Categories
NASIONAL

Kerajaan berjaya wujud 243,000 peluang kerja baharu

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Sebanyak 243,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan berdasarkan data suku tahunan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sejak Mei 2018 hingga Mac lalu, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.

Beliau berkata, angka itu berdasarkan kepada jumlah guna tenaga pada suku pertama 2019 berjumlah 15,010,200 orang, berbanding 14,767,200 pada 2018.

“Data terkini berhubung gaji belum dikeluarkan DOSM. Bagaimanapun, data sedia ada bagi suku kedua 2019 untuk gaji pada 2017 menunjukkan gaji purata mengikut kemahiran adalah RM4,574 (sebulan) bagi tenaga kerja mahir, RM1,947 untuk tenaga kerja separa mahir dan RM1,531 bagi tenaga kerja berkemahiran rendah.

“Menerusi Rancangan Malaysia Ke-11, jumlah guna tenaga pada 2020 dijangka mencecah 15,347,500 orang, peningkatan sebanyak 580,300 sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) memerintah,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu jumlah pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan, berjaya dicipta untuk tempoh setahun lalu dan langkah akan diambil bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Kula Segaran berkata, data itu menunjukkan kerajaan mampu mewujudkan peluang pekerjaan dalam anggaran 200,000 setahun dan dijangka dapat menghasilkan satu juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

“Kerajaan akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing atau pelaburan langsung domestik yang menyumbang kepada penghasilan ‘high value jobs’ dan ‘knowledge worker (k-worker)’, yang mana negara perlu bersifat selektif dalam menarik pelaburan, iaitu menolak pelaburan berintensif buruh serta bergaji rendah.

“Selain itu, menambah nilai kerja melalui inovasi dan kreativiti dengan memperbanyakkan elemen automasi berteknologi tinggi bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk pencari kerja berkemahiran serta mengambil langkah sesuai dengan kerjasama industri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing yang bergaji rendah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia negara ASEAN pertama tawar rawatan Cyberdyne Hybrid Limb

MELAKA, 13 MEI: Malaysia adalah negara pertama di Asean dan keempat di dunia menawarkan rawatan perubatan Cyberdyne Hybrid Limb (HAL), yang merupakan teknologi perubatan inovatif bagi merawat pesakit yang lumpuh atau lemah anggota badan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, rawatan itu kini boleh didapati di Pusat Pemulihan Neuro-Robotics dan Cybernics di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (TRRC) di Ayer Keroh di sini yang dilengkapi dengan 24 unit robot HAL yang dibangunkan Cyberdyne Inc dari Jepun.

Katanya, pusat itu memberikan rawatan kepada mereka yang diinsurankan Perkeso yang mengalami kekurangan daya fizikal ataupun kehilangan upaya akibat kecederaan atau gangguan akibat sistem saraf pusat seperti kecederaan saraf tunjang, strok, kecederaan otak traumatik, sklerosis berganda dan penyakit kemerosotan saraf, bagi mengembalikan semula keupayaan mereka.

“Saya dimaklumkan, rawatan Cybernic yang baru dibangunkan merupakan satu rawatan terkini menggunakan robot, yang akan membangkitkan fungsi otak-fizikal otak pesakit sendiri melalui interaksi isyarat antara manusia dan robot.

“Ini mempercepat proses pembelajaran otak dan otot untuk menggerakkan semula kaki yang lumpuh dan membawa perubahan dalam fungsi pergerakan pesakit. Teknologi baharu ini pasti akan meningkatkan kadar pemulihan pekerja yang dirawat dan dipulihkan di TRRC,” katanya ketika merasmikan pusat rehabilitasi terbabit, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kaunselor dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun ke Malaysia, Hiroyuki Orikasa; Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cyberdyne Inc, Jepun, Prof Dr Yoshiyuki Sankai.

Kula Segaran berkata sehingga kini, 100 peaskit yang diinsurankan di bawah Perkeso telah menjalani rawatan Cyberdyne HAL di TRRC yang bermula November tahun lepas, di mana kebanyakan pesakit ini mengalami kecederaan saraf tunjang atau strok.

Sehingga bulan lepas katanya, TRRC telah menerima 3,875 pesakit yang diinsurankan Perkeso dan untuk empat bulan pertama 539 kes telah dirujuk ke TRRC yang mana 463 dibenarkan pulang dengan 268 diberikan rehabilitasi yang mana 195 daripada mereka, telah kembali bekerja.

Sementara itu ketika bercakap di sidang media selepas itu, Kula Segaran berkata, pada masa ini terdapat 100 orang yang diinsurankan, kini dalam senarai menunggu untuk menerima rawatan dan TRRC akan melakukan yang terbaik bagi memberikan rawatan kepada mereka secepat mungkin.

“Salah satu cadangan yang sedang dibincangkan ialah memanjangkan masa operasi lebih daripada 5.30pm dan kemungkinan membuka pusat itu pada hari minggu. Kita akan melihat cadangan itu dan apabila pusat itu dapat memenuhi permintaan orang yang diinsuranskan, kita mungkin membukanya kepada orang awam bagi menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Azman berkat,a kos permulaan untuk pusat dan teknologi ialah USD 200,000, manakala rawatan Cyberdyne HAL diberikan secara percuma kepada mereka yang diinsurankan Perkeso.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jadikan TVET pilihan utama lanjut pengajian

SEREMBAN, 24 MAC: Pendidikan, Latihan, Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran perlu dijadikan pilihan utama pelajar yang ingin melanjutkan pengajian, dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, ketika ini jumlah tenaga kerja mahir hanya sebanyak 28 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus menjelang 2020.

“Program latihan kemahiran adalah mustahak, pembangunan sesebuah negara berpotensi tergugat kalau tiada tenaga kerja yang mencukupi dalam bidang kemahiran ini dan sekiranya ia mencukupi, kita tidak perlu terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.

“Harap anak muda boleh jadikan bidang TVET sebagai pilihan utama, ibu bapa jangan hanya tertumpu untuk hantar anak ke universiti semata-mata sedangkan bidang TVET tidak kurang pentingnya,” katanya selepas Program Bersiri Kementerian Sumber Manusia Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Kula Segaran berkata, penglibatan kaum Cina dalam bidang TVET ketika ini hanya mencatatkan satu peratus manakala kaum India pula lima peratus.

“Sebab itu kita mahu galakkan lebih ramai pelajar tidak kira kaum menceburi bidang TVET. Bahkan saya ada juga pergi Cameron Highlands sebelum ini untuk menarik Orang Asli menyertai bidang TVET, meskipun terdapat kekangan komunikasi, namun mereka diberi sedikit kelonggaran bagi membolehkan mereka sama-sama mengikut kursus-kursus berkaitan,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang TVET, kursus jangka pendek yang hanya mengambil masa tiga hingga enam bulan turut ditawarkan di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) antaranya kursus membaiki telefon bimbit.

“Setakat ini permohonan kemasukan ke ILP agak menggalakkan tetapi kita masih perlu galakkan pelajar masuk ke bidang ini, jadi kena jalankan kurus-kursus pendek yang hanya ambil masa tiga hingga enam bulan berbanding dahulu yang melibatkan tempoh pengajian lebih lama iaitu antara setahun ke dua tahun.

“Mereka yang terlibat dalam bidang TVET khususnya pelajar-pelajar ILP boleh dikatakan 94 peratus mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian bahkan ketika mereka masih belajar lagi kerja sudah menanti mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata, Kementerian Sumber Manusia yang beribu pejabat di Putrajaya mengadakan Hari Bertemu Pelanggan setiap Selasa bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi, yang bukan sahaja dihadiri ketua-ketua jabatan namun beliau sendiri turut serta.

“Saya harap program ini dapat diperluaskan dan sekarang di Sabah pun telah diadakan program ini yang selain untuk mendekati masyarakat ia juga bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada masyarakat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pelaksanaan gaji minimum ikut sektor bukan sekarang

IPOH, 3 MAC: Pelaksanaan gaji minimum mengikut sektor hanya akan dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Beliau berkata, mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, kajian semula mengenai gaji minimum harus dilakukan setiap dua tahun.

“Banyak orang tidak faham tentang hal gaji, ia ditentukan satu jawatankuasa (Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara), menteri tidak ada kuasa.

“Sebelum pelaksanaan gaji minimum RM1,100 semua aspek perbincangan sudah diadakan tetapi mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 ia akan dikaji semula dan pelaksanaannya bukan sekarang,” katanya, lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan ‘Meet & Session’ di program Satria 4.0 & TVET Seminar 2019 di Institut Perindustrian Ipoh (ILP) Meru, di sini.

Isnin lalu, media melaporkan kerajaan akan mengkaji semula kadar gaji minimum mengikut sektor pekerjaan.

Dalam laporan itu, Kula Segaran dipetik sebagai mengambil contoh kadar gaji minimum di Sabah secara umumnya sebelum ini dinaikkan kepada RM1,100 daripada RM920 yang dilihat menimbulkan rungutan majikan di negeri itu.

Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, buat masa ini menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana majikan enggan atau membayar gaji kurang daripada RM1,100.

Pada program dihadiri lebih 300 pelajar itu, Kula Segaran menerangkan bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mempunyai peluang pekerjaan cerah pada masa hadapan termasuk dalam bidang perfileman.

“Sebelum ini saya sudah berjumpa dengan pelakon terkenal filem Tamil dari India, Kamal Hassan yang menyatakan kepada saya bahawa India kurang mempunyai pekerja mahir teknikal dalam bidang perfileman.

“Dia menyatakan bahawa mungkin kita boleh mengadakan institusi teknikal untuk mengajar, supaya mereka (penggiat filem India) boleh membuat lebih banyak pengambaran filem di Malaysia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan lancar Indeks Gaji Kebangsaan ukur upah, gaji

PUTRAJAYA, 19 FEB: Kerajaan hari ini melancarkan Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) sebagai garis panduan bagi mengukur perubahan upah dan gaji pekerja, di pasaran buruh Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, ia adalah satu daripada 11 inisiatif konsolidasi pasaran buruh di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dalam bidang prioriti meningkatkan produktiviti, mendorong pewujudan kerja dan menaikkan struktur gaji.

Katanya, indeks yang pertama di negara itu boleh digunakan majikan sebagai panduan dalam menetapkan tahap gaji untuk pelarasan dan input kepada dasar sumber manusia mereka.

“Pekerja dan pencari kerja boleh menilai perubahan gaji mereka dengan trend pasaran buruh yang lebih luas serta dalam laluan kerjaya mereka,” katanya selepas melancarkan NWI, lapor BERNAMA.

Katanya, kerajaan boleh menggunakan NWI untuk memantau pelarasan gaji, sebagai input bagi menetapkan gaji dan menyemak gaji minimum untuk pertimbangan dasar.

Beliau berkata, NWI dibangunkan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh berdasarkan tinjauan suku tahunan berkenaan maklumat dan pelarasan daftar gaji antara September 2016 hingga Jun 2018.

“Antara keputusan utama tinjauan itu menunjukkan gaji asas naik 8.2 peratus sepanjang lapan suku tahun dan kementerian akan menerbitkan NWI, pada setiap suku tahun serta terbitan akan datang ialah pada suku kedua 2019,” katanya.

Pada masa sama, Kulasegaran berkata, kerajaan akan memberi fokus kepada meningkatkan penyertaan wanita, pesara berusia lebih 60 tahun dan orang kurang upaya sebagai pekerja prospektif dalam kumpulan buruh.

“Kita tidak harus membiarkan bakat dan pengalaman pekerja lebih tua dibazirkan oleh kerana mereka boleh menyumbang banyak kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wujud sejuta peluang pekerjaan bukan janji kosong

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Manifesto Pakatan Harapan untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu bukan hanya janji kosong, sebaliknya ia akan dilaksanakan.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, kerajaan mampu mencapai sasaran itu, namun negara pada masa ini menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

“Masalahnya ialah guna tenaga penuh dengan peratusan tidak bekerja hanya 3.4 peratus dan kekurangan tenaga kerja, justeru usaha sedang dibuat supaya kita dapat lebih banyak tenaga kerja yang boleh meningkatkan pendapatan negara ini.

“Meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 adalah dasar kerajaan, ia semestinya boleh dicapai dalam tempoh lima tahun dan usaha pertama dimulakan dengan meningkatkannya daripada RM1,000 kepada RM1,100 yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) sama ada kerajaan akan melaksanakan janji mewujudkan sejuta peluang pekerjaan seperti terkandung dalam manifestonya.

Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran suku ketiga 2018 mencatatkan kadar 3.4 peratus, tidak berubah berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, kadar pengangguran graduan pada 2017 adalah 137,400, meningkat 4.4 peratus berbanding 131,600, pada 2016.

“Golongan ini yang berada dalam proses transisi daripada alam pembelajaran kepada pasaran pekerjaan juga akan melalui proses untuk mendapatkan pekerjaan.

“Antara program yang dilaksanakan bagi menangani perkara ini ialah menaik taraf sistem portal pekerjaan JobsMalaysia sebagai projek pembangunan kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ke-11; Program Penempatan Pekerjaan (3P) antaranya karnival kerjaya dan temu duga terbuka,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Komited perkasa pendidikan masyarakat India

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan terus memperkasa pendidikan masyarakat India, selaras manifesto gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, ia termasuk menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti dan sekolah yang sempurna serta selesa.

“Kita akan teruskan pembinaan enam Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil yang dilaksanakan sejak setahun lalu, malah isu ini dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.

“Kerajaan bersetuju supaya SJK tidak kira Tamil atau Cina akan disiapkan tanpa diskriminasi walaupun kekurangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat India, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Kulasegaran berkata, sehingga kini, terdapat 525 SJK Tamil di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya yakin masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan terus menyokong calon PAKATAN di kawasan berkenaan, pada Pilihan Raya Kecil, 4 Ogos ini.

“Keyakinan ini bersandarkan kepada lebih 80 peratus masyarakat India menunjukkan sokongan kepada PAKATAN, pada PRU14 lalu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Menteri Perlu Perjelas Dakwaan Ijazah Palsu

ijazah palsu

KUALA LUMPUR 27JUN : Dua menteri kabinet Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan ijazah palsu dari luar negara digesa memperjelaskan perincian berkenaan dakwaan tersebut.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mendakwa beliau memperolehi maklumat mengenai kelulusan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem daripada laman web Kementerian Luar Negeri.

“Kami menyeru menteri untuk menjelaskan mengapa Kementerian Luar Negeri menyenaraikan kelayakan beliau sebagai sedemikian dan bukannya apa yang menteri sebut bahawa beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari University of Hertfordshire seperti mana yang dilaporkan dalam pelbagai laman online semalam,” katanya.

Dr Ong berkata demikian dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Richard didakwa memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Preston University, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Richard dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Kian Ming menyatakan kesediaan berdepan dengan tindakan undang-undang berhubung kenyataannya.

Menurut Dr Kian Ming, laman web Kementerian Sains dan Teknologi juga tidak lagi menampilkan butir peribadi menterinya, Datuk Dr Ewon Ibin pada hari ini.

Sebelum ini, Dr Kian Ming mendedahkan menteri (Ewon) berkenaan memperolehi Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Commonwealth Open University dan Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming, Amerika Syarikat.

“Kami menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meminta perletakan jawatan serta merta salah seorang atau kedua-dua menteri tersebut sekiranya mereka tidak ikhlas mengenai kelayakan pendidikan mereka atau telah memperolehi ijazah ragu daripada kilang ijazah,” ujarnya lagi.