Categories
GLOBAL

Mangsa letupan paip minyak Mexico meningkat kepada 93

MEXICO CITY, 23 JAN: Jumlah mangsa terkorban dalam letupan saluran paip minyak di negeri Hidalgo, Mexico meningkat kepada 93 orang, lapor agensi berita China Xinhua.

Memetik kenyataan

Menteri Kesihatan Mexico, Jorge Alcocer dalam kenyataannya semalam berkata, angka itu meningkat susulan luka terbakar teruk yang dialami mangsa, kata Alcocer dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador.

“46 mangsa lagi masih dirawat di hospital termasuk seorang mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dengan prognosis buruk,” kata menteri itu.

Angka korban dalam insiden letupan pada 18 Januari itu semakin meningkat kerana beberapa mangsa yang cedera parah meninggal dunia akibat kecederaan mereka.

Menurut kerajaan tempatan, antara 600 dan 800 orang berkumpul di lokasi itu untuk menadah minyak yang bocor dengan bekas apabila letupan berlaku.

Nahas itu adalah antara tragedi terburuk yang disebabkan oleh letupan saluran paip di Mexico sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Disember 2010, sejumlah 30 orang terbunuh manakala 52 lagi cedera dalam satu siri letupan di dua saluran paip minyak di Puebla.

– BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Kerajaan baharu Mexico jual pesawat presiden

MEXICO CITY 3 DIS: Pesawat besar, mewah yang digunakan untuk membawa bekas presiden Mexico ke seluruh dunia bakal dijual, antara langkah pertama yang dilakukan presiden baharu dalam usaha untuk menghapuskan amalan yang dianggap pembaziran.

“Kami menjual semua pesawat dan helikopter yang digunakan pemimpin korup terdahulu,” kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador ketika perhimpunan di Xalapa, Veracruz yang mendapat sorakan daripada orang ramai.

Menteri Kewangan, Carlos Urzua mengadakan sidang media di sini, awal pagi semalam, dihadiri kumpulan kecil wartawan tempatan di hadapan pesawat Boeing 787 Dreamliner untuk mengumumkan penjualan pesawat itu dalam waktu terdekat.

Jurugambar dan kru kemudian dibawa untuk meninjau bahagian dalam pesawat yang luas, dindingnya dihiasi dengan lambang kerajaan, monitor skrin rata, termasuk bilik tidur presiden dan bilik mandi yang diperbuat daripada batu marmar.

Urzua berkata, pesawat presiden berharga AS$218 juta (RM911 juta) dibeli pada penghujung 2012 adalah salah sebuah 60 buah pesawat milik kerajaan yang bakal dijual, termasuk 70 buah helikopter.

Menurut kenyataan kementerian kewangan, pesawat itu bakal diterbangkan hari ini ke lapangan terbang Victorville di California Selatan atas cadangan Boeing menunggu pemilik baharu.

Sementara itu, ketika perhimpunan itu juga Lopez Obrador turut mengumumkan beberapa janji kempen, termasuk menamatkan bayaran pencen bekas presiden dan memotong bayaran pencen pegawai kanan kerajaan sebagai satu langkah penjimatan.

Presiden baharu Mexico itu juga mengarahkan agar kediaman rasmi presiden di Los Pinos yang berusia lebih lapan dekad itu, dijadikan pusat budaya kerana beliau memilih untuk tidak tinggal di kediaman itu.

Kemenangan besar Lopez Obrador pada pilihan raya Julai lalu memberi nafas baharu kepada rakyat Mexico yang diperintah dua parti yang sama selama 89 tahun.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

85 cedera jet Aeromexico jenis Embraer terhempas di Mexico

GLOBAL 1 OGOS: Seramai 85 penumpang cedera selepas jet yang dikendalikan oleh Aeromexico jenis Embraer terhempas dalam kejadian hujan lebat di utara Mexico.

Agensi Berita TRT World melaporkan, insiden berlaku ketika jet tersebut dari Lapangan Terbang Durango Mexico pada Selasa.

Pesawat itu jatuh di kawasan padang dalam keadaan baik sebelum ia mula terbakar.

Namun, pihak berkuasa berkata, semua penumpang sempat menyelamatkan diri masing-masing.

Gabenor Durango, Jose Aispuro pada asalnya menulis di Twitter: “Disahkan tiada kemalangan jiwa berlaku,” tetapi beliau kemudian berkata bahawa pihak berkuasa memeriksa pesawat yang terbakar tersebut untuk memastikan tiada mangsa terperangkap.

Aispuro berkata, seramai 49 mangsa telah dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata, beberapa penumpang keluar dari kawasan itu manakala segelintir yang lain kembali ke Lapangan Terbang Durango untuk mencari saudara mereka.

Pengarah agensi pertahanan awam Durango, Israel Solano Mejia memberitahu Foro TV bahawa pesawat tersebut terhempas tidak jauh dari penghujung landasan lapangan terbang.

“Mangsa yang paling teruk mengalami kecederaan ialah juruterbang.

“Tetapi kebanyakan penumpang lain berjaya menyelamatkan diri mereka tanpa bantuan pihak ketiga,” katanya.

Laman web Planespotters.net menyatakan, pesawat saiz sederhana yang dihasilkan oleh Brazil itu berusia 10 tahun dan pernah terbang bersama dua syarikat penerbangan lain sebelum menyertai Aeromexico.

SUMBER: TRT World

Categories
SUKANKINI

WC2018: Neymar pastikan Brazil ke suku akhir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 3 JUL: Brazil mempamerkan kebangkitan menakjubkan dibabak kedua untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas Mexico bagi menempah tiket ke suku akhir Piala Dunia 2018 hasil jaringan Neymar dan Roberto Firmino.

Babak pertama berlalu tanpa jaringan walaupun Mexico terlebih dahulu mengetuk pintu gol Brazil menerusi percubaan Hirving Lozano pada minit kedua apabila menyambut bola muntah tumbukan penjaga gol, Alisson Becker hasil hantaran lintang Andres Guardado.

Lozano sekali lagi hadir memberikan ancaman minit ke-14 apabila menghantar bola ke dalam kotak penalti tetapi jauh untuk disambut penyerang, Javier Hernandez.

Pergerakan Brazil yang sering terbatas bagaimanapun hampir menjelmakan jaringan menerusi larian solo Neymar apabila masuk menghampiri gawang tetapi rembatannya berjaya dihalang penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa.

Ochoa sekali lagi mempamerkan ketangkasan di minit ke-32 apabila menyelamatkan percubaan Gabriel Jesus yang sebelum itu memperdaya dua pertahanan Mexico.

Selepas 10 minit babak kedua bersambung, Neymar akhirnya memecah kebuntuan bagi meletakkan Brazil mendahului 1-0 selepas menampan hantaran ke dalam kotak penalti Willian.

Tiga minit kemudian, Paulinho hampir menggandakan jaringan buat Brazil tetapi rembatannya terus ditepis Ochoa di gawang Mexico.

Gandingan Neymar dan Willian nyata merunsingkan pertahanan Mexico apabila mereka sekali lagi terlepas peluang apabila rembatan Neymar tidak menepati sasaran di minit ke-67.

Ketika Mexico terus mengasak, Brazil akhirnya memperoleh gol kedua yang dicari pada minit ke-88 hasil jaringan pemain gantian, Roberto Firmino.

Fernandinho memulakan gerakan dengan melorongkan bola kepada Neymar di sebelah kiri dan disusuli hantaran ketengah kotak penalti yang mudah ditampan Firmino bagi kedudukan 2-0.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018

Categories
SUKANKINI

WC2018: Korea Selatan ‘bungkus’, Mexico mara

ROSTOV, Rusia 24 JUN: Pasukan Mexico meletakkan sebelah kaki ke pusingan 16 terbaik selepas mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 pada aksi Kumpulan F di Arena Rostov.

Keputusan tersebut menyaksikan wakil daripada Amerika Utara itu selesa mendahului peringkat kumpulan dengan enam mata selepas turut menewaskan juara bertahan, Jerman minggu lalu.

Nasib Korea Selatan pula berbeza apabila sah tersingkir daripada pentas Piala Dunia 2018 selepas gagal mengutip sebarang mata pada dalam dua perlawanan.

Pada saingan tersebut, Mexico yang memiliki momentum luar biasa hasil kemenangan ke atas Jerman bermula cemerlang dengan meraih beberapa peluang keemasan menerusi trio serangan mereka, Javier Hernandez, Carlos Vela dan Hirving Lozano.

Pasukan yang dikenali dengan jolokan El Tri itu akhirnya meraih gol pembukaan menerusi Vela yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27 selepas bola terkena tangan Jang Hyun-soo.

Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan berusaha memperkemaskan jentera serangan dan meraih peluang terbaik menerusi ketua pasukan, Ki Seung-yeung pada minit ke-56 tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Guillermo Ochoa.

Mexico kemudian melebarkan kedudukan selepas Hernandez menjaringkan gol kedua dan ke-50 peribadinya di pentas antarabangsa dengan menyudahkan hantaran Lozano pada minit ke-66.

Korea Selatan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Son Hyeun-min pada masa kecederaan tetapi keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER: KOSMO!

Categories
SUKANKINI

Osorio dedah rahsia kemenangan Mexico, bermain untuk menang

MOSCOW 18 JUN: Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio mendedahkan kejayaan anak buahnya menewaskan juara bertahan, Jerman 1-0 dalam aksi sulung Piala Dunia adalah hasil daripada perancangan yang dilakukan selama enam bulan.

Selain itu, dia turut memberitahu pemainnya agar menerapkan mentaliti bermain untuk menang berbanding takut untuk kalah.

“Kami mula membuat perancangan sejak enam bulan lalu, kami dapat menukar beberapa bahagian disebabkan kecederaan tetapi secara asasnya adalah kami menggunakan pemain yang pantas di bahagian sayap.

“Kami memutuskan untuk memberi kepercayaan itu kepada Hirving Lozano (penjaring gol kemenangan) kerana dia adalah pemain yang pantas. Kami tampil dengan corak serangan pantas dan mempunyai beberapa peluang bagi membuka tirai jaringan lebih awal sebenarnya,” kata Osorio.

Pengendali dari Colombia itu memuji kesungguhan ditunjukkan pemainnya dan turut memberitahu kepada media beliau sanggup bertanggungjawab di atas semua kritikan dilemparkan.

Osorio berkata beliau cuba untuk melindungi pemainnya daripada kritikan bagi membolehkan mereka fokus sepenuhnya terhadap perlawanan.

“Kata-kata semangat digunakan adalah bermain untuk menang dan tidak takut untuk kalah. Saya cuba untuk meletakkan semua tekanan di atas bahu saya bagi membolehkan pemain benar-benar fokus terhadap perlawanan.

“Mereka bersaing dengan baik dan mereka bertahan seperti menyelamatkan hidup mereka. Jika kami menang, kredit perlu diberikan kepada pemain dan jika kalah saya bertanggungjawab sepenuhnya…itulah dunia bola sepak,” katanya.

SUMBER: AFP

Categories
SUKANKINI

WC2018: Mexico buat kejutan tumbangkan Jerman

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Mexico mempamerkan aksi luar biasa apabila menewaskan juara Piala Dunia 2014, Jerman 0-1 hasil jaringan tunggal Hirving Lozano pada aksi pertama Kumpulan F awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Carlos Osorio terlebih dahulu menguji pertahanan Jerman menerusi Hirving Lozano pada minit kedua tetapi rembatannya berjaya dihalang Jerome Boateng.

Seminit kemudian, Timo Werner turut mencuba menerusi rembatan kencang namun melintasi gawang gol Mexico.

Jerman kembali menerusi gerakan Mats Humells tetapi rembatannya didakap kemas penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa pada minit kelapan.

Hector Herrera turut mencuba memecah kebuntuan di minit ke-11 tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer.

Neuer sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan tandukan Hector Moreno hasil sepakan percuma Miguel Layun pada minit ke-15.

Werner turut mencuba buat kali kedua di minit ke-19 dan disusuli rembatan kaki kiri Toni Kross selang tiga minit kemudian namun ia tepat ke dakapan Ochoa di gawang Mexico.

Corak permainan pantas yang dipamerkan Mexico akhirnya berjaya memerangkap pertahanan Jerman apabila Lozano membuka tirai jaringan 0-1 pada minit ke-35.

Berpunca daripada tolakan Javier Hernandez, Lozano yang melakukan larian di sebelah kiri memperdaya pertahanan Jerman sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Neuer.

Jerman hampir menyamakan kedudukan di minit ke-39 menerusi sepakan percuma Kross tetapi berjaya ditampan Ochoa lalu singgah ke palang gol.

Bersambung babak kedua Jerman menggandakan asakan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-58 menerusi rembatan Thomas Muller yang berjaya ditepis Ochoa tetapi beliau terlebih dahulu didapati offside.

Joshua Kimmich melakukan sepakan gunting menarik pada minit ke-65 hasil hantaran Boateng tetapi sekadar melewati gawang gol Mexico.

Pemain gantian, Marco Reus turut mencuba pada minit ke-71 tetapi sepakannya gagal menepati sasaran.

Kross mencuba sekali lagi di minit ke-75 tetapi sekadar singgah disisi gawang Mexico.

Mexico yang sekali sekala menyerang hampir mengancam kubu Jerman tetapi percubaan Layun melambung tinggi di minit ke-77.

Layun sekali lagi menghampakan Mexico di minit ke-81 apabila gagal melepaskan rembatan tepat menerusi satu serangan balas pantas.

Ochoa terus mempamerkan kecemerlangan apabila muda mengawal rembatan Kross di minit ke-84 bagi kedudukan semasa kekal 0-1.

Mario Gomez yang masuk menggantikan Werner juga gagal menemui penyudah apabila gagal menanduk tepat di minit ke-88.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
GLOBAL

Trump mahu kerah tentera Amerika di sempadan Mexico

WASHINGTON 4 APR: Presiden Donald Trump menajamkan lagi retorik antipendatang semalam, mengatakan mahu mengerah tentera Amerika Syarikat (AS) ke sempadan Mexico bagi menyekat pendatang haram sehingga tembok dijanjikan dibina dan kawalan keselamatan wajar diwujudkan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan, ulasan beliau dibuat susulan ancaman menghentikan bantuan asing ke Honduras dan negara lain kecuali mereka menahan ‘karavan’ Amerika Tengah menuju ke AS, menimbulkan persoalan mengenai pengerahan tentera di negara sendiri.

Trump menggelar penggunaan tentera di sempadan selatan itu ‘satu langkah besar’.

Beliau bertemu dengan Setiausaha Pertahanan James Mattis semalam dan pegawai lain bagi membincangkan idea itu.

“Sehingga kita mendirikan tembok dan kawalan keselamatan wajar, kita akan mengawal sempadan dengan tentera,” kata Trump kepada media di Rumah Putih, mengeluh apa yang digelarnya undang-undang teruk AS yang menyebabkan sempadan selatan tidak dikawal dengan baik.

Selepas 14 bulan mentadbir, Trump masih kerap menghentam isu antipendatang yang membantu menaikkan sokongan pengundi konservatif Republikan sekali gus memenangi jawatan itu dalam pilihan raya 2016.

Usaha Trump gagal mencapai perjanjian berkaitan imigresen atau pembiayaan tembok sempadan dalam Kongres diketuai Republikan dan tiada perundangan besar-besaran dijangka sebelum pilihan raya Kongres November ini.

Presiden AS itu bagaimanapun tidak memberi butiran mengenai saiz atau misi pengerahan tentera di sempadan.

Akta Posse Comitatus, satu perundangan persekutuan, melarang penggunaan tentera untuk tugas penguatkuasaan undang-undang awam di AS kecuali diluluskan Kongres.

REUTERS

Categories
GLOBAL

Lebih 139 maut gempa bumi skala 7.1 landa Mexico

MEXICO CITY 20 SEPT: Lebih 139 dilaporkan maut setakat ini dalam kejadian gempa bumi kuat pada skala 7.1 magnitud melanda bahagian tengah Mexico menurut pihak berkuasa.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan runtuhan bangunan itu menyebabkan ribuan penduduk lari bertempiaran dalam keadaan panik manakala bekalan elektrik turut dilaporkan terputus.

Ia sekaligus memberi kesan kepada jutaan penduduk yang ketika itu menikmati makan tengah hari.

Presiden Enrique Pena Nieto berkata, 27 bangunan dilaporkan runtuh akibat gegaran itu.

Seorang doktor gigi, Claudia Meneses yang berada di kliniknya di kawasan kejiranan Lindavista ketika kejadian berkata, orang ramai berada dalam ketakutan amat sangat susulan bencana itu.

DKILpynU8AAImot“Kami sedang berusaha untuk pergi ke bangunan yang runtuh untuk melihat jika ada bantuan yang diperlukan,” katanya.

Gempa bumi berukuran 7 atau lebih dianggap sebagai kuat dan berpotensi menyebabkan kemusnahan besar.

Laporan awal menunjukkan negeri Morelos di bahagian selatan mengalami kemusnahan dan jumlah kematian terbesar setakat ini dengan sekurang-kurangnya 50 orang disahkan maut.

Ini gempa bumi kuat kedua melanda Mexico bulan ini, selepas 98 orang terbunuh dalam bencana yang sama di selatan Mexico, 7 September lalu.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Gempa terkuat 100 tahun Mexico kini 58 orang

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

MEXICO CITY 9 SEPT: Angka kematian akibat gempa bumi terkuat di Mexico dalam tempoh 100 tahun meningkat kepada 58 orang, lapor Agensi Berita.

Perkhidmatan Seismologi Mexico berkata, gempa itu menggegarkan kawasan luar pantai Pasifik jam 11.49 malam waktu tempatan sejauh 100 kilometer dari bandar tepi pantai Tonala di negeri selatan Chiapas.

Terdahulu, Presiden Mexico Enrique Pena Nieto berkata, gempa magnitud 8.1 itu adalah paling kuat pernah melanda negara itu dalam tempoh 100 tahun.

Gempa MexicoGegaran akibat gempa itu dirasai sejauh Guatemala.

“Ia adalah gempa bumi paling kuat dari segi skala dan magnitud, terkuat sejak 100 tahun lalu,” kata Nieto dalam ucapan dari ibu pejabat Pusat Pencegahan Bencana Kebangsaan, di mana beliau menyelia tindak balas kecemasan.

Katanya gempa bumi itu juga dirasai kira-kira 50 juta penduduknya dalam gegaran terkuat sejak gempa bumi melanda negara itu pada September 1985 dengan kekuatan 8.0 pada skala richter mengorbankan 9,500 mangsa.

USGS malaporkan gegaran susulan selepas gempa bumi kuat dengan merekodkan sekurang-kurangnya enam gegaran melebihi 5.0 skala richter.

 

Gempa1

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Kelab bola sepak raih juara guna ‘ilmu hitam’

MEXICO: Gagal meraih sebarang kejuaraan sejak 20 tahun lalu, sebuah kelab bola sepak di Mexico, Cruz Azul bertindak menggunakan khidmat sihir untuk melakukan upacara ‘pembersihan badi kekalahan’ kumpulan itu.

Portal Mirror melaporkan, kelab penyokong pasukan itu menggunakan khidmat dukun wanita, Zulema yang dikenali penduduk Kota Tula De Allende sebagai antara dukun terhebat di wilayah itu.

Kelab Cruz Azul tidak meraih sebarang kemenangan sejak 1997 dan terkeluar daripada saingan liga Liguilla Mexico sejak tiga tahun lalu.

Kelab penyokong mengharapkan, khidmat Zulema mampu mengakhiri kemarau kemenangan pasukan kesayangan mereka itu.

ILMU HITAM“Tiada sebarang bayaran dikenakan atas khidmat ini. Saya hanya ingin buktikan khidmat ini berbaloi dan mampu membersihkan semangat jahat di sini,” kata Zulema.

Upacara ‘pembersihan’ menyaksikan Zulema menggunakan beberapa helaian daun pokok, lilin bewarna hitam, kepala lembu dan beberapa alat pemujaan lain.

Ritual itu dilakukan sehari sebelum Cruz Azul bertemu sebuah lagi kelab bola sepak Giadalajara yang turut beraksi dalam Liga Mexico.

Sehari selepas ritual diadakan, kelab Cruz Azul berjaya memecahkan kekalahan sejak 20 tahun lalu apabila mengalahkan Giadalajara dengan jaringan 2-1, 22 April lalu.

Bagaimanapun, kepercayaan masyarakat Islam negara ini berhubung amalan pemujaan itu dianggap bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

-nR-