Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI peruntuk RM30 juta untuk program tanggungjawab sosial

GOMBAK, 24 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dijangka memperuntukan RM30 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata agihan diberi mengikut kategori seperti hal ehwal Islam, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukan, alam sekitar dan perayaan.

“Jumlahnya belum rasmi lagi…namun dijangka sama seperti tahun lalu sekitar RM30 juta untuk program-program CSR,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Sumbangan MBI di Surau Malabar Hidayatul Islam, Selayang di sini semalam.

Pada program itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Sekolah Taman Permata yang mengalami kebakaran, sumbangan RM20,000 kepada pertubuhan anak yatim di Kajang dan bantuan bakul makanan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sumbangan komputer lancarkan pembelajaran sekolah Kafa-i

HULU SELANGOR, 8 DIS: Pemberian komputer memudahkan pihak sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) menjalankan sesi pembelajaran dalam talian.

Wakil guru Kafa-i Kampung Batu 30 Haslinda Sapian berkata sumbangan tiga unit komputer melegakan pihak sekolah memandangkan kemudahan sedia ada semakin usang.

“Terima kasih oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berikan tiga unit komputer.

Guru Kafa Integrasi Kampung Batu 30, Haslinda Sapian

“Insya-Allah sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan urusan guru dan murid dalam pendidikan,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini pada Majlis Penyerahan Komputer Kepada Sekolah Kafa-i di Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu di sini semalam.

Ketua Guru Kafa-i Sungai Tengi Selatan Siti Zabedah Muklas pula berharap program dapat diteruskan pada masa akan datang dan lebih banyak sekolah menerima bantuan.

“Meskipun pembelajaran Kafa lebih menumpukan kepada al-Quran tetapi melalui komputer juga kita boleh menerapkan ilmu pendigitalan dalam kalangan murid,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Beri latihan kemahiran fokus selanjutnya program kebajikan MBI

PETALING JAYA, 21 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan memfokuskan kepada program meningkatkan kemahiran penduduk bagi membolehkan mereka lebih berdikari.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata inisiatif pengupayaan itu akan menjadi sebahagian daripada perancangan seterusnya di bawah program kebajikan.

Menurutnya, sebahagian daripada peruntukan RM28 juta akan digunakan bagi tujuan berkenaan susulan negara kini memasuki fasa pemulihan daripada Covid-19.

“Dalam dua tahun ini, MBI banyak beri fokus kepada program seperti pemberian bakul makanan kerana ramai tidak dapat keluar bekerja.

“Namun itu hanya sementara dan kita mahu bantu mereka untuk jangka panjang dengan beri latihan kemahiran terutamanya apabila sektor ekonomi sudah dibuka,” katanya selepas program Jelajah Prihatin Komuniti di Damansara Damai di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti syarikat swasta untuk menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan program inisiatif berkenaan.

“Kita akan umumkan program apabila semuanya sudah dimuktamadkan.

“Program pengupayaan itu akan memberi nilai tambah kepada inisiatif dilaksana agensi Kerajaan Negeri seperti Yayasan Hijrah Selangor yang membantu melahirkan usahawan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Promosi hidangan enak daerah, Tourism Selangor dan MBI bantu pengusaha

SHAH ALAM, 26 SEPT: Tourism Selangor bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mempromosi pelancongan makanan bagi membantu pengusaha makanan dan minuman (F&B) di negeri ini.

Pengurus komunikasi korporatnya Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata promosi menerusi Platform Selangor (PLATS) menampilkan hidangan enak di setiap daerah untuk menarik pengunjung melawat dan berbelanja.

Menurutnya, segmen pelancongan makanan mempunyai potensi besar dan mampu memberi pulangan lumayan kerana mempunyai pengikut sendiri.

“Contohnya kita boleh promosi hidangan di Kuala Selangor seperti nasi ambeng, selain itu buat jejak makanan bermula dari sarapan hingga makan malam.

“Promosi ini kita lakukan dengan MBI melalui PLATS, akhir November depan Tourism Selangor bakal memperkenalkan pula direktori pelancongan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara Media Selangor bertajuk ‘Apa khabar pelancongan Selangor’ pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Ahmad Nazri berkata 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor bernilai RM100 boleh ditebus menerusi platform e-dagang sedang dibangunkan pihaknya.

Jelasnya, kaedah penebusan dan pakej ditawarkan akan diumumkan dalam satu sidang media pertengahan Oktober ini.