Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor pembinaan rugi RM42 bilion sepanjang PKP

SHAH ALAM, 30 SEPTEMBER: Sektor pembinaan merekodkan kerugian sebanyak RM42 bilion susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu, kata menteri kanan kerja raya.

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebanyak RM24 bilion kerugian dicatat pada PKP 1.0 bermula Mac hingga Julai tahun lalu manakala RM18 bilion sepanjang PKP 3.0 berkuat kuasa 1 Jun hingga September.

Menurutnya, antara punca kerugian peningkatan kos bahan binaan dan kekurangan tenaga kerja apabila pekerja asing tidak dapat kembali ke Malaysia serta keperluan pekerja dilengkapi vaksin Covid-19 sebelum dibenarkan bekerja semula.

Selain itu, katanya, syarat baharu kepada kontraktor seperti keperluan menyediakan penginapan juga memberi kesan kepada jumlah kerugian besar itu.

“Sehubungan itu, kita mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri bagi mencari jalan penyelesaian.

“Antara penyelesaian dicapai adalah kelulusan syarat perubahan harga sehingga 31 Disember oleh Kementerian Kewangan dan kelonggaran penyediaan penginapan pekerja berpusat,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan (Jerantut-BN) berhubung jumlah kerugian bagi sektor pembinaan sepanjang penularan Covid-19 dan langkah mengatasinya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naik taraf MRR2 siap, kurangkan sesak ke pantai timur

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur khasnya sewaktu musim perayaan dijangka dapat dikurangkan apabila projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Persimpangan Taman Melati, Gombak kini siap sepenuhnya untuk kegunaan pengguna jalan raya bermula hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek bernilai RM106.83 juta itu membabitkan pelebaran laluan daripada tiga kepada lima lorong di persimpangan berkenaan.

“Pada hari biasa, laluan keluar masuk menghala ke Plaza Tol Gombak menerima jumlah kenderaan sekitar 80,000 hingga 120,000 dan ia bertambah teruk sewaktu musim balik kampung semasa perayaan sehingga mencecah 180,000 kenderaan sekali gus menyebabkan kesesakan yang agak kritikal.

“Diharap projek ini dapat memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dalam membantu mengurangkan kesesakan di MRR2 dan juga Terminal Bersepadu Gombak yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas majlis penyerahan dan merasmikan projek menaik taraf MRR2 Persimpangan Taman Melati, Gombak di sini hari ini.

Projek menaik taraf jalan MRR2 ini telah dilaksanakan secara kontrak reka dan bina dan peruntukannya diperoleh menerusi Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Ia dimulakan pada 13 September 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lepas dengan tempoh tanggungan kecacatan adalah selama dua tahun sehingga 2 Ogos 2021.

Fadillah berkata projek itu juga bakal memudahkan laluan masuk ke pusat Terminal Bersepadu Gombak, menyuraikan kesesakan lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan selain mewujudkan rantaian perkhidmatan awam yang lebih selesa untuk ke Lembah Klang dan pusat bandar raya.

“Dijangkakan terminal itu akan siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun depan sebelum Aidilfitri,” katanya.

Menurut siaran media yang diedarkan, terminal ini bakal menampung perkhidmatan bas ekspres ke koridor timur dan utara serta membolehkan pengalihan lebih daripada 700 bas ekspres daripada memasuki kawasan pusat perdagangan selepas terminal ini dibuka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan siasatan kondominium runtuh siap sebulan – menteri

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Keputusan siasatan ke atas sebahagian struktur kondominium 37 tingkat dalam pembinaan yang runtuh di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini Jumaat lalu dijangka siap dalam tempoh sebulan, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata pegawai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berada di lapangan sejak insiden itu berlaku, mengumpul maklumat dan bukti untuk menjalankan siasatan dalam pelbagai aspek.

“Berkaitan insiden itu, saya ingin mengingatkan peserta industri pembinaan supaya mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan berkaitan pembinaan.

Adalah jelas mengikut akta semua pekerja perlu didaftarkan dengan CIDB selain daripada memastikan bahan binaan dan produk menepati standard tinggi di bawah Perakuan Pematuhan Standard’ (PPS),” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Portal Maklumat Pembinaan Sehenti CIDB – CONVINCE di sini, semalam.

CIDB sedang menyiasat insiden itu di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994, iaitu, Seksyen 33D(1) mengenai Sijil Pematuhan Standard, Seksyen 33A(1) mengenai pendaftaran pekerja dan akreditasi dan Seksyen 25 (1) berkenaan pendaftaran kontraktor.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Baru Bian: Keputusan mengenai tol selepas kajian dikemuka

SIBU, 22 FEB: Kajian dijalankan oleh perunding bebas mengenai isu tol di negara ini masih berjalan dan dijangka siap hanya pada Mei, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata, apabila dikemukakan, hanya kerajaan akan membuat keputusan muktamad berhubung rancangan masa depan mengenai isu tol.

Katanya, dalam pada itu, satu atau dua syarikat pemegang konsesi tol telah mengemukakan cadangan tertentu yang boleh dilaksanakan buat sementara.

“Malah kita sedang mengkajinya dalam jangka pendek, sederhana dan panjang. Terdapat beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu dalam jangka pendek.

“Ini adalah perkara yang saya fikir dirujuk oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bukan keseluruhan isu tol,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis pelantikan anggota jawatankuasa cabang KEADILAN zon tengah Sarawak.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau diminta mengulas ucapan Presiden BERSATU itu semasa ceramah bagi Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih malam tadi yang membayangkan bahawa kabinet mungkin membuat pengumuman mengenai tol dalam masa terdekat.

Beliau dipetik sebagai berkata, bahawa Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mengeluarkan kenyataan mengenai tol dalam sehari dua ini.

Baru berkata, antara cadangan baik yang ditawarkan oleh syarikat konsesi adalah pengurangan kadar tol semasa musim atau masa tertentu, yang sedang dikaji oleh kerajaan.

Sementara itu, Baru yang juga Pengerusi KEADILAN Sarawak berkata, majlis kepimpinan negeri akan mencari jalan dan cara untuk membantu semua cawangan membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang beliau meramalkan diadakan seawal pertengahan tahun depan.

Bersama dengan parti lain dalam PAKATAN, Baru berkata, mereka harus bekerjasama secara senada kerana peluang untuk mengambil alih Kerajaan Negeri daripada Gabungan Parti Sarawak adalah cerah kali ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tayar celup punca lebih 10,000 kes kemalangan

GEORGE TOWN, 4 JAN: Lebih 10,000 kes kemalangan di negara ini didapati berpunca daripada penggunaan tayar celup, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata, statistik dikeluarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) adalah satu angka mengejutkan apabila jumlah kemalangan dicatatkan setiap tahun berpunca daripada penggunaan tayar celup itu.

Katanya, selain itu kenderaan terlebih muatan seperti lori turut menyumbang kepada punca kemalangan di negara ini.

“Saya sangat terkejut dengan perkara ini. Kalau kita bahagikan setahun iaitu 365 hari bermakna sehari 30 kemalangan direkodkan disebabkan tayar celup. Bagi kenderaan terlebih muatan, statistiknya pun begitu tinggi.

“Bagi saya, perkara ini, kita akan ambil serius melalui penguatkuasaan memastikan tiada kenderaan terlebih muatan di jalan raya. Kedua, tayar celup tidak selamat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Baru mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Wilayah Utara LLM sebelum diberi taklimat berkenaan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan lebuh raya serta aspek pengurusan dan operasi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir, Ketua Pengarah LLM, Datuk Aziz Abdullah.

Baru yang juga Anggota Parlimen Selangau berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penutupan bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi kerja membaik pulih bangunan warisan itu, beliau berkata, ia dijangka bermula Jun ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Kerja pembaikan ini akan diuruskan JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan anggaran kos sebanyak RM17 juta. Kerja pembaikan merangkumi baik pulih bumbung, dinding dan struktur yang rosak.

“JKR telah menyediakan laporan kerosakan dan pengesyoran pembaikan bangunan adalah di bawah kategori warisan. Kami akan tengok macam mana bangunan ini akan dipulihkan. Bagi saya ini adalah satu perkara penting kerana saya juga adalah seorang pencinta warisan,” katanya.

Bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditutup sejak 3 September tahun lalu atas faktor keselamatan dan semua mahkamah tinggi di situ dipindahkan ke Bangunan Annex bersebelahan bangunan utama itu.

Sempena lawatan kerja itu, Baru turut dijadual meninjau perjalanan operasi tol di lorong motosikal di Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang sejak pemansuhan tol bagi motosikal bermula 1 Januari lalu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tol: Kerajaan kaji alternatif kurang beban rakyat

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan sedang mengkaji alternatif terbaik bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol, selepas penghapusannya ditangguhkan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ia termasuk cadangan merendahkan kadar bayaran tol, mewujudkan kadar sama rata dan memberi diskaun tertentu, pada waktu bukan puncak.

Beliau turut menegaskan kerajaan secara dasarnya memutuskan tol tidak akan dihapuskan sehingga keadaan kewangan negara distabilkan ke peringkat ‘sihat’.

“Mungkin juga kita tidak akan naikkan harga tol untuk tempoh tertentu, ini dalam perbincangan buat masa sekarang,” katanya pada sesi pertanyaan menteri, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas berkenaan jumlah tol yang dicadang di Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) menghubungkan Banting dan Taiping yang sedang dibina, Baru berkata ia membabitkan 20 plaza tol.

“Kaedah kutipan tol yang akan digunakan ialah sistem kutipan tol tertutup dengan enam plaza tol terletak di laluan utama dan 14 lagi di persimpangan bertingkat,” katanya.

Beliau berkata, ia juga membabiatkan tempoh konsesi selama 50 tahun bermula tarikh perjanjian konsesi dengan syarikat WCE Sdn Bhd yang ditandatangani, pada 2 Jan 2013.

Katanya kemajuan pembinaan lebuh raya terbabit ialah 60 peratus dan dijangka dibuka berperingkat mulai tahun hadapan dan sepenuhnya, pada 2022.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL RENCANA

Kementerian Kerja Raya merintis kesejahteraan rakyat

OLEH NAEEM RAFFI

Membudaya tadbir urus terbaik

Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan mottonya ‘Ke Arah Kesejahteraan Rakyat’ terus komited menjadi penggerak utama yang dinamik, inovatif dan berdaya saing dalam merealisasikan agenda pembangunan negara mampan, sekali gus meningkatkan hasil serta memperkasa kemakmuran.

Selain memperkukuhkan nilai kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan ketulusan, KKR juga menjanjikan pembangunan infrastruktur negara dilaksana dengan cekap, berkualiti, lestari serta berdaya saing di peringkat global.

Amanah besar itu diterajui Menteri Kerja Raya, Baru Bian dengan menerapkan tiga nilai bersama utama yang menuntut seluruh warga kerja kementerian itu mengamalkan budaya profesional, integriti dan kerja berpasukan dalam memastikan agenda Kerajaan Malaysia Baharu dicapai.

Malaysia Baharu, penuhi aspirasi rakyat

Kemaraan Pakatan Harapan (PAKATAN) ke Putrajaya membentuk kerajaan seusai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), membuka harapan besar buat rakyat menikmati Malaysia Baharu dalam memastikan negara kembali berada, di landasan betul.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau yakin bahawa rakyat menaruh harapan tinggi kepada PAKATAN, justeru baginya kerajaan hari ini perlu memberi penekanan kepada hasil penyampaian dalam memenuhi aspirasi rakyat.

“Budaya rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan seperti amalan kerajaan terdahulu ternyata merosakkan sistem pemerintahan dan negara.

“Justeru, melaksanakan tanggungjawab secara telus, berakauntabiliti dan berhemat menjadi saranan baru dalam kerajaan, hari ini,” kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak itu.

Kesungguhan KKR menolak budaya korup itu selaras dengan usaha kerajaan membebaskan negara daripada rasuah menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), pada 8 Jun lalu.

JKKMAR ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan dalam menentukan dasar berhubung dengan pemantapan keutuhan sistem pengurusan pentadbiran kerajaan.

Kerajaan juga menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) yang berfungsi merancang, memantau, menilai dan melapor perkara berkaitan ‘governance’, integriti serta pembentarasan rasuah.

“KKR memandang serius untuk mencari jalan penyelesaian dan penambahbaikan kepada masalah rasuah dan ketirisan.

“Justeru, saya menyeru setiap warga kementerian, jabatan dan agensi di bawah KKR untuk memainkan peranan supaya hasrat kerajaan itu dapat direalisasikan,” katanya.

Agensi di bawah KKR iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan tiga lembaga profesional iaitu Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia turut yakin prestasi KKR dapat diperkasakan lagi di bawah pentadbiran kerajaan baru.

Menteri pertama dari suku Lun Bawang itu juga percaya jika urus tadbir dilaksana dengan sempurna di semua peringkat, maka sudah pasti Malaysia Baharu dapat dicapai dan nikmat kemakmuran serta kemajuan negara dapat dinikmati rakyat.

Jamin ketelusan, tegak keadilan

Memahami bahawa KKR mempunyai tanggungjawab berat berdepan aspirasi rakyat, Baru optimis kesepakatan dan kesempurnaan kerja berkumpulan dalam kementeriannya menjadi kunci kejayaan.

Justeru, warga kerja KKR dan agensi di bawahnya diingatkan untuk bersama-sama bekerja keras ke arah mencapai matlamat membangunkan infrustruktur negara mengikut piawaian ditetapkan berlandaskan integriti tinggi.

Sebagai seorang pengamal undang-undang, Baru menegaskan dirinya sangat berpegang teguh pada konsep ketelusan, integriti dan keadilan.

“KKR mengamalkan satu dasar iaitu tender terbuka untuk projek pembangunan yang akan dilaksanakan. Ia bagi menjamin ketelusan, integriti dan keadilan.

“Ternyata, ia berbeza dengan kerajaan terdahulu yang mengamalkan beberapa kaedah dalam pemberian sesuatu projek,” katanya.

Beliau turut menggesa penjawat awam melaksanakan tugas dengan berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan awam.

Untuk maksud itu, beliau menyarankan supaya dasar ‘wistle-blowers’ dapat dilaksanakan secara meluas di setiap jabatan dan agensi, di bawah KKR.

Utamakan projek bermanfaat kepada rakyat

Walaupun negara hari ini berdepan kekangan kewangan, Baru menegaskan, usaha membawa pembangunan kepada rakyat tetap diteruskan.

Ia dibuktikan apabila Kerajaan PAKATAN menerusi KKR komited memastikan Lebuhraya Pan Borneo iaitu sebuah projek mega meliputi Sarawak dan Sabah terus dilaksanakan dengan jayanya serta siap mengikut jadual, pada 2021.

Bagaimanapun, lebuh raya sepanjang 2,325 kilometer membabitkan kos kira-kira RM29 bilion itu sedang disemak semula bagi memastikan kos keseluruhannya lebih rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan itu optimis bahawa pendekatan holistik, bebas amalan rasuah dan pengurusan telus menerusi tender terbuka mampu mencapai hasrat itu.

“Pan Borneo adalah lebuh raya pertama seadanya di Malaysia timur dan pastinya saya sebagai menteri bertanggungjawab akan meneruskan projek ini demi manfaat rakyat, di sana.

“KKR memantau rapat perkembangan projek ini dalam memastikan ia berjalan seperti yang dijadualkan.

“Pada masa sama, KKR berusaha memastikan kos projek ini dapat dikurangkan ekoran keadaan kewangan negara kini begitu ketat,” katanya.

Bagi memantau perkembangan terkini pembinaan lebuh raya itu, KKR dengan kerjasama Rakan Penyampai Projek (PDP) iaitu Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) mengadakan Jelajah Lebuhraya Pan Borneo, bermula 29 September hingga 1 Oktober lalu.

Sudah pastinya, Jelajah Pan Borneo yang bermula dari Telok Melano sehingga ke Miri itu disertai Baru.

Optimis KKR terus cemerlang

Walaupun baru empat bulan menggalas amanah di KKR, Baru merasakan kementerian itu amat dekat dengan dirinya.

Ikrarnya, amanah rakyat itu akan dipikul sebaiknya bersandarkan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad sudah memberi mandat kepada saya untuk menerajui KKR yang sudah pasti akan saya manfaatkan sebaiknya.

“Maklum balas dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam kalangan warga kerja KKR juga memudahkan tugas saya, di sini,” katanya.

Dalam memastikan KKR terus cemerlang, Baru berharap warga kementerian sentiasa mengembangkan ilmu pengetahuan dan cakna kehadiran teknologi terkini yang boleh dipelajari dari negara maju.

“Teknologi hari ini mungkin tidak relevan pada masa hadapan jika kita tidak peka.

“Jadi, amat perlu untuk semua warga kementerian bersedia dan responsif kepada perubahan yang begitu cepat,” katanya.

# Wawancara Khas Penolong Pengarang SelangorKini, Naeem Raffi, bersama Menteri Kerja Raya, Baru Bian, di pejabatnya, baru-baru ini.

Categories
NASIONAL

Lajim : Menteri Pertanian Dan Kerja Raya Patut Dari Sabah/Sarawak

menteri-sabah-sarawak-1

SHAH ALAM, 12 JUN: Pengerusi Pakatan Perubahan Sabah (PPS),Datuk Seri Lajim Ukin menyokong tindakan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang didakwa bertemu dengan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah bagi menyatakan rasa tidak gembira ekoran tidak menerima apa-apa ‘ganjaran’ selepas membantu kemenangan BN.

Sambil menyifatkan ia sebagai wajib, keutamaan perlu diberikan memandangkan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak menjadi penyumbang utama kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Katanya, pemberian kedudukan di dalam kabinet ini bukan merujuk kepada jumlah menteri atau timbalan menteri yang dilantik sebaliknya mengutamakan kementerian yang sesuai bagi pembangunan Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak beri mereka (BN) menang untuk mereka perintah. Wajib dia (kerajaan) beri keutamaan kepada (Ahli Parlimen) Sabah dan Sarawak. Bukan sahaja merujuk kepada jumlah.

“Sepatutnya (Menteri) Pertanian dan Jabatan Kerja Raya (Menteri Kerja Raya) kena bagi Sabah dan Sarawak kerana jalan di negeri kita ini lebih teruk daripada negeri-negeri di Semenanjung,” katanya kepada Tv Selangor.

Memetik laporan portal The Malaysian Insider, beberapa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bertemu Tengku Razaleigh bagi melahirkan rasa tidak puashati berkenaan pembahagian jawatan dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak.

Kesemua ahli parlimen ini hadir mendengar taklimat mengenai tentang prosedur dan etika parlimen yang bakal bersidang 24 Jun ini.

Pada PRU-13 lalu, BN memenangi 133 kerusi Parlimen dan 47 daripada kerusi berkenaan dari Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Categories
SELANGOR

SAMM Dakwa Syarikat Menteri Monopoli Kontrak Petronas Punca Syarikat Bumi Mati?

Chegubard

SHAH ALAM, 29 JAN: Kontraktor pengangkutan kepada syarikat Petronas Dagang Berhad (PDB) memberitahu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) perniagaan mereka terjejas teruk disebabkan kontrak pengangkutan syarikat itu kini dimonopoli oleh syarikat Shaziman Transport Sdn Bhd.

Shaziman Transport Sdn Bhd (STSB) yang didakwa milik seorang Menteri Kabinet dikatakan memonopoli lebih 90 peratus kontrak pengangkutan di sesetengah tempat menyebabkan beberapa syarikat bumiputra lain gulung tikar dan menanggung kerugian.

Menurut pengusaha pengangkutan lori yang ditemui Penyelaras SMMM, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, semua syarikat kontraktor lori lain tidak diberikan ‘trip’ perjalanan tanpa notis awal dengan alasan kononnya untuk menguji kemampuan STSB.

Justeru, Chegu Bard dalam sepucuk suratnya yang dihantar kepada PDB, 26 Januari lalu, menuntut agar PDB dapat menjelaskan isu ini.

“Sebuah syarikat di Melaka yang berurusan dengan PDB sebelum ini memiliki 12 buah lori, menjadi 3 lori sahaja kerana lorinya ada yang dijual dan ada ditarik bank kerana masalah kewangan ekoran penurunan ‘trip’ mendadak oleh PDB yang memberi laluan kepada STSB.

“Ini menyebabkan rata-rata syarikat bumiputra lain di Melaka bukan sahaja hilang pendapatan tetapi terpaksa menanggung kerugian RM50,000 ke RM60,000 bulan lepas untuk membayar gaji pokok pemandu lori dan kos berkaitan.

“Di Johor dilaporkan monopoli syarikat STSB yang diberikan oleh PDB hampir 90 peratus menyebabkan banyak syarikat bumiputera lain gulung tikar,” menurut kandungan surat itu.

Menurut Chegu Bard, surat tersebut dihantar melalui faks dan emel dan beliau akan menyerahkan salinan asalnya kepada pejabat PDB di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) minggu ini.

Chegu Bard ketika mengulas isu sama berkata kontraktor terlibat yang beroperasi di Melaka juga ada memberitahu beliau bahawa monopoli kontrak PDB akan berlaku ekoran mereka mungkin dikehendaki mengambil sub-kontrak pengangkutan PDB melalui STSB.

“STSB ini naik dengan cepat sekali, sekali dari cuma beberapa buah lori kini dikatakan sudah memiliki 80 buah lori sehingga STSB disenaraikan sebagai antara peneraju dalam syarikat pengangkutan negara,” ujar beliau kepada TV Selangor.

Menurut beliau dasar monopoli yang diamalkan ini mampu mengundang risiko bahaya kepada ekonomi negara sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap syarikat yang menguasai pasaran.

“Dasar monopoli ini juga punya risiko keselamatan, bayangkan setahun dua ini jika ini berterusan, syarikat lain pasti mati dan 100 peratus PDB bergantung kepada satu syarikat sahaja.

“Bayangkan jika sesuatu berlaku seperti syarikat mogok, menyebabkan berapa banyak stesen minyak akan putus bekalan minyak dan beberapa sektor dalam negara pasti lumpuh,” katanya lagi.

STSB yang dikaitkan dengan Menteri Kabinet ini bukan sahaja mendapat kontrak dari PDB tetapi juga dari Proton, Perodua dan banyak syarikat berkepentingan kerajaan lagi.

Chegu Bard yang enggan menyebut nama menteri yang dimaksudkan, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan isu ini melibatkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Status Kemajuan Pembinaan Hospital Shah Alam Diragui

SHAH ALAM, 2 NOV: Status pembinaan hospital Shah Alam diragui apabila kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) ‘berjaya’ melaksanakan kerja-kerja yang dijangka akan mengambil 82 hari dalam masa 30 hari sahaja.

Menurut MP Shah Alam, Abdul Khalid Samad, projek tersebut telah lewat 33 hari dari jadual yang ditetapkan.

Bagaimanapun 30 hari kemudian, laporan terbaru projek itu menunjukkan kerja-kerja tersebut telah siap 19 hari lebih awal daripada jadual kemajuan yang dijangka.

“Adakah ini cuma laporan mainan sebab sukar percaya sebelumnya lewat 33 hari. Tetapi dalam masa 30 hari mereka boleh siapkan 82 hari punya kerja hingga mendahului ke  hadapan 19 hari.

“Adakah pembayaran ‘in advance’ ada dibuat untuk melajukan projek ini setelah saya tanya sebelumnya?

“Apa yang kita mahukan adalah status kemajuan pembinaan yang sebenar,” kata Abdul Khalid dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini Abdul Khalid pernah beberapa kali mengkritik kelewatan kerja pembinaan hospital ini yang sepatutnya disiapkan pada pada 2011 tetapi telah di tunda ke hujung 2013.

Beliau juga pernah hantar petisyen yang ditandatangani orang ramai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuntut satu tindakan konkrit bagi menyelesaikan masalah pembinaan hospital itu termasuk memecat Menteri Kerja Raya.