Categories
NASIONAL

Kerajaan akan mansuh pengambilan pekerja asing melalui ejen

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT : Sistem pengambilan pekerja asing melalui ejen atau syarikat tertentu akan dimansuhkan, kata Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, tujuan ia dimansuhkan untuk mengelakkan perkara tidak diingini yang dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini, antaranya perlakuan tidak adil kepada pekerja dan kes pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, lebih kurang 100 syarikat berperanan menguruskan pekerja asing digunakan oleh KDN itu, akan diserahkan kepada Agensi Pekerjaan Swasta bawah Kementerian Sumber Manusia (MOHR).

“Kita membuat keputusan untuk tidak mahu meneruskan program ‘outsourcing’ yang kini diuruskan KDN sebaliknya ia diserahkan kepada MOHR menerusi Agensi Pekerjaan Swasta kerana ada akta khas supaya ia lebih terurus dan mematuhi undang-undang.

“Semua syarikat itu diberikan suatu tempoh yang akan ditetapkan nanti untuk menempatkan pekerja asing di bawah tanggungan mereka kepada majikan dan sektor tertentu, sebelum pemansuhan itu berkuat kuasa sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing dengan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran di Parlimen, di sini, hari ini.

Sementara itu, Kula Segaran berkata, Jawatankuasa itu turut bersetuju melaksanakan sistem levi pelbagai peringkat atau ‘multi-tier’ dalam pengambilan pekerja asing seperti dilaksanakan Singapura, selewat-lewatnya tahun depan.

Katanya, melalui sistem itu jumlah bayaran levi akan ditetapkan berdasarkan jumlah pekerja asing yang digajikan majikan berkenaan.

“Makin ramai pekerja asing yang digajikan makin tinggi levi dikenakan kepada majikan.

“Kadar peningkatan itu belum diputuskan, namun ia ditetapkan secara berbeza-beza mengikut industri berlainan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mentaliti Kerajaan Nepal lebih maju, miliki 127 akhbar banding Malaysia

Nepal punyai 172 akhbar berbanding malaysia

SHAH ALAM 30 OKT: Nepal dilihat lebih telus dan terbuka apabila mempunyai 127 akhbar, berbanding Malaysia yang dilihat kurang memberikan kebebasan media.

Kerajaan Nepal percaya dengan memberikan kebebasan media mampu membawa kepada kemajuan mentaliti pemimpin dan rakyat negara Asia Selatan itu.

Walaupun Nepal masih dikategorikan sebagai negara dunia ketiga daripada segi pembangunan fizikal, tetapi mentaliti pemimpin negara itu dianggap lebih maju berbanding Barisan Nasional (BN).

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hatta Wahari berkata, hal itu dibuktikan apabila sehingga kini Nepal mempunyai 127 akhbar tidak termasuk akhbar yang diterbitkan peringkat negeri.

“Walaupun kita membangun dan mempunyai prasarana seperti negara maju tetapi mentaliti kerajaan masih di tahap negara dunia ketiga kerana mereka ingin mengawal media. Sebenarnya, semua kerajaan ingin kawal tanpa beri ruang kebebasan kepada media dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Hatta turut mengutuk tindakan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan untuk menutup akhbar yang menerbitkan kenyataan beliau dalam satu program di Melaka, baru-baru ini.

“Ini kenyataan paling kurang ajar yang keluar daripada seorang pemimpin dan beliua mempunyai mentaliti dunia ketiga dengan beranggapan mempunyai kuasa dan boleh kawal kebebasan media. Pemimpin seperti ini kita kena tolak,”katanya.

Menyentuh kemenangan portal berita Malaysiakini dalam kes rayuan KDN yang menolak permit penerbitannya, Hatta berharap kemenangan itu akan menjadi contoh kepada media lain supaya berani menerbitkan media seimbang dan telus.

“Kemenangan Malaysiakini patut dijadikan contoh kepada media lain dan saya harap industri media kita lebih bebas serta maju,” katanya. -NFN-