Categories
NASIONAL

Kabinet tubuh jawatankuasa teliti cadangan wujud mahkamah khas

PARIT BUNTAR, 15 JUN: Kabinet meluluskan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti semua aspek berhubung cadangan mewujudkan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.

Mujahid berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana sesuatu hukuman yang diputuskan oleh mahkamah kelak membabitkan transaksi kewangan.

“Kita perlu ada (pindaan) akta bagi Bank Negara dan KWSP kerana apabila mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas suami, macam mana Bank Negara, KWSP nak beku duit dia untuk bayar nafkah,” katanya dalam sidang media pada majlis Jamuan Aidilfitri 2019 Parlimen Parit Buntar di Dataran Kerian Permai di sini hari ini.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata perbincangan oleh jawatankuasa khas itu dijangka dapat diselesaikan hujung tahun ini.

Inisiatif penubuhan mahkamah khas itu bagi mempercepatkan masalah perkahwinan dan penceraian yang difailkan di Mahkamah Syariah selain membantu mengurangkan kes suami enggan membayar nafkah kepada isteri.

Dalam perkembangan lain, Mujahid meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan isu 10,000 kuota khas haji kerana pemberiannya merupakan hak mutlak Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud.

“Kuota itu adalah hak Raja Salman, kalau dia nak bagi dan tidak bagi itu bukan isu kerajaan baharu (sekarang) kerana kerajaan lama (Barisan Nasional) pun pada 2014 hingga 2017 tidak dapat kuota itu.

“Isu kuota haji sekarang berada di peringkat teratas iaitu pada Raja Salman dan bukan di peringkat menteri.

“Selalunya Raja Salman bagi kuota di saat akhir dan kita mendoakan kalau diberikan kuota itu akan memberi peluang kepada bakal haji yang masih menunggu giliran dan yang membuat rayuan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penganjuran majlis di rumah ibadat lain tidak salah – Mujahid

PARIT BUNTAR, 1 JUN: Masyarakat Islam di negara ini dinasihat supaya tidak fobia dengan sebarang penganjuran majlis di rumah ibadat agama lain kerana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata, majlis berbuka puasa anjuran Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Gudwara Shaib pada Selasa lepas tidak sepatutnya menjadi isu kerana tujuan utama penganjuran adalah untuk merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Malah, katanya majlis itu diadakan di kawasan dewan dan bukannya dibuat di dalam tempat ibadat itu.

“Ini bukan isu yang perlu diperbesarkan, hanya sesetengah pihak sahaja yang mensensasikan isu agama, pemikiran sempit dan perkauman. Ini dibimbangi akan mewujudkan Islamofobia,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Parit Buntar di sini, hari ini.

Selain itu, Mujahid berkata Islam tidak permah menghalang mana-mana pihak berlainan agama untuk datang dan memasuki masjid selagi mereka tidak melakukan perkara bertentangan seperti menghina.

Dalam perkembangan lain, Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar berkata, semua projek pembangunan di sekolah tahfiz dan sekolah pondok di negara ini perlu diselesaikan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Beliau berkata, kerajaan memperuntuk RM50 juta untuk sekolah tahfiz dan RM25 juta untuk sekolah pondok.

“Kalau ikut Prosedur Standard Operasi (SOP) permohonan sekolah itu hanya diberikan bagi melaksana infrastruktur termasuk untuk keselamatan, kebajikan serta kebersihan dan bukan bagi bantuan gaji atau penganjuran program.

Mengenai tindakan saman oleh penguatkuasa Majlis Daerah Kerian terhadap peniaga di pasar awam Parit Buntar, Mujahid menyifatkannya seolah-olah satu tindakan sabotaj.

“Peniaga di situ untungnya berapa sahaja dan terpaksa bayar saman RM500,” katanya yang sebelum itu melawat Pasar Awam Parit Buntar dan Pusat Pengajian Tahfiz Al Hidayah.

Baru-baru ini, peniaga di pasar itu disaman RM500 kerana meletakkan sayur di luar premis perniagaan di situ.

Mujahid berkata, anggota majlis sepatutnya prihatin dan peka serta tidak membebankan peniaga dalam keadaan ekonomi yang tidak baik sekarang.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kuota jemaah haji kekal 30,200 orang

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini menegaskan bahawa kuota jemaah haji Malaysia kekal 30,200 orang dan permohonan kuota tambahan sedang diusahakan kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, bagi kuota tambahan itu, ia tertakluk kepada budi bicara pihak kerajaan Arab Saudi untuk meluluskan.

“Pihak Arab Saudi tidak mempunyai tarikh spesifik untuk memberikan jawapan berhubung permohonan kuota tambahan itu.

“Menurut rekod TH, mereka pernah menerima jawapan berhubung kuota tambahan daripada pihak Arab Saudi semasa bulan Ramadan, Syawal, Zulkaedah malah adakala jawapan diterima ketika bulan Zulhijjah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam laman Facebook beliau bagi membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung laporan Utusan Malaysia hari ini bahawa umat Islam kehilangan kuota tambahan sebanyak 10,000 bagi menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan Arab Saudi.

“Kenyataan yang dibuat itu adalah satu fitnah berniat jahat untuk menakutkan umat Islam dan ia tidak benar sama sekali, ini kerana kuota haji yang diberi adalah kekal seperti biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan akhbar berkenaan untuk merujuk kepada fakta terlebih dahulu dan dakwaan tidak tepat yang dilemparkan kepada pihak berkuasa terutama TH yang diberi kuasa menguruskan jemaah haji akan memberi kesan kepada rakyat khususnya umat Islam.

Sementara itu, TH turut menyangkal dakwaan Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan dan meminta agar individu berkaitan berhenti daripada melakukan komen sensasi dan analisis tidak tepat yang berbaur politik yang boleh mengelirukan rakyat.

“Untuk pengetahuan umum, kuota rasmi yang diberikan pihak Arab Saudi bagi tahun ini ialah 30,200 orang. Bagi memendekkan waktu menunggu bakal haji, TH telah membuat permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah bagi musim haji tahun ini.

“Sehingga kini, pihak TH masih menunggu keputusan rasmi mengenai permohonan yang telah dibuat,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan rekod 10 tahun kebelakang, ada empat tahun iaitu 2013, 2014, 2015 dan 2016, di mana permohonan kuota tambahan yang dibuat oleh TH tidak diluluskan, jelasnya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Jangan jadikan masjid tempat tanam politik kebencian

PARIT BUNTAR, 4 MEI: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menjadikan masjid sebagai tempat untuk menanamkan politik kebencian pada bulan Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata ia perlu bagi memastikan masjid bebas daripada politik kepartian dan pengaruh yang boleh memecahbelahkan umat Islam serta memburukkan kerajaan.

“Tindakan dengan melabelkan seseorang itu sesat, kafir mengkafirkan akan kita tangani dengan tegas dan keras kerana mesjid perlu bebas daripada fahaman politik kepartian.

“Bulan Ramadan ini, kita hentikan mulut kita dengan tidak memfitnah kerana pembohongan boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti fitnah dan mengadu-domba dan memecahbelah keluarga dan semua itu perlu dihentikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jom Sambut Ramadan di pekarangan Masjid Daerah Kerian di sini hari ini.

Di peringkat negeri ini, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengeluarkan pekeliling agar masjid dan surau tidak mengadakan tazkirah pada bulan Ramadan ini.

Mujahid, yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, fitnah yang menyatakan kerajaan hari ini tidak mempertahankan Islam adalah perbuatan yang boleh menjejaskan usaha baik kerajaan dalam memartabatkan Islam di negara ini.

“Kerajaan juga sudah mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap mereka yang menghina kedaulatan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita sudah ambil tindakan dalam kes ‘posting’ menghina raja dan kes mufti kena ugut. Kita dah tangkap. Mana yang kata kita tak ambil tindakan, soal lambat atau tidak itu bergantung kepada tindakan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata kerajaan telah menambahkan peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion.

“Adakah yang saya buat ini bercanggah dan saya juga membuka ruang untuk orang mengkritik saya tetapi mereka juga hendaklah memberi ruang kepada saya untuk menjawab kritikan berasaskan fakta dan bukan emosi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah memberikan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada 30 buah masjid di sekitar daerah Kerian dengan setiap sebuah masjid menerima RM1,000 bagi program moreh atau berbuka puasa pada bulan Ramadan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemulihan banduan sebagai langkah kurangkan kesesakan dalam penjara – Liew

KUALA LUMPUR, 3 APR: Kerajaan mengambil kira pemulihan banduan khususnya pesalah dadah dalam usaha mengurangkan kesesakan dalam penjara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, cadangan itu merupakan antara langkah yang boleh diambil bagi melaksanakan pembaharuan sistem penjara dan lokap dalam negara selain meminimumkan kos pengendalian institusi penjara.

“Daripada sejumlah 66,222 banduan di seluruh negara ini, 56 peratus daripada mereka terlibat dadah. Setelah mereka kembali daripada menjalani hukuman, 99 peratus akan mengulangi ketagihan dadah ekoran stigma masyarakat yang tidak menerima mereka.

“Ini yang kita perlu atasi dengan mengubati mereka dan bukan memenjarakan mereka. Mungkin perlu ada satu pusat pemulihan utama yang memberikan kemudahan perubatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tentang perlunya pengurusan kebersihan dan kesihatan di penjara seluruh negara diseragamkan demi kebajikan banduan.

Nurul Izzah ketika menjadi tetamu program Ala Carte Pagi Bernama Radio, di sini, hari ini berkata, penyeragaman itu perlu bagi memastikan banduan mendapat akses kesihatan dan persekitaran yang bersih walaupun mereka sedang menjalani hukuman.

Beliau turut menyentuh usul persendirian mengenai pembaharuan sistem penjara dan lokap yang akan dibincangkan di peringkat dalaman sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dibentangkan di Parlimen.

Menurut Izzah, perbincangan itu akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Penjara dan dijangka diadakan Isnin depan.

Mengulas lanjut, Liew berkata, usaha pemulihan sepenuhnya banduan dapat menjimatkan kos pengendalian tadbir urus penjara dan lokap selain mengelakkan pesalah dadah kembali terlibat dengan dadah.

“Kita dapat jimatkan kos yang ditanggung kerajaan untuk membiayai banduan dan dengan penjimatan, kita mampu membina pusat-pusat pemulihan tertentu selain memberikan bantuan perubatan kepada banduan sedia ada yang menjalani pemulihan daripada ketagihan dadah,” katanya.

Liew menyerahkan kepada KDN yang mempunyai bidang kuasa bagi menguruskan perkara itu selain menyokong penuh pembaharuan sistem penjara dan lokap.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Industri halal perlu manfaatkan Revolusi Industri 4.0

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 3 APR: Industri halal masa kini perlu menggunakan landasan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang kini sedang berkembang pesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, gabungan teknologi termasuk Internet of Thing (IoT), rantaian blok (blockchain), nanoteknologi, analisis ‘Big Data’ dan teknologi mudah alih di antara sektor yang boleh diterokai bagi memantapkan industri halal.

Katanya, contohnya, melalui penggunaan aplikasi telefon mudah alih berkaitan halal banyak membantu perkembangan industri berkenaan.

“Melaluinya, pelancong mampu mencari restoran halal, masjid dan arah kiblat dengan mudah.

“Pad masa sama, pihak bertanggungjawab dalam industri halal juga boleh mengeluarkan sijil halal menggunakan teknologi blok rantaian, yang bukan hanya mengeluarkan sijil halal itu sendiri, tetapi juga menyimpan semua rekod pengeluaran dan pengedaran oleh pengeluar halal terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHas 2019) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Mujahid berkata, GHas 2019 adalah penjenamaan semula program Minggu Halal Dunia, yang menghimpunkan pemikiran dan profesional dalam industri halal dunia dianjurkan sejak 2004.

Katanya, ia adalah acara berprestij yang membolehkan industri halal dibangunkan dan menjadi penyumbang utama ke arah pembangunan satu piawaian global halal.

“Saya percaya semua perwakilan akan mendapat manfaat daripada sesi perbincangan, sesi perkongsian pengetahuan, aktiviti padanan rangkaian dan peluang perniagaan, seterusnya meningkatkan lagi industri halal dunia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Rahmatan lil alamin pendekatan kerajaan wujudkan negara rahmah

ALOR SETAR, 25 MAC: Gagasan ‘rahmatan lil alamin’ adalah satu pendekatan besar yang dibawa oleh pihak kerajaan ke arah mewujudkan sebuah negara ‘rahmah’, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, pendekatan itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14 pada 11 Mac lalu.

“Menurut baginda, usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan rahmatan lil alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar.

“Ia diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia dan seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar,” katanya ketika berucap pada Program Rahmah Peringkat Kebangsaan 2019 dan Pelancaran Kedah Bertadabbur di sini, malam tadi.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat gagasan itu, kerajaan juga memperkenalkan konsep Masjid Rahmah yang menerapkan kriteria rahmah dalam institusi masjid merangkumi aspek ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat.

Mujahid berkata, Masjid Rahmah memfokuskan ke arah meningkatkan kualiti pengurusan dan pengimarahan masjid sebagai pusat kerohanian dan sosial kepada setiap lapisan masyarakat agar peranan masjid diperluaskan kepada menyantuni masyarakat Islam dan umat manusia seluruhnya.

“Saya mengharapkan agar konsep Masjid Rahmah ini akan memperkasakan lagi peranan dan fungsi masjid merangkumi aspek-aspek utama iaitu pengurusan, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran,” katanya.

Pada program itu, beliau turut menyampaikan bantuan daripada kerajaan persekutuan bernilai RM71.8 juta kepada Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) khusus untuk manfaat pembangunan 908 sekolah tahfiz dan 158 sekolah pondok berdaftar di seluruh negara.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir; ​Mufti Kedah, Syeikh Fadzil Awang serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Datuk Abdul Rahman Ismail.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Unit pemantau isu hina Islam beroperasi 24 jam ditubuh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 MAC: Satu unit khas di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditubuhkan bagi memantau penulisan atau provokasi bersifat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di semua landasan termasuk media sosial.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, unit itu akan menerima sebarang aduan berkaitan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam sebelum membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia (SKMM).

“Meskipun JAKIM sebelum ini mempunyai Unit Kawalan Media di bawah Bahagian Penyelidikan JAKIM berfungsi memantau isu agama untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa khususnya SKMM, namun saya lihat perkara itu tidak memadai dan ia perlu diperkemaskan dengan lebih tegas supaya pemantauan secara 24 jam dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mujahid berkata, orang ramai juga disarankan membuat aduan menerusi aplikasi WhatsAap ke talian hotline 011-22334455 atau emel ke [email protected] sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau aduan yang menyentuh isu terbabit.

Beliau juga berharap supaya semua pihak dapat berganding bahu bagi menjaga dan mengekalkan keharmonian negara.

Katanya, sebagai Menteri Agama, beliau tidak akan sesekali berkompromi dengan perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

“Saya percaya, pihak berkuasa sudah melakukan tindakan sewajarnya untuk mengatasi isu ini.

“Negara kita mempunyai undang-undang. Pihak bersalah mesti dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan bertindak cepat dakwa pihak hina nabi – Mujahid

PARIT BUNTAR, 2 MAC: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sentiasa bertindak tegas dan akan mengambil tindakan pantas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menghina agama serta kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengambil contoh kes terbaharu apabila dua individu menghina Nabi Muhammad SAW yang tular di Facebook baru-baru ini, mereka didakwa di mahkamah dalam tempoh kurang sebulan.

‘Kita dah tuduh mereka (hina nabi) di mahkamah mengikut undang-undang negara, sebab kita bukan negara Taliban, orang yang didakwa itu diberikan hak untuk mendapatkan pembelaan dan jaminan apabila dituduh di mahkamah,” katanya semasa menutup Karnival Rahmah dan Ramah di pekarangan Surau Sungai Betul Bawah di Bagan Tiang dekat sini, lapor BERNAMA.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menyangkal dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya Peguam Negara, Tommy Thomas mempengaruhi pihak pendakwa raya membebaskan seorang individu dengan jaminan selepas didakwa.

“Selepas itu, mereka kaitkan pula dengan kenyataan Peguam Negara yang kononnya mengatakan ini adalah kebebasan memberi pandangan, namun hakikatnya dia (Tommy) tidak keluarkan kenyataan itu. Mengikut ‘rule of law’, apabila seseorang itu didakwa, dia akan diberi hak untuk pembelaan dan ketika itu dia ada hak diberikan jaminan,” katanya.

Pada 27 Febuari lalu, seorang lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sin Wai ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW, namun dibebaskan dengan jaminan polis tiga hari kemudian, dan terdahulu, tindakan lelaki itu memuat naik karikatur menghina perkahwinan Rasulullah dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh negara.

Categories
SELANGOR

Sultan terima RM49.3 juta untuk guru, pegawai masjid Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini berkenan berangkat menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Selangor berjumlah RM49.36 juta.

Peruntukan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu diadakan di Istana Kayangan Shah Alam Selangor di sini, hari ini.

Jumlah itu membabitkan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi bayaran imbuhan Imam, elaun Guru KAFA dan Guru Takmir Negeri Selangor 2018 sebanyak RM41,508,084.00 dan bayaran khas ‘one-off’ Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Selangor 2018 sebanyak RM7,854,000.00.

Bayaran ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mengenai bayaran khas one-off sebanyak RM1,500 kepada imam, bilal, siak/noja/merbot, guru KAFA dan guru takmir.

Bayaran dibuat dua kali iaitu RM1,00o pada awal 2018 dan RM500 ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri 1439H.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),
Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Bin Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB seru tingkat usaha perangi penyalahgunaan dadah

mb khalid ibrahim etika golf 01

SUBANG JAYA 28 OKT – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta supaya berusaha keras bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

Abdul Khalid berkata, kerjasama semua agensi yang terbabit dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia bebas dadah, menjelang 2015.

“Masa terlalu singkat dan saya akan meminta Exco kerajaan negeri bersama Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, Dr Abdul Rani Osman untuk bekerja keras bagi memberi sokongan kepada usaha pelaksanaan membanteras dadah dan menjadikan Malaysia bebas daripada gejala itu.

“Sewajarnya kita berganding bahu dan memberi sokongan, khususnya kepada usaha mencegah, memerangi dan membanteras dadah di Selangor dan Malaysia,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberi ucapan di majlis makan malam sempena Perhimpunan Agung Tahunan PEMADAM Ke-38 di Hotel Summit, USJ, di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Yang DiPertua PEMADAM Kebangsaan, Datuk Mohd Johari Baharum; Ahli Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail dan Dr Abdul Rani serta lebih 5,000 ahli PEMADAM seluruh negara.

Pada masa sama, Abdul Khalid menyatakan rasa yakin terhadap PEMADAM Selangor yang sentiasa berusaha memastikan penyalahgunaan dadah dapat dikawal dan dibanteras.

Katanya, statistik penyalahgunaan dadah di Malaysia menunjukkan masalah berkenaan meningkat dan membawa petanda yang tidak sihat.

“Berdasarkan statistik, sekitar 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar di negara ini terbabit dengan masalah disiplin, termasuk gejala dadah, daripada Januari hingga Jun 2011.

“Manakala, seramai 4,474 kanak-kanak berumur seawal tujuh tahun ditahan dalam pelbagai kes jenayah termasuk 1,847 orang adalah murid sekolah.

“Laporan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapati seramai 137 pelajar Instituti Pengajian Tinggi (IPT) terbabit dalam penyalahgunaan dadah, khususnya di Selngor, bermula Januari hingga April lalu,” katanya.

-NFN-

Kerajaan digesa siasat kehilangan RM2 bilion hasil cukai akibat penyeludupan rokok

Nga Kor Ming rokokKUALA LUMPUR 23 OKT : Kerajaan Pusat digesa meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas kes penyeludupan rokok kerana negara kehilangan hampir RM2 bilion hasil cukai duti dalam tempoh setahun.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, berkata kehilangan itu tidak termasuk kerugian cukai akibat penyeludupan minuman keras ke dalam negara yang dijangka lebih besar daripada jumlah berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan penyelidikan British American Tobacco Co, Malaysia mempunyai kadar penyeludupan rokok tertinggi di dunia iaitu satu pertiga rokok di pasaran adalah hasil produk daripada lambakan aktiviti penyeludupan secara haram.

“Memandangkan harga rokok di pasaran RM12.50 sekotak, ramai perokok memilih untuk menghisap bahan yang diseludup masuk kerana dianggap lebih murah walaupun menjejaskan kesihatan mereka.

“Fenomena itu jelas membuktikan langkah kerajaan menaikkan duti cukai sama ada rokok atau arak adalah kurang berkesan dalam mengawal kegiatan penyeludupan membabitkan barangan berkenaan,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Kor Ming berkata, harga rokok yang mahal secara tidak langsung mempergiat lagi aktiviti penyeludupan hingga menyebabkan pengguna dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat kelemahan pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Katanya, kerajaan disaran supaya menempatkan ejen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di setiap agensi penguatkuasaan bagi mengatasi masalah terbabit.

“Berdasarkan kepada pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Robert Low, kerajaan akan mengupah 500 pegawai integriti mulai tahun depan untuk ditempatkan di agensi kerajaan.

“Bagi membanteras kegiatan penyeludupan, badan penguatkuasa undang-undang harus diberi keutamaan menerima penempatan pegawai terbabit sebagai semakan dalaman supaya mereka dapat memberi maklumat berguna bagi mencegah kegiatan penyeludupan yang kian membimbangkan,” katanya.

-NFN-