Categories
BERITA UTAMA

Kurang kepercayaan kekal dalam kalangan Rohingya

BANGKOK, 1 OGOS: Kekurangan kepercayaan kekal dalam kalangan Rohingya menyebabkan ribuan dalam kalangan mereka enggan pulang ke rumah, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Kita faham bahawa penghantaran balik tidak boleh berlaku kerana terdapat kekurangan kepercayaan sekarang.

“Rohingya tidak percaya mereka selamat. Siapa yang mahu pulang jika anda tahu anda tidak selamat,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Saifuddin berkata, Rohingya adalah salah satu isu yang dibangkitkan oleh Malaysia dalam sesi Plenary AMM yang dipengerusikan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai.

Beliau menambah bahawa harus ada pemahaman yang jelas antara kerajaan Myanmar dan Bangladesh untuk memastikan penghantaran balik Rohingya berlaku.

Saifuddin menegaskan pelaku keganasan terhadap Rohingya mesti dibawa ke muka pengadilan.

Dilaporkan lebih daripada 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas kempen pengawalan ketenteraan oleh tentera Myanmar di Rakhine yang terletak di bahagian barat negara itu sebagai tindak balas terhadap serangan, pada 2017.

Kempen itu membawa kepada tuduhan bahawa pasukan keselamatan melakukan perogolan dan pembunuhan beramai-ramai dan membakar ribuan rumah.

Bangladesh kini menampung lebih 1.1 juta Rohingya. Bangladesh sudah menyerahkan senarai baharu 25,000 Rohingya ke Myanmar untuk pengesahan sebelum penghantaran ke Rakhine.

Semasa sesi pleno, Saiffudin menyeru supaya dikaji semula Terma Rujukan (ToR) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN (AICHR) untuk meningkatkan pelaksanaan dan keberkesanannya dalam mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia di rantau ini.

“Kami sepatutnya mengkaji semula ToR untuk memastikan AICHR lebih berkesan. Ini adalah untuk memastikan terdapat mekanisme tertentu untuk membuat aduan jika ada sesuatu yang berlaku di negara dan tempat tertentu.

“Tidak ada mekanisme yang jelas bagaimana untuk membuat aduan dan apakah tindakan yang akan diambil oleh AICHR untuk menangani isu berkenaan, “katanya.

AICHR, yang ditubuhkan pada tahun 2009, bagi menunjukkan komitmen ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama serantau tentang hak asasi manusia

Di samping Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura telah banyak kali menyuarakan sokongan untuk usaha ini.

Selain itu, Saifuddin mengulangi sokongan Malaysia untuk Timor Leste menjadi ahli baru di ASEAN.

Walau bagaimanapun, beliau berkata ASEAN memutuskan bahawa perlu ada misi mencari fakta untuk membuat penilaian

“Kami berharap akhirnya akan ada laporan mengenai perkara ini. Kami berharap Timor Leste akan menjadi ahli ASEAN, “katanya.

-BERNAMA