Categories
SELANGOR

Khalid Samad : Menteri Besar Layak Sandang Portfolio Agama

SHAH ALAM, 20 JAN : Pas Selangor faham dan akur mengapa portfolio Hal Ehwal Agama Islam digalas oleh Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim dan bukannya diberi kepada exco baru Dr Ahmad Yunus Hairi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor Khalid Samad juga berkata portfolio itu tidak semestinya secara automatik disandang oleh pemimpin daripada parti Islam itu.

Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata keputusan yang diambil oleh Menteri Besar amat tepat dan relevan pada suasana menjelang pilihanraya umum.

“Dengan mengambil kira lebih kurang tiga atau empat bulan untuk menghadapi pilihanraya seterusnya, maka keputusan Menteri Besar untuk beliau sendiri memegang portfolio Hal Ehwal Islam itu relevan kerana sebarang perlantikan baru dijangkakan sukar dan menjejaskan perlaksanaan program yang dirancang sebelum ini,” ulas Khalid ketika dihubungi.

Beliau turut memberitahu, exco Hal Ehwal Islam bukan sahaja menghadapai cabaran melaksanakan tugas berkaitan pentadbiran tetapi perlu berhadapan dengan mainan politik Umno melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Sedangkan mantan exco sebelum ini pun tidak mampu untuk menangani permainan Umno melalui kedua-dua badan agama ini.

“Jadi, Pas berpendapat lebih baik Tan Sri Khalid duduk di situ kerana percaya beliau lebih berpengalaman dan bijak menangani sebarang isu berkaitan,” Khalid berkata.

Menurut Khalid lagi, portfolio hal-ehwal Islam merangkumi berbagai aspek pentadbiran.

“Jadi kepercayaan bahawa semestinya Pas menguasai kerangka jabatan agama Islam ini harus diperbetulkan kerana Islam itu wujud dan relevan dalam mana-mana cabang sekalipun sama ada pihak berkuasa tempatan, hal pendidikan, jabatan kerja raya atau lain-lain,” ujar Khalid.

Ketika diminta mengulas tentang tindakan segelintir ahli Pas yang menentang keputusan Menteri Besar itu, Khalid dengan tenang mengatakan bahawa pandangan mereka itu tidak melambangkan pendirian pucuk pimpinan Pas keseluruhannya.

Beliau berkata satu mesyuarat peringkat negeri akan diadakan pada Selasa ini untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Kg Baru: Khalid Rangka Plan baru

KAMPUNG BARU, KUALA LUMPUR, 19 JAN: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan melakukan penyusunan semula Jawatankuasa Lembaga Pengarah Malay Agricultural Settlement (MAS) supaya ianya dapat bergerak dengan lebih tersusun dan lancar demi memastikan hak dan kedudukan penduduk Kampung Baru dapat dipertahankan.

Katanya, masalah Kampung Baru ini perlu diselesaikan dengan cara rundingan bersama supaya kuasa dan undang-undang dapat dimantapkan tanpa membelakangkan penduduk.

Malay Agricultural Settlement (MAS) telah ditubuhkan sejak sekian lama, sebelum kemerdekaan supaya dapat menjaga kepentingan tanah-tanah.

Selain Menteri Besar, MAS dianggotai 11 anggota, termasuk tujuh ketua-ketua kampung di kawasan itu dan empat anggota dilantik.

Jelas Abdul Khalid, beliau telah menyiapkan pelan pembangunan Kampung Baru sejak 20 tahun lalu. Oleh kerana tidak ada ketetapan dari segi undang-undang dan penyatuan pendapat daripada penduduk setempat maka perkara ini berlarutan sehingga sekarang.

“Saya telah diminta oleh beberapa ahli untuk campurtangan dan saya akan selidik kalau betul, kita akan campurtangan supaya diadakan perhimpunan Jawatankuasa Akta MAS. Saya akan buat mengikut lunas undang-undang bukan untuk merugikan tetapi untuk memberi kuasa kepada semua pimilik dan pewaris.

“Kita juga ada peguam termasuk peguam negeri untuk menerangkan mengapa kita mesti ada kuasa tersebut,” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan pengalaman daripada kes projek terbengkalai yang lalu akan dipraktikkan supaya dapat membantu masyarakat di Kampung Baru selain menyediakan khidmat nasihat guaman secara percuma supaya pemilik dapat maklumat yang betul.

“Negeri Selangor akan membantu penduduk Kampung Baru kerana negeri Selangor yang membuat undang-undang MAS dan ianya berkuat kuasa. Tapi bila tanah Kuala Lumpur diserahkan kepada kerajaan persekutuan, maknanya tanah itu dibawah kuasa mereka, tapi idea MAS itu masih lagi dibawah jagaan negeri Selangor. Sebab itu kita bertanggungjawab untuk membantu,” katanya di Majlis Jamuan bersama Pemilik/ pewaris tanah Kampong Bharu, Kuala Lumpur malam tadi

Sementara itu, Pengurus Pembangunan perniagaannya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Fathul Rahman Abu memberi jaminan pelan pembangunan baru dalam tempoh dua minggu daripada sekarang.

Beliau yakin satu-satunya kampung Melayu di Kuala Lumpur itu akan dibangunkan tanpa mengetepikan kepentingan penduduk.

Categories
SELANGOR

MB Selangor Telah Terima Surat Dari Hasan Ali

SHAH ALAM, 18 JAN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa beliau ada menerima surat daripada Datuk Dr Hasan Ali yang berpendapat bahawa pelantikan Dr Ahmad Yunus sebagai exco baru mungkin terlalu awal kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura PAS.

Menurut Abdul Khalid, beliau telahpun membalas surat tersebut dengan menyatakan keputusan untuk menggugurkan Hasan adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Januari lalu yang melucutkan beliau sebagai ahli PAS.

“Surat dari jawatankuasa PAS bertarikh 10 Januari 2012 telah mengesahkan keputusan pemecatan beliau berkuatkuasa serta merta dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.

Proses rayuan adalah amalan yang dipraktikkan oleh PAS sebagai sebuah parti politik dan saya percaya ia tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Justeru, Abdul Khalid berharap supaya bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dapat menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan bersikap terbuka.

Beliau dalam pada itu turut mengambil kesempatan dengan mengucapkan terima kasih di atas peranan yang dilaksanakan Hasan ketika berkhidmat sebagai ahli MMKN.

“Akhirnya kerajaan negeri amat menghargai segala nasihat dan pandangan yang diberikan DYMM Sultan Selangor dalam mengendalikan isu melibatkan pelantikan ahli MMKN ini.

Saya berharap dengan sempurnya pelantikan ini, akan menguatkan lagi barisan pimpinan negeri Selangor dalam melaksanakan reformasi pentadbiran dan pengurusan negeri,” jelasnya.

Hasan sebelum ini diminta mengosongkan jawatan exco Selangor kerana beliau telah dipecat daripada PAS pada 8 Jan dan dengan itu, tidak lagi mewakili parti berkenaan dalam kerajaan negeri.

Adun Gombak Setia itu dipecat daripada PAS kerana tindakannya yang dikatakan menyalahi dan merugikan kepentingan parti itu.

Tarikh rayuan Hasan kepada PAS tamat 7 Februari ini.

Categories
SELANGOR

Khalid: TNB Perlu Perjelas Status Bina Kabel di Cheras

/

SHAH ALAM, 17 JAN : Kerajaan Negeri akan mengadakan perjumpaan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Khamis ini bagi mendapatkan kata putus berhubung projek pembinaan kabel berkuasa tinggi di kawasan Cheras di Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya berharap satu keputusan akan dicapai menerusi perjumpaan itu supaya projek tersebut dapat diteruskan selepas beberapa siri perbincangan sebelum ini.

Menurutnya, TNB harus memberikan satu keputusan mengenai projek itu yang tidak membelakangkan kepentingan penduduk setempat.

“Minggu ini kita akan jemput pada hari Khamis pihak TNB untuk menjelaskan pendirian mereka,” katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kerajaan Negeri Selangor di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, difahamkan TNB telah membuat keputusan berbeza dari yang dipersetujui selepas mengadakan perbincangan dengan penduduk, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut.

“Saya ingin jelaskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah mengadakan beberapa perbincangan. Ia lebih kurang enam bulan dibincangkan dan kita telah meminta TNB membuat inisiatif untuk beberapa kajian tetapi hasil daripada kajian tersebut TNB bersetuju tentang jajaran yang telah kita setujui iaitu melalui bukit juga memasuki hutan simpan supaya tidak melibatkan rumah-rumah.

“Saya difahamkan bahawa hasil daripada perbincangan penduduk, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan tersebut mereka mengatakan TNB bersetuju pula untuk jajaran D (di kawasan lain). Kita akan panggil TNB betul atau tidak? Kalau betul mengapa dia…..dulu dia setuju situ tetapi kenapa (sekarang) dia setuju sini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berpendirian jelas iaitu projek tersebut dijalankan bagi menyalurkan bekalan tenaga elektrik mencukupi bagi kawasan di Lembah Klang.

Katanya, pihaknya tiada mempunyai kepentingan lain tetapi hanya berkepentingan dari segi pelaksanaannya sahaja.

Projek pembinaan kabel berkuasa tinggi oleh TNB di sekitar Cheras mendapat bantahan kira-kira 500 penduduk di kawasan berhampiran iaitu Cheras Hartamas dan Taman Bukit Segar Jaya dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Projek tersebut dibekukan sejak Oktober tahun lalu selepas Abdul Khalid mengarahkan TNB berunding dengan penduduk terlebih dulu.

 

Categories
NASIONAL

MB : Najib Terdesak Untuk Tawan Balik Selangor

SUNGAI PETANI, 14 JAN: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang semakin rancak turun bertemu rakyat di Selangor bagi meraih sokongan untuk Barisan Nasional disifatkan sebagai usaha terdesak di mana BN “hanya bermimpi dan mengigau”.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, selama lebih 50 tahun BN mentadbir Selangor mereka gagal untuk memberi keselesaan kepada rakyat namun kini mereka merayu kepada rakyat untuk kembali menyokong BN.

“Ramai pemimpin BN mengigau dan mimpi sampai PM (Najib Razak) terpaksa turun untuk minta undi BN demi perubahan. Buat apa undi semula BN, ini kerja bodoh,” katanya.

Jelas Abdul Khalid, sebagai pentadbir negeri, perkara utama adalah melaksanakan janji yang disebutkan dan bukan hanya pandai berkempen semata-mata.

“Jangan cakap banyak, kempen banyak tapi yang penting kita kena lakukan gerak kerja,” katanya di satu ceramah di Pengumpulan Hasil Pertanian, Lembah Jerai di sini malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, pengenalan dasar ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ bukannya satu slogan semata-mata sebaliknya merupakan gerak kerja yang perlakukan untuk keselesaan rakyat.

MES yang dilaksanakan sehingga kini berjaya memberikan manfaat kepada rakyat melalui program pemberian air percuma 20 metre padu, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan beberapa program lain.

Katanya, gerak kerja telus yang diamalkan pimpinan Pakatan ternyata mengakibatkan kroni Umno ‘sakit perut’ kerana gagal untuk mendapatkan projek dengan jalan mudah.

Manakala Naib Presiden Pas, Husam Musa berkata tiada alasan untuk rakyat menidakkan kekuatan Pakatan bagi mentadbir negara selepas pilihanraya umum akan datang.
“Ini bukan kempen kosong, tetapi ini telahpun dibuktikan di Selangor,”

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata rakyat perlu mengubah kerajaan persekutuan
dan melihat sejauh mana kematangan BN mengambil alih tugas pembangkang.

“Kita ubah pada PRU-13 ini. PM Malaysia Anwar Ibrahim, Najib pula Ketua Pembangkang. Kita lihat mampu atau tidak dia menggalas tugas itu.

“Sejak pembebasan Anwar dari tuduhan karut yang direka BN, ramai antara pemimpin Umno yang bercadang  untuk menyertai kita (PR), pintu kapal yang dinahodai Anwar sentiasa terbuka sebelum PRU, selepas PRU baru insaf mahu sertai perjuangan kita, ia sudah terlambat, pintu kapal sudah tertutup, biar mereka lemas dalam lautan,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh.

Manakala, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw pula berkata dalam merialisasikan hasrat Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, rakyat perlu bersiap sedia dengan mentaliti yang teguh sebagai perisai menangkis usaha jahat Umno-BN untuk mengekalkan kuasanya.

“Penduduk Selangor dan Kelantan harus diambil contoh, mereka tidak menolak pemberian gula-gula politik dari Umno-BN, tetapi apabila tiba masa pilihanraya, mereka tetap pangkah (mengundi) Pakatan Rakyat.

“Mentaliti ini membuatkan Perdana Menteri hilang idea bagaimana untuk menawan kembali negeri-negeri bawah kepimpinan Pakatan Rakyat, kerana rakyat lebih celik dan cerdik hari ini,”

 

Categories
NASIONAL

Umno Sudah Tidak Layak Mengurus DEB

ALOR SETAR, 14 JAN: Perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional merupakan contoh paling ketara kegagalan mereka untuk menggunakan kekayaan negara untuk mengangkat martabat komuniti Melayu.

Ini kerana, perlaksanaan DEB oleh Umno-BN didorong prinsip pengagihan peluang dan pinjaman perniagaan kepada segelintir kroni tanpa kerpertanggungjawaban. Ini mengakibatkan peluang-peluang tersebut disia-siakan dan duit rakyat dihabiskan tanpa menguntungkan negara mahupun orang Melayu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan pengurusan DEB oleh Umno-BN selama lebih tiga dekad telah hanya menguntungkan segelintir tauke perniagaan Melayu yang juga merupakan kroni mereka.

“Kita tidak lagi memerlukan Umno untuk menguruskan Dasar Ekonomi Baru. Kita juga menyatakan penswastaan tidak boleh menjadi asas DEB kerana ianya mencengkam rakyat.

“Kita tidak mahu lagi cara pentadbiran dikuasai oleh politik pengagihan kroni,” kata Abdul Khalid ketika membahaskan ucapan Tawaran Jingga dengan tajuk “Anti-monopoli” di konvesyen Pakatan Rakyat di sini hari.

Menurutnya, pentadbiran Pakatan yang sekarang sudah menguasai empat negeri dan bakal mengambilalih Putrajaya perlu menghapuskan program  yang tidak mementingkan rakyat sebagai usaha membetulkan kesalahan pentadbiran Umno-BN.

Beliau juga berkata ekonomi negara perlukan pertumbuhan supaya keuntungan yang diperolehi dapat diberikan kepada rakyat dan bukannya membebankan rakyat dengan hutang negara.

“Perkara terpenting dalam pengurusan ekonomi ialah membetulkan yang salah dan mengutamakan yang betul.

“Bererti kalau program itu salah dan tidak memberikan manfaat kepada rakyat kita hapuskan dan tidak membiarkan ia berlaku. Melalui perkara ini pemberian terus kepada rakyat dapat dilakukan.

“Kalau tiada pertumbuhan kita akan memberikan hutang dan hanya menambahkan masalah. Konsep yang diutarakan membangun negara supaya lebih mewah dengan asas kemewahan diagihkan kepada rakyat bukan mengambil harta orang lain dan berikan kepada orang lain,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

MB Kecekapan Mengurus Wang Perlu Ditingkatkan

PETALING JAYA, 13 JAN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi peringatan kepada pentadbiran negeri agar menguruskan kewangan dengan baik seterusnya menjimatkan wang yang diamanahkan rakyat.

Beliau menyampaikan amanat penting ini ketika menghadiri Anugerah Perdana Komuniti Mampan Petaling Jaya 2010/2011 di Hotel One World, Bandar Utama malam tadi.

“Saya ingin mengingatkan semua bahawa bukan jumlah wang yang menjadi persoalan tetapi cara perbelanjaan itu dilaksanakan dan pengurusan kewangan itu yang penting demi pembangunan,” tegas Khalid dalam ucapannya.

Khalid turut memberitahu terdapat kebocoran daripada segi penggunaan kewangan sehingga kos meningkat sehingga 30 hingga 40 peratus iaitu kira-kira RM13 hingga 15 juta kos pertambahan.

“Saya lihat ini perlu dikurangkan kerana sudah tentu kecekapan dan kebolehan sesebuah kerajaan itu diukur daripada ‘value for money’ yang diamalkan.

“Semestinya juga rakyat mengharapkan agar kita menggunakan dana yang ada dengan pengurusan terbaik,” pesan Khalid.

Sementara itu, majlis anjuran Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) menganugerahkan Anugerah Integriti Komuniti Mampan dalam 5 kategori di samping anugerah utama iaitu Anugerah Perdana.

Anugerah bagi kategori Integriti Sosial dimenangi oleh Kawasan Rukun Tetangga Damai Senja, Kejiranan Selamat pula dimenangi oleh Kawasan Rukun Tetangga Taman Kasih Indah dan Kejiranan Hijau pula dianugerahkan kepada Rukun Tetangga Flat PKNS Taman Datuk Harun.

Sementara itu, anugerah Tadbir Urus diberikan kepada Persatuan Penduduk Seksyen 21 Simpang dan Anugerah Keusahawanan dianugerahkan kepada Persatuan Penduduk Apartment Idaman Damansara Damai.

Bagi kategori utama Anugerah Perdana, tempat ketiga dimenangi oleh Persatuan Penduduk Mayang Jaya yang menerima geran pembangunan sebanyak RM10,000. Naib johan pula digondol oleh Rukun Tetangga SS2B dengan penerimaan geran pembangunan sebanyak RM 25,000 dan Johan keseluruhan yang menerima geran pembangunan sebanyak RM 50,000 jatuh ke tangan Persatuan Penduduk dan Pemilik Rumah Damansara Jaya (DJROA).

Kesemua anugerah disampaikan oleh Khalid diiringi Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman. Ini merupakan tahun kesepuluh penganjuran anugerah ini dan untuk tahun ini, penilaian telah dilakukan selama dua tahun bermula dari 2010 hingga penghujung 2011.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan oleh artis budaya MPPJ. Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan EXCO Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Masalah Sampah Selesai 24 Jam Selepas Aduan

SHAH ALAM, 11 JAN : Setiap aduan berkenaan masalah sampah yang dilaporkan ke talian bebas tol 1800-88-2824 akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, talian bebas tol itu akan mula dikuatkuasakan pada 17 Januari depan dan beroperasi seawal jam 8 pagi sehingga 6 petang.

“Selepas daripada pukul 6 petang, talian ini masih beroperasi seperti biasa tetapi ia direkodkan. Pengadu hanya perlu memberitahu di mana lokasi, masa dan sebagainya.

“Saya juga ingin meminta pengadu atau orang awam untuk memberi maklumat spesifik (lengkap) di mana berlakunya masalah kutipan sampah selain dinasihatkan untuk meninggalkan nombor telefon (pengadu) supaya pengurus pusat aduan boleh menghubungi mereka semula,” jelasnya.

Masalah pungutan sampah dan sisa pepejal di Selangor menjadi isu hangat apabila penduduk mendakwa kegagalan kontraktor menjalankan tugas selepas kerajaan negeri melalui PBT mengambilalih kerja-kerja pembersihan di negeri ini daripada Alam Flora Sdn Bhd.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini memaklumkan, perkhidmatan talian bebas tol akan membolehkan rakyat membuat sebarang aduan mahupun cadangan mengenai perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama melibatkan pengurusan kutipan sampah dan pembersihan.

Beliau berkata, talian ini akan dikendalikan oleh Pusat Aduan Pengurusan Sisa Pepejal Selangor di bawah kelolaan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Menurut Menteri Besar apabila pusat aduan ini beroperasi nanti, PBT akan dapat mengetahui peratusan aduan mengenai sampah yang diterima.

Jelasnya, dengan maklumat yang diperolehi, PBT akan menggunakan semua maklumat ini untuk membaiki dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat terutama yang melibatkan pengurusan sisa pepejal.

Langkah ini juga kata Menteri Besar, membolehkan rakyat menyalurkan maklumat berkenaan perbuatan khianat terhadap urusan sampah di negeri ini.

Sementara itu, ketika ditanya tentang bantahan yang dikemukakan Persatuan Sisa Pepejal dan Pembersihan Hulu Langat (protem) bersama 70 kontraktor lain terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana menawarkan tender baharu kepada orang luar, Ronnie berkata, perkara itu perlu dilaksanakan mengikut proses tender.

Katanya, dakwaan kontraktor terbabit bahawa tindakan yang dilaksanakan MPKj itu adalah semata-mata mahu mengambil syarikat kroni dan parti politik tertentu dan mengetepikan peranan mereka dalam urusan pungutan sampah dan sebagainya juga adalah tidak benar.

“Semua kontraktor perlu mengikuti proses tender, supaya ia adil. Saya rasa mereka bimbang mereka tidak dapat menyertai proses tender. Bagaimanapun, tidak semestinya kontraktor yang menyertai proses tender akan diberikan kontrak.

Mereka perlu mengikuti beberapa kriteria dan memberi kerjasama dengan kerajaan negeri serta PBT. Satu sistem yang adil akan dilaksanakan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB : Hasan Ali Dinasihat Lepas Jawatan Exco

SHAH ALAM 9 JAN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan Datuk Dr Hasan Ali melepaskan jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri secara sukarela.

Menurut satu kenyataan Menteri Besar berkata demikian setelah mendapat nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri telah menasihatkan bahawa Dato’ Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menggugurkan Dr Hasan sebagai ahli Exco kerana beliau tidak lagi mewakili PAS dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat,” katanya sambil menegaskan pihaknya menghormati keputusan PAS memecat Dr Hasan.

Namun begitu, Menteri Besar menyeru supaya Dr Hasan melepaskan jawatannya secara sukarela kerana adalah amat jelas beliau tidak lagi mewakili PAS.

“Saya berpendapat beliau sebagai seorang ‘gengtleman’ perlu melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat,” kata Menteri Besar.

Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga berpandangan bahawa meskipun perkenan DYMM Sultan Selangor diperlukan dalam pelantikan Ahli Exco, namun perkenan DYMM Sultan tidak diperlukan untuk pelucutan atau pengguguran jawatan Exco.

Menteri Besar akan mengadap DYMM Sultan Selangor pada Jumaat ini untuk memberi taklimat kepada baginda berhubung perkembangan terbaharu dan berbincang dengan baginda mengenai calon-calon penganti yang sesuai bagi jawatan Exco.

Categories
SELANGOR

Talian Bebas Akan Menambahbaik Sistem Kutipan Sampah

PUCHONG, 7 JAN: Talian bebas tol bagi sampah di Selangor akan menolong Kerajaan Negeri memperbetulkan kelemahan di dalam sistem kutipan sisa pepejal barunya yang dimulakan sejak tiga bulan lepas.

Talian itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi akan memudahkan penduduk Selangor membuat sebarang aduan berhubung masalah berkaitan pelupusan sisa pepejal.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan, talian itu sudah disediakan dan setelah dilancarkan kelak, penduduk boleh mengemukakan sebarang cadangan atau aduan.

“Komplen akan berlaku dalam memberikan perkhidmatan kita menerimanya sebagai satu cara yang menentukan perkhidmatan tersebut. Komplen dari pengguna memberikan gambaran pengguna terhadap perkhidmatan kita.

“Oleh sebab itu, saya tidak menghalang orang untuk komplen sebab daripada itu kita akan dapat memenangi hati pelanggan kita.

“Kalau kita berjaya menyelesaikan masalah dia, akan ingat kepada kita. Buat masa ini saya ingin pastikan sampah sarap diangkut dan dibersihkan,” katanya selepas melancarkan CIH (Malaysia) sdn bhd di sini.

Sebelum ini kerajaan negeri menamatkan perkhidmatan Alam Flora Sdn Bhd sebagai kontraktor mengutip sisa pepejal pada Ogos 2011. Tindakan itu bakal menjimatkan wang negeri sebanyak RM20 juta setahun.

Akan tetapi, sistem kontraktor baru kutipan sampah mengalami masalah kerana terdapat unsur-unsur sabotaj dan ugutan daripada pihak tidak bertanggungjawab yang merencatkan perjalanan sistem baru itu.

Talian khas itu adalah salah satu usaha untuk menambahbaikan sistem kutipan baru.

Categories
SELANGOR

Bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam Diteruskan

SHAH ALAM, 6 JAN : Kebajikan rumah ibadat bukan Islam di Selangor terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan menyalurkan bantuan kewangan kepada institusi itu.

Terbaharu, kerajaan negeri menyerahkan cek sejumlah RM252,500 kepada 28 rumah ibadat Cina, Hindu dan gereja bagi melaksanakan proses naik taraf dan kebajikan persatuan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan hadir bagi menyerahkan cek berkenaan.

Menurut Ronnie, setakat ini kerajaan negeri memperuntukkan dana kepada 200 buah rumah ibadat selain Islam dengan peruntukan sejumlah RM6 juta menerusi Belanjawan Negeri Selangor yang diumumkan Menteri Besar.

“Banyak rumah ibadat yang memerlukan dana kerana kebanyakan tokong, kuil dan gereja sudah uzur. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengiktiraf rumah-rumah ibadat yan terletak di kawasan rumah teres kerana ia mengganggu jiran tetangga.

“Tetapi kerajaan negeri faham tentang situasi ini kerana semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulu, pertubuhan rumah-rumah ibadat sukar untuk mendapat tanah daripada kerajaan.

“Oleh itu, mereka terpaksa menggunakan rumah teres sebagai tempat ibadat. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menggalakkannya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran,” jelas Ronnie kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek-cek Rumah Ibadat Selain Islam di SUK hari ini.

Hadir sama Adun Kajang, Lee Kim Sin.

Tambah Ronnie, kerajaan Selangor sentiasa memberi ruang dan peluang kepada persatuan rumah ibadat selain Islam ini untuk memohon geran tanah bagi membolehkan mereka beroperasi dengan lebih teratur dan tidak mengganggu kawasan perumahan.

Jelasnya lagi, rumah ibadat yang dibina sebelum Mac 2008 tidak diganggu atau dirobohkan, sebaliknya kerajaan negeri akan memberi masa kepada mereka untuk berpindah ke suatu kawasan yang lebih selesa.

“Mana-mana rumah ibadat yang ingin mendapatkan dana daripada kerajaan negeri perlulah berdaftar di bawah agensi yang sah, mempunyai lesen serta memiliki persatuan yang teratur dengan bilangan ahli yang mencukupi. Rumah ibadat yang tidak berdaftar dan bergerak sebagai individu tidak layak menerima bantuan,” jelasnya.

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pucuk pimpinan di Selangor pada Mac 2008, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memperuntukkan dana kepada setiap rumah ibadat termasuk rumah ibadat bukan Islam dalam Belanjawan Negeri Selangor.

Ia adalah sebahagian daripada pembaharuan yang dibawa kerajaan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan nasib rakyat yang tidak pernah dilaksanakan kerajaan Umno-BN sebelum ini.