Categories
AGENDA NASIONAL

Senarai sekolah ditutup akibat banjir dikemas kini setiap Rabu

KLANG, 10 JAN: Senarai sekolah yang masih belum dibuka susulan terkesan akibat banjir akan dikemas kini setiap Rabu, bagi membolehkan sekolah terlibat memulakan pengoperasian bagi minggu seterusnya jika sudah bersedia, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

“Setiap Rabu kita akan mengemas kini senarai tersebut, apabila sekolah itu keluar daripada senarai, maknanya pada Ahad atau Isnin (minggu seterusnya) boleh dibuka bergantung sama ada mereka berada dalam kumpulan A atau B.

“Namun pada masa sama, keadaan dan situasi banjir ini amat dinamik. Sesebuah sekolah itu boleh dibuka, tiba-tiba air naik dan itu secara automatik (sekolah ditutup)… dan tindakan awal akan diambil khususnya untuk maklumkan pada ibu bapa (berhubung penutupan sekolah),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Kapar hari ini sempena pengoperasian sekolah di Selangor bagi penggal ketiga, 2021/2022.

Dalam pada itu, beliau berkata empat juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara memulakan sesi persekolahan bagi penggal ketiga, 2021/2022 melibatkan 1.2 juta pelajar daripada kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan semalam manakala 2.8 juta pelajar membabitkan kumpulan B, hari ini.

Radzi berkata bagi Selangor, seramai 473,816 pelajar seluruh negeri itu memulakan persekolahan melibatkan 264,201 pelajar sekolah rendah manakala 446,816 merupakan murid sekolah rendah termasuk prasekolah.

Susulan lawatannya di SK Meru yang merupakan antara sekolah terjejas banjir baru-baru ini, Radzi berkata beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD untuk melihat mana-mana fasiliti itu yang terkesan untuk memastikan perabot dan peralatan mencukupi.

“Kalau ada perabot tidak mencukupi, kita akan bawa perabot-perabot berlebihan daripada sekolah lain, atau dari negeri lain,” katanya.

Mengenai sistem pengurusan pertukaran dan penempatan guru (e-GTukar) baharu yang didakwa meletakkan pilihan pertukaran tempat terhad, Radzi berkata pihaknya akan sentiasa menambah baik sistem tersebut untuk membolehkan ia berada di tahap optimum di samping lebih memudahkan mereka terlibat.

“Kita akan sentiasa tambah baik sistem tersebut, sebagaimana sistem baharu yang mana kita akan terima pandangan dan akan kaji untuk melihat pendekatan yang boleh digunakan untuk pembaikan sistem tersebut.

“Kita ambil kira pandangan bila kata (guru) diberi pilihan tiga negeri (bagi pertukaran melibatkan negeri) maka mereka terpaksa pilih tiga negeri sedangkan mereka hanya ingin pindah satu negeri. Begitu juga melibatkan perpindahan melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata bagi pertukaran antara negeri, walaupun hanya dinyatakan satu PPD bagi setiap negeri, sistem akan melihat PPD mana terdekat dengan PPD dipilih oleh pemohon.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru enggan divaksin diberi tugas lain, kata menteri pendidikan

YAN, 4 SEPT: Seramai 2,500 guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan diberi tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka nanti, berikutan mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata terdapat banyak tugasan lain di sekolah yang boleh dilakukan guru berkenaan.

“Pada masa sama kami juga sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apa tindakan dan pendekatan selanjutnya untuk guru-guru ini, insya-Allah saya sendiri akan berhubung dengan sebahagian daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam, di sini hari ini, selepas melawat kesan banjir akibat fenomena kepala air di daerah Yan pada 18 Ogos lepas.

Semalam, Radzi dilaporkan sebagai berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober ini.

Tindakan berkenaan diambil bagi memastikan ibu bapa yakin bahawa persekitaran sekolah selamat untuk anak-anak mereka.

Dalam pada itu, Radzi berkata pihak sekolah masih menjalankan kaji selidik untuk mendapatkan gambaran awal mengenai penerimaan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka mengambil suntikan vaksin.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada ibu bapa. Itu bukan satu arahan, tetapi tinjauan untuk mendapat gambaran sedikit sebanyak kerana sebarang urusan berkaitan vaksinasi adalah di bawah JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) dan CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM: Tutup sekolah berdasar data, perbincangan KKM, MKN

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sebarang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata KPM menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.

Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Radzi juga berkata kemungkinan terdapat pihak mendakwa KPM seolah-olah lambat membuat keputusan namun hakikatnya ia tidak begitu kerana negara tidak pernah berpengalaman menangani krisis seumpama ini.

“Ianya tidak pernah berlaku. Namun kita (KPM) mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini mengenai pendekatan sesuai dalam keadaan tertentu,” katanya.

Katanya lagi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, operasi institusi pendidikan di bawah KPM tetap berjalan lancar.

“Kita belajar bahawa ketelitian adalah penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu,” kata Radzi.

Mengulas penutupan sekolah di kawasan Klang di Selangor, Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah bermula hari ini, beliau berkata keputusan diambil setelah mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan terbabit adalah kawasan Zon Merah.

“Sepertimana yang dinyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara sekiranya perlu akan dibuat di peringkat sidang khas MKN Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat KKM,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua pihak termasuk rakyat negara ini untuk bekerjasama dalam menangani cabaran pandemik tanpa vaksin ini.

-BERNAMA