Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 9.5 juta individu lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Seramai 25,863,563 orang vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 16,347,422 orang menerima suntikan dos pertama manakala 9,516,141 orang menerima dos kedua.

Mengikut peratusan, 50.1 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 29.1 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mereka.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 497,352 dos diberikan semalam dengan 227,506 adalah pemberian dos pertama manakala 269,846 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 25 juta dos vaksin diberikan sejak Februari

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Sebanyak 25,008,230 dos vaksin Covid-19 diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau memaklumkan jumlah yang terima dos pertama ialah 15,959,596 orang manakala 9,048,634 orang terima dos kedua.

“Mengikut peratusan, 68.2 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama, manakala 38.7 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mereka,” katanya.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 465,793 dos diberikan semalam dengan 187,495 adalah dos pertama manakala 278,298 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 15 juta dos vaksin diberikan sejak Februari

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Jumlah pemberian vaksin Covid-19 kini 15,517,866 dos suntikan di seluruh negara setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau memaklumkan sebanyak 446,052 dos vaksin diberikan hingga 11.59 malam tadi, merangkumi 282,980 individu menerima suntikan pertama manakala 163,072 penerima dos kedua.

“Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah terkini individu lengkap dua dos vaksin sebanyak 4,932,981 iaitu 15.1 peratus, populasi rakyat negara ini,” katanya.

Labuan kekal negeri yang mencatatkan peratusan penduduk dewasa lengkap dua dos vaksinasi tertinggi dengan 68 peratus, diikuti Sarawak (49.4 peratus), Perlis (36.5 peratus), Lembah Klang (22.7 peratus) dan Negeri Sembilan (21.8 peratus).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tambah petugas, katil tangani kenaikan kes di Lembah Klang

PUTRAJAYA, 13 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk menambah segera 1,190 petugas kesihatan dan 5,000 sukarelawan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan di Selangor, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata KKM turut menggerakkan 417 petugas kesihatan dari negeri lain ke tiga negeri terbabit bagi menangani peningkatan pandemik itu.

Beliau berkata bagi menambah baik pengurusan pesakit di hospital, KKM menambah kapasiti katil di semua hospital di Lembah Klang iaitu daripada 3,412 unit kepada 3,777 di Selangor manakala daripada 795 unit kepada 1,129 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, kerjasama dengan tiga hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia bagi mengoptimumkan penggunaan katil di tiga hospital tersebut.

“(Ini) menjadikan keseluruhan katil bagi perawatan Covid-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 unit,” katanya pada sidang media khas pelan strategi Pengurusan Pandemik Covid-19 di Lembah Klang hari ini.

Dr Adham juga berkata KKM akan turut memperluas skop perkhidmatan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 sebagai Hospital Bersepadu MAEPS yang berfungsi sama seperti hospital kerajaan lain.

Beliau berkata PKRC MAEPS 2.0 akan memberi perawatan pemulihan kecemasan kes Covid-19 kategori 3 dan 4 dengan menambah kapasiti bekalan oksigen kepada lebih 1,500 pesakit.

“Selain itu, KKM akan menambah kapasiti rawatan kecemasan khususnya di Selangor dengan meningkatkan jumlah katil kecemasan daripada 486 kepada 591 katil.

“KKM turut menambah kapasiti perawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital daripada 280 katil kepada 349 di Selangor manakala bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, daripada 90 kepada 117 katil,” katanya.

Dr Adham berkata buat masa ini, Selangor memiliki 6,391 bekalan oksigen dengan pencapaian penggunaan sebanyak 3,413 atau 53 peratus.

“Bagi meningkatkan kapasiti (bekalan) oksigen di PKRC MAEPS 2.0 yang dijadikan sebagai Hospital Bersepadu MAEPS dalam perawatan Covid-19, penambahan sebanyak 1,000 tangki oksigen serta 1,000 pemekat oksigen telah pun dilakukan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

340,043 rekod tertinggi pemberian dos vaksin harian – Menteri

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Jumlah pemberian dos suntikan vaksin di negara ini terus meningkat dengan sejumlah 340,043 dos diberikan semalam, iaitu angka tertinggi dalam sehari setakat ini.

Menerusi hantaran di Twitter, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan daripada jumlah itu, 133,286 merupakan pemberian dos kedua.

“Sebanyak 206,757 dos pula adalah pemberian dos pertama bagi tempoh sama,” katanya.

Dr Adham turut memaklumkan lima negeri tertinggi mencatatkan pemberian dos pertama dan kedua semalam adalah Selangor dengan 79,998 orang diikuti Sarawak (59,269), Kuala Lumpur (53,155), Perak (20,759) dan Johor (18,431).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Skim PeKa: Lebih 150,000 golongan B40 hidap penyakit tidak berjangkit

PUTRAJAYA, 6 JULAI: Kira-kira 33 peratus atau 151,729 individu daripada 457,462 orang dalam kumpulan B40 yang menjalani saringan kesihatan menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dikesan menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Mereka sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidapi penyakit tidak berjangkit,” katanya ketika membentangkan Laporan PeKa B40 2019-2020 secara maya hari ini.

Beliau berkata antara penyakit tidak berjangkit yang dikesan melalui saringan berkenaan adalah kencing manis sebanyak 10.4 peratus, kolesterol tinggi (29.8 peratus), darah tinggi (13.8 peratus), masalah mental seperti kemurungan (1.6 peratus) dan keresahan (1.4 peratus).

“Sebelum menjalani saringan PeKaB40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpamanya, apatah lagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Skim PeKa B40 itu diuruskan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd yang menyediakan empat manfaat iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000.

Skim berkenaan yang memberikan fokus kepada penyakit tidak berjangkit, diberikan secara percuma kepada semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pasangan mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas.

Dr Adham berkata sebanyak RM62.5 juta dibelanjakan dalam tempoh 15 April 2019 hingga 31 Disember 2020 untuk membiayai skim PeKa B40 yang bertujuan membuat pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit kumpulan B40.

Daripada jumlah itu, RM38.5 juta dibelanjakan untuk manfaat saringan kesihatan yang meliputi pengambilan sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan kesihatan mental, pemeriksaan kanser payudara dan prostat serta ujian air kencing dan darah.

Beliau berkata saringan kesihatan PeKa B40 itu boleh dilakukan di klinik swasta dan juga klinik kesihatan KKM seluruh negara.

“Bagi manfaat bantuan alat perubatan, sebanyak RM20.9 juta dibelanjakan bagi membiayai permohonan 10 jenis alat perubatan antaranya alat bantuan pendengaran, bantuan sokongan nutrisidan kerusi roda,” katanya.

Sejumlah RM1.6 juta pula telah dibelanjakan bagi insentif melengkapkan rawatan kanser manakala RM1.5 juta dibelanjakan untuk insentif tambang pengangkutan untuk meringankan beban perbelanjaan kos perjalanan, kata beliau.

Dr Adham berkata seramai 2,112 pengamal perubatan am swasta dan 182 makmal perubatan swasta terlibat dengan skim PeKa B40.

“PeKa B40 adalah inisiatif kerajaan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan di Malaysia dalam aspek penjagaan kesihatan jangka panjang.

“Kita amat berharap agar lebih ramai rakyat kumpulan B40 mendapat manfaat daripada skim ini demi memastikan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit dapat dilakukan seterusnya mengelakkan komplikasi rawatan di masa hadapan,” katanya.

Laporan penuh PeKa B40 2019-2020 boleh dimuat turun dilaman web www.protecthealth.com.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan peratus populasi Malaysia lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Sebanyak 2,618,316 orang atau 8.0 peratus daripada populasi telah menerima suntikan dos kedua vaksin, sekali gus melengkapkan vaksinasi mereka setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menyasarkan, 10 peratus daripada populasi negara akan memperoleh vaksinasi penuh menjelang pertengahan Julai ini, di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menerusi hantaran di Twitter Dr Adham memaklumkan, jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin setakat semalam adalah sebanyak 9,006,715 dos, dengan 2,618,316 adalah dos kedua.

“Bagi vaksinasi harian, sebanyak 206,015 dos diberikan semalam, melibatkan pemberian 127,385 dos pertama dan 78,630 dos kedua,” katanya dalam hantaran Twitternya hari ini.

Beliau berkata, lima negeri yang mencatatkan penerimaan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor (348,853), Sarawak (299,593), Kuala Lumpur (244,7090), Sabah (233,409) dan Kedah (193,575).

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia bangunkan vaksin Covid-19, kerjasama IMR dan UPM

SHAH ALAM, 21 JUN: Malaysia sedang membangunkan vaksin Covid-19 menggunakan teknologi mRNA (messenger asid ribonukleik), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata vaksin itu mula dibangunkan pada November 2020 oleh Institut Kajian Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Status pada masa ini adalah di peringkat pengklonan yang merangkumi virus asal dan varian lain virus SARS-CoV-2,” katanya pada sidang media Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin,  hari ini.

Dr Adham berkata selepas proses pembangunan selesai, kajian keberkesanan vaksin iaitu praklinikal terhadap haiwan kecil dan besar dan kajian klinikal manusia fasa satu hingga tiga perlu dijalankan sebelum proses pendaftaran dan pengilangan vaksin.

Mengenai petugas kesihatan yang dijangkiti semula Covid-19 selepas lengkap dua dos vaksin, Dr Adham berkata seramai 1,480 individu telah dijangkiti semula namun hanya satu kes sahaja dikesan berada di kategori empat iaitu bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Kebanyakan individu yang dijangkiti itu dikesan berada di kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala tanpa radang paru-paru, katanya.

“Ini menunjukkan vaksinasi berkesan untuk melindungi sesiapa yang dijangkiti tidak mengalami gejala serius. Data itu juga menunjukkan keberkesanan dalam kalangan petugas kesihatan yang dipantau setakat ini bahawa program vaksinasi adalah baik dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata varian baharu Covid-19 yang dikesan sehingga kini adalah 183 melalui pengawasan genom iaitu 167 Varian yang Membimbangkan (VOC) dan 16 Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI).

“Oleh itu kita masih terus melaksanakan pengawasan genom dalam masa tiga bulan akan datang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa kedua PKP jika kes bawah 4,000 tujuh hari berturut-turut

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Purata kes Covid-19 di Malaysia perlu berada bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata selain itu kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) juga perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.

“Alhamdulillah, vaksinasi sudah melebihi 10 peratus iaitu 11 peratus, dan dengan adanya pendekatan nilai ambang ini, kita boleh bergerak ke fasa dua, tiga dan empat,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa adalah strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 bagi mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun ini.

Ia bersandarkan tiga indikator iaitu keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di ICU dan indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Dr Adham berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 merupakan kaedah intervensi untuk mencapai sasaran pelan berkenaan.

“Kita ada satu unjuran model SEIR (Susceptible-Exposed-Infectious-Removed), dan dalam Pelan Pemulihan Negara kita lihat kepada nilai RT (kadar kebolehjangkitan). Kalau sebelum ini nilai RT masih pada 1.2, mengikut unjuran SIER kita mungkin akan ada 13,000 kes (Covid-19)… tetapi disebabkan PKP 3.0, kita dapat intervensi sehingga unjuran SIER di bawah 1 iaitu 0.9.

“Ini memerlukan tekad kuat iaitu memerangi Covid-19 dengan tindakan kesihatan awam, vaksinasi dan solidariti rakyat kerana kita bukan sahaja berdepan dengan virus seperti dulu tetapi ada juga varian baharu,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata kerajaan mempunyai pelan untuk membolehkan golongan berumur 12 tahun ke atas mengambil vaksin namun perlu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diselesaikan terlebih dahulu.

“Pihak pengeluar vaksin Pfizer telah kemukakan yang boleh beri vaksin kepada umur 12 tahun ke atas…kita kena ada data daripada Pfizer yang meyakinkan, dan keduanya, kita perlu dahulukan mereka yang mengambil peperiksaan iaitu tingkatan lima dan enam. Itu hanya berlaku selepas kita selesaikan program imunisasi kebangsaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Larangan rentas negeri kekal hingga 17 Mei

SHAH ALAM, 4 MEI: Pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan hingga 17 Mei atau tarikh lain yang diputuskan kelak, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata keputusan itu mengambil kira lebih 13 kluster akibat merentas negeri di beberapa negeri sejak April, lapor Kosmo.

Beliau berkata beberapa kluster komuniti turut dikesan membabitkan kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti setempat selepas menghadiri majlis atau program.

“Kami mengesan beberapa kluster yang tercetus dalam komuniti akibat majlis dan program seperti majlis pengebumian, perkahwinan, sambutan perayaan, majlis kesyukuran, majlis pertunangan dan bencana banjir,” katanya dalam sidang media semalam.

Pada 1 Mei, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.

Ketika ini, lima negeri tersebut kecuali Kedah dikenakan PKP Bersyarat sehingga 17 Mei berikutan bilangan kes Covid-19 yang masih tinggi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa kedua suntikan vaksin dipercepat, 9.4 juta warga emas, OKU antara penerima

PUTRAJAYA, 1 APRIL: Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diawalkan dua hari kepada 17 April ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata kempen pendaftaran perlu digiatkan kerana golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi cuma 30 peratus daripada tujuh juta rakyat yang telah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

“Kita perlu giat kempen untuk meningkatkan pendaftaran vaksinasi melalui lima kaedah iaitu menerusi MySejahtera atau laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), menghubungi talian hotline, hadir ke pusat kesihatan daerah dan menerusi program badan bukan kerajaan (NGO) yang juga memberi fokus kepada golongan gelandangan dan pendatang tanpa izin,” katanya.

Sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua melibatkan golongan berisiko tinggi antaranya warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi, katanya.

Dr Adham berkata demikian kepada media selepas majlis memeterai perjanjian antara KKM dan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio) untuk proses ‘fill and finish’ vaksin Covid-19 jenis CanSino dari China di sini hari ini.

Dr Adham berkata program vaksinasi akan terus dilaksanakan pada Ramadan dan menawarkan penerima vaksin untuk menerima suntikan pada waktu malam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu.

Ditanya tindakan larangan eksport vaksin di beberapa negara bagi memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kekurangan bekalan, Dr Adham berkata ia tidak akan menjejaskan program imunisasi yang sedang berjalan di Malaysia kerana pembekal telah memberi komitmen kepada kerajaan bahawa penghantaran akan mengikut jadual.

Sebagai contoh, katanya Malaysia akan mendapatkan vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand menerusi pemerolehan langsung, manakala bekalan vaksin AstraZeneca menerusi kemudahan Covax pula dari Korea Selatan.

“Perkara ini semua dijamin. Jadi isu kelewatan bekalan vaksin dari pembekal tidak berlaku pada Malaysia. Kita dapat laksanakan semua jadual dan penghantaran dalam waktu yang ditetapkan, tetapi kita harap penghantaran dapat dipercepatkan jika boleh,” katanya.

Dilaporkan India telah menghentikan buat sementara semua eksport utama bagi vaksin AstraZeneca yang dihasilkan Institut Serum India (SII) untuk memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan jangkitan Covid-19 di negara itu.

Langkah itu seperti yang dilaporkan, akan turut menjejaskan bekalan kepada kemudahan perkongsian vaskin Covax yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana banyak negara dijangka mendapatkan dos masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji keberkesanan cukai minuman bergula selepas dua tahun

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Kementerian Kesihatan bercadang menjalankan kajian keberkesanan pelaksanaan cukai atau duti eksais ke atas minuman bergula selepas dua tahun pelaksanaannya iaitu pada 2021.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kajian bagi melihat keberkesanan pengenalan cukai itu dalam mengubah tabiat pemakanan rakyat Malaysia akan dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Malaysia.

Pada 1 Julai lepas, kerajaan mula melaksanakan cukai minuman bergula iaitu duti eksais sebanyak 40 sen seliter ke atas minuman manis yang mengandungi gula atau pemanis berasaskan gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter.

Dr Dzulkefly berkata buat masa ini, kesan pelaksanaan cukai itu dapat dilihat kepada rumusan semula kandungan gula dalam produk minuman oleh syarikat pengeluar minuman.

“Berdasarkan data terkini, sebanyak 17 syarikat pengeluar minuman telah membuat reformulasi (rumusan semula) yang melibatkan 83 jenis produk minuman manis,” katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Nurul Izzah ingin tahu mengenai pelan holistik kementerian untuk mengurangkan jumlah penghidap obesiti dan keberkesanan pengenalan cukai gula terhadap golongan sasaran sejak 1 Julai 2019 dalam mengubah tabiat pemakanan serta penyerapan hasil cukai ke dalam biaya program makanan percuma di sekolah.

Dr Dzulkefly berkata satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Menangani Masalah Obesiti telah ditubuhkan dan hasil kerja jawatankuasa itu sebanyak 48 polisi telah digariskan dan akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun (2016-2025) termasuk cukai minuman bergula.

“Kerajaan amat prihatin dengan masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia yang semakin meningkat, kita telah dinobatkan menjadi kedudukan paling atas dari segi kegemukan di seluruh negara Asia dan dari segi obesiti kanak-kanak juga kita kedua tertinggi daripada negara ASEAN pada umur lima sehingga 19 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, katanya beberapa pelan tindakan jangka panjang telah dibentuk bagi menangani masalah itu iaitu Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III (2016-2025), Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (2016-2025) dan Pelan Strategik Aktiviti Fizikal Kebangsaan (2017-2025).

-BERNAMA