Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM100 juta bantu pekebun sawit peroleh MSPO

JERANTUT, 4 OGOS: Kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta membantu pekebun kecil kelapa sawit mencapai tahap Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) bagi meningkatkan nilai komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Sehubungan itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok memohon supaya pekebun kecil merebut peluang untuk mendapatkan pensijilan itu secara percuma, yang kini dilanjutkan tarikh permohonan sehingga 31 Disember.

“Apa yang penting, mereka berdaftar sebelum tarikh akhir kerana tempoh memproses permohonan boleh mencapai sehingga empat bulan. Mereka yang sudah mendaftar (proses belum selesai sehingga akhir tahun) masih mendapat manfaat ini.

“Setakat ini, jumlah mereka yang mendapat pensijilan MSPO masih rendah menyebabkan kita menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kebaikan pensijilan ini seperti yang dilakukan di Pahang sebelum saya ke Sabah,” katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat MSPO dan Sesi Dialog bersama Penanam Sawit Pahang di dewan Majlis Daerah Jerantut di sini, hari ini.

Setakat 30 Jun lepas, hanya 42 peratus atau 2.45 juta hektar daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini telah mendapat pensijilan MSPO meliputi 2.1 juta hektar ladang dan 386,000 hektar milik pekebun kecil dengan paling tinggi di Kedah, Sarawak dan Sabah, katanya.

Bagi tempoh sama, 244 kilang buah sawit di negara ini dan 124 daripada 162 kelompok penanam sawit mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat sijil itu dengan penyertaan 12,000 pekebun kecil melibatkan keluasan kebun 44,000 hektar.

“Di Pahang, hanya 36 peratus kawasan yang ditanam kelapa sawit mendapat pensijilan MSPO, iaitu masih rendah dan saya akan berjumpa Menteri Besar tidak lama lagi bagi mendapatkan sokongan untuk membantu kami meningkatkan jumlah ini.

“Mungkin kita tidak sempat mencapai sasaran 100 peratus memperoleh MSPO pada akhir tahun ini, namun kita berharap boleh mencapai jumlah peratusan tinggi supaya pihak antarabangsa melihat usaha kerajaan dan penanam sawit dalam isu ini,” katanya.

Teresa berkata, pensijilan MSPO membolehkan kelapa sawit Malaysia dieksport ke lebih banyak negara di Eropah dan Jepun, selain pasaran sedia ada iaitu India dan China, sekaligus menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka yang terlibat dalam industri itu.

“Pensijilan MSPO memastikan penanaman kelapa sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian yang baik yang diterimapakai di peringkat antarabangsa.

“Pengeluaran minyak sawit secara mampan penting bagi perdagangan global minyak sawit kerana negara maju memberi keutamaan pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan secara mampan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Komuniti setempat diminta sokong kempen ‘Sayangi Sawitku’

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kerajaan berharap dapat memperluaskan kempen ‘Sayangi Sawitku’ kepada seluruh masyarakat du negara ini dalam usaha meraih sokongan terhadap hasil serta produk komoditi berkenaan.

Sehubungan itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, persatuan di peringkat komuniti perlu memainkan peranan masing-masing bagi menggalakkan lebih banyak sokongan awam terhadap kempen serta produk minyak sawit negara.

“Salah satu persatuan itu terdapat di Seputeh iaitu Persatuan Penduduk Taman Desa yang aktif mempromosikan kesedaran berhubung khasiat dan kebaikan minyak sawit serta produknya.

“Ini juga adalah satu usaha pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media prapelancaran acara ‘Merdeka Fun Run 2019’ bagi kempen Sayangi Sawitku, di sini, hari ini.

Teresa berkata, beliau juga sudah menulis kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada bulan lalu supaya maklumat berhubung khasiat dan manfaat nutrisi minyak sawit dimasukkan ke dalam silibus pendidikan sekolah.

Acara sehari ‘Merdeka Fun Run’ yang akan diadakan 24 Ogos ini akan turut mengetengahkan pameran minyak sawit oleh pihak Majlis Minyak Sawit Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekebun kecil sawit boleh mohon skim pinjaman mulai Ogos

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Pekebun kecil persendirian yang mahu melaksanakan penanaman semula kelapa sawit boleh memohon dua skim pinjaman mudah mulai 15 Ogos ini dalam usaha membantu meringankan beban kewangan mereka.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) itu membabitkan peruntukan dana sebanyak RM550 juta.

“Pihak kementerian menyediakan aspek seperti skop pinjaman, syarat permohonan dan pelaksanaan, proses kerja serta peruntukan bagi pelaksanaan skim ini.

“Pekebun kecil yang menepati syarat permohonan boleh memohon skim ini yang bertujuan meringankan beban kewangan mereka,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Katanya, skim pinjaman TSPKS dijangka memberi manfaat kepada 7,000 dan 10,000 pekebun kecil dengan anggaran keluasan tanaman berjumlah 50,000 hektar.

Manakala IPPKS pula dapat memberi manfaat kepada seramai 3,000 hingga 5,000 pekebun kecil sawit dengan anggaran keluasan kawasan tanaman berjumlah 20,000 hektar.

Mengulas lanjutnya, Teresa berkata, pinjaman itu boleh dipohon mengikut keluasan kawasan penanaman dengan nilai pinjaman bagi TSPKS adalah RM10,000 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar atau RM65,000.

“Tempoh pinjaman itu adalah sehingga 12 tahun termasuk penangguhan bayaran balik pinjaman bagi tempoh empat tahun pertama.

“Nilai pinjaman IPPKS pula tidak melebihi RM2,500 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar sahaja atau RM16,250 dengan tempoh pinjaman sehingga 24 bulan,” katanya.

Pada April lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan dana pinjaman mudah bernilai RM550 juta bagi penanaman semula sawit dengan kadar faedah rendah sebanyak 2.0 peratus setahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri sarung tangan digesa pergiat usaha terokai pasaran Afrika

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Industri sarung tangan Malaysia digesa mempergiatkan lagi usaha menerokai potensi pasaran luas di Afrika, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Katanya, kesedaran berhubung kepentingan dan permintaan terhadap sarung tangan getah meningkat kerana ia digunakan sebagai barisan pertama pertahanan oleh petugas perubatan terhadap pelbagai penyakit berjangkit seperti ditunjukkan dalam kes wabak Ebola di Afrika, baru-baru ini.

Pada 2018, Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai US$100 juta (US$1=RM4.12) ke 49 daripada 55 negara di benua Afrika, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dengan Ketua Misi Afrika di Malaysia, pada Selasa malam.

“Eksport ke benua itu terus berkembang dan permintaan terhadap sarung tangan terus meningkat ekoran kesedaran berhubung kepentingannya.

“Malaysia ialah rakan kepada negara Afrika dengan hubungan diplomatik kukuh, oleh itu penggiat industri perlu meneruskan usaha pemasaran untuk memperkukuhkan lagi hubungan positif supaya kedua-dua pihak dapat meraih manfaatnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden MARGMA, Denis Low Jau Foo memberitahu Bernama, eksport sarung tangan getah ke benua itu dijangka meningkat sebanyak 50 peratus kepada kira-kira US$150 juta tahun ini.

Beliau berkata, Afrika sebuah benua yang amat besar dengan populasi 1.2 bilion penduduk dan mempunyai 22 misi diplomatik di Malaysia.

Katanya, daripada eksport sarung tangan bernilai US$100 juta ke negara Afrika tahun lalu, 72 peratus atau US$72.2 juta adalah dalam bentuk sarung tangan perubatan, diikuti sarung tangan getah semula jadi dan sarung tangan pembedahan lain.

Jau Foo berkata, Mesir, Afrika Selatan dan Kenya ialah negara pengimport utama.

Katanya, pada 18 Julai tahun ini, penggunaan sarung tangan getah di Afrika adalah rendah iaitu dua pasang per kapita, berbanding dengan China (5), Brazil (12), Eropah (50) dan Amerika Syarikat (75).

“Oleh itu, benua Afrika mempunyai potensi tinggi untuk menjadi pasaran baharu untuk pertumbuhan.

“Dengan peraturan baharu mereka, peningkatan kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat dan peningkatan kuasa ekonomi, kami menjangkakan peningkatan dalam permintaan terhadap produk penjagaan kesihatan, termasuk sarung tangan,” katanya.

Jau Foo berkata, permintaan global untuk sarung tangan getah tahun ini dijangka meningkat 12 peratus kepada 300 bilion keping sarung tangan dengan hasil eksport dijangka sebanyak US$4.95 bilion.

Malaysia dijangka berkongsi pasaran terbesar kira-kira 63 peratus mendahului Thailand (18 peratus) China (10 peratus) dan Indonesia (tiga peratus).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tubuh jawatankuasa khas pantau harga MSM – Teresa

 

GEORGE TOWN, 13 JUN: Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama Khas yang diketuai oleh Kementerian Perusahaan Utama bagi memantau dan memastikan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal stabil apabila negara melaksanakan bahan api biodiesel B20 pada tahun hadapan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata hari ini, jawatankuasa khas itu, yang juga merangkumi Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Perdana Menteri, akan membincangkan subjek berkenaan sebelum dilaksanakan menjelang 2020.

“Jadi, semalam semasa mesyuarat kabinet, semua kementerian dalam jawatankuasa bersama itu telah bersetuju untuk bekerjasama kerana ia melibatkan undang-undang serta peraturan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kedua FMM-MPOB mengenai Perlaksanaan Biodiesel (B7) di Sektor Industri di sini.

Katanya, Malaysia berhasrat untuk menubuhkan satu dana penstabilan biodiesel untuk membantu memantapkan harga bahan api bio, serta menjadikan bahan api itu lebih menarik kepada pengguna.

“Kami akan berbincang dengan kementerian-kementerian lain bagi mewujudkan satu mekanisme baharu untuk memastikan bahawa apabila harga MSM tinggi, kita masih dapat menstabilkan harga bahan api bio di pasaran,” katanya.

Ini disebabkan orang ramai melahirkan kebimbangan bahawa peningkatan penggunaan bahan api bio akan menyebabkan harga minyak sawit melonjak.

Menurut Teresa lagi, bagaimanapun, sebelum sebarang mekanisme dilaksanakan, kementeriannya akan berunding dengan semua pihak berkepentingan termasuk syarikat-syarikat petroleum dan pengeluar kereta untuk memastikan bahawa pelan tersebut akan berjalan lancar selepas perlaksanaan biodiesel B20.

“‘Perlaksanaanya akan membolehkan minyak biodiesel B20 disediakan di semua stesen minyak di seluruh negara bagi kegunaan pasaran,” katanya.

Minyak sawit adalah pilihan terbaik bagi mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil, kerana ia mempunyai potensi yang besar sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui (RE).

“Indonesia, yang merupakan pengeluar dan pengeksport minyak sawit yang terbesar, telah menggunakan biodiesel B20 selama bertahun-tahun dan tiada sebarang maklum balas negatif daripada industri automotif. Malahan, mereka kini sedang menguji B100 di Sumatera dan merancang untuk beralih ke B30 tidak lama lagi,” katanya.

Pada Disember 2018, Malaysia memperkenalkan biodiesel B10 untuk pasaran domestik, meningkatkan campuran asal daripada tujuh peratus (biodiesel B7) kepada 10 peratus.

Ia juga melaporkan sebelum ini bahawa Dasar Automotif Negara sedang menjalankan kajian semula yang merangkumi pembangunan biodiesel sebagai agenda penting kepada pelan kecekapan tenaga pengangkutan, untuk membolehkan peratusan campuran biodiesel yang lebih tinggi dalam beberapa dekad akan datang.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Minyak sawit Malaysia berpotensi besar cemerlang – Teresa

KUALA LUMPUR, 27 APR: Minyak sawit Malaysia masih mempunyai banyak potensi untuk cemerlang berbanding pesaingnya seperti minyak kacang soya, sesawi, zaitun dan bunga matahari, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Bagaimanapun, katanya peserta industri besar dan kecil perlu memastikan minyak sawit Malaysia lebih baik daripada minyak makan yang lain.

“Kita perlu mematuhi semua peraturan termasuk mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) bagi ladang kita.

“Sehingga 31 Mac, kira-kira 28 peratus daripada ladang kita diperakui MSPO. Kami mahu memastikan menjelang tahun depan, semua pengeksport minyak sawit terutamanya ke Kesatuan Eropah (EU) diperakui. Ini matlamat kami,” katanya pada taklimat bersama media sempena sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Teresa berkata kempen Sayangi Sawit dengan slogan ‘Produk Malaysia Lima Bintang’ yang dilancarkan baru-baru ini, menggesa peserta industri untuk meneliti semula cara mereka mengendalikan ladang mereka.

“Dengan menguruskan ladang dengan baik, secara automatik kita akan dapat menangani semua dakwaan terhadap industri ini, termasuk penebangan hutan, membunuh hidupan liar dan kehilangan biodiversiti.

“Itu sebabnya saya pergi ke Sabah. Saya mahu memberi inspirasi kepada semua kerajaan negeri dan peserta industri minyak sawit untuk menanam semula satu juta pokok hutan di seluruh negara.

“Saya turut menemui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membincangkan tentang bagaimana kita dapat menghubungkan kembali seluruh koridor hidupan liar supaya ladang kelapa sawit dapat bersama hidupan liar kita. Beri kembali hutan kepada hidupan liar,” katanya.

Sementara itu, mengenai resolusi EU dan cadangannya untuk melarang minyak sawit ke Eropah, menteri itu mengakui bahawa ia akan menjadi ‘perjuangan jangka panjang’.

Beliau berkata walaupun berdekad menangani isu ini, lebih banyak penglibatan diperlukan antara Malaysia dan pemimpin politik EU.

“Kita masih perlu melobi dan berkempen untuk minyak sawit. Mengetahui pada Mei akan terdapat pilihan raya Parlimen Eropah dan perubahan iklim, semua ini menjadi kepentingan politik untuk semua calon yang bertanding dalam pilihan raya itu.

“Oleh itu, ia mungkin amat sukar bagi kami untuk meminta mereka menangguhkan peraturan perwakilan itu, tetapi peraturan tersebut akan dikaji semula pada Jun 2021,” katanya.

Ditanya mengenai potensi kehilangan hasil daripada kehilangan eksport ke blok perdagangan itu disebabkan larangan tersebut, menteri itu berkata tiada angka yang tepat pada peringkat ini berikutan ia masih mengimport minyak sawit Malaysia.

“Mereka akan menghentikan secara berperingkat jumlah import menjelang 2030,” katanya.

Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan tahun lepas, negara mengeksport sejumlah 1.91 juta tan minyak sawit ke EU, susut empat peratus berbanding 1.99 juta tan dicatatkan pada 2017 dan menyumbang 12 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2018.

EU merupakan pembeli minyak sawit Malaysia kedua terbesar, selepas India.

Sementara itu, China merupakan pengguna ketiga diikuti Pakistan, Filipina, Turki dan AS. Tujuh negara utama ini menyumbang 9.31 juta tan atau 56.5 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2018.