Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

MB: Penduduk dinasihat berpindah hingga hasil kajian tanah runtuh diperoleh

HULU SELANGOR, 12 MAC: Dato’ Menteri Besar sekali lagi menasihatkan penduduk di Taman Bukit Permai 2, Ampang supaya segera berpindah buat sementara waktu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata permintaan itu dibuat kepada 48 penghuni unit kediaman di kawasan tanah runtuh berkenaan.

“Tempoh perpindahan tidak lama kira-kira tiga hingga empat hari atau maksimum lima hari, sehingga kita memperoleh kebenaran daripada pihak terbabit mengenai tahap keselamatan cerun yang runtuh.

“Jika kajian mendapati ia selamat untuk diduduki, mereka boleh balik ke kediaman masing-masing dan operasi pemulihan di lokasi tanah runtuh akan dijalankan segera.

“Bagaimanapun, saya minta mereka mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya mahu terus berada di rumah masing-masing kerana lokasi itu masih berisiko,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu kajian oleh Jabatan Kerja Raya, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berhubung insiden itu.

“Mereka meminta tempoh tiga hari dan selepas itu kita akan meneliti tindakan selanjutnya, termasuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan cerun yang tidak dapat dilakukan sekarang.

“Mengenai 150 cerun yang dikenal pasti berisiko berlakunya tanah runtuh, perkara ini akan dibincangkan seperti isu menangani banjir. Kita dalam proses memantau cerun-cerun dan bagaimana hendak menanganinya khusus ketika berdepan dengan perubahan iklim serta cuaca tidak menentu,” katanya.

Semalam, selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi tanah runtuh, Amirudin memaklumkan tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau pembalakan berlaku.

Kejadian di Taman Bukit Permai 2, Ampang itu meragut empat nyawa manakala seorang mangsa cedera ringan, selain mengakibatkan 15 rumah dan 10 kenderaan terjejas.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Lebih 100,000 keluarga terkesan bah dapat bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 28 FEB: Seramai 114,081 keluarga terjejas banjir Disember tahun lalu menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 setakat jam 10 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan daripada Kerajaan Negeri itu membabitkan peruntukan berjumlah RM114.211 juta termasuk agihan RM130,000 kepada 13 waris korban.

Berdasarkan perkongsian infografik di Facebook, daerah Klang adalah lokasi penerima sumbangan paling ramai iaitu 60,427 isi rumah diikuti 20,948 penduduk Petaling dan 10,904 di Kuala Langat.

Turut menerima sumbangan sama 7,834 keluarga di Hulu Langat diikuti Sepang (6,878), Kuala Selangor (5,915), Gombak (1,041), Hulu Selangor (94) dan Sabak Bernam (40).

Keluarga mangsa di daerah Klang juga paling ramai menerima sumbangan RM10,000 iaitu enam waris diikuti Sepang (tiga), Hulu Langat (dua) dan satu masing-masing di Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Pengganti EXCO masih dibincangkan

SHAH ALAM, 9 MAC: Pakatan Harapan akan berbincang untuk menentukan calon bagi menggantikan Datuk Abdul Rashid Asari yang digugurkan sebagai EXCO negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses itu mengambil masa dan ia perlu dibuat secara tertib bagi memastikan penggantinya mampu menjalankan tugas sebagai satu pasukan.

“Kita terpaksa ambil masa dan kita buat secara tertib. Bagaimanapun, saya ingin bekerja dengan mereka yang boleh bekerja dan sebagainya.

“Bukan bermaksud kalau tidak terpilih tidak boleh bekerja tetapi kesepakatan dan juga perkenan pelbagai pihak itu harus dilaksanakan. Kita ada masa lagi insya-Allah,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak hari ini.

Pada 5 Mac pentadbiran Kerajaan Negeri tidak lagi dianggotai Bersatu selepas mengambil kira dinamik politik semasa pada peringkat Persekutuan.

Keputusan tersebut bagi menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya kestabilan dan perpaduan negeri dikekalkan.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB tekad hormati mandat rakyat Selangor

SHAH ALAM, 25 FEB: Dato’ Menteri Besar dan pentadbiran Selangor berikrar untuk terus menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda yang bermanfaat kepada negeri dan rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari, yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, menyatakan tekad itu selepas mengetuai rombongan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat negeri Selangor pada pilihan raya umum 2018 yang lepas dan Tuanku memberi perkenan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berfungsi dan berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir di Istana Bukit Kayangan di sini, Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Pengerusi AMANAH Selangor Ir Izham Hashim.

Berikut kenyataan penuh Dato’ Menteri Besar:

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah memberi perkenan kepada saya selaku Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, YB Gobind Singh Deo, Pengerusi DAP Selangor dan YB Ir Izham Hashim, Pengerusi AMANAH Selangor menghadap di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pagi ini.

Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Negeri Selangor pada Pilihanraya Umum 2018 yang lepas dan Tuanku memberi perkenan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berfungsi dan berjalan seperti biasa.

Terdahulu saya telah bermesyuarat dengan pengerusi parti-parti komponen kerajaan termasuk YB Dato’ Abdul Rashid Asari selaku Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor bagi membincangkan hala tuju Selangor.

Justeru pentadbiran ini berikrar untuk kekal menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda yang bermanfaat untuk negeri dan rakyat Selangor seluruhnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sedia teroka projek pemasangan paip di Jakarta

SHAH ALAM, 7 NOV: Selangor sedia meneroka peluang melibatkan diri dengan projek pemasangan paip di Jakarta melalui anak syarikat Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Gabenor Jakarta sebelum ini pernah menyatakan perasaan kagum terhadap sistem bekalan air yang terdapat di Selangor.

“Saya juga sedia meneroka cadangan Gombak Setia supaya anak syarikat kita bergerak ke serantau dan ini antara butiran yang saya bincangkan dengan Gabenor Jakarta sewaktu pertemuan.

“Mereka cukup tertarik dengan tiga elemen yang kita ada iaitu Negeri Pintar yang juga sedang dirancang di Jakarta, pembangunan perumahan oleh anak syarikat kita, PKNS yang berpengalaman 55 tahun dan perancangan bekalan air yang diuruskan di Selangor

“Perancangan bekalan air yang diuruskan di Selangor walaupun ada kelemahan tetapi kalau kita bandingkan dengan Jakarta sebagaimana disebut Gombak Setia yang mana bekalan airnya sekitar bawah 60 peratus daripada keseluruhan,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, walaupun masih diperingkat awal tetapi tidak mustahil boleh dilaksanakan.

Categories
SELANGOR

MB zahir ucapan takziah pemergian bekas presiden Indonesia

SHAH ALAM, 11 SEPT : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga presiden ketiga Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie yang meninggal dunia di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto, hari ini.

Amirudin menerusi laman sosialnya turut mendoakan allahyarham yang berusia 83 tahun itu dicucuri rahmat dan dikurniakan husnul khatimah.

“Menerima khabar duka dari seberang atas kembalinya ke rahmatullah Bapak BJ Habibie, sebentar tadi.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat,” tulisnya.

Terdahulu dilaporkan anak lelakinya, Thareq Kemal yang dipetik media tempatan memberitahu bekas presiden itu meninggal dunia jam 6.01 petang waktu Indonesia Barat, selepas menjalani rawatan intensif oleh pasukan Doktor Kepresidenan Indonesia selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 1 September lalu.

BJ Habibie adalah Presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Okt 1999.

Sebelum ini, pada Mac 2018, BJ Habibie juga menjalani rawatan intensif di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan ‘asphyxia’.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor salur RM7.24 juta kepada JKR

GOMBAK, 11 SEPT: Kerajaan Negeri menyalurkan sejumlah RM7.24 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk agihan tender kepada 172 projek kontraktor kecil (G1) bumiputera bagi kerja penyelenggaraan infra di bawah jalan negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program tender terbuka itu julung-julung kali diadakan bagi membantu kelangsungan dan pembangunan bumiputera.

Katanya, tender terbuka itu membabitkan kerja pembaikan jalan, pemotongan pokok, pemasangan bonggol, penyelenggaraan longkang dan yang berkaitan dengan tender bagi setiap projek di bawah RM50,000.

“Kerajaan Negeri menyedari kekangan dan kesukaran dihadapi kontraktor bumiputera dalam saingan kerja industri pembinaan yang kompetetif ketika ini.

“Pembabitan kontraktor bumiputera dalam pelaksanaan kerja berskala kecil ini akan dapat memantapkan pengalaman dan kepakaran kontraktor.

“Saya yakin peluang yang disediakan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka bagi memajukan syarikat dan diri supaya mencapai prestasi yang setanding kontraktor lain di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Kerja Undi G1 JKR Selangor 2019 di JKR Gombak, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKR Selangor, Ir Rozita Mat Senapi dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang, Salehuddin Amiruddin; ADN Hulu Kelang, Saari Sungib; serta ADN Taman Templer, Sany Hamzan.

Pada masa sama, Amirudin peruntukan yang disalurkan itu menggunakan peruntukan sedia ada tanpa membabitkan peruntukan tambahan.

Katanya, ia adalah hasil dari penjimatan yang dilaksanakan oleh JKR Selangor dan disokong di peringkat daerah.

“Kita tidak menolakuntuk menyediakan peruntukan tambahan jika perlu kerana kemudahan infrastruktur adalah satu keperluan.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada statusnya, jika kritikal kita akan beri keutamaan,” katanya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor pertama guna kaedah sains sukan, tubuh pusat latihan sukan daerah

BANGI, 10 OGOS: Selangor merupakan negeri pertama yang menggunakan pendekatan sains sukan pada sekitar tahun 2006 hingga 2007 dalam membangunkan muda atlet negeri itu.

Bagaimanapun, Institut Sukan Negara (ISN) selepas itu mula menggorak langkah menggunakan kaedah sama sebelum berkembang ke negeri-negeri lain.

Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari berkata, Selangor kemudiannya pada tahun 2015 memperkenalkan pusat sukan di setiap daerah bagi mencungkil bakat baharu.

“Ketika itu kita mempunyai kelebihan tetapi keistimewaan kita tiada lagi selepas ISN turut menggunakan kaedah sama.

“Oleh kerana itu, pada tahun 2015 ketika saya menjadi EXCO Sukan, kita ketengahkan idea pembukaan pusat latihan sukan daerah ketika negeri lain pembangunan bakat masih tertumpu di pusat sukan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) Ke-13 di RHR Hotel Uniten Bangi, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kejayaan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mewujudkan pusat-pusat latihan sukan di kesemua sembilan daerah telah membuka peluang atlet untuk mengembangkan bakat sambil dibimbing jurulatih berpengetahuan dan berpengalaman.

Amirudin berharap lebih banyak penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan untuk membantu menggilap bakat-bakat baru di peringkat akar umbi.

“Mengekalkan kecemerlangan sukan bukan mudah kerana bukan sahaja melibatkan atlet tetapi semua pihak seperti sekolah, kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Azmin dan lima menteri daripada Selangor pengiktirafan besar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 23 JUN: Pelantikan enam Menteri Kabinet daripada Selangor disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap pilihan rakyat Selangor yang memberi mandat besar kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini termasuk pelantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dianggap sebagai pengiktirafan rekod cemerlang beliau mengemudi pentadbiran Selangor dengan.

“Menteri Besar sebelum ini, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dipilih sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebagai pengiktirafan kepada kejayaan beliau dan juga Negeri Selangor.

“Bukan itu sahaja setakat ini Selangor mempunyai enam menteri di peringkat Persekutuan di mana ini adalah satu pengiktirafan kepada kejayaan rakyat Selangor memberi mandat yang besar kepada Pakatan Harapan pada PRU14 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Negeri Sabak, Ahmad Mustain Othman di Balai Rakyat Taman Berjaya, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pada PRU14, rakyat Selangor memberi keyakinan tinggi kepada PAKATAN apabila memilih PAKATAN di 51 kerusi DUN berbanding 56 kerusi keseluruhan.

Amirudin turut meluahkan keyakinan bahawa Menteri yang dilantik akan memberi sepenuh komitmen terhadap tanggungjawab yang diberikan.

Terdahulu, selain Mohamed Azmin (Parlimen Gombak), turut dilantik adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan) sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Keluarga, Zuraida Kamaruddin (Ampang) sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Manakala Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Mohamad Sabu (Kota Raja) sebagai Menteri Pertahanan dan Gobind Singh Deo (Puchong) sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Usia muda bukan penghalang pimpin negeri emas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar yang baharu, Amirudin Shari perlu membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk memimpin Selangor terus menjadi negeri termaju di Malaysia.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pelantikan Amirudin merupakan petanda positif dan boleh mengubah presepsi serta memberi manfaat kepada anak muda, pendidikan dan wanita.

“Beliau mempunyai jiwa anak muda, ini memberi kelebihan. Selangor merupakan negeri tumpuan, jadi pelantikan ini merupakan petanda positif.

“Beliau boleh membuktikan faktor umur bukan penghalang atau permasalahan tetapi pembangunan holistik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Juwairiya berharap Amirudin dapat memberi perhatian dan meneroka pembangunan baru khususnya di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua, Amirudin Shari, 38, dipilih dan mengangkat sumpah bagi memegang jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor ke- 16.di Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula jam 10.15 pagi.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Menteri Besar Selangor baharu bakal diketahui esok?

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JUN: Teka-teki berkenaan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Selangor akan diketahui esok semasa raptai majlis angkat sumpah jawatan itu, di Istana Alam Shah, Klang.

Memetik laporan Astro Awani, mengikut beberapa sumber dalaman Pakatan Harapan (PAKATAN), antara tiga nama Ahli Dewan Negeri (ADN) yang disebut sebagai calon, bakal terjawab pada majlis berkenaan.

Sumber itu berkata, antara tiga nama yang diuar-uarkan adalah ADN Ijok, Dr Idris Ahmad; ADN Sungai Tua, Amirudin Shaari atau ADN Seri Setia, Prof Dr Shaharudin Badaruddin.

Bagaimanapun, desas desus kuat mengatakan sama ada Dr Idris atau Amirudin sahaja yang bakal menjadi pengganti Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Shaharudin mungkin tidak akan menerajui Selangor kerana beliau masih dalam sesi rawatan memulihkan diri daripada sakit.

Manakala, sebelum ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan nama Dr Idris sudah diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Amirudin dan Shaharudin adalah ahli exco pentadbiran sekarang, manakala Dr Idris seorang pakar obstetrik dan ginekologi.

Spekulasi berkenaan siapa Menteri Besar Selangor mula menjadi perbualan hangat selepas Mohamed Azmin menerima pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Perutusan Hari Wesak 2018

OLEH DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Sambutan Hari Wesak di Malaysia pada tahun ini amat istimewa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ini kerana, Hari Wesak disambut penganut Buddha dalam tempoh tidak lama selepas rakyat Malaysia bersuara menuntut perubahan.

Wesak adalah hari istimewa untuk penganut agama Buddha memperingati kelahiran, pencerahan agung dan pemergian Gautama Buddha menerusi Nirvana.

Di Malaysia, pelbagai upacara keagamaan Hari Wesak diraikan oleh penganut Buddha dengan aman dan damai.

Malah, tradisi perayaan Wesak yang berwarna-warni telah pun diangkat dan menjadi sebahagian citra tanah air ini.

Seiiring dengan semangat Wesak yang meraikan kelahiran dan pencerahan agung, ia sebenarnya bertepatan dengan kelahiran Malaysia Baharu mutakhir ini.

Kelahiran Malaysia Baharu ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa pencerahan rakyat Malaysia yang mahukan pembaharuan dan keadilan ditegakkan.

Kelahiran Malaysia Baharu dan pencerahan hebat rakyat negara ini wajar diingati dan diinsafi betapa pentadbiran yang telus dan mengutamakan rakyat perlu selalu dijunjung.

Saya mengambil keputusan untuk menggalas tanggungjawab di peringkat Persekutuan atas kesedaran mahu menyelamatkan negara ini.

Sesungguhnya, ia adalah tanggungjawab yang berat, namun perlu dipikul demi memperbetulkan keadaan negara.

Kepada penganut Buddha di Malaysia, raikanlah sambutan Hari Wesak dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Selamat menyambut Hari Wesak.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi
Menteri Besar Selangor