Categories
AGENDA NASIONAL

Caj RM1 transaksi ATM antara bank mulai esok

SHAH ALAM, 31 JAN: Mulai esok caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dikuat kuasa semula kepada pelanggan.

Beberapa bank antaranya Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC memuat naik notis itu di platform media sosial masing-masing pada pertengahan Disember lalu, lapor portal Berita Harian.

Menerusi makluman di media sosial, Maybank menyatakan bahawa mulai 1 Februari, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM dilaksanakan semula.

“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank,” demikian menurut bank itu.

Menurut CIMB, “Pelanggan yang dihormati, berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic.”

Menurut makluman Bank Islam pula, “Bagi pemegang kad Bank Islam, tiada caj dikenakan untuk pengeluaran menggunakan ATM Bank Islam.”

Pada 6 April 2020 kerajaan mengecualikan caj bagi memudahkan orang ramai mengeluarkan wang tunai menerusi ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Categories
SELANGOR

RM260,000 lesap, pencuri pecah mesin ATM di Klang

SHAH ALAM, 14 DIS: Sekumpulan pencuri melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 daripada sebuah Mesin Teler Automatik (ATM) selepas mereka memecah masuk sebuah kedai serbaneka di Meru, Klang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, seramai empat hingga lima suspek disyaki terlibat memecahkan mesin ATM di dalam premis terbabit menggunakan gas ‘Oxyacetylene’.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka itu, kesemua suspek yang memakai topeng memecah masuk premis berkenaan melalui pintu hadapan.

Mereka turut menyembur cat hitam pada CCTV bagi mengelakkan perbuatan mereka dirakam sebelum bertindak memecahkan mesin ATM disyaki dalam masa 30 hingga 40 minit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada pukul 6.20 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Pengecualian caj RM1 di mesin ATM kekal

PUTRAJAYA, 1 JUN: Pengecualian caj RM1 di semua mesin juruwang automatik (ATM) bagi pengeluaran wang mesin MEPS masih dikekalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijadualkan berakhir pada 9 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini, tiada perbincangan dan permohonan dibuat dengan pihak bank bagi mengubah pelaksanaan itu yang berkuat kuasa pada 6 April lepas.

“Tiada perubahan untuk bayaran RM1 bagi pengeluaran di mesin ATM, jadi kita masih boleh nikmati faedah diberikan itu setakat hari ini,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa semua institusi perbankan dan PayNet mengecualikan caj RM1 bagi pengeluaran wang antara bank di ATM yang menggunakan rangkaian Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) bagi mengelak kesesakan di kaunter bank.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi mesin ATM terhad 12 jam sepanjang PKP

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan hari ini memutuskan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) hanya beroperasi 12 jam sehari dari 8 pagi hingga 8 malam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu bagi memastikan tiada orang awam keluar pada lewat malam dengan alasan mahu mengeluarkan wang di mesin ATM yang beroperasi 24 jam.

“Polis melaporkan apabila mesin ATM beroperasi 24 jam, ramai beri alasan untuk keluarkan wang, termasuk melebihi waktu ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, kita buat keputusan operasi mesin ATM hanya beroperasi jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja, maka tidak ada alasan keluar tengah malam untuk mengeluarkan wang,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 11 penjara sementara yang diwujudkan kerajaan bagi menempatkan pesalah ingkar PKP akan mula beroperasi mulai 23 April ini.

“Kita akan menyediakan pegawai dari Kementerian Kesihatan untuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi,” katanya.

Pada 15 April lalu, Ismail Sabri berkata Kementerian Dalam Negeri akan mewartakan 13 akademi penjara di seluruh negara sebagai pusat tahanan pesalah PKP kerana kerajaan tidak lagi berkompromi dengan golongan tersebut.