Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan masih teliti cadangan ambil alih pegangan Khazanah dalam PLUS

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kerajaan masih meneliti cadangan yang diterima untuk pengambilalihan pegangan Khazanah Nasional Bhd sebanyak 51 peratus di dalam PLUS Malaysia Bhd, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed zmin Ali.

Beliau berkata, kerajaan sedang menimbangkan kesan daripada pengambilalihan PLUS dari segi implikasi kewangan bagi melaksanakan tanggungjawab kepada pengguna jalan raya untuk mengurangkan kos menggunakan lebuh raya.

“Antara langkah yang kita fikirkan ialah kita boleh kurangkan kadar tol ataupun adakah boleh kita hapuskan tol dalam masa terdekat kerana kalau kita nak rujuk kepada manifesto (Pakatan Harapan), ia tidak dinyatakan begitu.

“Manifesto jelas menyatakan kita akan bincang secara berperingkat dengan syarikat konsesi. Semua ini masih dalam pertimbangan kerana kita tidak mahu membebankan kedudukan kewangan kerajaan, sementara memberikan bantuan kepada rakyat dan pengguna lebuh raya,” katanya kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita bahawa Kementerian Kewangan akan mengambil alih pegangan Khazanah di dalam PLUS.

Menurut laporan berita, Kementerian Kewangan (MoF) dipercayai berminat mengambil alih pegangan Khazanah dalam PLUS berikutan Putrajaya mahu mencegah aset penting itu daripada jatuh ke tangan syarikat swasta.

Memetik sumber, laporan berita itu berkata MoF akan membeli pegangan dalam konsesi lebuh raya terbesar negara itu dan mengekalkan aset itu dalam pegangan sektor awam, manakala cadangan pengambilalihan itu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam waktu terdekat untuk dibincangkan.

Azmin berkata beliau masih belum melihat cadangan yang dibuat oleh MoF.

“Kita belum buat keputusan sebab sekarang (PLUS) dimiliki oleh Khazanah sebanyak 51 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak 49 peratus. Dari segi teknikal, kedua-dua ini adalah cabang pelaburan kerajaan, jadi kita melihat bagaimana mereka boleh membantu mendukung dasar kerajaan untuk mengurangkan tol lebuh raya yang berkenaan.

“Saya masih belum melihat cadangan (dibuat oleh MoF) kerana saya percaya perkara ini diteliti oleh Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Putrajaya sebelum ini mengesahkan ia menerima empat tawaran rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS iaitu Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia tingkat pertanian, kekal momentum sektor industri – Azmin

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Malaysia sedang melakukan pengubahsuaian struktur dalam hala tuju ekonomi dengan fokus utama meningkatkan sektor pertanian dan mengekalkan momentum dalam pembangunan sektor industri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor pertanian akan menjadi sangat penting dalam membawa ekonomi negara ke peringkat seterusnya.

“Secara amnya, jumlah kes kemiskinan adalah lebih tinggi di negeri-negeri yang ekonominya berasaskan aktiviti pertanian.

“Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan membetulkan ketidakseimbangan dalam pembahagian kekayaan dan mengurangkan perbezaan antara kelas pendapatan, kumpulan etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.

Mohamed Azmin menyampaikan ucapan pada perbincangan panel ‘Pengawasan Alam Sekitar dalam Menangani Kemiskinan untuk Mencapai Pembangunan Mampan’ di luar Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, semalam.

Beliau berkata sebagai permulaan, Malaysia perlu melakukan penyelidikan dan pembangunan terperinci dalam pertanian campuran supaya sektor pertanian tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil getah dan kepala sawit sebaliknya memperuntukkan sebahagian tanah untuk pengeluaran tanaman kontan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga yang mendapat permintaan di peringkat global.

Import makanan Malaysia pada 2018 berjumlah lebih daripada RM50 bilion dan berkembang tahun demi tahun.

Pisang, kelapa, cili, jagung, halia dan cendawan adalah antara contoh tanaman yang diimport Malaysia ketika ini dan ia boleh digantikan dengan pengeluaran daripada ladang tempatan.

Beliau berkata, petani yang memiliki dua atau tiga ekar tanah tidak mampu untuk memperoleh pendapatan mencukupi bagi menampung hidup, oleh yang demikian, pendekatan baharu yang menggabungkan ladang-ladang kecil yang diuruskan dengan cekap akan menjana pendapatan lebih tinggi untuk petani.

Mohamed Azmin juga menekankan bahawa peningkatan sektor pertanian menerusi pertanian pintar adalah sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.

Oleh itu, beliau berkata penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, automasi, analisis data raya, dron dan robotik akan menyediakan asas kukuh dalam pertanian tepat.

“Ini memerlukan modal insan berkemahiran tinggi seperti pengurus ladang yang disahkan secara profesional yang dapat memaksimumkan pengeluaran serta menguruskan ladang dengan cekap.

“Ia juga mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi baharu yang sangat penting dalam meningkatkan sosioekonomi tenaga kerja dalam bidang pertanian yang menjadi salah satu cara untuk meningkatkan kuasa membeli mereka,” katanya.

Menteri itu juga memberi jaminan pendekatan yang sama akan diambil dalam semua bidang ekonomi, dengan mengukuhkan asas ekonomi Malaysia dan sentiasa teguh mencapai pembangunan mampan untuk semua dalam menangani kemiskinan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia-Singapura kukuh hubungan, tingkat libat urus Asia Tenggara

SINGAPURA, 22 SEPT: Malaysia dan Singapura akan terus memperkukuh hubungan dua hala selain mempertingkat usaha libat urus dengan rantau Asia Tenggara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita yakin dapat memanfaatkan potensi ekonomi ASEAN secara bersama,” katanya menerusi hantaran pada akaun rasmi Twitter beliau hari ini, bersempena lawatan kerjanya selama dua hari ke republik itu.

Pada hantaran sama, Mohamed Azmin turut menyertakan gambar beliau bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat yang menjadi hos pada majlis makan tengah hari di Singapore Botanic Garden.

“Kita telah mengadakan perbincangan yang produktif serta berpotensi mengenai cara untuk mencatat kemajuan di masa depan,” katanya.

Mohamed Azmin turut berkongsi penghargaannya di atas penglibatan dan pertukaran pendapat menarik dengan Heng yang disifatkan beliau sebagai “penuh bersemangat dan idea bagi meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Singapura.”

“(Lebih-lebih lagi) kita adalah jiran terdekat di antara satu ssama lain. Adalah menakjubkan bagaimana pertemuan secara santai adakalanya dapat mencetuskan libat urus produktif jika perhubungan itu berteraskan rasa saling percaya dan pemahaman bersama,” katanya yang tiba di negara itu sejak semalam.

Terdahulu, pada 19 September lepas, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, dalam lawatan kerja itu, Mohamed Azmin akan menemui anggota kanan kerajaan Singapura bagi memperkukuh hubungan dua hala.

Beliau juga dijadual menemui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri republik itu, Chan Chun Sing di luar acara Formula Satu (F1) Grand Prix Singapore Airlines Singapura 2019.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permintaan domestik bantu lonjak pertumbuhan ekonomi negara

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JULAI: Permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun Malaysia menerima kesan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan akan terus berusaha menjana pertumbuhan ekonomi domestik terutama dalam mempromosikan aktiviti pelaburan dan permintaan penggunaan.

“Kesan daripada tindakan AS mengenakan tarif ke atas China, pelabur dari China beralih operasi perniagaan ke Asia Tenggara yang akan menguntungkan ekonomi Malaysia.

“Perang perdagangan membuka ruang kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport komoditi ke China terutama minyak sawit yang merupakan barangan pengganti kepada minyak soya dan jagung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang Hashim dalam soalannya bertanyakan kesan ke atas ekonomi Malaysia ekoran risiko ketidaktentuan persekitaran global khususnya antara AS dan China mutakhir ini.

Mohamed Azmin berkata, syarikat Malaysia berjaya menandatangani perjanjian bernilai hampir AS$900 juta bagi membekal 1.62 juta tan minyak sawit ke China, pada Mac 2019.

Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, eksport minyak sawit Malaysia ke China meningkat hampir 255,000 tan dengan nilai eksport RM1.4 bilion dalam tempoh Januari hingga April 2019,.

Selain itu, kerajaan yakin kerjasama serantau Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia Philippines East ASEAN Growth Area (BIMPEAGA) melalui BIMP-EAGA Vision 2025 (BEV2025) serta Indonesia Malaysia Thailand Growth Triangle (IMT-GT) berupaya memastikan Malaysia kekal di landasan pertumbuhan ekonomi yang positif ke arah negara maju.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FELDA bakal bangkit semula bawah PAKATAN – Azmin

ROMPIN, 7 JUL: FELDA akan bangkit semula dengan keyakinan peneroka kembali utuh di bawah pengurusan baharu kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi membela masa depan golongan peneroka, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan FELDA itu dilaksanakan menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP), yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

PPP yang merangkumi aktiviti berasaskan program tanaman dan selingan yang mampu memberikan hasil dalam tempoh singkat dan aliran tunai konsisten dilancarkan pada sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2019 di FELDA Selancar 3 di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, FELDA di bawah kepimpinan pengasasnya Tun Abdul Razak Hussein, yang juga Perdana Menteri kedua Malaysia, berjaya membantu mengurangkan jurang ekonomi Melayu dan Bumiputera menerusi pembukaan tanah kerajaan, yang pada suatu ketika membolehkan negara menyumbang 25 peratus kepada pengeluaran kelapa sawit dunia.

“Malangnya sejak beberapa tahun lalu, kita menyaksikan kerakusan pimpinan atasan FELDA yang terdiri daripada orang politik yang terlalu banyak bermain politik sehingga peneroka menjadi mangsa dan dibebankan dengan masalah besar,” katanya semasa berucap di hadapan ribuan peneroka pada sambutan itu.

Mohamed Azmin berkata, belajar daripada kesilapan itu, PAKATAN berjanji untuk memastikan pengurusan agensi itu hanya ditadbir oleh mereka berintegriti dan berwibawa.

Katanya pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi FELDA, berkuatkuasa 1 Julai, dilihat berkemampuan untuk membawa agensi itu ke peringkat baharu dengan bantuan dan sokongan akar umbi peneroka.

Mohamed Azmin berkata, PPP bukan hanya untuk memastikan masa depan lebih mampan dan menjaga kebajikan peneroka, tetapi juga berperanan melihat industri perladangan kekal maju dan meningkatkan produktiviti menerusi penggunaan teknologi moden.

Selain itu, kerajaan juga amat maklum dengan permasalahan peneroka seperti bebanan hutang yang cukup tinggi dan masalah perumahan generasi kedua yang banyak terbengkalai.

Berhubung masalah perumahan terbengkalai, Mohamed Azmin berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM250 juta bagi menyiapkan projek perumahan berkenaan, khususnya yang tahap kemajuan pembinaannya sudah mencapai 70 peratus, pada tahun ini.

Katanya sebanyak 1,400 unit rumah generasi kedua sudah memperoleh sijil layak menduduki dan dijangka diserahkan kepada pemiliknya dalam masa terdekat.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan menampung RM2 bilion untuk menghapuskan hutang peneroka dan walaupun jumlah itu besar, kerajaan menyifatkan ‘tidak mengapa’ asalkan hutang dapat dikurangkan demi membolehkan peneroka hidup dengan lebih selesa.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju supaya Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta dipecahkan bermula tahun depan kepada johan, naib johan dan tempat ketiga berbanding hanya satu pemenang sebelum ini.

“Saya percaya program AKKF ini dapat memupuk rasa muhibah, perpaduan dan persaudaraan antara peneroka di setiap kampung supaya bersama-sama bergotong-royong dengan semangat ukhuwah yang baik,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Bakke Salleh Pengerusi FELDA baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Tan Sri Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu, berkuatkuasa 1 Julai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk tempoh dua tahun iaitu sehingga 30 Jun 2021.

Katanya, Mohd Bakke adalah seorang tokoh korporat berintegriti dan berwibawa yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladangan.

“Saya yakin beliau mempunyai kepimpinan meneruskan usaha mengembalikan FELDA sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian FELDA,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau mengambil maklum hasrat Tan Sri Dato’ Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FELDA berkuatkuasa pada 30 Jun 2019.

Katanya, Megat Zaharuddin telah memberi sumbangan idea yang bernas dan progresif dalam usaha Kerajaan Pakatan Harapan membina semula FELDA.

“Beliau bersama pengurusan FELDA yang baru telah berusaha gigih dan memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan Kertas Putih yang menggariskan satu pelan pemulihan ke arah kelestarian FELDA dan telah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

“Saya menghormati hasrat Tan Sri Megat Zaharuddin dan bersetuju menerima keputusan beliau,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia manfaatkan perang dagangan AS-China

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Perang perdagangan yang berlaku membuka peluang unik kepada negara Asia Tenggara dan Malaysia bersedia untuk mengeksploitasi pelbagai peluang ekonomi yang mungkin wujud.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, persaingan antarabangsa sentiasa tidak tetap, justeru, perniagaan secara lazimnya mencari destinasi pelaburan alternatif untuk menangani halangan perdagangan yang dikenakan.

“Kami bersedia untuk menerima pelaburan baharu yang ingin mengambil peluang daripada infrastruktur moden kami, hubungan ke rantau ini, kestabilan politik dan kumpulan tenaga kerja kami yang mahir dan berpengetahuan,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam dan Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Perniagaan dan Pencapaian Sepanjang Hayat Asia semalam.

Acara itu diadakan sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia:“The Future Of Asia In A New Era Of Disruption And Trade Wars” di sini.

Mohamed Azmin berkata ekonomi yang lebih kecil dijangka menanggung akibatnya apabila dua ekonomi terbesar dunia menghadapi konflik dan terlibat dalam perang perdagangan yang berlarutan.

Tindak balas sementara yang normal itu, katanya untuk menjangka aliran perdagangan yang negatif dan kesan ke atas pertumbuhan ekonomi, dengan pasaran kewangan biasanya memberi tindak balas dengan mengurangkan pendedahan mereka dalam ekonomi yang terjejas,” katanya.

Beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk meneruskan dasar mesra perniagaannya walaupun kerajaan memperkenalkan perubahan dasar untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih baik.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata imbangan perdagangan dalam kerjasama subserantau dalam ASEAN, dikenali sebagai BIMP-EAGA, naik 39.2 peratus dengan nilai sebanyak US$54.7 bilion dalam tempoh 2016 – 2017.

“Nilai eksport meningkat kepada US$79 bilion dalam tempoh sama. Kami yakin ini akan terus memacu pembangunan ekonomi untuk rantau ini,” katanya.

Oleh itu, Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang akan terus mengukuhkan kerjasama serantau untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan perniagaan untuk negara anggota, katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin fokus gubal dasar baharu demi kelangsungan ekonomi

BUKIT MERTAJAM, 16 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetap optimis dan berikrar untuk terus berkhidmat dengan memastikan kementeriannya dapat menggubal beberapa dasar baharu bagi memastikan penjanaan ekonomi negara yang lebih mampan.

“Fokus saya sekarang adalah untuk terus memastikan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dapat menggubal dasar baharu dan sekarang ini kita sudah memulakan perbincangan tentang Rancangan Malaysia ke-12 sejak sebulan yang lalu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan mahu pendekatan baharu diambil bagi memastikan penjanaan ekonomi yang lebih mampan serta dapat mengembalikan semula keyakinan pelabur asing kepada Malaysia.

“Saya nampak perkembangan positif dan kita berikan tumpuan kepada hasil baharu negara dan teknologi baharu seperti Artificial Intelligent, digital dan sebagainya kerana itulah yang dapat menjana pertumbuhan dan sumber baharu bagi negara,” katanya.

Walaupun sedang berdepan ujian paling getir dalam karier politiknya, Mohamed Azmin yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, di sini mahu memberi tumpuan dalam mengembalikan semula keyakinan pelabur asing kepada pasaran Malaysia.

“Saya kena banyak bersabar dan akan terus bertabah. Saya yakin ini adalah politik kotor orang yang ‘desperate’, yang tewas dan tidak lagi mendapat sokongan rakyat, yang cuba menggunakan taktik kotor seperti ini tetapi bagi saya sebagai pemimpin, kita harus tegas dengan perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata kementeriannya akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang merupakan antara negeri yang termaju di Malaysia dan penyumbang terpenting kepada ekonomi negara.

Beliau berkata perbincangan itu akan menyentuh isu pengagihan pertumbuhan hasil ekonomi serta memastikan keperluan seluruh rakyat Pulau Pinang dapat dijamin dan diberikan perhatian.

“Kita mahu pembangunan di negeri ini dapat diteruskan bukan sahaja di bahagian pulau tetapi juga di Seberang Perai. Kita mahu semua warga Pulau Pinang mendapat hak pembangunan yang adil dan saksama,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azmin terharu terima pesanan mufti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluahkan rasa terharu atas pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri susulan ujian yang dilaluinya kini.

Menerusi ciapan Twitternya, Mohamed Azmin berkata, pertemuan petang semalam itu memperkukuh semangatnya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara.

“Saya amat terharu dengan pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan @drzul_albakri untuk saya dan keluarga tatkala badai fitnah mengganas.

“Pertemuan petang semalam memperkukuh semangat saya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara,” tulisnya.

Mohamed Azmin turut memuat naik sepucuk surat dari mufti berkenaan yang mahu beliau terus komited dan konsisten berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam apa jua tindakan serta tugas seharian.

“Saya sentiasa berdoa Allah yang maha kuasa memberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat genting ketika mana fitnah yang mengganas. Semoga gerhana itu berlalu pergi,” kata mufti.

Sebelum ini, Dr Zulkifli mengakui berasa gusar dengan penyebaran video berkenaan yang bakal mendatangkan pelbagai masalah kepada umat Islam di negara ini, pada masa akan datang.

Beliau turut mencadangkan semua pihak sentiasa bermuhasabah dengan mengingati Allah SWT kerana setiap perbuatan pasti akan diperhitungkan satu persatu.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan menyeluruh berhubung penularan video skandal seks yang mengaitkan beliau dan Ketua Angkatan Muda keadilan (AMK) Santubong, Muhammad Haziq Abdul Aziz.

Timbalan Presiden KEADILAN itu juga berjanji akan memberikan sepenuh komitmen terhadap siasatan terbabit dan berharap ia tidak diganggu mana-mana pihak.

Categories
NASIONAL

Isu video: Hilman nafi ugut Haziq

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham menafikan dakwaan beliau mengugut Haziq Abdullah Abdul Aziz ketika bertemu di sebuah hotel di Putrajaya berhubung isu video, pada 11 Jun lalu.

Beliau menjelaskan, laporan dibuat Haziq yang juga pegawai timbalan menteri itu sebagai palsu sebaliknya pertemuan tersebut adalah atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk menteri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut dan ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah laporan palsu.

“Dalam pertemuan tersebut, Haziq telah menyatakan kepada saya bahawa beliau adalah mangsa permainan politik kotor untuk menjatuhkan Mohamed Azmin.

“Beliau juga menyatakan bahawa video tersebut palsu dan menafikan beliau adalah karakter dalam video tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Haziq memuatnaik dua keping gambar laporan polis yang dibuat terhadap Muhammad Hilman di laman Facebook berhubung ugutan yang diterimanya.

Categories
NASIONAL

Jangan terjebak politik jijik – Azmin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 JUN : Kerajaan hari ini perlu berpegang pada politik nilai dan prinsip jelas serta tidak terjebak dengan politik kejam dan jijik, tegas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian selaras teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mahu memfokuskan kepada penyelesaian semua pimpinan berkaitan masalah ekonomi, kos sara hidup selain menggalakkan pelaburan negara.

Katanya, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menyediakan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak mengugat kestabilan pada hari ini.

“Saya dalam kapasiti yang kecil dan terhad ini mendokong penuh terhadap gagasan dan dasar Perdana Menteri untuk memastikan pelaburan dalam negara terus dipertingkatkan.

“Sebab itu kita sedang berusaha gigih supaya semua dasar dan program yang kita akan jalankan ini adalah menjadi satu keyakinan kepada pelabur untuk meneruskan pelaburan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Hilman Idham.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau menyeru kepada seluruh pimpinan untuk mengambil serius teguran Perdana Menteri sekali gus menolak politik berbaur jijik.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam kenyataan berkata, beliau menegaskan semua pihak untuk tidak terlibat dalam politik kotor.

“Apabila kalah dengan lawan, awak nak tunjuk video lucah. Cara ini sangat kotor, kena amalkan politik bersih,” kata Dr Mahathir.

Semalam, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak kelmarin dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Mohamed Azmin berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Categories
NASIONAL

Polis buka kertas siasatan kes video tular

 

PUTRAJAYA, 13 JUN: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, polis setakat ini menerima satu laporan berhubung kes video yang tular di media sosial itu.

“Tindakan akan diambil sebagaimana laporan polis dibuat bagi apa jua isu. Kita jalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ditanya sama ada individu yang terlibat dalam video boleh dikenakan tindakan, Abdul Hamid berkata: “Dalam proses siasatan (individu berkenaan) boleh dipanggil, boleh tidak dipanggil. Kita panggil mana yang berkenaan. Kes masih dalam siasatan.”

Abdul Hamid juga berkata, orang yang mengedar video berkenaan boleh diambil tindakan.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam video lucah.

– BERNAMA