam Baitullah di saluran TV1 RTM malam ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini memutuskan ibadat haji musim ini hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang berada di negara itu sahaja berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri agama, ustaz popular kena kompaun langgar SOP

SHAH ALAM, 27 MEI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dikompaun RM2,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dalam majlis tahnik anak kedua Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin bulan lalu.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata selain Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari yang turut hadir ke majlis itu dikompaun kadar sama.

Tindakan dibuat atas arahan Timbalan Pendakwa Raya selepas meneliti kertas siasatan berhubung majlis diadakan di Ampang itu.

“Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang selain tiga anak Khalid dikompaun RM2,000,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Sebelum ini beberapa gambar berkaitan majlis mengundang pelbagai reaksi warga maya termasuk komen negatif mendakwa berlaku aktiviti rentas negeri oleh tetamu yang hadir.

Bagaimanapun Siti Nurhaliza dan Khalid memohon maaf sekiranya menyentuh sensitiviti seluruh masyarakat namun menafikan majlis berkenaan melanggar SOP.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semak sijil pengesahan halal Malaysia melalui portal, aplikasi

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Senarai penuh 318 pengimport daging berlesen yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) boleh didapati di portal Halal www.halal.gov.my atau aplikasi SmartHalal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata masyarakat Islam tidak perlu ragu dengan pengimport yang mempunyai sijil itu.

“Saya amat prihatin akan kebimbangan umat Islam dalam hal ini. KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) selaku agensi berautoriti telah melaksanakan prosedur yang tepat bagi pengurusan kes kartel daging import ini.

“Adalah sebaiknya proses penguatkuasaan dilaksanakan oleh mereka yang diberi kuasa mengikut lunas perundangan. Insya-Allah selepas selesai perbicaraan dan tindakan undang-undang di mahkamah, semuanya akan selesai,” katanya.

Pada 1 Disember lepas, negara dikejutkan dengan pembongkaran kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Pada 29 Januari, Zulkifli berkata status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran boleh diperoleh dengan cepat dan mudah dengan hanya mengimbas QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal ketika melancarkan kod berkenaan secara maya.

Sementara itu, beliau berkata rundingan meja bulat anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pengimport dan pengedar daging dan produk daging pada 11 Januari menghasilkan banyak keputusan yang bermanfaat untuk umat Islam di Malaysia.

Antara pemegang SPHM dalam kalangan pengimport daging berlesen yang hadir dalam pertemuan itu ialah GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Sushi King Sdn Bhd, Kyros Kebab Sdn Bhd, Melawati Kebab Sdn Bhd, Nusantara Meat Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd, Al-Hilal Food Processing Sdn Bhd, Macfood Services (M) Sdn Bhd dan Selamat Supplies Sdn Bhd.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan hasil rundingan itu yang turut melibatkan KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkepentingan dalam industri berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut memuat naik aliran proses import daging ke Malaysia untuk pengetahuan orang ramai yang merangkumi empat langkah iaitu secara bersama, permit import, kawalan pintu masuk negara oleh dua agensi penguatkuasaan dan pasaran dengan setiap langkah menjadi tanggungjawab jabatan berkaitan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suruhanjaya diraja langkah terbaik siasat isu kartel daging

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah langkah terbaik bagi menyiasat isu tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata usaha dan hasrat yang murni ini telah dipersetujui dengan pihak terlibat dan dilihat penting demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

Terdahulu di Dewan Negara hari ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid mengumumkan kerajaan bersetuju dan menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Jelas Rosol, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menyambut baik hasrat KPDNHEP untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal, yang akan turut dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Zulkifli berkata beliau dan Jakim mengambil prihatin dan meletakkan kecaknaan yang penuh terhadap isu pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram baru-baru ini termasuk mengadakan beberapa lawatan ke syarikat pemain industri yang terlibat dalam pengimportan dan penyembelihan daging.

“Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara adalah di tahap yang terbaik.

“Bagi produk daging import, Jakim akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar negara mematuhi semua standard yang telah ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri agama: Pendakwah perlu senada hukum guna vaksin Covid-19

SEPANG, 24 DIS: Semua pihak termasuk pendakwah selebriti perlu senada mengenai hukum penggunaan vaksin Covid-19 iaitu harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata ketetapan hukum penggunaan vaksin Covid-19 itu dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember lepas, dan mengambil pandangan semua pihak termasuk para ulama serta badan berautoriti.

“Kita mahu semua senada (penggunaan vaksin) sebab pandangan ini bukan pandangan saya tetapi para ulama bukan semata di Malaysia… rujukan dibuat untuk ummah seluruhnya dan negara-negara Arab bersetuju kaedah ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 80 pendakwah selebriti di sini, hari ini.

Ketika berucap pada majlis itu, Zulkifli meminta pendakwah selebriti yang mempunyai syor atau cadangan yang baik mengenai apa jua perkara termasuk penggunaan vaksin supaya mengemukakannya secara berhemah.

“Dalam mendepani isu Covid-19, satu sahaja permintaan khusus saya buat sahabat-sahabat iaitu marilah kita bersatu fikrah. Elakkan berkhilaf sesama kita kerana kita ada maslahah yang besar iaitu melindungi rakyat daripada wabak ini.

Jika ada syor atau cadangan baik, kemukakan secara berhemah tapi bukan dalam ceramah atau di media sosial,” katanya.

Semalam, Zulkifli berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Ketetapan ini juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak, katanya.

Mengenai pertemuan dengan pendakwah selebriti, Zulkifli mengingatkan mereka untuk sentiasa memelihara imej serta maruah diri dan mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi.

“Kita harap ada sinar pada tahun 2021… kita tidak dengar lagi sebarang isu konflik (melibatkan pendakwah selebriti),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Majalah khas diterbit beri penjelasan vaksin Covid-19 – menteri

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Pandangan tokoh ulama dunia Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah mengenai vaksin Covid-19 adalah antara kandungan utama majalah khas yang bakal diterbitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Zulkifli berkata Shaykh Abdallah yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu menghuraikan penggunaan vaksin itu dalam kalangan umat Islam secara tuntas menurut empat mazhab.

“Insya-Allah, saya akan kemukakan dalam masa terdekat perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sumbangan barangan makanan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Madrasah Raudhatul Muttaqin, Sentul di sini hari ini.

Sebelum ini, Zulkifli dilaporkan berkata beliau dalam proses mengeluarkan majalah khas untuk memberi penjelasan serta ulasan berhubung penggunaan vaksin dalam kalangan umat Islam sebagai usaha menangani permasalahan ummah dengan memberi kefahaman sebenarnya mengenai perkara itu.

Majalah setebal 40 muka surat itu akan diterbitkan dalam bentuk santai dan mudah difahami.

Malaysia sebelum ini dilaporkan telah memeterai perjanjian dengan fasiliti COVAX dan Pfizer untuk memperoleh vaksin Covid-19, dan hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca juga untuk tujuan sama.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM arah individu kontak rapat menteri agama jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 6 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengarahkan semua individu yang merupakan kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam majlis di institusi itu kelmarin segera menjalani ujian saringan Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah segera dan berjaga-jaga itu bertujuan bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini dan memastikan semua individu terlibat terpelihara daripada jangkitan Covid-19.

“Saya peka dan ambil maklum kebimbangan warga universiti. Namun, saya memberi jaminan kepada setiap warga dan pihak berkaitan bahawa kita juga sudah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keadaan adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Azraai berkata beliau dan semua staf yang terlibat dalam majlis itu juga menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari bermula semalam.

Menurutnya, setiap warga universiti perlu kekal tenang dan tabah dengan keadaan mencabar itu dan berdoa semoga semua pihak terlibat terus terpelihara daripada penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata UiTM juga menguruskan pelaksanaan sanitasi di premis dan kawasan berlangsungnya majlis bersama menteri itu dan meminta semua individu terlibat supaya berhubung dengan bilik gerakan Covid-19 universiti bagi menjalani saringan.

Kelmarin, Zulkifli menghadiri majlis bersama pelajar UiTM di Kampus Shah Alam bagi menyampaikan bantuan misi Musa’adah Khas Siswa.

Zulkifli menerusi hantaran di akaun Twitternya semalam mengesahkan beliau positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau turut menyeru orang ramai yang pada hadir majlis dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan segera.

Kontak rapat bermaksud mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes disahkan positif Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri agama positif Covid-19, sedang jalani rawatan

SHAH ALAM, 5 OKT: Menteri hal ehwal agama kini menjalani rawatan Covid-19 selepas disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata keadaannya bertambah baik dan berterima kasih kepada petugas kesihatan yang prihatin terhadap dirinya.

“Saya berdoa semoga Allah SWT selamatkan dan sembuhkan rakyat Malaysia yang menghidap Covid-19 termasuk diri saya. Saya sayang anda semua.

“Patuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai yang menghadiri majlis membabitkan kehadirannya antara 24 September hingga 4 Oktober supaya membuat saringan dengan segera.

Dr Zulkifli dilaporkan berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur pada 24 September lalu.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan seorang individu disahkan positif Covid-19 setelah menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober.

Ketua pengarah kesihatan berkata individu berkenaan tidak mengalami sebarang gejala ketika itu dan kini dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian serta rawatan mengikut protokol sedia ada.

“Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan calitan bagi pengesanan jangkitan Covid-19.

“Kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB: Lebih baik waspada walau ziarah raya dibenarkan

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Orang ramai dinasihat mengambil langkah berwaspada dalam sebarang urusan yang ingin dilakukan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini, walaupun ada perkara yang mendapat kebenaran pihak berwajib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dalam situasi negara yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 ini, lebih wajar jika orang ramai berhati-hati (elak) agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Contohnya, soal ziarah kubur pada hari raya. Perkara itu (ziarah kubur) tidak menjadi masalah jika orang ramai patuh SOP (Tatacara Operasi Piawai), dari segi penjarakan dengan bilangan yang tidak ramai. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri juga ada jelaskan, ianya boleh, cuma tidak digalakkan.

“Namun ia terpulang kepada arahan dikeluarkan oleh negeri masing-masing kerana jika arahan ziarah kubur itu tidak dibenarkan (di sesetengah negeri) ia dibuat dengan matlamat untuk menghindari jangkitan wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan mengenai kewajaran aktiviti ziarah hari raya serta melawat kubur ketika negara berdepan Covid-19, ketika ditemui selepas majlis sumbangan barangan keperluan asas untuk ‘JAWI Food Bank’ yang disampaikan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian di Kompleks Pusat Islam di sini.

Mengulas lanjut Dr Zulkifli berkata, jika terdapat perkara yang di antara keduanya iaitu ‘larangan dan kebenaran’ masyarakat diseru untuk memilih bersikap waspada sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sama juga dengan aktiviti berziarah mengunjungi saudara terdekat pada hari raya, walaupun ada SOP dengan jumlah ditetapkan, namun bagi mengelakkan isu-isu (lain) timbul lebih baik duduk di rumah sahaja,” katanya.

-BERNAMA