Categories
AGENDA NASIONAL

Sidang khas Parlimen bahas isu banjir 20 Januari

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Satu Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat akan diadakan pada 20 Jan ini, untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sesi khas itu merupakan platform terbaik untuk ahli-ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir.

“Mesyuarat Khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ia bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan Mesyuarat Khas ini juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PR capai persetujuan bersama, bincang isu pilihan raya PBT & hudud

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan dan cadangan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrah berkata, keputusan bersama itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PR, sekali gus meraikan perbezaan pandangan semua parti komponen berkenaan isu terbabit.

IMG_5765“PR akan terus meraikan perbezaan pandangan antara parti. Mesyuarat bersetuju mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu Enakmen Jenayah Syariah II dan Pilihan Raya PBT,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS, di Jalan Raja Laut, di sini.

Anwar berkata, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah turut hadir menjelaskan perihal Enakmen Jenayah Syariah mewakili Kerajaan Kelantan.

Sebagai usaha pengukuhan PR supaya terus bersama sebagai parti komponen, katanya, Konvensyen Pakatan Rakyat akan diadakan di Kuala Lumpur, pada 10 Mei ini.

PAKATAN RAKYATAnwar berkata, semua parti komponen PR setuju akan bersama dalam agenda mereka dan segala keputusan yang dibuat berteraskan asas permuafakatan bersama.

“Kita bersetuju konvensyen PR dianjurkan 10 Mei ini. Kita mendukung semua langkah memperkukuhkan PR membabitkan parti politik dan NGO bagi mencari jalan penyelesaian isu semasa terutama ekonomi serta ketegangan kaum,” katanya.

Mesyuarat hari ini pertama kali diadakan PR selepas kali terakhir, pada Oktober lalu.

Semua pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang hadir dalam mesyuarat yang berlangsung hampir sejam itu.

-NFN-