Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Cuaca diramal cerah pada hari mengundi di Semenyih

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca cerah, pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada 2 Mac ini.

METMalaysia melalui laman sesawangnya berkata, cuaca pada waktu pagi diramalkan cerah antara 27 hingga 30 darjah celcius.

“Cuaca juga diramalkan cerah pada waktu petang, bermula dari 30 hingga 33 darjah celcius,” katanya.

Ramalan kaji cuaca itu dikeluarkan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia.

Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemas kini, sehingga 11 Januari lalu.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang, pada 11 Januari lalu ekoran serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional, Datuk Johan Abdul Aziz dan dua lagi calon, iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Cuaca panas dijangka berterusan hingga hujung Mac

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, cuaca panas yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut.

“Lazimnya, ketika fasa akhir monsun timur laut ini, memang akan berlaku kenaikan suhu berikutan kekurangan hujan yang mana suhu yang dicatatkan sekarang adalah 34 hingga 36 darjah Celsius berbanding suhu biasa 32 hingga 34 darjah Celsius.

“Negeri di bahagian utara iaitu Perlis, Kedah dan di bahagian utara Perak mencatatkan suhu sehingga 37 darjah Celsius. Bagaimanapun, ia tidak berlaku setiap hari dan setakat ini kita tidak nampak (jangka) ia (suhu) akan sampai hingga 40 darjah Celsius di negeri berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, fenomena cuaca panas itu tidak berlaku di negeri pantai timur dan Sarawak.

Beliau berkata, taburan hujan yang dicatatkan di kebanyakan negeri berkenaan pada bulan ini juga rendah berbanding bulan lain.

“Bulan Februari ini memang taburan hujan dicatatkan sangat rendah terutama di negeri utara yang mana ada tempat langsung tidak menerima hujan.

“Kebanyakan negeri di utara mencatatkan hujan di bawah 50 milimeter (mm) dengan bilangan hari hujan yang dicatatkan hanyalah lima hari sebulan.

“Stesen Meteorologi Chuping sudah 27 hari tidak merekodkan hujan. Biasanya hujan yang dicatatkan adalah purata 15 hari sebulan. Di Lembah Klang pula, purata hujan yang dicatatkan bulan ini adalah 150mm berbanding 300mm pada bulan lain,” katanya.

Mohd Hisham berkata, suhu tinggi berlaku sekitar jam 2 hingga 4 petang di Pantai Barat Semenanjung, manakala di Sabah adalah sekitar jam 1 tengah hari hingga 3 petang.

“Bagaimanapun, cuaca panas ini dijangka berakhir pada pertengahan peralihan monsun iaitu sekitar hujung Mac hingga Mei kerana ketika peralihan monsun, kadar hujan dijangka meningkat dan suhu dijangka beransur menurun,” katanya.

Ditanya sama ada cuaca panas terjadi berikutan El Nino, katanya, fenomena itu tidak memberi impak yang signifikan kepada cuaca negara ketika ini.

“Sekarang ini adalah proses pembentukan El Nino. Bagaimanapun, El Nino yang dijangka berlaku agak lemah dan kebarangkalian terjadi adalah 65 peratus.

“Impaknya kepada negara tidak signifikan kecuali di Sabah kerana negeri itu terletak berhampiran dengan Lautan Pasifik yang mana El Nino berlaku berikutan pemanasan suhu di Lautan Pasifik,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA

MetMalaysia keluar amaran angin kencang dan ombak besar

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Angin kencang berkelajuan 60 kilometer (km) sejam dan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter (m)dijangka berlaku di kawasan perairan barat Samui, sehingga malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pada masa ini Ribut Tropika Pabuk berada di Teluk Siam dan dijangka merentasi Segenting Kra.

“Amaran angin kencang dengan kelajuan 50-60km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m juga dijangka melanda kawasan perairan Timur Samui, dalam tempoh sama,” menurut kenyataan itu yang dipetik BERNAMA.

Keadaan angin kencang dengan kelajuan 40-50km sejam dan mencapai ketinggian 3.5m itu juga dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, dalam tempoh sama.

Sementara itu, angin kencang berkelajuan 40-50km sejam dengan ombak berketinggian sehingga 3.5m dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket dan Selat Melaka Utara, hingga 5 Januari ini.

Keadaan itu turut melanda kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dalam tempoh sama, kata kenyataan itu.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan serta perkhidmatan feri

Ia turut berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Cuaca tidak menentu di Selangor hingga Selasa

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca di Selangor tidak menentu hingga Selasa ini.

Melalui laman sesawangnya, METMalaysia meramalkan cuaca di Klang, Petaling, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam hujan sehingga 28 Disember ini (Jumaat).

Bagaimanapun, cuaca dijangkakan panas pada Sabtu, 29 Disember ini dan kembali hujan sehingga Selasa, 1 Januari.

Sementara cuaca di Hulu Langat, Gombak dan Hulu Selanngor diramalkan mengalami hujan lebat sehingga Sabtu ini.

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran ribut petir, angin kencang

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan perairan, di seluruh negara.

Memetih BHOnline, antara kawasan terbabit ialah di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Sarawak.

Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, dijangka berlarutan sehingga tengah hari ini.

“MetMalaysia turut menjangkakan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Barat Sabah.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk aktiviti nelayan serta perkhidmatan feri,” katanya.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Ribut petir berlarutan waktu petang di Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 NOV: Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca di Selangor mengalami hujan ribut petir, pada waktu petang.

Melalui laman sesawangnya, cuaca itu dijangka berlarutan hingga 11 November ini (Ahad).

Antara kawasan yang terjejas termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Pada masa sama, cuaca dijangkakan baik pada waktu pagi, namun berubah ribut petir pada waktu petang dan hujan di satu dua tempat, pada sebelah malam.

Manakala sepanjang sambutan Deepavali hari ini, METMalaysia meramalkan hujan berlaku di satu dua tempat sahaja.

Angkatan Pertahanan Awam Selangor melalui laman facebooknya pula mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir supaya berada dalam keadaan waspada.

Ia berikutan Sungai Tengi di Kuala Selangor menerima bacaan paras air tinggi selepas berlaku ribut petir, bermula petang semalam.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Hujan dan ribut petir hingga 6 November

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 OKT: Cuaca di Selangor diramalkan mengalami hujan dan ribut petir sehingga 6 November ini, mengikut Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia).

Menerusi laman sesawangnya, ia berlaku termasuk di Klang, Hulu Selangor, Gombak, Kuala Selangor, Petaling, Hulu Langat, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang.

“Diramalkan pada waktu pagi, cuaca hujan di satu dua tempat, namun kemudian pada waktu petang berubah kepada ribut petir,” kata laporan ramalan itu.

Sebelum itu, METMalaysia turut memaklumkan, musim monsun timur laut atau musim tengkujuh pada tahun ini lebih awal berbanding tahun lalu yang berlaku pada awal November dan berubah mengikut dinamik cuaca serta pelbagai faktor lain.

Musim tengkujuh dijangka mengakibatkan hujan berterusan sehingga tempoh lima hari berturut-turut, bermula hari ini hingga Mac 2019.

Categories
SELANGOR

Amaran ribut petir sehingga jam 5 petang di Selangor – METMalaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 OKT : Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi kawasan Selangor sehingga jam 5 petang ini.

METMalaysia melalui kenyataannya di laman facebook rasmi memberitahu, kejadian ribut petir turut diramalkan berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Amaran ribut petir yang dikeluarkan pada jam 1 petang itu turut melibatkan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Sementara itu melalui ramalan kaji cuaca utama negeri mendapati, cuaca beserta ribut petir itu dijangka berterusan hingga Ahad ini, 14Oktober,” katanya.

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Amaran ribut petir di Selangor – METMalaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OKT: Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi kawasan Selangor sehingga jam 6 petang ini.

METMalaysia melalui kenyataan facebook memaklumkan, kejadian ribut petir turut diramalkan berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang dan Melaka.

“Sementara itu, ramalan kaji cuaca utama negeri mendapati cuaca berserta ribut petir berkenaan dijangka berterusan sehingga Khamis ini, 10 Oktober.

“Namun, cuaca hujan pula diramalkan bermula pada Jumaat, 5 Oktober hingga Isnin, 8 Oktober 2018,” katanya.

Semalam, Selangor turut mengalami ribut petir di beberapa kawasan sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat serta beberapa kejadian pokok tumbang, di sekitar Klang.

Categories
SELANGOR

Ribut petir di Selangor dijangka hingga Ahad

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 SEPT: Selangor diramalkan berdepan cuaca ribut petir dan hujan sehingga 23 September ini.

Laporan ramalan kaji cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, kekerapan hujan akan berlaku pada waktu pagi dan petang.

“Sementara pada sebelah malam, hampir semua tempat tidak mengalami hujan,” katanya.

Keadaan ribut petir itu juga dijangka berlaku di Petaling, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Langat, Gombak dan Sepang.

Sementara itu di Klang, cuaca diramalkan mendung dan hujan sedikit di beberapa tempat.

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Ribut petir diramal landa Selangor hingga esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JUN: Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir berlaku, di Selangor sehingga esok.

Mengikut laporan kaji cuaca di laman sesawangnya, cuaca ribut petir itu dijangka berlaku pada waktu petang, bermula hari ini hingga esok.

Sementara itu, pada waktu pagi dan malam dijangka tiada hujan diramal berlaku.

Bermula 27 Jun (Rabu) hingga 1 Julai (Ahad) ini pula diramal cuaca cerah dari pagi hingga malam.

Manakala suhu dijangka maksimum sehingga 34 darjah celcius dan berada pada tahap minimum, pada 25 darjah celcius.

 

Categories
NASIONAL

MetMalaysia umum amaran ribut petir di 3 negeri

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 JAN : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengumumkan amaran ribut petir dijangka berterusan sehingga pagi ini di perairan Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

MetMalaysia berkata, keadaan itu boleh menyebabkan terjadinya angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) di kawasan seksyen A perairan negara.

“Keadaan itu menyebabkan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

“Bagi seksyen B pula, amaran bagi aktiviti perkapalan dikeluarkan keadaan ribut petir berlaku di perairan Selat Melaka Utara dijangka berterusan sehingga pagi ini.

“Angin kencang sehingga mencecah 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter juga berbahaya kepada bot kecil,” katanya.