Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

DBP disaran wujud Akademi Sasterawan Harapan – Maszlee

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Bagi melahirkan pelapis sasterawan berbakat negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran mewujudkan Akademi Sasterawan Harapan untuk membolehkan mereka mendapat bimbingan daripada sasterawan negara.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata akademi itu boleh mengambil pelajar dari peringkat sekolah rendah dan menengah sehingga universiti untuk memperoleh ilmu dan pengalaman daripada seorang ahli dalam bidang itu.

“Kita tahu sasterawan negara datang dan pergi dan ada juga pelbagai program telah dianjurkan… namun apa yang saya ingin utarakan adalah mengembalikan tradisi keilmuan iaitu tradisi berguru, bertalaqqi, kita ingin membina sasterawan daripada umur cilik lagi,” katanya pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan Hadiah Sastera Tunas Cipta 2017/2018 di sini, hari ini.

Selain itu, Maszlee berkata kementerian akan memastikan sekolah harian kerajaan mewujudkan sudut sasterawan negara mulai tahun depan bagi memupuk kecintaan terhadap ilmu kesusasteraan.

Pada majlis itu, Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar memenangi hadiah berjumlah RM9,500 menerusi dua kategori iaitu buku sastera dewasa bergenre autobiografi ‘Jejak Seni Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad’ dan kategori drama eceran berjudul ‘Pokok’.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan polis dibuat terhadap Dr Dominic kerana memfitnah pentadbiran PAKATAN

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Satu laporan polis telah dibuat terhadap Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Dr Dominic Lau kerana memfitnah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang kononnya akan membawa masuk guru dari Arab Saudi untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah negara ini.

Laporan dibuat oleh Mahmmod Kassim, Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik atas perbuatan Lau memfitnah serta menyebarkan persepsi negatif terhadap Maszlee dan pentadbiran PAKATAN.

“Guru-guru dari Arab Saudi sebenarnya akan dihantar ke Malaysia untuk belajar daripada sistem pendidikan negara ini di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Mereka akan didedahkan dengan metod pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mereka bukan diupah untuk mengajar murid-murid di negara kita,” kata Mahmmod dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, memfitnah dengan kesalahan fakta dan penyebaran persepsi negatif sebegini boleh menganggu gugat hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi dan membantutkan proses silang pendidikan serta kemajuan negara.

Kementerian Pendidikan memaklumkan persetujuan itu dicapai melalui pertemuan Maszlee bersama Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Mohammed Al Shaikh, di mana guru-guru subjek berkenaan dihantar ke Malaysia bagi mendapatkan pengalaman di sini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bahasa Melayu perlu kembali dipercayai

TANJUNG MALIM, 28 SEPT: Bahasa Melayu perlu kembali dipercayai menjadi bahasa ilmu dan pengetahuan agar istilahnya kekal segar seiring kemunculan istilah dalam pelbagai bidang antaranya ekonomi, politik, undang-undang termasuk bidang digital dan teknologi.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, semua pihak seperti badan dan agensi dari dalam dan luar negara perlu terus memainkan peranan bagi membudayakan, memartabatkan, memasyarakatkan dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu.

“Sebar luaskanlah usaha-usaha yang mengangkat bahasa rasmi negara ini. Biar ia kembali lahar dan gempita,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2019 di Kampus Sultan Azlan Shah Proton City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr Abdul Aziz Bari.

Terdahulu, Mohammad Shatar dalam ucapannya berkata Bahasa Melayu wajar mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara tetapi juga di setiap pelosok dunia merangkumi Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Syarikat.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam PABM iaitu kategori Alam Melayu, kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, dan kategori Antarabangsa.

Bagi kategori Alam Melayu ia dimenangi Amirul Iqmal Razlan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), manakala juara kategori pelajar Antarabangsa di Malaysia menjadi milik Moustapha Koutoub Sano yang merupakan penuntut UIAM dari Guinea, sementara Qurbanov Ozad Nurmuhammad Ugli dari Uzbekistan State University of World Languages, dinobatkan pemenang kategori Antarabangsa.

Sementara itu, Sano berkata beliau yang telah berada di Malaysia selama 10 tahun berasa gembira dan bersyukur kerana memenangi pertandingan ini.

“Saya gembira ramai cikgu-cikgu dan rakan-rakan banyak tolong saya. Saya hanya mengambil masa sebulan untuk berlatih dan tidak menyangka boleh menang pertandingan ini,” katanya yang berusia 22 tahun.

Pemenang tempat pertama bagi setiap kategori menerima RM10,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori membawa pulang RM8,000 dan RM5,000 serta piala iringan dan sijil penyertaan

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penilaian PM terhadap prestasi menteri kabinet adil – Maszlee

PUTRAJAYA, 7 MEI: Markah lima daripada sepuluh yang diberikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap prestasi menteri Kabinet bagi tempoh satu tahun pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah satu penilaian yang adil, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Katanya sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman, Dr Mahathir tentunya lebih tahu tentang markah yang diberikan.

“Ia penilaian yang agak adil daripada seorang yang mempunyai banyak pengalaman dalam pemerintahan kerana beliau sangat konservatif,” katanya apabila diminta mengulas penilaian Dr Mahathir yang memberikan markah lima daripada 10 bagi prestasi para menteri selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pendidikan di sini.

Perdana Menteri juga dilaporkan berkata kebanyakan menterinya orang baru dan kurang berpengalaman ketika mereka mula-mula dilantik ke jawatan masing-masing tetapi kini mereka telah banyak belajar.

Berhubung pengakuan Dr Mahathir bahawa program matrikulasi diwujudkan sebagai “pintu belakang” buat orang Melayu memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Maszlee berkata kenyataan itu menjurus kepada asal usul penubuhan matrikulasi pada 1999 untuk meningkatkan bilangan Bumiputera mengambil jurusan sains di universiti awam.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Statut Rom: Pensyarah perlu bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Empat pensyarah yang terbabit dalam rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja, pada 2 April lalu perlu bertanggungjawab dan bersedia memikul akauntabiliti terhadap apa jua yang ingin mereka ketengahkan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, ia selari dengan janji kerajaan untuk mengangkat kebebasan akademik seperti yang diputuskan Kabinet sebelum ini.

“Pada masa sama, kita berharap isu ini diperdebat secara ilmiah dan berfakta tanpa mempunyai niat tertentu sama ada bersifat politik atau tidak.

“Oleh yang demikian, mereka yang terbabit perlu bertanggungjawab dan bersedia memikul akauntabiliti terhadap apa jua yang mahu diperdebatkan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas surat terbuka yang ditujukan kepadanya daripada anggota kumpulan bekas penjawat awam G25 Tan Sri Alwi Jantan yang dilaporkan di laman sebuah portal berita, merujuk kepada tindakan empat pensyarah terbabit yang dilihatnya melakukan kesalahan sebagai penjawat awam.

Rumusan eksekutif bagi meratifikasikan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu dilakukan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad; pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz serta dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Alwi mempersoalkan sama ada tindakan keempat-empat ahli akademik itu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada naib canselor masing-masing sebelum membentangkan rumusan kertas kerja kepada Majlis Raja-Raja.

-BERNAMA