Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan MB Selangor sempena tahun baru 2014

Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh dan Selamat sejahtera kepada rakyat negeri Selangor Darul Ehsan yang prihatin lagi budiman.

Insya-Allah, pada Selasa 31 Disember 2013, sejurus selepas jam 12.00 malam bersamaan 28 Safar 1435 Hijriah, kita di Selangor dan di Malaysia, menyambut  Tahun Baharu 2014.

Saya yakin dan percaya, rakyat Selangor khususnya sudah siap siaga bagi mengharung tahun 2014 yang dijangka menghimpit ruang kehidupan, antaranya yang pasti disebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang sekali gus meningkatkan kos sara hidup sesama kita.

khalidAntara beban yang diderita sama sejak suku akhir tahun 2013 lagi adalah kenaikan harga petrol, gula dan minyak masak. Pada awal tahun 2014 ruang beban kenaikan harga dijangka melebar meliputikenaikan tarif elektrik, harga gas, harga beras,  tiket pengangkutan awam dan  kadar tol di lebuh raya. Bahkan  kenaikan harga semuanya itu dijangka menggamit kenaikan harga rumah kediaman yang diklasifikasikan “rumah mampu milik”.

Oleh itu, di kesempatan ini, saya perlu menegaskan bahawa Pakatan Rakyat  Selangor, dengan kuasa negeri yang terhad dalam soal menentukan harga barangan keperluan dan perkhidmatan serta kediaman ini, sentiasa mengamalkan dasar kebajikan secara saksama dalam usaha memelihara kepentingan rakyat majmuk di negeri ini yang berjumlah lebih 5.6 juta orang.

Ia bermakna, peluang sama rata diberikan kepada seluruh rakyat yang menetap di Selangor bagi menikmati hasil negeri tanpa mengambil kira asal keturunan atau kedudukan mereka. Saya memberi jaminan bahawa sejak Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008, kita tidak mengamalkan  fahaman populis, sosialis dan sebagainya, sebaliknya program-program kebajikan dalam dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor adalah berterusan dan diterima baik oleh majoriti rakyat negeri ini.

Ia terbukti apabila Pakatan Rakyat mengekalkan Kerajaan Negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu, bahkan mendapat pertambahan kerusi hingga melebihi 2/3 majoriti, iaitu 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. Oleh sebab dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor diterima dan memanfaatkan rakyat maka kita mahu meneruskannya supaya pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh demi kemaslahatan rakyat dan kemakmuran negeri.

Dalam Belanjawan Negeri Selangor bagi tahun 2014, Kerajaan Negeri meneruskan perbelanjaan berimbang serta pengurusan kewangan berkelas, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.28 bilion bagi kemaslahatan rakyat dan negeri Selangor Darul Ehsan. Saya, selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, berusaha bagi memastikan semua wakil rakyat serta penjawat awam dan pimpinan masyarakat di seluruh negeri menggalas tugas dan tanggungjawab mensejahterakan rakyat Selangor ini dengan ikhlas tanpa culas.

Antara usaha Pakatan Rakyat untuk meringankan beban rakyat pada tahun 2014 adalah dengan menyediakan perkhidmatan bas percuma, mengekalkan cukai presis kediaman, menyediakan rumah mampu milik dan menambah peruntukan beberapa program dan skim yang sedia ada dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

pakatanPada masa yang sama Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahu keupayaan rakyat ditingkatkan  bukan sekadar menerima pelbagai bantuan kebajikan, antaranya menerusi pembangunan desa yang dijangka laksanakan di kesemua daerah di negeri Selangor mulai tahun 2014. Kerajaan Selangor juga menggiatkan  penyertaan golongan wanita, belia dan pesara dalam aktiviti keusahawanan dan  kreativiti lain yang dapat menjana pendapatan.

Ucapan terima kasih wajar saya sampaikan kepada rakyat negeri Selangor kerana memberi sokongan dan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk meneruskan Pentadbiran di negeri Selangor bagi penggal kedua selepas kemenangan paling bergaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. 

Dengan sokongan dan kerjasama rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dapat meneruskan kecemerlangan dalam usaha meningkatkan taraf hidup setiap rakyat tanpa mengamalkan unsur-unsur diskriminasi  menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor. Kita juga bertekad untuk mengurus sumber negeri dengan telus dan penuh integriti sebagaimana dijanjikan dalam manifesto PRU Ke-13 lalu.

Demi keharmonian yang berkekalan, saya percaya rakyat berbilang kaum dan agama sertabudaya di Selangor sedia mengambil maklum akan titah Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj  supaya setiap rakyat menghormati kebebasan beragama dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang perasaan marah atau berlakunya perkara tidak diingini.

Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan bahkan selaridengan peringatan Allah dalam surah al-Hujarat, ayat 13, agar setiap kaum yang berlainan bangsa dan budaya saling mengenal dan hormat menghormati, demikian juga firman Allah dalam surah al-An’am, ayat 108, yang melarang  umat Islam  menghina atau mencerca berhala dan sembahan agama-agama selain Islam.

Akhir kata, saya bagi pihak barisan pemimpin Kerajaan Negeri Selangor dan kalangan penjawat awam mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakyat, sama ada warga jati  Selangor ataupun warga negeri lain dan pekerja asing, kerana kesediaan bekerja bersama saya dan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor dalam tempoh penggal kedua ini bagi meneruskan kecemerlangan demi kesejahteraan dan kemakmuran.

Marilah berdoa semoga Allah Subhanahuwataala sentiasa memberi petunjuk, perlindungan dan keberkatan terhadap usaha kita semua bagi meneruskan kemajuan di samping mengukuhkan perpaduan di negeri Selangor Darul Ehsan di sepanjang tahun 2014, dan tahun-tahun berikutnya.

Sekianlah sahaja,  dan terimalah ucapan ikhlas;  “Selamat Tahun Baharu 2014”.

Wassalamualaikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh, Salam Ceria dan Salam Perpaduan.

* Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor

Categories
SELANGOR

Mahkamah tolak saman pemilik tanah terhadap MB Selangor

mahkamah

SHAH ALAM 22 OKT : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman difailkan dua pemilik tanah terhadap Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan lima lagi berhubung dakwaan pengambilalihan tanah di Ijok.

Memetik laporan Bernama, Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop membuat keputusan itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan Abdul Khalid untuk membatalkan saman berkenaan.

Beliau membuat keputusan dengan kehadiran peguam B Thangaraj mewakili dua plaintif iaitu LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd serta Penasihat Undang-undang Negeri, Ahmad Fuad Othman mewakili Abdul Khalid juga enam lagi defendan.

Dua pemilik tanah terbabit memfailkan saman itu dengan menamakan Abdul Khalid, Kerajaan Negeri, pengarah Tanah dan Galian negeri, pendaftar hak milik tanah negeri, pentadbir tanah Kuala Selangor dan Perbadanan Menteri Besar sebagai defendan, pada 21 Februari lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan sedar hartanah terbabit diberi hak milik kepada mereka bagi melaksanakan projek bersepadu Revolusi Hijau Bukit Cerakah dan projek pembangunan perniagaan lain.

Mereka memohon perisytiharan bahawa keputusan defendan untuk menuntut tanah itu pada 2011 dan 2012 adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak mempunyai kesan perundangan. -NFN-

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Penyusunan air selesai Disember -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 12092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penyusunan semula industri air di Selangor akan diselesaikan sebelum 31 Disember tahun ini setelah Kerajaan Negeri mendapat pengesahan daripada Kerajaan Pusat kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

2. Pengguna Lembah Klang yang terjejas akibat gangguan bekalan air digalak memfailkan tuntutan terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Tribunal Tuntutan Pengguna kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

3. Kemelut pelajar universiti tidak akan diberikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ekoran badan itu gagal mengutip semula hutang perlu ditangani dengan segera, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali

4. Kerajaan Negeri memaklumkan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat berhubung pembinaan rumah teres seperti yang dijanjikan kepada 400 penghuni sementara di Pangsapuri Kos Rendah Taman Permata, Dengkil, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

5. Adun Taman Medan Haniza Talha kecewa dengan birokrasi pihak atasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) yang masih belum membuat keputusan berhubung penyertaan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) Kemas dalam Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS).

6. Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah membidas mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi keterangan yang mereka sifatkan bohong kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja Berhubung Pendatang Asing Sabah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Syabas gagal lagi – MB

air-syabas_MBaSHAH ALAM 28 OGOS : Kegagalan berulang terhadap operasi Rumah Pam Wangsa Maju adalah bukti nyata bahawa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak cekap mengurusan bekalan air di Selangor, ujar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian membidas kegagalan Syabas memastikan operasi rumah pam yang telah dipulihkan itu beroperasi dengan lancar sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di Cheras dan Bandar Tun Razak.

Menurut Khalid Ibrahim, sejak kejadian henti tugas rumah pam untuk kerja-kerja pemulihan pada Julai 2012, lebih sepuluh kali berlaku kejadian gangguan bekalan air kerana kegagalan fungsi.

“Walaupun beberapa langkah pemulihan telah dipersetujui untuk dilaksanakan Syabas, namun sehingga hari ini operasi Rumah Pam Wangsa Maju sering kali gagal dan menyebabkan gangguan bekalan air,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan SUK di sini sejurus selesai mempengerusikan Majlis Mesyuarat Exco Negeri petang tadi.

Kerajaan Negeri awal tahun ini menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor bagi menyiasat punca kegagalan Rumah Pam Wangsa Maju.

Hasil siasatan mendapati Syabas gagal menyelenggara aset dan kemudahan bekalan air bermula dari 1 Januari 2005 seperti di dalam perjanjian konsesi, gagal mengenal pasti kerosakan pam-pam yang terdapat di rumah pam sehingga menyebabkan kerosakan lebih serius, gagal mengambil tindakan segera dalam membaik pulih kerosakan pam serta gagal memaklumkan kejadian sebenar kepada Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan kejadian sama daripada terus berulang, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri kini mengambil langkah mengarahkan pembuat pam untuk membaiki kerosakan.

Kerajaan Negeri akan menanggung kos baikpulih.

Beliau juga menyeru Kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses rundingan pengambilalihan bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengambil alih proses pengurusan dan operasi Syabas.

“Ini bagi memastikan hak pengguna lebih terjamin untuk mendapatkan bekalan air terawat yang lebih cekap, tanpa gangguan kerana kelemahan pengurusan dan pada kadar tarif yang munasabah,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB Jumpa Persekutuan Minta Sumbangan Untuk Rakyat P. Klang

northport cranes 01

SHAH ALAM, 17 JUN: Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negara (UPEN) bagi membincangkan sumbangan  hasil cukai yang dikutip Jabatan Kastam kepada penduduk Klang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sumbangan itu akan membolehkan penduduk Pelabuhan Klang menikmati kemudahan prasarana yang lebih baik setanding dengan imej Klang sebgai sebuah bandar pelabuhan.

“Kita ada membuat beberapa langkah untuk berbincang dengan UPEN untuk menerangkan kepada mereka sumbangan Daerah Klang kepada ekonomi Selangor dan Malaysia.

?(Kita) minta sebahagian dari hasil yang didapati oleh pihak kastam di pelabuhan Klang digunakan secara bajet untuk pembaikan prasarana atau infrastruktur di Klang,” beliau berkata di dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata perjumpaan tersebut bakal dilakukan selepas sidang pertama Dewan Rakyat.

Selain itu Abdul Khalid juga akan membincangkan tentang kesepakatan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk pembangunan semula Zon Perindustrian Bebas (FTZ) agar lebih berdaya maju.

Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Abdul Khalid berkata beliau akan meminta sumbangan tiga peratus daripada hasil kutipan cukai dan pulangan yang diperoleh oleh operasi Pelabuhan Klang untuk digunakan di kawasan itu.

Ini kerana masyarakat Pelabuhan Klang terpaksa menanggung pelbagai kesukaran akibat jalanraya kawasan tersebut merupakan laluan utama lori-lori kontena pergi dan balik ke Pelabuhan Klang.

Antara kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat Pelabuhan Klang termasuklah, berisiko tinggi kemalangan, kerosakan jalan raya dan pencemaran alam sekitar.

Menurut beliau,  Lembaga Pelabuhan Klang  yang mengaut keuntungan kira-kira RM 1 bilion setiap bulan wajar memberi sumbangan bagi membiayai pembangunan dan membaiki prasarana termasuk membaiki jalan-jalan rosak.

Ketika itu Abdul Khalid turut berkata, beliau akan menuntut kira-kira tiga peratus royalti dari hasil keuntungan tersebut bagi pihak masyarakat Pelabuhan Klang.