Categories
NASIONAL

TI-M gesa SPRM siasat politik wang dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno

politik-wangSHAH ALAM 18 OKT :  Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan amalan politik wang membabitkan tiga penyandang jawatan Naib Presiden Umno.

Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar, berkata pihaknya membuat gesaan itu selepas menerima maklum balas berlakunya politik wang menjelang pemilihan Majlis Tertinggi Umno, esok.

Katanya, jumlah wang yang besar diguna dan diedarkan pada program ‘khas’ untuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membabitkan 146,000 undi bagi mengekalkan jawatan yang disandang mereka.

“SPRM harus menyiasat sama ada jumlah wang terbabit diagihkan sepadan dengan kedudukan kewangan calon berkenaan. Sekiranya didermakan kepada parti atau bahagian, adakah sumbangan itu dibayar atas tujuan membantu perniagaan,” katanya.

“TI-M juga mempersoalkan peranan SPRM dalam menangani isu politik wang yang berlaku dalam Umno kerana perkara berkenaan adalah masalah dalaman parti yang perlu diatasi segera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Akhbar berkata, masalah itu tidak boleh disembunyikan kerana membabitkan skandal wang yang besar dan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan kelangsungan politik, selain tidak adil kepada calon lain.

“Masalah politik wang akan membebankan generasi akan datang apabila terpaksa menanggung bayaran pinjaman yang tinggi dan mungkin berlarutan lebih 100 tahun, jika SPRM masih gagal menjalankan tugas mereka.

“Kami berhutang kepada generasi akan datang dengan meninggalkan legasi baik dan warisan negara yang kaya, bukan hutang negara yang besar,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

KPN perlu menjelaskan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 10102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberi penjelasan tentang kehilangan senjata api dan aset polis, bukannya menjadi anggota jawatankuasa berkenaan.

2. Senator Selangor, Dr Syed Husin Ali bersetuju sekiranya mana-mana kakitangan awam yang didapati melakukan penyelewengan ke atas peruntukan jabatan didakwa di mahkamah.

3. DAP menggesa agar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana didakwa berbohong berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adakah Menteri KDN Penjenayah?, Soal Kit Siang

lim-vs-zahid

SHAH ALAM, 6 JUN: Lim Kit Siang mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih tidak membersihkan namanya daripada tuduhan serangan yang disabitkan ke atasnya pada 2006.

Penasihat DAP itu bersetuju dengan saranan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu menggantung Zahid daripada jawatannya.

Sebelum ini, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, adalah tidak wajar meletakkan Zahid yang masih mempunyai caj saman sivil ke atasnya sebagai menteri yang mempunyai kuasa besar ke atas agensi penguatkuasaan seperti polis.

Kit Siang berkata, Najib perlu menjelaskan sama ada beliau tahu mengenai dakwaan terhadap Zahid yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Penerangan pada tahun 2006.

“Kes ini menimbulkan persoalan penting mengapa Zahid tidak pernah dikenakan oleh pihak polis bagi kesalahan jenayah serangan.

“Ini menimbulkan persoalan lagi sama ada Malaysia mempunyai ‘penjenayah’ sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Kit Siang mempersoalkan kenapa Zahid tidak diheret ke mahkamah oleh pihak polis dan disabitkan atas serangan jenayah.

Katanya, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low yang dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri perlu mengeluarkan kenyataan sama ada beliau bersetuju bahawa Zahid perlu membersihkan namanya daripada segala tuduhan yang dikenakan terhadapnya

Pada 16 Januari 2006 lalu, Zahid telah didakwa oleh ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah,41 kerana didakwa menumbuk di bahagian mata sehingga mengalami patah tulang hidung dan bengkak mata kiri bertempat di Kelab Rekreasi Country Heights, Kajang.

Zahid telah menafikan dakwaan tersebut dan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menutup kes, tetapi mahkamah menolak permohonan tersebut.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan untuk membatalkan saman sivil berkenaan dan mengarahkan Zahid membayar RM5,000 sebagai kos.